Telefon lipat bukanlah suatu perkara yang aneh malah dianggap sebagai barangan futuristik. Pelbagai jenama peranti terkenal berusaha untuk menghasilkan telefon lipat yang berkualiti kepada pengguna termasuk OPPO. OPPO telah melancarkan OPPO Find N3 dengan cipset Snapdragon 8 Gen 2 dengan beberapa peningkatan berbanding model sebelumnya.
Untuk pengetahuan anda, ini merupakan varian Find N pertama yang dilancarkan secara global kerana sebelum ini, peranti Find N hanya eksklusif di China. Di bawah adalah semua perkara yang anda perlu tahu daripada segi reka bentuk, prestasi dan perkara-perkara menarik yang lain.
Reka bentuk – Selesa secara ergonomik, bergaya dan mewah
Walaupun kebanyakan telefon lipat kelihatan hampir serupa, terdapat pelbagai perbezaan daripada segi dalaman dan luaran. OPPO Find N3 membawa skrin utama AMOLED 7.8 inci yang cukup luas untuk tontonan. Kesan lipatan tidak kelihatan ketika tontonan atau ketika melakukan kerja. Namun, jika anda melihat dengan teliti pada skrin, anda boleh melihat kesan lipatan tetapi tidak terlalu jelas.
Ia meliputi hampir kesemua skrin dengan bezel yang sangat nipis. Di bahagian kelilingnya meliputi rangka berwarna hitam bagi mengelakkan hentakan yang kuat dan melindungi skrin dalaman ketika menutup telefon. Terdapat satu kamera swafoto 20MP di penjuru atas kanan untuk persidangan video dan tangkapan gambar yang luas.
Beralih kepada skrin luaran, ia menampilkan panel AMOLED 6.3 inci seperti kebanyakan telefon pintar biasa. Bezel di bahagian sisi kanan, kiri dan atas agak nipis tetapi di bahagian bawah kelihatan agak tebal. Namun, ini bukanlah satu gangguan kerana skrin dalaman sudah cukup bagus sekiranya anda ingin melakukan kerja. Kamera swafoto 32MP di bahagian atas tengah pula membantu anda untuk menangkap gambar dalam satu pegangan.
Apabila ia tidak dilipat, ketebalan peranti ini sudah cukup bagus seperti telefon pintar biasa. Namun, ia agak tebal apabila dilipat menjadikan ia kurang selesa dipegang terutamanya ketika ingin mengambil gambar pada kamera swafoto. Mungkin juga disebabkan tangan saya yang agak kecil, tetapi saya mencadangkan agar OPPO boleh menjadikannya lebih nipis untuk Find N yang seterusnya.
Dalam pada itu, anda akan dapati Find N3 akan tertutup rapat dan tidak meninggalkan ruang langsung apabila dilipat. Ini cukup mengagumkan kerana masih terdapat banyak jenama yang berusaha untuk membangunkan telefon lipat yang tertutup rapat tanpa memberi sebarang kesan kepada skrin.
Keselesaan dan keyakinan adalah sangat penting berikutan bentuk yang unik dan berisiko tinggi terhadap kerosakan skrin fleksibel dan engsel. Dalam hal ini, reka bentuk belakang berstruktur OPPO Find N3 dan rangkanya menawarkan cengkaman yang kukuh dan lembut menjadikan ia selesa ketika dipegang.
Di bahagian belakang, ia membawa warna Champagne Gold memberikan karakter yang elegan dengan rangka logam rata. Kesan cap jari masih kelihatan tapi tidak terlalu jelas. Panel belakang turut menempatkan tri-kamera dalam reka bentuk cincin kosmos yang menonjol dan tebal tetapi masih membawa rupa estetika.
Disebabkan kualiti imej yang dihasilkan sangat mengagumkan, maka saya memahami bonggol kamera yang menonjol tetapi di masa hadapan, ini mungkin boleh diubah. Walau bagaimanapun, penempatan lampu flash LED di sudut telefon agak kurang sesuai dan boleh disatukan dalam cincin kamera.
Selain itu, telefon lipat ini tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat seperti telefon biasa. Walaupun berat sesebuah peranti tidak dipandang berat oleh sesetengah pengguna, ia sebenarnya dapat membantu mengurangkan tekanan pada tangan anda, menjadikan ia kurang kemungkinan untuk jatuh secara tidak sengaja dan kestabilan cengkaman. Di bahagian ini, saya bersetuju bahawa OPPO mengambil berat daripada semua aspek termasuk berat peranti ini.
Dalam pada itu, engsel peranti memainkan peranan penting dalam meningkatkan kegunaan telefon, membenarkan cara baru untuk memegang peranti dengan stabil. Terdapat dua cara untuk anda menggunakan OPPO Find N3 tanpa dipegang, sama ada meletakkannya di atas meja seperti komputer riba mini atau mendirikannya seperti tripod. Ini menunjukkan engsel Find N3 cukup kuat untuk menyokong skrin dalaman daripada tertutup tanpa sebarang bantuan daripada barangan lain.
Kemudian, di bahagian keliling peranti terdapat butang kuasa, audio dan alert slider di bahagian kanan, dua pembesar suara di bahagian atas dan bawah serta port USB-C dan slot kad-SIM di bahagian bawah. Kedudukan kesemua butang yang disebut di atas adalah ketika telefon dalam keadaan dilipat. Kotak pembelian pula memberikan anda kabel pengecas USB-C, pengecas 67W, pin SIM, dokumen dan sarung pelindung OPPO Find N3. Sebagai telefon flagship, ini sudah cukup bagus melainkan anda menginginkan aksesori lain.
Spesifikasi – Semuanya cukup bagus
Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO Find N3:
- Skrin utama AMOLED 7.8 inci, resolusi 2240x 2268, kadar segar semula 1-120Hz, kecerahan puncak 2,800 nits, menyokong kandungan Dolby Vision dan HDR10+
- Skrin hadapan AMOLED 6.3 inci, resolusi 2484 x 1116, kadar segar semula 1-120Hz, kecerahan puncak 2,800 nits, menyokong kandungan Dolby Vision dan HDR10+
- Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2
- RAM 16GB
- Storan dalaman 512GB
- Kamera utama 48MP + kamera ultra-lebar 48MP + kamera telefoto 64MP
- Kamera swafoto 20MP (skrin utama), kamera swafoto 32MP (skrin luaran)
- Bateri 4,800mAh
- Pengecasan pantas SUPERVOOC 67W
- Sistem operasi Android 13 dengan UI ColorOS 13.2
- Pilihan warna Classic Black dan Champagne Gold
- Pengimbas cap jari di bahagian sisi
- Penarafan kalis air IPX4
- Dwi-kad SIM, NFC, Bluetooth 5.3, Wi-Fi 6
- Harga RM7,999
Telefon ini dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 terkini, disokong oleh RAM LPDDR5x 16GB dan storan UFS 4.0 512GB. Ini bermaksud anda boleh mengharapkan prestasi yang luar biasa untuk bermain game, mencipta kandungan dan menggunakan ciri-ciri pengalaman pengguna yang canggih yang ditawarkan oleh telefon ini.
Namun, tarikan utama adalah paparan dalaman yang berukuran 7.8 inci, menawarkan resolusi 2240×2268 piksel, kadar segar semula yang boleh diubah dari 1 hingga 120Hz, pemalapan PWM 1440Hz, sokongan Dolby Vision dan HDR10+. Ini bermaksud pengalaman menonton yang terbaik daripada hasil warna cerah memastikan kebolehgunaan telefon di bawah sinar matahari terik.
Sepanjang saya menggunakan Find N3, saya tidak menghadapi sebarang masalah daripada segi lag, bateri serta buka dan tutup aplikasi. Sentuhan skrin yang lancar dan responsif dengan kesan lipatan pada skrin hampir tidak kelihatan memberikan pengalaman menonton tanpa sebarang gangguan. Pengimbas muka dan cap jari memerlukan masa kurang daripada satu saat untuk membuka skrin kunci.
Untuk engselnya, OPPO mengatakan Flexion Hinge kali ini mempunyai penarafan kalis air IPX4 dan boleh bertahan sehingga satu juta lipatan. Telefon ini mempunyai ketebalan 5.8mm sahaja apabila skrinnya dibuka dan 11.7mm apabila skrinnya dilipat.
Spesifikasi lain termasuk NFC, Bluetooth 5.3 dan WiFi 6 yang boleh disambungkan tanpa sebarang masalah. Anda juga mempunyai pilihan warna lain iaitu Classic Black sekiranya anda berminat dengan warna yang lebih gelap. Saya mencadangkan warna Champagne Gold kerana ia pasti akan menarik perhatian rakan-rakan anda dengan bentuk dan warna yang elegan.
Prestasi – Setanding dengan telefon flagship yang lain
Berikut adalah keputusan Geekbench 6 dan 3DMark untuk OPPO Find N3:
Saya bermain game Mortal Kombat dan Asphalt 9 pada kadar bingkai 60fps. Sepanjang permainan, tiada masalah sentuhan ataupun lag. Sudah pasti dengan sokongan cipset Snapdragon 8 Gen 2 dan RAM LPDDR5x, game berfungsi dengan baik dan mengasyikkan. Saya bermain game pada kedua-dua skrin tetapi saya lebih gemar menggunakan skrin luaran kerana skrinnya yang kecil memudahkan kawalan.
Namun begitu, saya juga mendapati bahawa grafik Mortal Kombat nampak pelik (distorted) sedikit apabila ia ditukarkan daripada skrin utama ke skrin hadapan. Masalah ini tidak akan terjadi jika anda membuka terus game tersebut dalam skrin hadapan terlebih dahulu. Satu lagi masalah akan muncul sekiranya anda melipat atau membuka skrin ketika bermain game, di mana anda perlu keluar daripada aplikasi tersebut terlebih dahulu untuk mendapatkan tindak balas skrin.
Daripada segi tontonan pula, saya akan menggunakan skrin dalaman dalam keadaan dilipat 90 darjah dan meletakkannya di atas meja. Begitu juga ketika saya membuat kerja pejabat, ia memudahkan saya menaip dan keluar ke aplikasi yang lain membantu meningkatkan produktiviti kerja tanpa perlu membawa komputer riba yang besar dan berat terutamanya ketika saya perlu menghadiri sidang media.
Perkara yang paling menarik bagi saya pada OPPO Find N3 adalah kameranya. Telefon lipat secara tradisinya menghadapi masalah dalam bahagian ini kerana perkakasan peranti yang berat. Find N3 mencapai prestasi yang mengagumkan dengan sensor besar dan juga lensa telefoto bergaya periskop tanpa mengorbankan reka bentuk senipis telefon ini. Hasilnya, ia mampu bersaing dengan kamera telefon lipat lain terbaik di pasaran.
Kamera utama 48MP mungkin kelihatan sederhana daripada segi megapiksel, tetapi ia menunjukkan betapa pentingnya kualiti sensor. Sensor baru Sony LYTIA-T808 1/1.43 inci menghasilkan kualiti gambar yang hampir sama dengan sensor 1 inci tanpa mengambil banyak ruang. Kamera ultra-lebar dengan sensor Sony IMX581 48MP 1/2 inci masih menghasilkan kualiti gambar yang baik tidak kira dalam keadaan cahaya malam atau terang.
Kamera telefoto 64MP pada panjang fokus 70mm mampu memberikan zum optik 3x dan 6x dengan butiran gambar yang jelas. Ia memberikan hasil sebagaimana yang diiklankan, walaupun ada sedikit noise pada zoom 6x.
Lensa periskop juga berfungsi dengan baik dengan mod potret Hasselblad, menghasilkan foto yang kaya dengan pengkaburan untuk pemisahan subjek dan latar belakang yang tepat. Antara faktor yang membantu adalah antara muka aplikasi kamera yang mesra pengguna dengan paparan roda yang tidak hanya menunjukkan tahap zum tetapi juga panjang fokus. Walaupun ia tidak menyokong sensor makro, anda masih boleh menangkap gambar dengan butiran jelas pada jarak 5cm.
Dalam gambar bersama orang ramai, anda boleh melihat pelbagai jenis tekstur kulit yang masih boleh dilihat jelas dan warna yang cukup pekat. Bagi pendapat saya, kualiti gambar yang ditangkap daripada kamera Find N3 sangat bagus dan boleh digunakan oleh peminat fotografi tanpa perlu membawa kamera DSLR. Mod potret juga boleh mengecam lebih daripada empat muka dalam bingkai gambar.
Saya turut merakam video di dalam studio dan hasilnya cukup mengejutkan saya. Kualiti rakaman sangat bagus dan audio yang dihasilkan melalui empat pembesar suara sangat mengagumkan. Anda boleh mendengar bunyi gitar dimainkan dengan lebih jelas walaupun ketukan drum amat kuat dan hampir menenggelamkan bunyi alat muzik yang lain. Dalam kelantangan penuh, saya tidak merasakan ia bingit tetapi sedap didengar.
OPPO Find N3 berjalan pada versi ColorOS 13.2 terkini, berdasarkan Android 13. Walaupun ini mungkin mencukupi untuk telefon pintar biasa, telefon lipat memerlukan lebih daripada itu. Oleh itu, OPPO mengambil langkah untuk menawarkan pengalaman maksima seperti “Perpustakaan Aplikasi” untuk akses mudah ke aplikasi dan pintasan “Poket Fail” untuk pengurusan fail yang pantas meningkatkan kegunaan.
Kebanyakan telefon lipat hanya menyokong dua pembahagian skrin tetapi Find N3 mampu menyokong tiga pembahagian skrin pada ciri “Pemandangan Tak Terbatas” memberikan lebih banyak ruang skrin sambil mengekalkan pertukaran aplikasi yang cekap. Telefon lipat ini menunjukkan fungsi skrin yang optimum untuk mengekalkan produktiviti pengguna.
Selain kamera untuk menangkap gambar dan membuat rakaman kehidupan pengguna, terdapat juga satu ciri pada kamera iaitu Google Lens yang membantu anda terus melakukan carian ke Google. Tangkap sahaja gambar teks atau barangan yang ingin anda cari, ia akan mengeluarkan hasil carian secara automatik seperti gambar kasut saya di bawah.
Walaupun kapasiti baterinya hanya 4,800mAh, ia masih memberikan prestasi penggunaan dan penyimpanan kuasa yang mengagumkan. Kuasa bateri hanya menurun daripada 89% hingga 65% walaupun saya bermain game dan menonton YouTube tanpa henti selama tiga jam. Anda juga hanya perlu menunggu sekitar 50 minit untuk pengecasan penuh dengan pengecas SuperVOOC 67W yang disediakan.
Namun begitu, seperti pendahulunya, ia masih tidak menyokong pengecasan wayarles yang agak mengecewakan untuk siri andalan pada zaman ini. Dari sudut positif, anda tidak perlu risau untuk mendengar lagu sepanjang perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Cameron Highlands yang mengambil masa sekitar tiga jam dan 30 minit.
Kesimpulan – Telefon lipat mewah tetapi berbaloi
Secara jujur, OPPO Find N3 adalah antara telefon lipat terbaik yang anda boleh beli pada waktu ini. Ia memiliki segalanya yang dilengkapi dengan spesifikasi tercanggih seperti Snapdragon 8 Gen 2, kamera dengan sokongan Hasselblad dan reka bentuk elegan. Boleh dikatakan bahawa kekuatan telefon ini lebih kepada reka bentuk, prestasi dan kameranya.
Ia mungkin menjadi lebih baik sekiranya ia memberikan sokongan S Pen atau pen stilus untuk produktiviti dan juga kawalan jauh untuk kamera. Saya pasti kebanyakan orang yang membeli OPPO Find N3 pasti mementingkan hasil kerjanya daripada segi penulisan dan lukisan kerana telefon lipat ini memudahkan penggunaan untuk melakukan kerja pejabat.
Harganya agak mahal pada RM7,999 yang sesuai untuk golongan yang suka menunjuk-nunjuk kerana reka bentuknya yang mewah dan menarik perhatian. Bagi mereka yang menginginkan telefon lipat yang lebih murah, anda mungkin boleh mempertimbangkan Samsung Galaxy Z Fold5 pada harga RM6,799 yang menawarkan cipset Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy, skrin AMOLED luar dan dalam serta sokongan Fast Wireless Charging 2.0.
Adakah OPPO Find N3 menarik minda anda? Komen di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.