fbpx
More

    Ulasan OnePlus 8T – Peranti OnePlus 120Hz yang lebih mesra dompet

    OnePlus 8 Pro yang telah dilancar pada awal tahun ini mendapat pujian yang tinggi terutamanya daripada aspek rekaan dan prestasinya. Menyambung tradisi tahunan OnePlus, syarikat tersebut telah melancarkan sebuah lagi telefon pintar andalan (flagship) untuk tahun 2020 iaitu OnePlus 8T yang berharga RM2,699.

    Telefon ini sebenarnya nampak sangat menawan, di samping pemproses andalan Snapdragon 865 dan lain-lain spesifikasi setaraf. Harganya lebih rendah daripada RM3,000 namun ia masih dilengkapi ciri-ciri yang lazim berada dalam telefon kategori harga itu. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang telefon ini serta perbezaannya dengan siri OnePlus 8, ayuh baca ulasan kami di bawah.

    Rekaan – Tidak banyak beza dengan telefon lain

    Skrin OnePlus 8T menampilkan permukaan skrin yang rata, berlainan dengan skrin melengkung di sisi pada OnePlus 8 Pro. Terdapat juga sebuah lubang punch hole di bahagian atas kiri skrin yang menempatkan kamera swafoto.

    Di belakangnya pula adalah permukaan yang diperbuat daripada kaca dan terdapat bonggol kamera yang agak tersembul, namun ia masih boleh dilindungi dengan memakaikan sarung yang diberikan dalam kotak. Secara keseluruhannya, rekaan luaran OnePlus 8 Pro nampak biasa sahaja.

    Butang kawalan audio berada di bahagian kiri, manakala di sebelah kanan pula terdapat butang kuasa dan suis untuk mengubah status nada dering telefon di antara bisu (mute), getaran (vibration) dan mod biasa.

    Di bawah, terdapat port USB-C, ruang kad SIM serta pembesar suara stereo yang dikembarkan dengan sebuah lagi pembesar suara di bahagian atas skrin. Aksesori yang disertakan dalam kotaknya adalah sarung, pengecas 65W Warp Charge dan kabel.

    Spesifikasi – Semuanya andalan kecuali kamera dan perisian

    Sungguh pun OnePlus 8T tidak mempunyai skrin melengkung, spesifikasi lain di dalamnya masih lagi berada dalam kategori andalan dan tidak akan ketinggalan zaman dalam masa beberapa tahun akan datang. Ini termasuklah cipset Snapdragon 865 5G, storan UFS 3.1 256GB dan RAM LPDDR4X 12GB. Skrin telefon ini juga menyokong kadar segar semula 120Hz dalam resolusi Full HD+ manakala kualiti imejnya adalah sangat mantap dengan penghasilan warna yang cantik dan butiran jelas.

    Spesifikasi OnePlus 8T
    Pilihan kadar segar semula skrin OnePlus 8T

    Daripada segi kamera pula, ia mempunyai kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 16MP, kamera makro 5MP dan sensor kedalaman 2MP. Susunan kamera ini bukanlah tidak bagus, namun penulis agak kecewa dengannya terutamanya dalam prestasi kamera yang saya akan ulas di bawah.

    Selain daripada itu, perisian kamera OnePlus 8T juga tidak menyediakan tetapan Pro Mode dalam mod video jadi ini mengehadkan kawalan yang boleh dibuat sewaktu merakam.

    Tetapan kamera

    Di samping spesifikasi andalan, ciri-ciri lain dalam OnePlus 8T juga tidak kurang hebatnya dengan rating kalis air dan debu IP68 dan sokongan pengecasan wayarles, membuatkan telefon ini mampu bersaing dengan telefon andalan lain.

    Sesetengah pengguna mungkin akan mengatakan sistem operasi OxygenOS memberi pengalaman yang paling mirip dengan Android asal, tanpa tambahan fungsi-fungsi lain dan membuatkan peranti OnePlus sangat menarik untuk mereka. Walau bagaimanapun, penulis berpendapat sejak pengenalan siri OnePlus 8, OxygenOS telah berpisah daripada struktur sistem operasi Android asal. Sebaliknya, ia lebih mirip kepada Samsung OneUI. Ini bukanlah bermakna penggunaannya tidak lancar, cuma kini tidak banyak ruang yang diberikan untuk pengubahsuaian (customisation) sendiri.

    Tetapan dalam OnePlus 8T

    Prestasi – Terbaik untuk gaming, bukan untuk kamera

    Dengan konfigurasi andalan, OnePlus 8T sememangnya memberikan prestasi yang bagus untuk kelasnya. Daripada ujian penanda aras GeekBench, ia menghasilkan markah 892 untuk ujian teras tunggal serta 3192 untuk ujian multi-teras. Di samping itu, ujian Sling Shot Extreme OpenGL ES 3.1 dalam 3DMark juga memberikan markah tinggi dengan 7155 mata, jadi pengguna memang tidak perlu risau tentang prestasi telefon ini.

    Prestasi pantas boleh dilihat jelas sewaktu bermain game, terutamanya apabila ia kekal lancar walaupun pada tetapan grafik tertinggi. Walaupun ia akan menjana haba sewaktu grafik tinggi dimainkan dalam waktu yang lama, ia tidaklah terlalu panas.

    Daripada segi bunyi pula, pembesar suara stereo OnePlus 8T menghasilkan kualiti bunyi yang sangat jelas dan bunyinya tidak pecah sewaktu dimainkan dengan kelantangan tinggi.

    Bateri 4,500mAh dalam OnePlus 8T mampu tahan lebih daripada sehari. Walaupun jika anda kerap bermain game besar atau menggunakan fungsi GPS, ia masih boleh bertahan sehingga waktu malam. Untuk pengecasan pula, teknologi 65W Warp Charge akan mengecas baterinya penuh sepantas 35 minit sahaja, jadi anda tidak perlu menghubungkan telefon ini dengan lama di palam elektrik.

    Tiada masalah untuk mengaktifkan Genshin Impact dengan grafik tertinggi

    Daripada segi fotografi, kamera utama 48MP dan kamera ultra-lebar 16MP berfungsi dengan baik untuk situasi harian, dengan penghasilan warna yang realistik. Butiran gambar masih jelas walaupun jika kamera dizumkan dan ini mendatangkan isu yang agak aneh: gambar yang dizumkan menggunakan kamera utama adalah lebih jelas daripada gambar yang diambil dengan kamera makro, jadi saya mempersoalkan kewujudan kamera makro ini. Selain daripada itu, penggambaran pada waktu malap pun boleh dilakukan namun banyak butiran gambar akan hilang.

    Untuk rakaman video pula, kehadiran penstabilan imej optikal (OIS) akan memudahkan anda untuk mengambil video yang stabil Anda boleh nilai sendiri kualiti gambarnya di bawah:

    Kesimpulan – Harga yang menarik untuk prestasi andalan

    Selepas menilai keseluruhan prestasi OnePlus 8T, saya mendapati ia menghadapi saingan yang amat sengit dalam pasaran telefon andalan. Terdapat beberapa telefon andalan lain yang mampu menyaingi OnePlus 8T, namun harga RM2,699 akan membuatkan OnePlus 8T nampak menarik buat mereka yang inginkan prestasi andalan tanpa perlu berbelanja besar. Sistem operasi OxygenOS dan skrin AMOLED 120Hz pasti akan dihargai oleh para pelanggan.

    Saingan utama OnePlus 8T pastinya adalah Samsung Galaxy S20 FE 5G yang berharga RM3,399. Ia mempunyai cipset yang sama namun Galaxy S20 FE menawarkan fungsi kamera yang lebih banyak serta kualiti gambar yang lebih cantik. Di samping itu, Galaxy S20 FE juga terdapat dalam varian cipset Exynos 990 untuk rangkaian 4G dengan harga RM2,699.

    Satu lagi pesaingnya adalah siri Xiaomi Mi10T yang turut dilengkapi cipset Snapdragon 865 namun dijual pada harga RM1,699. Mi10T juga mempunyai kamera 64MP manakala Mi10T Pro yang berharga RM1,999 pula mempunyai kamera 108MP. Fungsi kameranya juga lebih banyak, di samping sistem operasi MIUI yang mesra pengguna. Satu-satunya keburukan Mi10T adalah skrin IPS LCD yang tidak setanding skrin AMOLED dalam OnePlus 8T.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini akan membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Anda kini boleh tukar iPhone lama anda dalam talian dengan kredit sehingga RM3,900

    Akhirnya, Apple membenarkan pertukaran iPhone lama oleh pelanggan kepada yang baru. Pada mulanya, ia hanya terdapat di negara luar dan kini, program...

    Red Magic 9 Pro+ Bumblebee Transformers Edition dilancar berharga ~RM4,252

    Nubia telah melancarkan telefon pintar Red Magic 9 Pro+ Bumblebee Transformers Edition di China selepas mendedahkan imej promosi pada beberapa hari yang...

    Dyson Airstrait kini boleh didapati di Malaysia pada harga RM2,599

    Dyson memperkenalkan Dyson Airstrait, alat penggayaan rambut revolusioner yang menawarkan pelurus basah ke kering menggunakan udara, menghapuskan keperluan untuk plat panas dan...

    Siri HUAWEI P70 mungkin dilancar pada 2 April 2024

    HUAWEI bersedia untuk memperkenalkan siri HUAWEI P70 pada 2 April 2024, seperti yang ditunjukkan oleh tangkapan skrin yang tersebar di Weibo. Kebocoran...

    Siri vivo V30 5G dedahkan rahsia kesempurnaan potret dengan kelebihan Zeiss

    Dengan bangga, vivo Malaysia mempersembahkan siri vivo V30 5G yang begitu dinantikan di negara kita. Penuhi keperluan teknologi anda dengan peranti yang...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X