fbpx
More

    Ulasan MSI Summit E13 Flip Evo – Komputer riba bisnes yang bergaya dan serba lengkap

    Micro-Star International (MSI) adalah sebuah jenama teknologi yang sinonim dengan komputer gaming, namun mereka masih menghasilkan beberapa komputer yang dikhaskan untuk golongan kreatif serta ahli perniagaan. MSI Summit E13 Flip Evo adalah salah satu komputer riba MSI yang ditujukan kepada golongan profesional, di mana ia menampilkan rekaan premium yang ringan serta dilengkapi spesifikasi dan fungsi yang canggih.

    Jadi jika anda merupakan ahli bisnes yang kerap bergerak ke sana sini untuk membuat pembentangan atau menaip dokumen, Summit E13 Flip Evo adalah pilihan yang sangat menarik. Akan tetapi, dengan harga semahal RM6,899, adakah ia berbaloi untuk tugasan harian anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Ad

    Sekali pandang, Summit E13 Flip Evo nampak seperti kebanyakan komputer riba gaming MSI yang lain, terutamanya dengan warna hitam keseluruhan dan dihiasi sedikit dengan warna emas di bahagian sisi dan logo di belakang skrin. Badannya dibuat dengan permukaan pusam (matte), jadi anda tidak perlu risau tentang kesan cap jari yang mungkin akan tertinggal padanya. Di samping itu, permukaan pusam ini juga membuatkan komputer ini nampak lebih profesional.

    Permukaan matte hitam pada keseluruhan komputer, serta logo dan sisi berwarna emas
    Komputer ini mempunyai sisi berwarna emas untuk rekaan yang nampak eksklusif

    Sebaik sahaja anda membuka komputer riba ini, anda boleh melihat skrin 13.4 inci yang mempunyai resolusi Full HD serta nisbah aspek 16:10 yang semakin menjadi trend dalam komputer riba yang dilancar pada 2021. Nisbah aspek yang lebih tinggi ini membolehkan anda untuk melihat lebih banyak ruang dalam dokumen Word atau laman web, berbanding skrin 16:9.

    Skrin Summit E13 Flip Evo menyokong sentuhan daripada jari dan ia adalah sangat responsif. Jika anda lebih gemarkan penggunaan stilus untuk menulis atau melukis, stilus MSI Pen turut disertakan dalam kotak komputer riba ini. Perlu diingati bahawa MSI Pen mempunyai baterinya sendiri dan ia hanya boleh dicas menggunakan kabel USB-C.

    Ad

    Skrin komputer ini juga boleh diputar 360 darjah pada engselnya, membuatkan komputer ini boleh digunakan seperti tablet atau dalam mod khemah (tent mode).

    Boleh digunakan seperti biasa
    Skrinnya boleh diputar ke belakang untuk diguna dalam tent mode
    Boleh diputar terus untuk dijadikan seperti tablet

    Dengan kadar segar semula 120Hz, skrin ini memberikan paparan yang sangat lancar dan responsif dalam semua jenis perisian. Ia turut mempunyai gamut warna sRGB 100%, jadi sebarang filem atau video yang dimainkan akan nampak sangat berwarna-warni dan terang. Walau bagaimanapun, memandangkan ia tidak mempunyai gamut warna penuh untuk Adobe RGB, ini membuatkan Summit E13 bukanlah komputer yang sesuai untuk kerja-kerja suntingan grafik atau video.

    Summit E13 mempunyai papan kekunci yang mempunyai pencahayaan (backlit) putih, jadi anda masih boleh menaip dengan mudah walaupun sewaktu berada dalam situasi yang malap. Kekuncinya rasa selesa apabila ditaip dan walaupun komputer 13 inci ini lebih kecil berbanding kebanyakan komputer riba, saiz kekuncinya masih lagi standard dan mudah untuk ditaip oleh mereka yang mempunyai tangan besar seperti saya. Sungguh pun begitu, MSI terpaksa membuang beberapa kekunci seperti Home, End dan Insert (ia masih boleh digunakan dengan gabungan kekunci Fn).

    Trackpad di bawah papan kekunci juga agak besar dengan ukuran 4.7×2.4 inci dan sangat responsif. Di bahagian kanannya, terdapat sebuah pengimbas cap jari yang berfungsi dengan pantas sewaktu anda ingin menghidupkan komputer ini.

    Di bahagian sisi kiri, komputer ini mempunyai tiga port USB yang terdiri daripada dua USB4 Type-C yang menyokong hubungan Thunderbolt 4 dan satu port USB Type-A 3.2. Pengecasan boleh dilakukan melalui mana-mana port USB4 Type-C dan ia menyokong kadar 65W. Di bahagian sisi kanan pula, komputer ini mempunyai satu lagi port USB 3.2 Type-C, suis untuk webcam, pembaca kad SD dan bicu audio 3.5mm.

    Port pada bahagian sisi kiri
    Port pada bahagian sisi kanan

    Bercakap tentang webcam, ia berada di bahagian atas skrin dan boleh merakam dalam resolusi 720p. Mutu rakamannya sekadar biasa sahaja dan memadai untuk panggilan video seperti Zoom atau Google Meet, manakala mikrofonnya juga berfungsi dengan baik untuk mengasingkan bunyi bising di sekeliling pengguna.

    Daripada segi prestasi, Summit E13 Flip Evo boleh menjalankan sebarang tugas produktiviti dengan lancar, daripada perisian Microsoft Office hinggalah melayari laman web. Ia juga boleh beroperasi dengan lancar tanpa menjadi terlalu panas dan kipas dalamannya tidak berpusing dengan terlalu kuat, jadi anda tidak akan rasa terganggu oleh komputer ini.

    Varian yang kami terima untuk ulasan ini dilengkapi cipset Intel Core i7-1185G7 3.00GHz dan RAM 32GB, jadi anda boleh jangkakan prestasi yang lebih daripada cukup untuk tugasan produktiviti. Jika anda mahukan varian yang lebih murah, RAM 16GB juga sudah memadai.

    Berdasarkan markah PCMark 10, MSI Summit E13 boleh jalankan kebanyakan tugas produktiviti dengan sangat lancar

    Untuk GPU pula, Summit E13 Flip Evo sekadar dilengkapi Intel Iris Xe Graphics jadi anda tidak boleh memainkan sebarang game yang memerlukan grafik tinggi dalam komputer ini. Sungguh pun begitu, anda masih boleh memainkan game klasik seperti CS:GO jika anda ingin berehat seketika.

    Summit E13 Flip Evo adalah antara komputer riba terawal yang dilengkapi Intel Wi-Fi 6E yang boleh dihubungkan dengan band frekuensi 6GHz untuk hubungan yang lebih stabil, kukuh dan laju.

    MSI mengatakan komputer riba ini mempunyai bateri yang boleh bertahan sehingga 20 jam, namun sepanjang saya menggunakan komputer ini, ia langsung tidak boleh mencapai hayat tersebut. Dengan penggunaan biasa, baterinya boleh bertahan sehingga sembilan jam. Jika mod Best Battery Life diaktifkan sekali pun, ia hanya boleh bertahan sehingga 11 jam sahaja. Mujur sekali ia boleh dicas dengan cepat, di mana pengecasan selama sejam boleh mengecas dari 0% ke 70%.

    Selain daripada itu, dua pembesar suara di bawah komputer ini juga agak mengecewakan. Bunyinya agak cetek dan tidak mempunyai bass yang jelas, jadi lebih baik anda gunakan fon telinga untuk pengalaman audio yang lebih mendalam.

    Secara keseluruhannya, MSI Summit E13 Flip Evo menampilkan rekaan premium yang sangat menarik untuk golongan profesional dan prestasinya juga sangat cemerlang untuk tugasan produktiviti. MSI Pen yang turut disertakan bersama komputer ini juga menyediakan fleksibiliti untuk mereka yang lebih gemar menulis dan menggunakan komputer ini seperti tablet.

    Hayat baterinya mungkin bukanlah penarik utama komputer ini, namun kekurangan ini diatasi dengan prestasi pantas yang dihasilkan oleh Intel Core i7 dan membuatkannya setaraf dengan komputer desktop walaupun dengan reka bentuk yang nipis. Jika anda masih ingin utamakan hayat bateri, mungkin anda boleh lihat pada MacBook Air M1 atau HP EliteBook 840 G8.

    Oleh yang demikian, jika anda mementingkan rekaan premium serta ingin mencari pengganti mantap kepada sebuah komputer desktop, MSI Summit E13 Flip Evo adalah komputer yang sangat sesuai. Sewaktu ulasan ini ditulis, Windows telah pun memaklumkan kepada saya bahawa komputer ini sudah boleh dikemas kini kepada sistem operasi Windows 11.

    Layari laman web MSI Malaysia untuk maklumat lanjut jika anda berminat untuk membeli komputer riba unik ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan komputer ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Skrin 13.4 inci, nisbah aspek 16:10, resolusi 1920×1200, kadar 120Hz, gamut warna sRGB 100%
    • Cipset Intel Core i71185G7 3.00 GHz
    • RAM LPDDR4 32GB
    • Storan SSD 1TB
    • Iris Xe Graphics
    • Windows 10 Home
    • Papan kekunci dengan pencahayaan putih
    • Sokongan stilus MSI Pen
    • 2x port USB-C 3.2 Thunderbolt, 1x port USB-C 3.2, 1x port USB-A 3.2, pembaca kad memori SD, bicu audio 3.5mm
    • Sokong pengecasan USB-C 65W
    • Webcam 720p dengan mikrofon pembatalan hingar
    • Pilihan warna hitam-emas atau putih-aluminium

    Kebaikan: Rekaan premium dan mudah dibawa ke mana-mana, prestasi pantas

    Keburukan: Hayat bateri lebih rendah berbanding komputer pesaing

    Kesimpulan: Khas untuk golongan profesional yang ingin mencipta tanggapan eksklusif

     

    Artikel Terkini

    Samsung S Pen Pro dan S Pen Fold Edition dilancar di Malaysia, bermula RM199

    Telefon lipat Samsung Galaxy Z Fold3 5G merupakan antara telefon pintar terbaik yang dilancar pada tahun ini dan antara fungsi baru yang...

    Kerja penyelenggaran sedang dijalankan, pengguna Digi hadapi masalah sambungan

    Digi mengumumkan kerja penyelenggaraannya akan tamat pada awal pagi hari ini. Namun, masih ramai yang mengadu dan menghadapi masalah perkhidmatan telekomunikasi dan...

    Samsung Galaxy S22 dan S22+ mungkin miliki skrin rata, spesifikasi kamera Galaxy S22 Ultra...

    Samsung mungkin akan melancarkan telefon pintar Galaxy S22 yang kurang daripada tiga bulan dari sekarang. Mereka akan memperkenalkan tiga telefon pintar baharu...

    Mesej WhatsApp anda kini boleh dipindahkan dari iPhone ke mana-mana telefon Android 12

    Sebelum ini, sejarah sembang (chat history) dalam aplikasi pemesejan WhatsApp boleh dipindahkan daripada iPhone ke dalam telefon Samsung, kemudian diluaskan kepada telefon...

    Adobe MAX 2021: Adobe Photoshop boleh diguna pada ‘browser’ dan sokongan RAW untuk iPad

    Adobe memulakan persidangan Max dengan kemas kini pada keseluruhan rangkaian aplikasinya. Salah satu pengumuman terbesar ialah Photoshop untuk pelayar web. Ia adalah...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X