fbpx
More

    Ulasan OPPO A77s – Telefon bajet dengan reka bentuk ringkas

    Siri OPPO A merupakan antara telefon kelas permulaan yang sangat popular di Malaysia dan kini OPPO Malaysia memperkenalkan peranti terbaru dalam siri itu iaitu OPPO A77s. Telefon ini mempunyai rekaan dan spesifikasi yang tidak banyak berbeza dengan peranti OPPO A sebelumnya, OPPO A76.

    Untuk mengetahui sama ada telefon ini sesuai untuk anda, ayuh baca ulasan ini:

    Rekaan – Warna ringkas dengan sisi rata

    OPPO A77s tidak mempunyai reka bentuk yang menonjol berbanding telefon-telefon lain dalam kategori ini. Unit yang dipinjamkan kepada saya mempunyai warna biru muda Sky Blue dengan permukaan pusam (matte) yang tidak meninggalkan kesan cap jari langsung. 

    Jika anda sengetkannya sedikit, anda boleh lihat sinaran berwarna kuning dan merah jambu yang pudar, namun warnanya secara keseluruhan nampak ringkas. Oleh yang demikian, A77s ini sesuai untuk mereka yang inginkan rekaan telefon yang tidak terlalu menyerlah. Ia juga disediakan dalam satu lagi pilihan warna iaitu hitam Starry Black.

    Rekaan belakang OPPO A77s
    Bonggol kamera dengan dua lensa
    Warnanya berubah sedikit apabila ia disengetkan

    Bonggol kameranya berbentuk petak dan menempatkan dua lensa serta satu lampu denyar. Satu perkara yang saya gemar tentang bonggol kamera ini adalah ia nipis sahaja, lebih kurang sama seperti ketebalan dua keping kad kredit.

    OPPO A77s mempunyai rangka yang rata di bahagian sisinya, namun bucunya ditumpulkan sedikit (chamfered) untuk pegangan yang lebih selesa pada jari. Ini juga membuatkannya nampak serupa dengan telefon-telefon yang lebih mahal seperti iPhone 14 dan Nothing Phone (1).

    Sebuah butang kuasa berada di bahagian sisi kanan dan ia turut bertindak sebagai pengimbas cap jari. Di sisi kiri, terdapat dulang dwi-kad SIM dan butang kawalan audio.

    Port di bawah pula lengkap untuk telefon kelas permulaan, terdiri daripada bicu audio 3.5mm dan port USB-C. Sebuah pembesar suara mono juga berada di bahagian bawah.

    Secara keseluruhan, OPPO A77s mempunyai reka bentuk yang seimbang di mana warna Sky Blue ini tidaklah terlalu menonjol, namun pada masa yang sama ia tidaklah nampak membosankan seperti telefon kelas permulaan lain.

    Spesifikasi – Guna cipset tahun lepas

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO A77s:

    • Skrin LCD berukuran 6.56 inci dengan resolusi HD+ (1612×720), kadar segar semula 90Hz
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 680
    • RAM 8GB, boleh dibesarkan secara maya sebanyak 5GB
    • Storan dalaman 128GB
    • Kamera utama 50MP + sensor kedalaman 2MP
    • Kamera swafoto 8MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas SUPERVOOC 33W
    • Sistem operasi ColorOS 12.1 berdasarkan Android 12
    • Pengimbas cap jari sisi
    • Port USB-C, bicu audio 3.5mm
    • Ukuran: 163.74 x 75.03 x 7.99, berat 187 gram

    OPPO A77s mempunyai saiz skrin yang agak standard untuk telefon yang dilancar pada tahun ini, namun resolusinya yang sekadar HD+ mungkin akan mengecewakan segolongan pelanggan. Ini adalah kerana efek piksel (pixelated) masih boleh nampak jelas pada kandungan video dan ikon dalam antara muka (user interface) telefon.

    Skrin OPPO A77s
    Tetapan kadar segar semula (kiri) dan kawalan warna skrin (kanan)

    Mujur sekali, ia menyokong kadar segar semula 90Hz yang boleh hasilkan animasi lancar sewaktu anda berinteraksi dengan skrin. Anda boleh tetapkan skrin ini untuk memaparkan kadar 90Hz pada setiap masa, namun ia tidak mempunyai fungsi yang boleh ubah kadar segar semula secara automatik bagi menjimatkan bateri. Jadi anda perlu pilih secara manual sama ada anda ingin kadar 90Hz atau 60Hz.

    Daripada segi warna, OPPO A77s boleh hasilkan warna yang memuaskan untuk panel LCD. Namun dengan kecerahan puncak sekadar 600 nits sahaja, ia sukar untuk digunakan bawah cahaya matahari. Selain itu, sempadan bezel agak tebal di sekeliling skrin.

    Untuk cipset pula, OPPO masih mengekalkan cipset sama yang digunakan dalam OPPO A76 sebelum ini iaitu cipset Snapdragon 680. Cipset ini sudah pun berusia setahun sejak ia diperkenalkan pada Oktober 2021 dan walaupun ia agak ketinggalan, ia masih boleh menjana prestasi yang cukup untuk kegunaan harian.

    (Kiri) spesifikasi OPPO A77s, (kanan) pilihan untuk membesarkan RAM secara maya
    Home Screen dan App Drawer OPPO A77s

    Storan dalamannya sekadar 128GB sahaja iaitu agak kecil, jadi anda mungkin perlu tambahkannya dengan kad memori microSD jika anda jenis pengguna yang banyak mengambil gambar dan video atau memuat turun banyak permainan video. Untuk RAM pula, ia mempunyai kapasiti 8GB dan boleh dibesarkan secara maya sebanyak 2GB, 3GB atau 5GB. Jadi jika anda kerap banyak buka aplikasi serentak, RAM sehingga 13GB ini boleh dimanfaatkan untuk mengekalkan prestasi telefon pada tahap optimum.

    Seperti kebanyakan telefon kelas permulaan lain, OPPO A77s mempunyai kapasiti bateri yang sangat besar iaitu 5,000mAh dan saya yakin ia boleh bertahan selama lebih daripada sehari. Ia juga menyokong pengecasan pantas SUPERVOOC 33W dan palam pengecas turut disertakan dalam kotak, di samping kabel USB-C ke USB-A dan sarung silikon lutsinar.

    Pengimbas cap jari yang berada di bahagian kanan berfungsi dengan sangat pantas. Anda juga boleh buka kunci skrin dengan imbasan muka menggunakan kamera swafoto dan ia berfungsi dengan baik walaupun sewaktu saya berada dalam bilik yang malap.

    Kamera OPPO A77s pula agak standard untuk telefon kategori ini, iaitu kamera utama 50MP dan sensor kedalaman 2MP. Saya gemar gabungan kamera seperti ini kerana ia membuatkan A77s nampak lebih kemas dan tidak mempunyai banyak bulatan di belakang telefon untuk lensa, namun ketiadaan lensa ultra-lebar akan menghadkan kebolehan fotografi telefon ini.

    Antara muka (UI) kamera OPPO A77s

    Manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 8MP dalam takuk (notch) berbentuk titisan air. Satu fungsi menarik yang terdapat pada aplikasi kamera A77s adalah Bokeh Flare Portrait yang sebelum ini hanya terdapat pada siri OPPO Reno. Dengan fungsi ini, anda boleh mengambil gambar potret dengan efek kabur yang kemas dengan bebola cahaya menarik.

    Prestasi – Cukup untuk kegunaan harian

    Berikut adalah keputusan penanda aras untuk OPPO A77s dalam Geekbench dan 3DMark:

    Jadi dengan cipset Snapdragon 680, ia bukanlah cipset yang paling dicari-cari oleh penggemar telefon pintar pada waktu ini namun ini tidak bermakna ia tidak berfungsi dengan baik. OPPO A77s jelas ditujukan kepada golongan pengguna yang mengutamakan harga rendah dan inginkan prestasi mencukupi untuk kegunaan harian.

    Untuk tugasan asas seperti bermesej, melayari media sosial, menonton video, membuka aplikasi dan melayari laman web, OPPO A77s boleh hasilkan pengalaman yang pantas. Malah, dengan kadar segar semula 90Hz pada skrinnya, membuatkan telefon ini rasa pantas seperti dalam telefon yang lebih mahal.

    Sewaktu bermain game pula, OPPO A77s boleh memainkan game popular seperti COD Mobile dan PUBG Mobile dengan baik pada tetapan grafik rendah. Saya tidak mencadangkan anda untuk naikkan tetapan grafik kerana ia akan memperlahankan kadar bingkai (frame rate) lantas menjejaskan kebolehan anda untuk menewaskan pasukan lawan.

    Satu kebaikan bermain game dengan grafik rendah dan cipset kelas permulaan ini adalah permukaan telefon tidak rasa panas. Walaupun selepas bermain selama sejam, telefon ini masih selesa di tangan manakala prestasi game masih kekal sekata.

    Untuk game yang memerlukan pemprosesan grafik lebih tinggi seperti Asphalt 9, OPPO A77s menghasilkan kadar bingkai yang rendah walaupun tetapan grafik telah diturunkan. Oleh itu, saya cadangkan anda untuk hanya hadkan permainan video anda pada dua game tembak-menembak yang disebut sebelum ini.

    Hayat bateri OPPO A77s juga sangat cemerlang. Pengecasan penuh boleh menghidupkan skrin OPPO A77s selama hampir 11 jam jika skrin dibiarkan hidup (screen on time) walaupun dengan kadar 90Hz. Sewaktu ia digunakan seperti biasa, ia tidak mempunyai masalah untuk bertahan selama lebih daripada sehari.

    Bateri penuh boleh menghidupkan skrin selama lebih 10 jam 40 minit
    Pengecasan daripada 2% ke 99% mengambil masa 1 jam 6 minit (9:12am ke 10:18am)

    Pengecasannya juga cemerlang, di mana pengecasan penuh daripada kosong dengan SUPERVOOC 33W mengambil masa hanya sekitar sejam. Untuk sebuah telefon kelas permulaan, ini adalah tempoh yang agak singkat jadi anda tidak perlu tunggu lama walaupun anda sekadar ingin cas sebanyak 10%.

    Kini beralih ke bahagian fotografi pula. Telefon ini boleh mengambil gambar yang cantik di bawah suasana terang, namun warnanya mungkin nampak agak pekat (saturated) berbanding objek asal. Jika anda mengambil gambar dengan Night Mode pula, ia nampak memuaskan namun noise masih jelas kelihatan.

    Mod potret pula boleh mengasingkan subjek dengan latar belakang dengan baik. Sewaktu merakam video, ia boleh merakam dalam resolusi 1080p dengan kadar 30fps dan kualiti videonya nampak agak standard untuk telefon kelas permulaan, di mana warnanya agak pudar dan jika anda merakam pada waktu malam, noise akan jelas kelihatan.

    Di samping itu, telefon ini juga tidak mempunyai sebarang penstabilan imej, jadi saya nasihatkan anda untuk tidak banyak bergerak sewaktu merakam video.

    Kesimpulan – Telefon bajet yang padan dengan harganya

    OPPO A77s akan dijual di Malaysia pada harga RM999 dan dengan prestasi yang ditawarkan, ia adalah peranti yang berbaloi. Sungguh pun begitu, rekaannya yang membosankan adalah satu kekurangan pada telefon ini kerana anda boleh dapatkan telefon lain yang lebih cantik pada harga serupa.

    Alternatif yang sesuai kepada OPPO A77s termasuklah Samsung Galaxy A13 5G (RM1,099) jika anda inginkan rekaan telefon yang lebih menyerlah, realme 9 (RM899) jika anda inginkan kamera ultra-lebar dan HONOR X9 (RM1,099) jika anda inginkan pengecasan yang lebih pantas. Malah, OPPO A76 (RM899) juga adalah alternatif sesuai kepada A77s kerana ia sangat serupa, namun kapasiti RAM adalah lebih rendah.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    KWSP bakal umumkan Akaun 3 pada hari ini sebagai Akaun Fleksibel

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X