fbpx
More

    Ulasan OPPO A53 – Terbaik kalau anda utamakan skrin 90Hz

    Nampaknya hampir setiap jenama telefon pintar ada melancarkan telefon kelas permulaan pada tiap-tiap bulan. Untuk OPPO pula, jenama itu telah melancarkan OPPO A53 pada awal bulan September

    Mungkin anda akan menggelengkan kepala dan mengeluh “haih, satu lagi telefon” (dan kami tidak salahkan anda) tetapi OPPO A53 sebenarnya mempunyai beberapa ciri-ciri menarik yang memisahkannya dengan telefon-telefon lain yang setaraf. Ia dijual di Malaysia pada harga bermula RM699, jadi adakah anda patut membelanjakan duit anda terhadap telefon ini? Jom baca ulasan kami di bawah:

    Rekaan – Rupa yang mahal

    Sebaik sahaja OPPO A53 dibawa keluar dari kotak, ciri yang paling menonjol tentunya adalah permukaan belakangnya yang berkilauan. Ini membuatkannya nampak lebih mahal daripada harganya, malah mungkin boleh dianggap mirip telefon kelas pertengahan. Permukaan belakangnya memantulkan cahaya dengan corak yang cantik.

    Dengan harga serendah ini, tidak mengejutkanlah jika rangka dan permukaan belakangnya dibuat daripada plastik. Di samping itu, dengan permukaan yang berkilauan, cap jari memang sangat mudah ditinggalkan padanya jadi lebih elok jika anda memasang terus sarung (casing) lutsinar yang disertakan dalam kotak.

    Saya juga amat menggemari bonggol kameranya yang nipis, membuatkannya nampak lebih kemas di belakang. Tidak seperti banyak telefon di luar sana yang mempunyai ‘benjol’ kamera yang agak tebal. Berhampiran dengan bonggol kamera pada telefon ini adalah pengimbas cap jari yang berada di bahagian tengah.

    Permukaan belakang OPPO A53 dengan warna biru Fancy Blue
    Permukaan ini sangat cantik dan berkilauan, jadi sebarang kesan cap jari memang akan nampak jelas
    Bonggol kamera OPPO A53 yang nipis

    Di bahagian depan pula, OPPO A53 mempunyai skrin LCD berukuran 6.5 inci. Kamera swafotonya pula berada dalam lubang punch hole yang berada di bahagian atas kiri skrin.

    Pada bahagian sisi kanan, terdapat butang kuasa manakala di bahagian sisi kiri pula, terdapat ruang kad SIM dan butang kelantangan suara. Di bawah, terdapat bicu audio 3.5mm, port USB-C dan pembesar suara.

    Rupa skrin hadapan OPPO A53
    Kamera swafoto punch-hole di bahagian atas kiri, manakala di atas terdapat pembesar suara stereo
    Bahagian dagu OPPO A53 yang agak tebal
    Butang kawalan audio dan kad SIM+microSD berada di bahagian kiri, manakala butang kuasa berada di bahagian kanan
    Bicu audio 3.5mm, port USB-C dan pembesar suara stereo

    Bercakap tentang pembesar suara, mari kita beralih ke seksyen Spesifikasi kerana OPPO A53 mempunyai sistem audio yang agak menarik untuk telefon kelas permulaan.

    Spesifikasi – Telefon beratus Ringgit pun dah ada skrin 90Hz

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO A53:

    • Cipset Qualcomm Snapdragon 460
    • Skrin 6.5 inci dengan resolusi HD+ (1600×720) dan kadar segar semula 90Hz
    • RAM 4GB dan storan 64GB, boleh dibesarkan dengan kad memori microSDXC
    • Kamera utama 13MP f/2.2 + kamera makro 2MP f/2.4 + sensor kedalaman 2MP f/2.4
    • Kamera swafoto 16MP f/2.0
    • Sokongan zum digital sehingga 6x, video 1080p 30fps
    • Bateri 5,000mAh, pengecasan 18W
    • Pembesar suara stereo
    • Sistem operasi ColorOS 7.2 berdasarkan Android 10

    Tentunya spesifikasi yang paling menonjol dalam OPPO A53 ini adalah pada skrinnya yang mempunyai kadar segar semula 90Hz. Ciri ini biasanya hanya dikhaskan untuk telefon kelas pertengahan dan ke atas, walau bagaimanapun OPPO mampu menyertakan ciri ini dalam sebuah peranti kelas permulaan. Sungguhpun resolusinya agak rendah pada 1600×720, kadar segar semula yang pantas membuatkan skrin ini seronok untuk digunakan. Sebarang leretan pada skrin memang nampak sangat lancar.

    Selain itu, satu lagi ciri menarik dalam OPPO A53 adalah pada dwi-pembesar suara stereo. Ini bermaksud ia mempunyai dua pembesar suara iaitu di bawah dan di atas untuk mensimulasikan bunyi yang datang daripada dua arah. Jarang pembesar suara stereo diletakkan dalam telefon kategori ini, jadi ini tentu akan menggembirakan pemilik OPPO A53. Daripada segi kualiti audio pula, ia agak kuat namun tidaklah mempunyai butiran yang dalam. Aspek bunyi bass atau treble memang kurang jelaslah.

    Bunyi akan dihasilkan daripada bahagian atas skrin (kiri) dan bawah telefon (kanan) untuk menghasilkan efek stereo

    Selain dua aspek ini, spesifikasi OPPO A53 nampak biasa dengan telefon-telefon lain yang setaraf. Telefon ini dilengkapi cipset kelas permulaan yang terbaru daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 460. Apa yang menarik tentang cipset ini adalah ia mempunyai unit pemproses grafik (GPU) yang sama dengan siri Snapdragon 600. 

    Baterinya juga agak besar, dengan kapasiti 5,000mAh dan pengecasan 18W yang boleh dikatakan agak standard untuk telefon kelas permulaan terkini. Sistem operasi ColorOS 7.2 pula menampilkan rekaan yang ringkas dan mesra pengguna, walaupun masih terdapat beberapa perisian remeh (bloatware) yang tidak boleh dibuang.

    OPPO A53 datang dengan antara muka (UI) yang ringkas dan beberapa aplikasi siap terpasang termasuklah media sosial dan perisian-perisian remeh

    Satu perkara yang mungkin akan mematikan hasrat anda untuk membeli OPPO A53 adalah ketiadaan kamera ultra-lebar. Sekarang ini banyak telefon lain yang setaraf dengan OPPO A53 mempunyai kamera ultra-lebar, jadi ketiadaan kamera ini agak menghairankan saya. Memandangkan saya kerap juga menggunakan fungsi tersebut, ketiadaan lensa ultra-lebar telah mengehadkan kebolehan fotografi telefon ini. Namun jika anda jarang menggunakan lensa ultra-lebar, ini tidak akan menjadi satu masalah untuk anda.

    Prestasi – Prestasi yang baik di samping skrin pantas

    Sebelum saya teruskan dengan pengalaman saya menggunakan telefon ini, saya akan bentangkan markah ujian tanda aras untuk telefon ini terlebih dahulu:

    Keputusan ujian tanda aras AnTuTu (kiri) dan 3DMark (kanan)

    Markah yang diraih OPPO A53 bukanlah tinggi, namun ia boleh dijangkakan untuk peranti pada kelas ini. Namun jika anda sekadar ingin melakukan tugasan asas, mungkin markah yang rendah ini tidak begitu menghiraukan anda. Jadi bagaimana pengalaman menggunakan OPPO A53 ini?

    Sebaik sahaja anda membawa keluar telefon ini daripada kotak, saya menasihatkan anda untuk mengaktifkan terus tetapan skrin 90Hz kerana saya amat berpuas hati dengan kelancaran skrin OPPO A53. Senang kata, rugi kalau anda tidak mengaktifkannya kerana segala gerak leretan (swiping) memang puas digunakan. Walaupun dengan resolusi skrin sekadar 720p dan warna yang biasa sahaja daripada skrin LCD, kelancaran dalam menggunakan skrin 90Hz berjaya membuatkan saya untuk melupakan kekurangan-kekurangan tersebut.

    Lumrah skrin dengan resolusi 720p, anda memang akan nampak kotak-kotak piksel yang kecil pada setiap ikon. Sebarang ikon atau gambar yang melengkung, jika diteliti dengan dekat, akan nampak menggerutu dan bersegi (pixelated). Selain itu, jika anda menonton video dalam YouTube atau Netflix, anda hanya boleh memilih resolusi sehingga 720p sahaja. Memandangkan saya sudah pun terbiasa dengan skrin 1080p, kesan-kesan piksel dalam skrin 720p memang mengganggu saya.

    Ikon akan nampak berpiksel (pixelated) dengan resolusi 720p

    Akan tetapi, mungkin anda akan risau dengan prestasi bateri jika mod 90Hz sentiasa dihidupkan. Sukacita saya ingin beritahu bahawa bateri 5,000mAh boleh tahan sehingga lebih sehari, walaupun dengan penggunaan berat dan mod 90Hz sentiasa dihidupkan. Dalam penggunaan saya, jika telefon dicas penuh pada pagi hari, pada waktu sebelum tidur telefon ini masih mempunyai baki 40%. Jadi saya amat memuji prestasi bateri OPPO A53.

    Daripada segi pengecasan, ia agak perlahan. Pengecasan daripada 2% ke 95% mengambil masa dua jam 13 minit. Namun memandangkan ia adalah telefon kelas permulaan, ini adalah sesuatu yang boleh dijangkakan.

    Penggunaan biasa selama 15 jam (jumlah masa skrin terpasang selama 6 jam) mengambil 52% kapasiti bateri, walaupun dengan skrin 90Hz
    Pengecasan daripada 2% (8:39pm) sehingga 95% (10:52pm) mengambil masa 2 jam 13 minit

    Mungkin kini anda bertanya, bagaimana bateri boleh tahan dengan sangat lama walaupun pada skrin 90Hz? Anda boleh lihat jawapannya sebaik sahaja anda cuba memainkan game dengan telefon ini. Cipset Snapdragon 460 mampu memainkan game arus perdana seperti PUBG Mobile dan COD Mobile namun tetapan grafik tertinggi hanyalah sekadar Medium sahaja. Saya boleh simpulkan di sini bahawa cipset telefon ini tidak terlalu membebankan bateri, menjadikannya boleh bertahan dengan lama.

    Sebenarnya jika bermain dengan tetapan Medium sekali pun, boleh terasa kadar bingkai (frame rate) yang jatuh sehingga bawah 30fps, menjadikannya tidak seronok untuk dimainkan. Malah kekangan ini juga mampu membantutkan corak permainan anda, membuat musuh lebih senang untuk menumpaskan anda. Jadi jika anda ingin pengalaman game yang lebih lancar, tetapkan sahaja pada tetapan grafik rendah.

    PUBG Mobile akan mengehadkan tetapan grafik kepada Balanced sahaja, dengan frame rate Medium
    COD Mobile membenarkan tetapan grafik tinggi, namun prestasi gaming anda akan terhindar

    Beralih kepada kamera, gambar yang dihasilkan oleh OPPO A53 nampak baik sahaja, namun tidak membuatkannya istimewa. Sepadan dengan taraf kelas permulaan, telefon ini menawarkan prestasi fotografi yang baik di bawah cahaya yang terang dan mencukupi. Sensor kedalamannya berfungsi dengan baik untuk menghasilkan efek kabur bokeh di latar belakang dalam mod Portrait. Kamera makro pula memberikan butiran yang sangat halus untuk penggambaran pada jarak yang sangat dekat. Kamera OPPO A53 mampu zum digital sejauh 6x namun pada pendapat saya, mutu gambar akan jatuh mendadak sebaik sahaja anda zum lebih daripada 2x. 

    Sebaik sahaja ia berada dalam situasi gelap, anda boleh lihat sedikit cacat cela pada gambarnya kerana butirannya agak kabur. Di samping itu, ketiadaan mod malap atau Night Mode juga akan menyukarkan anda untuk mengambil gambar yang cantik pada waktu malam.

    Gambar yang diambil pada waktu pagi
    Di bawah cahaya terik, A53 boleh hasilkan gambar yang sangat cantik
    Warna yang baik dihasilkan pada buah-buahan
    Tiada masalah untuk dijadikan kamera untuk blog makanan anda
    Nampak sedap juga ya?
    Perbandingan zum, dari kiri: 1x, 2x, 5x
    Gambar swafoto dalam mod Portrait untuk efek kabur
    Pelamin ini nampak menawan walaupun situasi tidak begitu terang
    Walaupun dalam situasi malap, A53 masih boleh hasilkan gambar yang cantik
    Contoh gambar makro, urat daun jelas kelihatan
    Butiran pada waktu malam nampak kabur

    Daripada segi video, rakaman 1080p 30fps pada kamera belakang nampak baik. Seperti prestasi fotografi, rakamannya nampak elok di bawah cahaya terang dan tidak begitu elok pada waktu malam.

    Perlu diingati juga bahawa OPPO A53 tidak mempunyai sebarang penstabilan, jadi pastikan anda kurangkan sebarang gerakan untuk video yang selesa ditonton.

    Kesimpulan – Jika 90Hz adalah satu-satunya keutamaan anda, ini boleh jadi telefon kegemaran

    Mengakhiri ulasan ini, saya berpendapat bahawa OPPO A53 hanya mempunyai satu ciri yang memisahkannya daripada saingan lain iaitu skrin 90Hz dan telefon ini berjaya mengimplementasi penggunaan skrin ini dengan cemerlang. Malah dengan harga RM699, ia adalah telefon termurah di Malaysia yang dilengkapi skrin dengan kadar segar semula setinggi ini. Jika anda sekadar ingin menggunakan telefon ini untuk tugasan harian, OPPO A53 tidak akan mengecewakan anda.

    Kalau anda ingin mencari alternatif kepada OPPO A53, telefon yang menyerupai prestasinya adalah realme C17 (RM899), Redmi Note 9S (RM799) dan HONOR 9X Lite (RM699). Realme C17 mempuyai skrin 90Hz dan kamera ultra-lebar, manakala Redmi Note 9S dan HONOR 9X Lite tidak mempunyai skrin tersebut namun dikuasai oleh cipset yang lebih baik.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda untuk membeli OPPO A53 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Fahmi Fadzil: Kanak-kanak bawah 13 tahun tidak patut miliki akaun media sosial

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka yang berumur 13 tahun ke bawah tidak memiliki sebarang akaun media...

    Kerajaan akan buat pengumuman penting tentang 5G pada hujung April atau awal Mei 2024

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan membuat beberapa pengumuman penting mengenai rangkaian 5G pada hujung bulan ini atau awal bulan Mei....

    Aeon Bank bakal mulakan operasi perbankan digital Islam pada akhir suku kedua 2024

    Aeon Bank (M) Bhd, yang merupakan salah satu daripada lima pemegang lesen perbankan digital di Malaysia, bakal memulakan operasi serta melancarkan aplikasi...

    Perkhidmatan ETS KTM bakal bermula di Segamat, Johor pada 1 Julai 2024

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) telah memberikan pendedahan mengenai Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan datang di Segamat, Johor yang akan mula beroperasi...

    realme Narzo 70x 5G akan dilancar pada 24 April 2024

    realme akan melancarkan telefon pintar mampu milik, realme Narzo 70x 5G, pada hari Rabu, 24 April 2024 di India jam 12:00 tengah...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X