fbpx
More

    Ulasan OnePlus Nord CE 5G – Telefon 5G kelas pertengahan yang ringkas

    Sejak 2020, OnePlus dilihat telah meluaskan lagi rangkaian produknya ke dalam sektor telefon pintar kelas pertengahan dengan pelancaran siri OnePlus Nord. Beberapa telefon dengan jenama Nord telah pun dilancar dan yang terbaru adalah OnePlus Nord CE 5G, dijual pada harga RM1,399 di Malaysia.

    Seperti telefon OnePlus Nord sebelum ini, Nord CE 5G menampilkan spesifikasi yang agak menarik dengan harga berpatutan, seperti Snapdragon 750G iaitu antara cipset 5G kelas pertengahan terbaik dalam pasaran sekarang. Jadi adakah Nord CE 5G ini sesuai untuk keperluan anda? Ayuh baca ulasan ini untuk ketahui lebih lanjut.

    Rekaan – Tidak terlalu menonjol sambil mengekalkan rupa OnePlus

    Telefon-telefon OnePlus dikenali dengan rekaan yang sangat ringkas dan warnanya pula tidak menonjol, dan OnePlus Nord CE 5G mengekalkan falsafah ini. Warna yang diterima oleh penulis adalah biru Blue Void dan badan telefon ini mempunyai permukaan matte yang tidak meninggalkan cap jari. Logo OnePlus pula boleh dilihat jelas pada bahagian tengah telefon ini.

    Badannya agak nipis, dengan ketebalan 7.9mm sahaja dan rekaan belakang yang melengkung. Dengan berat 170g sahaja, OnePlus Nord CE 5G adalah ringan untuk dipegang dan selesa untuk diletakkan dalam poket atau beg.

    Di hadapan, Nord CE 5G dilengkapi skrin AMOLED FullHD+ dengan kadar segar semula 90Hz, jadi anda boleh jangkakan imej yang sangat lancar sewaktu menonton filem atau menatal (scrolling). Walaupun kadarnya tidak setinggi 120Hz, ia masih boleh diterima untuk telefon dalam harga ini. Daripada segi keterangan pula, skrin ini masih boleh diguna dengan jelas walapun di bawah matahari terik.

    Telefon ini mempunyai port USB Type-C dan bicu audio 3.5mm di bahagian bawah dan butang kawalan audio serta butang suis di bahagian sisi, namun ia tidak dilengkapi satu ciri yang sinonim dengan telefon OnePlus sebelumnya iaitu butang slider yang membenarkan telefon untuk ditetapkan pada mod bisu (mute), getar (vibrate) atau bunyi penuh. Selain itu, ia juga mempunyai satu sahaja pembesar suara jadi ia mungkin akan mengecewakan mereka yang mengharapkan dwi-pembesar suara stereo.

    Spesifikasi – Komponen cekap kos yang masih menyokong 5G

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OnePlus Nord CE 5G:

    • Skrin AMOLED 6.43 inci dengan kadar segar semula 90Hz, resolusi Full HD+ (2400×1080)
    • Cipset Snapdragon 750G 5G
    • RAM 8GB atau 12GB
    • Storan dalaman 128GB atau 256GB
    • Kamera utama 64MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera hitam putih 2MP
    • Rakaman 4K 30fps, gerak perlahan 720p 240fps
    • Kamera swafoto 16MP
    • Bateri 4,500mAh
    • Pengecasan Warp Charge 30T
    • Perisian OxygenOS berdasarkan Android 11
    • Bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari dalam skrin
    • Ketebalan 7.9mm, berat 170g
    • Pilihan warna biru Blue Void, Charcoal Ink

    Berdasarkan spesifikasi ini sahaja, OnePlus Nord CE 5G adalah pilihan yang sangat menarik untuk telefon berharga RM1,399, terutamanya dengan cipset Snapdragon 750G, RAM 8GB dan skrin AMOLED 90Hz.

    Perisian OxygenOS yang dilengkapi dalam telefon ini juga nampak amat ringkas dan mesra pengguna. Ia masih menawarkan tetapan seperti profil warna skrin, pemilihan kadar segar semula 60Hz atau 90Hz dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, telefon ini masih mempunyai bloatware yang agak banyak jadi anda mungkin perlu luangkan masa untuk membuangnya jika anda tidak menyukainya. Selain itu, rekaan OxygenOS kini nampak semakin serupa dengan perisian OPPO ColorOS kerana OnePlus sudah bekerjasama dengan OPPO untuk membangunkan produknya.

    Satu fungsi menarik dalam telefon ini adalah OnePlus Switch yang membenarkan pengguna untuk memindahkan data daripada telefon lama ke dalam Nord Ce 5G dengan mudah.

    Fungsi kameranya pula adalah biasa sahaja, di mana ia terdiri daripada pilihan lens, mod potret, mod malam, rakaman gerak perlahan (slow motion), video berdefinisi tinggi dan banyak lagi. Buat mereka yang suka menghiaskan gambar mereka dengan pelekat (stickers), penapis (filters) atau efek khas, Nord CE 5G tidak menawarkan fungsi-fungsi tersebut.

    Daripada segi bateri, fungsi Battery Optimisation membenarkan pengguna untuk memilih tahap prestasi yang diinginkan serta menetapkan kadar pengecasan yang lebih rendah bagi memanjangkan hayat keseluruhan bateri. Untuk pengimbas cap jari pula, teknologi pengimbas optikal di dalam skrin Nord CE 5G adalah pantas namun tidaklah sepantas telefon lain yang lebih canggih.

    Prestasi – Lebih sesuai untuk hiburan video berbanding game

    Berdasarkan markah penanda aras untuk OnePlus Nord CE 5G, tidak dinafikan bahawa ia menghasilkan markah yang dijangka untuk sebuah telefon pintar kelas pertengahan. Prestasi ini adalah lebih daripada cukup untuk kegunaan harian, namun untuk aplikasi beban tinggi seperti game, telefon ini tidak boleh menampungnya.

    Dalam tugasan harian seperti melayari laman web, sosial media atau menyunting dokumen, Nord CE 5G boleh digunakan dengan sangat lancar lebih-lebih lagi dengan kadar skrin 90Hz. Malah dengan RAM 8GB, ia boleh membuka banyak aplikasi dengan serentak tanpa memperlahankan telefon.

    Skrinnya juga menghasilkan imej yang sangat jelas, sempurna untuk tontonan video. Daripada segi audio pula, bunyi yang dihasilkan oleh satu pembesar suara tidaklah terlalu kuat namun masih jelas. Suara manusia boleh didengari dengan lebih jelas berbanding bass atau treble.

    Untuk sesetengah game, Nord CE 5G boleh memainkannya dengan lancar. Sebagai contoh, COD Mobile boleh dimainkan dengan kadar bingkai yang tinggi sambil menetapkan kualiti grafik yang tinggi. Walaupun kadar bacaan sentuhan (touch sampling rate) skrinnya tidak begitu tinggi, penulis masih boleh memainkan game ini dengan baik.

    Namun perkara yang agak mengecewakan penulis adalah daripada segi audio. Memandangkan Nord CE 5G hanya mempunyai satu pembesar suara, sukar untuk saya dengar dalam game ini sama ada musuh datang daripada kanan atau kiri. Selain itu, memandangkan pembesar suaranya tidak dihalakan kepada penulis dan dihalakan ke bahagian sisi, tangan penulis telah menutup pembesar suara tersebut dan menyukarkan lagi kebolehan penulis untuk mendengar audio game ini. Anda hanya boleh selesaikan masalah ini jika anda gunakan fon telinga.

    COD Mobile boleh dimainkan dengan grafik tertinggi

    Daripada segi hayat bateri, Nord CE 5G mempunyai kapasiti 4,500mAh dan mengikut pengalaman penulis, ia boleh bertahan sehingga dua hari jika ia digunakan secara ringan. Pengecasan 30W yang disokong oleh telefon ini mampu mengecas sebanyak 70% dalam masa 30 minit sahaja, jadi ia boleh digunakan selama sehari.

    Daripada segi hubungan wayarles, rangkaian 4G dan WiFi 5G boleh dihubungkan secara stabil, malah kualiti suara dalam panggilan juga adalah jelas. Walaupun kebolehannya untuk bersambung kepada rangkaian 5G masih tidak boleh dimanfaatkan di Malaysia, saya risau jika ia tidak boleh menyambung kepada rangkaian 5G sebaik sahaja ia dibina di sini. Ini adalah kerana beberapa pengguna di India melaporkan bahawa Nord CE 5G hanya menyokong jurang frekuensi 5G yang tidak begitu popular. Namun buat masa ini, kita hanya boleh menunggu sehingga rangkaian 5G dibina di Malaysia nanti.

    Untuk fotografi pula, Nord CE 5G boleh berfungsi dengan baik di bawah cahaya terang, dan penghasilan warna serta kontras adalah baik. Sewaktu ingin mengambil gambar dengan dekat (close-up), kadang-kala penulis mengalami masalah autofokus salah, namun ini adalah masalah yang biasa dalam kamera atas 48MP. Walaupun Nord CE 5G menyokong mod malam, gambar yang diambil pada waktu gelap masih kabur.

    Beralih ke rakaman video pula, penulis merasakan kualiti video 4K 30fps yang dirakam adalah sangat baik. Penstabilan imej elektronik juga berfungsi dengan baik dalam mengurangkan getaran kecil. Jika anda menginginkan kadar bingkai yang lebih lancar, anda boleh merakam dalam 60fps namun resolusi akan diturunkan kepada 1080p sahaja.

    Konklusi – Sesuai untuk mereka yang inginkan telefon 5G murah

    Secara keseluruhan, penulis berpendapat OnePlus Nord CE 5G adalah produk yang bagus untuk pelbagai kegunaan. Prestasinya mantap untuk tugasan harian, manakala rekaannya juga nampak sangat ringkas dan cantik. Dengan harga RM1,399 sahaja, anda sudah boleh miliki telefon yang sedia untuk dihubungkan dengan rangkaian 5G sebaik sahaja ia dibina dalam Malaysia nanti. Walau bagaimanapun, jika anda serius dengan gaming, Nord CE 5G bukan telefon untuk anda.

    Ia juga bukanlah telefon yang sempurna dalam jurang harga ini. Sebagai contoh, Samsung Galaxy A52 yang berharga RM1,499 boleh mendapatkan anda dwi-pembesar suara dan fungsi tambahan seperti Samsung Pay dan Galaxy SmartTag. Untuk penggemar fotografi pula, OPPO Reno5 yang berharga RM1,699 menawarkan prestasi kamera yang lebih canggih.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Malaysia negara kedua paling ketagih gajet di Asia pada 2024, luang masa 8 jam...

    Agensi kajian pemasaran antarabangsa Electronics Hub telah menerbitkan senarai untuk negara yang paling banyak menggunakan gajet dalam masa sehari secara purata (average...

    Fujifilm instax mini 99 dilancar di Malaysia: Kamera analog yang boleh cetak gambar berharga...

    Pada hari ini, Fujifilm Malaysia melancarkan model kamera analog segera (instant analog camera) yang terbaru dalam siri instax*1 iaitu instax mini 99....

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X