fbpx
More

    Ulasan OnePlus 11 5G – Prestasi mengagumkan dan hayat bateri yang lebih lama bermula RM3,299

    Populariti OnePlus semakin merosot sejak akhir-akhir sehingga ada yang beranggapan syarikat itu telah ‘hilang arah’. Namun, OnePlus menggemparkan situasi dengan keluaran OnePlus 11 5G yang saya akan ulaskan di bawah membuktikan mereka sudah bersiap sedia untuk melancarkan peranti baharunya.

    Dengan menawarkan spesifikasi canggih pada harga yang lebih rendah berbanding kebanyakan telefon andalan di pasaran, OnePlus mengambil semula kedudukannya di tempat pertama dengan keluaran OnePlus 11 5G yang juga dipanggil sebagai “pembunuh telefon andalan (flagship killers)”.

    Bagaimanakah prestasi telefon pintar ini? Dengan harga bermula RM3,299, adakah ini telefon pintar yang sesuai untuk anda? Ayuh baca ulasan ini yang telah ditulis oleh pengarang TechNave English.

    Reka Bentuk – Satu sentuhan berani kepada reka bentuk biasa

    Perkara pertama yang anda akan perhatikan pada OnePlus 11 adalah bonggol kamera bulat yang tebal di bahagian belakang dengan penjenamaan Hasselblad. OnePlus menyifatkan reka bentuk itu sebagai “berani menarik pandangan orang (unapologetically eye-catching)“, yang agak sesuai kerana peranti itu boleh dikenali dengan serta-merta dari jauh.

    Kualiti binaan terutamanya reka bentuk unibody telefon ini kelihatan dan terasa premium. Ia menampilkan bingkai melengkung yang lebih unik berbanding reka bentuk berkotak yang terdapat pada kebanyakan model telefon andalan hari ini.

    Walaupun saya lebih suka skrin rata daripada skrin melengkung, lengkungan itu memberikan pandangan estetik dan ia lebih ergonomik untuk pengguna. Bahagian belakang kaca juga menambah rupa eksklusif, tetapi malangnya kaca ini menyebabkan OnePlus 11 tidak menyokong pengecasan tanpa wayar. Mungkin, ini adalah salah satu langkah penjimatan kos oleh OnePlus. Selain itu, OnePlus 11 hanya mempunyai penarafan rintangan air dan habuk IP64 dan bukannya IP68.

    Kaca belakang menjadikan telefon pintar itu sangat licin tetapi anda tidak perlu risau kerana ia dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5 dan Gorilla Glass Victus di bahagian hadapan. Warna Eternal Green yang saya ulaskan ini adalah varian 16/256G pada harga RM3,599. Ia kelihatan cantik, walaupun ia meninggalkan banyak kesan cap jari. Kami mengesyorkan anda untuk mendapatkan sarung seperti sarung Bampar Fiber Aramid rasmi (Hitam) di atas yang mengingatkan saya kepada bahagian belakang telefon OnePlus pada masa lalu.

    Butang kuasa berada di sebelah kanan dengan peluncur amaran (alert slider) ikonik telah kembali selepas dialih keluar pada OnePlus 10T 5G. Secara peribadi, saya teruja melihat bahawa OnePlus mendengar aduan daripada para penggunanya dan mengekalkan peluncur amaran kerana ia adalah salah satu ciri yang unik dan praktikal yang dihasilkan oleh syarikat itu.

    Di bahagian bawah, terdapat port USB-C untuk pengecasan dan pemindahan data, slot dwi-SIM dan gril untuk salah satu pembesar suara stereo peranti. Tiada apa-apa di bahagian atas peranti kecuali dua lubang kecil untuk mikrofon, manakala butang audio di sisi sebelah kiri. Malangnya, seperti kebanyakan peranti andalan yang lain, OnePlus 11 tidak mempunyai bicu audio 3.5mm atau ruang storan tambahan.

    Di bahagian hadapan menggunakan paparan AMOLED melengkung 6.7 inci dengan bezel nipis dan seragam. Paparannya juga menempatkan lubang tebuk untuk kamera swafoto di sudut kiri atas. Satu lagi ciri yang perlu diperhatikan adalah motor haptik yang menambah lagi rasa premium 11 5G.

    Secara keseluruhan, saya dapati reka bentuknya agak bersih dan minimalis walaupun modul kameranya bulat besar di bahagian belakang. Reka bentuk modul kamera ini menambahkan lagi penampilan telefon serta dialu-alukan dalam pasaran.

    Warna hijau Eternal Green ini nampak cantik namun ia mudah meninggalkan kesan cap jari

    Spesifikasi dan ciri – Ditindan dengan dalaman yang terkini dan terbaik

    Apa yang menjadikan telefon ini sebagai pembelian yang menarik adalah spesifikasi terbaik pada masa ini untuk peranti Android di pasaran seperti di bawah:

    • Paparan AMOLED Super Fluid 6.7-inci 2K 120Hz LTPO 3.0, sokongan Dolby Vision dan HDR 10+, kadar pensampelan sentuhan 1000Hz, nisbah skrin ke badan ~89.7%
    • Snapdragon 8 Gen 2 
    • RAM LPDDR5X 8GB/16GB 
    • Storan UFS 4.0 128/256GB 
    • Tri kamera belakang: Kamera utama 50MP + ultra-lebar 48MP + telefoto 32MP
    • Kamera swafoto 16MP
    • Bateri 5,000mAh (Dua sel 2,500 mAh, tidak boleh tanggal)
    • Pengecasan pantas SUPERVOOC 100W
    • OS OxygenOS 13 berdasarkan Android 13 
    • Bluetooth 5.3, menyokong aptX HD, aptX, LDAC, LHDC, AAC, SBC
    • Sambungan 5G
    • Penarafan kalis air dan habuk IP64
    • NFC, WiFi 7
    • Pengimbas cap jari dalam paparan
    • Dwi pembesar suara “Realiti” dengan sokongan Dolby Atmos,
    • Warna – Hitam Titan Black dan hijau Eternal Green
    Spesifikasi OnePlus 11 5G

    OnePlus 11 memaparkan skrin Super Fluid AMOLED (LTPO 3.0) 6.7 inci 2K 120Hz yang dibangunkan oleh OnePlus dan diperakui untuk SGS Low Blue Light Ex. Panel ini juga mempunyai TÜV SÜD Fluency A Rating 48 bulan, Penilaian TÜV SÜD Precise Touching S, SGS Perceived Fluency A+ dan diperakui oleh TÜV Rheinland untuk pengecasan dan penggunaan yang selamat.

    Dalam erti kata lain, paparannya memberikan warna terang dan hitam yang sangat gelap untuk tontonan video dan gaming. Dengan kadar penyegaran 120Hz, ia menjadikan peranti ini cekap dan lancar sewaktu anda meleret jari pada skrin.

    Daripada segi OS, ia menggunakan OxygenOS 13 berdasarkan Android 13. UI ini sepatutnya biasa kepada pengguna Android kerana ia mengekalkan kebanyakan rupa dan ciri Android stok. Ia intuitif dengan reka bentuk yang bersih dan ditambah dengan pelbagai ciri khas serta sesuai digunakan untuk semua pengguna.

    Sistem operasi OnePlus terkini dan fungsi khas untuk OnePlus 11

    Tambahan pula, OnePlus berjanji untuk menyediakan empat kemas kini OxygenOS utama dan lima tahun kemas kini keselamatan yang akan menjamin jangka hayatnya. Dalam pada itu, ia turut menawarkan penggunaan RAM LPDDR5X, storan UFS 4.0 dan WiFi 7 yang kesemuanya adalah piawaian untuk tahun-tahun akan datang.

    Bagi kunci/buka kunci biometrik, pengimbas cap jari dalam paparan bertindak balas dengan pantas, malah ini adalah antara pengimbas yang terpantas dalam pasaran sekarang. Terdapat juga pilihan untuk membuka kunci skrin dengan mengimbas muka, menggunakan kamera swafoto yang berfungsi dengan baik. Walaupun begitu, saya tidak akan mengesyorkannya kerana ia tidak mempunyai imbasan infra-merah, berlainan dengan pengimbas cap jari optik yang mempunyainya.

    Pengimbas cap jarinya adalah antara yang terpantas dalam pasaran sekarang

    Daripada segi pengimejan, tiada sensor 2MP picisan yang sekadar untuk “mencukupkan syarat” dan OnePlus kini menggantikannya kepada sensor kamera yang cekap. Ciri kamera yang disediakan termasuk AI, Pro, HD Tambahan, Potret, Malam, Panorama, Pergerakan Perlahan, Selang Masa dan Video Dwi-Pandangan yang kini boleh merakam pada 8K24fps. Saya akan menyelam lebih dalam ke dalam prestasi kamera di bawah ulasan ini.

    Prestasi – Sangat pantas dengan bateri tahan lama

    Seterusnya, mari kita selami lebih mendalam mengenai prestasi OnePlus 11. Sehubungan itu, berikut ialah keputusan daripada 3DMark Wild Life Stress dan penanda aras Geekbench 5:

    Telefon pintar ini dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2. Itulah asasnya cipset Android terbaik dalam pasaran sekarang. Selain itu, OnePlus 11 juga mempunyai teknologi RAM-Vita baharu yang membolehkan sebanyak 44 aplikasi aktif di latar belakang.

    Ia turut membawa RAM LPDDR5X 16GB untuk meudahkan kerja dan tugasan seperti melayari laman web, menatal media sosial dan banyak lagi tanpa sebarang gangguan.

    Untuk gaming, peranti ini menjalankan semua game mudah alih mewah seperti PUBG Mobile, Asphalt 9 dan juga Genshin Impact pada tetapan dan kadar bingkai yang tinggi. Sistem Penyejukan VC Cryo-velocity baharu peranti ini juga berfungsi dengan baik mengelakkan peranti daripada terlalu panas untuk jangka masa gaming yang lama.

    Terdapat juga mod Hyperboost untuk tingkatkan prestasi sewaktu bermain game

    Saya sangat menikmati pengalaman gaming pada peranti ini, malah tidak keberatan untuk saya katakan bahawa ini adalah salah satu peranti Android terbaik untuk gaming. Lihat sahaja tangkapan skrin permainan kami pada OnePlus 11 di atas.

    Seterusnya, telefon ini mempunyai pembesar suara stereo untuk pengalaman yang mengasyikkan dengan kulaiti audio yang baik semasa menggunakan kandungan atau bermain game. Pembesar suara cukup jelas dan sangat kuat, walaupun kualiti bunyi agak teruk apabila dimainkan pada tahap maksimum. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, telefon pintar ini tidak mempunyai bicu audio 3.5mm, jadi anda perlu bergantung pada dongle USB atau menggunakan fon kepala wayarles untuk pendengaran peribadi.

    Bagi kelajuan pengecasan, OnePlus 11 adalah penurunan daripada model pendahulunya 150W yang kini hanya menyokong pengecasan SUPERVOOC 100W (disertakan dalam kotak). Salah satu peningkatan peranti ini adalah baterinya 5,000mAh yang lebih besar. Kelajuan pengecasan pantas ini mampu meningkatkan kapasiti bateri sepenuhnya daripada sifar dalam masa 25 minit sahaja. Saya pasti lebih suka bateri yang lebih besar daripada pengecasan yang lebih pantas.

    Hayat bateri sangat baik dan boleh bertahan sehingga dua hari dengan penggunaan biasa. Baru-baru ini, saya membawa peranti itu ke Thailand dan menggunakannya sebagai GPS dengan skrin dihidupkan bersama liputan (hotspot) untuk iPhone 12 saya. Bateri iPhone saya mati terlebih dahulu sebelum OnePlus 11, menunjukkan pretasi yang mengagumkan.

    Hayat bateri selepas menggunakan Waze dan mengaktifkan hotspot selama berjam-jam
    Boleh mengecas penuh dalam masa 25 minit

    Selain itu, penggunaan kuasa minimum mampu bertahan sehingga empat hari. Terdapat juga mod penjimatan kuasa untuk menjadikannya tahan lebih lama.

    Beralih kepada kamera, tri-kamera belakang sangat menakjubkan dengan warna imej yang dihasilkan. OnePlus mendakwa telefon itu mempunyai ketepatan warna 12% lebih baik atas kerjasama Hasselblad dan Pengecam Warna CahayaSspektrum Accu 13 Saluran (13-channel Accu-spectrum Light-color Identifier) pada modul kamera belakang. Daripada gambar-gambar yang saya ambil, saya bersetuju kerana warna-warna itu semula jadi dan benar-benar mengagumkan.

    Kamera utama 50MP menggunakan Sony IMX890 dan sensor 1/1.56 inci dengan penstabilan OIS dan nilai apertur f/1.8. Kualiti imej sangat baik dalam keadaan terang dan berprestasi sangat baik dalam cahaya malap juga. Imej adalah tajam dengan butiran yang tinggi dan dengan saiz sensor tersebut, terdapat bokeh semula jadi pada gambar jarak dekat untuk menjadikan foto anda kelihatan lebih sinematik. Seperti telefon pintar lain dengan sensor besar, anda boleh menangkap pada resolusi 50MP penuh jika anda mahu.

    Kamera ultra lebar 48MP yang digunakan mempunyai medan pandangan 115 darjah dan menggunakan sensor Sony IMX581 dengan apertur f/2.2. Kualiti imejnya tidak sebaik kamera utama. Imej agak malap tetapi ia masih cemerlang dan lebih baik daripada kebanyakan sensor ultra lebar dalam telefon pintar lain dalam julat harga ini. Ia turut menawarkan FOV yang luas untuk mengambil gambar kreatif.

    Kamera telefoto 32MP menggunakan sensor Sony IMX709 dengan apertur f/2.0 adalah paling lemah daripada ketiga-tiganya. Imej yang dihasilkan dalam cahaya malap agak kelabu dan dipenuhi noise. Walau bagaimanapun, dalam keadaan yang terang, anda pasti boleh mengambil beberapa tangkapan hebat dengan sensor ini.

    Mod potret dengan persediaan kamera belakang juga telah bertambah baik daripada model sebelum ini, walaupun jauh daripada yang terbaik di pasaran. Satu perkara yang saya perhatikan, ia kekurangan konsistensi dalam imbangan putih pada ketiga-tiga sensor di mana ultra-lebar menunjukkan warna sedikit kekuningan. Ini paling jelas apabila beralih dari mod video yang lain dan ini agak mengganggu.

    Bagi kamera swafoto 16MP, sensor Sony IMX471 menghasilkan kualiti imej yang sangat baik walaupun dalam keadaan pencahayaan sedikit di bawah par dan mempunyai HDR yang sangat baik. FOV juga bagus dan sesuai untuk semua keperluan swafoto anda.

    Untuk video, anda boleh merakam sehingga 8K24fps dengan kamera utama 50MP tetapi ia mengambil ruang yang agak besar. Lebih-lebih lagi, memandangkan kebanyakan pilihan storan tertinggi yang terdapat di Malaysia hanyalah 256GB, anda akan memenuhi storan tersebut dengan cepat apabila merakam video. Selain itu, Penstabilan Imej Optik (OIS) dibina dalam semua kamera pada semua resolusi dan kadar bingkai.

    Bagi kualiti rakaman video, secara semula jadi, kamera utama menangkap rakaman terbaik memandangkan saiz sensornya yang besar. Rakaman daripada sensor utama dan ultra lebar diperincikan dengan warna semula jadi dan julat dinamik yang baik tetapi lensa telefoto tidak menghasilkan imej yang berkualiti. Kualiti video dari kamera swafoto juga berfungsi dengan baik. Secara keseluruhan, OnePlus 11 mempunyai persediaan kamera yang kukuh dan telah banyak bertambah baik daripada OnePlus 10T 5G.

    Kesimpulan – OnePlus kini kembali

    Telefon ini berharga RM3,299 untuk varian 8/128GB dan RM3,599 untuk konfigurasi 16/256GB. Dengan harga sedemikian, OnePlus 11 merupakan salah satu pakej telefon pintar keseluruhan terbaik di pasaran. Gabungan spesifikasi teratas, sistem kamera yang kukuh dan hayat bateri yang sangat baik membuatkannya hampir tiada tandingan pada julat harga ini.

    Kekurangannya seperti pengecasan tanpa wayar, penarafan kalis air dan habuk IP64, storan 256GB yang tidak boleh dikembangkan dan lensa telefoto yang biasa mungkin membuatkan peranti ini bukan dalam pilihan pertama anda. Bagi pendapat saya, OnePlus 11 adalah peranti yang menunjukkan bahawa OnePlus telah kembali kepada akarnya, selepas syarikat itu mengalami kemerosotan sejak beberapa tahun lalu.

    Satu perkara yang perlu dipertimbangkan adalah jika anda mampu menambah sedikit wang, anda boleh dapatkan telefon yang lebih baik seperti Samsung Galaxy S23. Pada harga RM3,899, Galaxy S23 menawarkan cipset Snapdragon 8 Gen 2 yang disesuaikan untuk Galaxy, pengecasan wayarles dan wayarles berbalik, penarafan IP68 serta paparan yang lebih baik, walaupun lebih kecil. 

    Itu sahaja untuk ulasan OnePlus 11 5G kami! Jadi, apakah pendapat anda tentang telefon andalan baharu oleh OnePlus ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

     

    Artikel Terkini

    PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR tersedia di HONOR Experience Store terpilih pada 5 Mei...

    PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR yang hangat diperkatakan ketika kemunculannya kini boleh dibeli di kedai HONOR Experience Store terpilih mulai 5 Mei...

    Astro bakal tayangkan semua perlawanan Liga Malaysia dalam HD, UHD secara percuma!

    Liga Malaysia musim baharu 2024/25 yang membawakan sebanyak 219 perlawanan bakal ditayangkan secara Definisi Tinggi (HD) di Astro bermula 10 Mei ini....

    Google membayar Apple ~RM95 bilion pada 2022 kerana jadi enjin carian utama peranti

    Google membayar Apple $20 bilion (~RM95 bilion) pada 2022 untuk menjadi enjin carian utama bagi Safari pada iPhone, iPad dan Mac, lapor...

    Acer Nitro V 16 dilancar di Malaysia: Komputer riba “gaming” mampu milik bermula RM4,899

    Pada hari ini, Acer Malaysia memperkenalkan komputer riba gaming mampu milik Acer Nitro V 16 iaitu komputer Nitro pertama yang dilengkapi pemproses...

    realme 12x 5G dilancar di Malaysia: Skrin 6.67″ 120Hz, Dimensity 6100+, kamera utama 50MP...

    Pada hari ini, realme Malaysia melancarkan satu lagi telefon dalam siri realme 12 iaitu realme 12x 5G. Ia merupakan varian yang paling...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X