fbpx
More

    Ulasan OnePlus Nord – Cukup lengkap untuk peranti kelas pertengahan

    Baru-baru ini syarikat dari China, OnePlus telah melancarkan telefon segmen pertengahan pertama mereka yang diberi nama OnePlus Nord. Ini adalah satu langkah yang baru dari OnePlus kerana sebelum ini mereka hanya melancarkan telefon kelas flagship sahaja bermula dari awal 2014 sehingga tahun ini.

    OnePlus Nord ini dipasarkan sebagai sebuah peranti yang mempunyai ciri-ciri yang mencukupi dari segala aspek seperti kamera, bateri, skrin dan perisian. Walaupun ianya tidak menggunakan ciri-ciri hebat seperti yang ada pada peranti kelas flagship OnePlus yang lain, ia dikatakan masih mengekalkan pengalaman penggunaan peranti OnePlus yang digemari ramai.

    Dalam ulasan ini, kami akan kongsikan pengalaman kami menggunakan telefon kelas pertengahan dari OnePlus ini selama beberapa minggu. Kami juga akan memberitahu anda mengenai kelebihan dan kelemahan yang ada pada peranti ini serta komen yang menyeluruh berkenaan ciri-cirinya dengan tanda harga yang ditawarkan.

    Reka Bentuk – Reka bentuk normal tetapi kekal elegan

    Telefon OnePlus Nord mempunyai reka bentuk yang biasa sahaja sama seperti kebanyakan telefon lain yang ada di pasaran pada waktu ini. Reka bentuk kamera belakang OnePlus Nord ini berbentuk panjang ke bawah dan ianya terletak pada panel belakang kaca Corning Gorilla Glass 5 yang berkilauan apabila cahaya dipancarkan ke atasnya.

    Namun, penggunaan panel kaca pada bahagian belakang telefon ini mudah untuk kotor dengan bekas jap cari yang melekat sewaktu memegang telefon ini. Kami mengesyorkan pengguna supaya terus memakai pelindung silikon yang diberi percuma di dalam kotaknya. OnePlus Nord ini hadir dengan 2 pilihan warna iaitu Blue Marble, Grey Onyx. Telefon yang ada di tangan kami ini adalah warna Grey Onyx. Rangka telefon ini diperbuat daripada plastik sahaja, namun masih terasa seperti diperbuat daripada bahan yang berkualiti tinggi.

    Barang dalam kotak OnePlus Nord
    Perlindungan silicon yang diberi
    Reka bentuk kamera belakang dengan panel belakang kaca

    Pada bahagian depan pula, sama seperti panel belakangnya, ia juga menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 5 yang mempunyai ketahanan yang kukuh dan tahan lasak. OnePlus Nord hadir dengan skrin saiz 6.5 inci AMOLED beresolusi FHD+ dengan nisbah skrin 20:9 yang sedikit memanjang.

    Skrin telefon ini mempunyai kadar segar semula setinggi 90Hz yang menjadikan telefon ini terasa lebih lancar apabila anda menggunakannya. Perlu diingat, jika ciri ini digunakan, bateri telefon anda akan berkurangan dengan lebih cepat berbanding mod skrin 60Hz yang biasa.

    OnePlus Nord ini juga hadir dengan pengimbas cap jari dalam skrin yang dapat membuka telefon ini dengan agak pantas. Sedikit mengecewakan, telefon ini tidak mempunyai bicu audio 3.5mm yang masih lagi relevan terutamanya pada telefon kelas pertengahan. Tindakan ini mungkin dilakukan oleh pihak OnePlus untuk merendahkan kos telefon serta menggalakkan pengguna untuk membeli earbuds wayarles mereka, OnePlus Buds.

    Skrin 6.5 inci AMOLED yang menawan
    Butang kuasa dengan butang untuk mod bunyi berbeza
    Butang kelantangan (volume)
    Port USB-C, pembesar suara serta slot kad SIM
    Slot kad SIM berganda

    Telefon ini mempunyai berat 184g yang tidak terlalu berat dan sedap dipegang pada jangka masa yang lama. Ia juga hadir dengan slot kad SIM berganda yang membolehkan anda menggunakan dua kad SIM pada masa yang sama. Namun, jika anda ingin menambahkan storan menggunakan kad microSD, anda tidak boleh melakukannya.

    Ciri teknologi dan spesifikasi – Menarik untuk peranti kelas pertengahan

    Dengan harga serendah RM1,799 untuk RAM 8GB serta storan 128GB, anda boleh lihat spesifikasi yang ditawarkan adalah bersesuaian dengan harganya. Terdapat beberapa ciri-ciri istimewa yang hadir pada telefon ini yang dapat menjadi faktor penarik untuk anda membeli telefon ini. Berikut adalah ciri teknologi dan spesifikasi yang ada pada OnePlus Nord ini.

    • Berukuran 158.3 x 73.3 x 8.2 mm
    • Berat 184g
    • Cipset Snapdragon 765G (7nm)
    • RAM 8GB + ROM 128GB, RAM 12GB + ROM 256GB
    • Skrin AMOLED 6.44 inci beresolusi 1080 x 2400 piksel (ratio 20:9) dengan kadar segar semula 90Hz
    • Perlindungan skrin Corning Gorilla Glass 5 , kerangka plastik
    • Kamera utama 48MP f1.8 + 8MP f2.3 (ultra lebar) + 5MP f2.4 (sensor kedalaman) + 2MP (makro)
    • Kamera swafoto 32MP f2.5 (lebar) + 8MP f/2.5 (ultra lebar)
    • Bateri 4115mAh bersama sokongan cas pantas 30W
    • Sokongan Bluetooth 5.1, NFC
    • Sensor cap jari bahagian dalam skrin
    • Antara muka OxygenOS 10.5.4 atas perisian Android 10

    Antara muka yang digunakan pada OnePlus ini (rujuk gambar diatas) adalah hampir sama dengan antara muka stock android yang digunakan pada peranti Google dengan sedikit penambahbaikan dan sentuhan dari OnePlus yang menjadikan ia lebih mesra pengguna dan selesa untuk digunakan.

    Peranti ini tidak mempunyai sebarang perisian remeh (bloatware) dan reka bentuknya yang dilihat elegan sememangnya menjadi kegemaran pengguna OnePlus sejak dari peranti pertamanya lagi.

    Prestasi – Memuaskan dan lancar untuk penggunaan harian

    OnePlus Nord ini menggunakan cipset Snapdragon 765G iaitu sebuah cipset kelas pertengahan yang dapat menyokong 5G. Prestasi cipset ini adalah memuaskan dan anda dapat melakukan aktiviti harian anda dengan telefon ini dengan lancar tanpa sebarang sela masa (lag).

    Telefon ini hadir dengan dua pilihan varian iaitu RAM 8GB dengan storan 128GB dan RAM 12GB dengan storan 256GB. Peranti yang kami uji ini adalah telefon dengan pilihan RAM yang paling besar. Berikut adalah hasil ujian yang telah kami lakukan melalui aplikasi penanda aras GeekBench, 3DMark dan Antutu BenchMark.

    Anda boleh lihat markah daripada penanda aras ini adalah agak tinggi untuk telefon kelas pertengahan. Jadi, anda tidak perlu risau akan prestasi telefon ini terutamanya untuk penggunaan harian anda.

    Untuk gaming pula, anda boleh menetapkan tetapan kualiti grafik sederhana dan frame rate tinggi (high) untuk game PUBG Mobile, jika anda rendahkan kualiti grafik, anda mampu untuk dapatkan frame rate yang lebih tinggi (ultra).

    Tetapan grafik yang tertinggi untuk PUBG Mobile
    Tetapan frame rate yang tertinggi untuk PUBG Mobile

    OnePlus Nord hadir dengan bateri berkapasiti 4115 mAh yang mampu bertahan lebih dari satu hari penggunaan sederhana (bergantung kepada penggunaan anda). Apa yang menarik ialah telefon ini menyokong cas pantas 30W yang diberi nama Warp Charge 30T yang dapat mengecas telefon dari 0% sehingga 100% dalam masa 1 jam 10 minit. Pengecas pantas ini diberi sekali di dalam kotak, jadi anda tidak perlu membelinya secara berasingan.

    Untuk kamera pula, OnePlus Nord dilengkapi dengan empat kamera pada bahagian belakang bersama kamera utama 48MP dengan sensor Sony IMX586, sensor yang sama digunakan pada peranti flagshipnya, OnePlus 8. Ia juga mempunyai lensa ultra lebar 8MP, sensor kedalaman 5MP dan lensa makro 2MP. Pada bahagian depan pula, ia hadir dengan dua kamera swafoto iaitu kamera 32MP dan lensa ultra lebar 8MP.

    Gambar bukit waktu pagi
    Gambar kawasan tembat ibadah orang Islam
    Gambar kucing yang comel
    Gambar perjalanan dari dalam kereta
    Gambar makanan Pizza yang menyelerakan
    Gambar melihat ke luar rumah

    Gambar-gambar dilihat mempunyai warna yang hampir sama dengan warna semula jadi bersama butiran yang cukup jelas dan cantik. Namun, warna yang gelap pada gambar yang dihasilkan oleh kamera utama peranti ini nampak lebih pekat daripada yang biasa. Ini menjadikan butiran yang ada pada kawasan gelap kurang sedikit jika dibandingkan dengan kawasan yang lebih terang.

    Untuk gambar dari kamera ultra lebar pula, secara menyeluruh, warnanya dilihat sedikit lebih pekat (saturated) dari gambar kamera utama. Butirannya pula dilihat sedikit kurang kerana kameranya menggunakan bilangan MP yang rendah sahaja. Walau bagaimanapun, kualiti gambar-gambar yang di ambil dari kawasan yang terang boleh dikatakan antara yang terbaik dari telefon segmen pertengahan yang pernah kami ulaskan sebelum ini.

    Gambar kamera utama (kiri), gambar kamera ultra lebar (kanan)

    Gambar 2x Zum
    Gambar 2x Zum
    Gambar mod potrait

    Gambar swafoto normal (kiri), gambar swafoto ultra lebar (kanan)

    Gambar swafoto waktu malam

    OnePlus Nord ini juga ada ciri mod malam untuk gambar yang mempunyai pengawalan cahaya yang lebih baik dan gambarnya dilihat lebih terang dari yang biasa.

    Untuk rakaman video pula, OnePlus Nord mampu merakam video sehingga kualiti 4K 30fps dari kamera belakang dan juga kamera swafoto utamanya. Ia juga mempunyai ciri rakaman ‘4K Cine’ yang mempunyai nisbah gaya cinema. Kualiti video yang dihasilkan adalah sangat memuaskan untuk peranti kelas pertengahan dan juga mempunyai penstabilan video yang baik.

    Gambar waktu malam tanpa mod malam
    Gambar waktu malam dengan mod malam
    Video 4K ‘Cine’ dengan penstabilan video yang baik

    KesimpulanPengalaman flagship pada harga pertengahan

    OnePlus Nord sememangnya sebuah peranti kelas pertengahan yang berkualiti dan berbaloi untuk penggunaan harian kebanyakan pengguna. Peranti ini masih mengekalkan pengalaman penggunaan telefon OnePlus yang ada pada barisan telefon flagshipnya. Namun, ia hadir dengan sedikit kekurangan seperti ketiadaan bicu audio 3.5mm dan kualiti kamera ultra lebar yang hanya memuaskan sahaja.

    Dengan harga RM1,799, OnePlus Nord ini boleh dikatakan cukup lengkap dari segala aspek untuk peranti telefon kelas pertengahan. Kekuatannya terserlah pada skrin dengan kadar segar semula 90Hz serta perisian yang kemas dan mudah untuk digunakan. Jika anda seorang gamers, anda juga akan berpuas hati dengan prestasinya secara menyeluruh.

    Bagaimana dengan telefon kelas pertengahan OnePlus ini? Beritahu kami ulasan anda atau pendapat anda di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Ulasan HONOR X7b 5G – ‘Entry level’ tapi macam ‘mid-range’?

    HONOR X7b versi 5G telahpun dilancarkan pada 22 April 2024 di pasaran Malaysia dengan harga RM899 memberikan spesifikasi tersendiri dan membawa storan...

    Kerjasama PETRONAS, CelcomDigi bakal transformasi tekno-digital 5G untuk sektor tenaga

    PETRONAS dan CelcomDigi bekerjasama melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu usaha transformasi digital dan kemampanan untuk industri tenaga dengan memanfaatkan kuasa...

    TSMC bakal hasilkan cip dengan proses 1.6nm menjelang 2026

    TSMC mengumumkan proses pembuatan 1.6nm untuk cip dan ia juga termasuk rangkaian penghantaran kuasa yang meningkatkan kecekapan kuasa dan ketumpatan transistor dengan...

    Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro tawar hadiah sehingga RM10,000, acara bakal diadakan pada...

    Sempena pelancaran Infinix GT 20 Pro pada 2 Mei ini, Infinix Malaysia akan menganjurkan Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro iaitu sebuah...

    Samsung Galaxy Unpacked kedua dijadualkan pada 10 Julai 2024

    Acara Samsung Galaxy Unpacked yang akan datang dijadualkan pada 10 Julai 2024 di Paris, bertepatan dengan penganjuran City of Love Sukan Olimpik...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X