More

    Ulasan OPPO Find X9 – Mungkin lebih berbaloi dari Find X9 Pro?

    OPPO telah menjadi jenama telefon pertama di Malaysia yang melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya, dengan pelancaran OPPO Find X9 dan OPPO Find X9 Pro pada hujung bulan Oktober lalu. Ia bukan sahaja menawarkan prestasi yang sangat pantas untuk sebuah telefon flagship 2025/2026, malah menampilkan teknologi kamera Hasselblad yang menjanjikan kualiti gambar yang sangat tinggi berbanding telefon pesaing.

    Anda mungkin sedang mempertimbangkan jika Find X9 (bermula RM3,699) atau Find X9 Pro  (RM4,999) lebih berbaloi untuk anda, memandangkan jurang harga di antara kedua-dua varian ini adalah agak besar. Dalam ulasan ini, kami akan memfokuskan pada ulasan Find X9 standard untuk bantu anda buat penilaian dengan lebih mendalam.

    Rekaan – Jauh berbeza dengan Find X8, serupa dengan siri Reno

    Sekilas pandang, Find X9 mempunyai rekaan luaran yang jauh berbeza dengan OPPO Find X8 yang dilancar pada tahun lepas. Jika dilihat pada bonggol kamera, Find X9 mempunyai bentuk petak yang mirip siri OPPO Reno15 (akan dilancar di Malaysia pada 17 November 2025), bukan lagi bentuk bulat seperti yang terdapat pada Find X8.

    Sungguh pun begitu, susunan lensanya tidak sama langsung dengan siri Reno. Bonggol kamera Find X9 menempatkan tiga lensa di mana dua daripadanya diletakkan dalam bulatan hitam yang agak besar, manakala satu lagi lensa diletakkan di sebelahnya dalam bentuk bulat memanjang. Sebuah logo Hasselblad jelas terpampang bagi menandakan kewujudan teknologi Hasselblad dalam kameranya.

    Bahagian belakang Find X9
    Bonggol kamera berbentuk petak
    Logo OPPO yang tidak terlalu menonjol

    Unit yang dipinjamkan kepada kami mempunyai warna kelabu Titanium Grey. Ia mempunyai sudahan matte yang sangat kemas, membuatkannya nampak premium dan tidak akan meninggalkan kesan cap jari langsung. Selain kelabu, ia turut ditawarkan dalam warna hitam Space Black dan merah Velvet Red.

    Logo OPPO pula diukir di bahagian bawah, namun ia tidak begitu jelas apabila anda melihatnya secara terus. Hanya apabila anda sengetkan telefon ini, barulah anda boleh nampak ukiran logo tersebut. Secara peribadi, saya gemar dengan ukiran ini kerana saya tidak suka telefon dengan penjenamaan yang terlalu ketara, saya lebih suka rekaan yang lebih berprofil rendah.

    Apabila memegang, telefon ini rasa mirip Find X8. Ia mempunyai bahagian sisi aluminium bertaraf aeroangkasa yang rata, jadi ini pasti akan menggembirakan mereka yang tidak gemar dengan sisi telefon melengkung. Perlu diingati bahawa permukaan telefon ini tidak mempunyai sebarang kilat atau kilauan yang sinonim dengan beberapa telefon flagship pada tahun-tahun lepas.

    Bahagian sisi kanan masih menempatkan butang kuasa dan butang laras audio, namun satu ciri baharu terdapat pada sisi kiri iaitu butang Snap Key. Ia merupakan sebuah butang khas yang menyediakan akses cepat kepada fungsi yang anda inginkan seperti kamera, perakam suara, penterjemah, AI Mind Space dan banyak lagi.

    "
    "
    Bahagian kanan menempatkan butang laras audio dan butang kuasa, tiada butang kamera khas seperti yang terdapat pada Find X9 Pro
    Bahagian kiri menempatkan butang Snap Key

    Untuk perlindungan, ia mempunyai rating kalis air dan debu IP66/68/69, jadi anda tidak perlu risau jika ia terkena percikan air atau terjatuh ke dalamnya. Di bahagian hadapan, skrinnya dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass 7i yang tahan calar, namun ia tidak menggunakan Gorilla Glass Victus 2 yang selalunya terdapat pada telefon flagship.

    Spesifikasi – Dimensity 9500 pertama di Malaysia!

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO Find X9:

    Ringkasan spesifikasi Find X9
    • Cipset MediaTek Dimensity 9500 (3nm)
    • Skrin AMOLED 6.59 inci, resolusi 2760×1256, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 3,600 nits
    • RAM LPDDR5X 16GB
    • Storan dalaman UFS4.1 512GB
    • Kamera utama 50MP (Sony LYT-808, f/1.6) + kamera ultra-lebar 50MP dengan auto-fokus dan mod makro + kamera telefoto 50MP (Sony LYT-600)
    • Kamera hadapan 32MP
    • Bateri 7,025mAh
    • Pengecasan pantas 80W SUPERVOOC, pengecasan wayarles 50W AIRVOOC, pengecasan wayarles berbalik 10W
    • Sistem operasi Android 15 dengan ColorOS 16
    • Sokongan dwi-SIM, NFC, Bluetooth 6.0, Wi-Fi 7, AI LinkBoost dengan cip RF terbina
    • Pilihan warna Space Black, Titanium Grey, Velvet Red
    • Harga: RM3,699

    Siri Find X9 merupakan telefon flagship generasi terbaru pertama yang dilancar untuk pasaran Malaysia. Ia dilengkapi cipset flagship MediaTek Dimensity 9500 iaitu cipset 3nm terbaru oleh MediaTek dan merupakan telefon pertama di Malaysia dengan cipset ini. Ia merupakan pesaing utama untuk Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 (tiada telefon dengan cipset itu sewaktu ulasan ini ditulis) dan menawarkan peningkatan prestasi ketara berbanding generasi sebelumnya. Saya akan ulas mengenai pengalaman penggunaan saya dalam seksyen Prestasi.

    Di hadapan, ia mempunyai skrin AMOLED 6.59 inci dengan resolusi yang agak tinggi untuk paparan imej jelas dan warna terang, serta kadar segar semula 120Hz yang memaparkan animasi lancar. Ia juga menyokong Dolby Vision dan HDR10+ untuk tontonan visual yang lebih menarik dalam filem atau video yang menawarkannya. Secara keseluruhan, ini adalah skrin yang boleh dijangka untuk sebuah telefon flagship pada 2025/2026.

    Anda boleh nikmati pengalaman visual yang bagus pada skrin OPPO Find X9

    Sungguh pun begitu, kecerahan puncak setakat 3,600 nits sahaja adalah lebih rendah berbanding telefon flagship jenama lain. Skrin Find X9 masih boleh dilihat dengan mudah di bawah cahaya matahari terik, namun ia mungkin tidak secerah skrin telefon flagship lain yang mempunyai kecerahan puncak yang lebih tinggi, seperti 5,000 nits pada HONOR Magic7 Pro.

    Untuk bateri pula, Find X9 mempunyai bateri yang lebih besar berbanding generasi sebelumnya, dengan kapasiti 7,025mah (Find X8 mempunyai kapasiti 5,630mAh). Kadar pengecasan pula masih dikekalkan iaitu pengecasan pantas berwayar 80W, pengecasan wayarles 50W dan pengecasan wayarles berbalik 10W. Sukacita saya maklumkan bahawa pengecas 80W turut disertakan dalam kotak Find X9.

    Spesifikasi kamera juga masih dikekalkan dari generasi sebelumnya, dengan kamera utama 50MP, kamera telefoto periskop 50MP dan kamera ultra-lebar 50MP serta kamera hadapan 32MP. Ia masih mengekalkan talaan warna yang dibuat dengan kerjasama Hasselblad dan kualiti gambarnya adalah sangat cemerlang. Saya akan ulas prestasi fotografi dan videografinya dalam seksyen Prestasi.

    Telefon ini didatangkan dengan ColorOS 16 serba baharu yang dibina berdasarkan sistem operasi Android 16. Ia boleh digunakan dengan sangat lancar serta antara mukanya (UI) sangat mesra pengguna dan mudah difahami walaupun anda datang daripada telefon Android jenama lain. Malah, tema asal (default) yang didatangkan dengan sistem operasi ini pun sudah nampak sangat cantik.

    Contoh gambar lock screen yang disediakan dalam telefon

    Satu fungsi menarik adalah ia kini menyokong pemindahan fail dengan peranti Apple iOS. Ia mempunya fungsi Touch to Share di mana anda boleh mendekatkan Find X9 dengan sebuah iPhone kemudian anda boleh pindahkan fail antara kedua-dua peranti ini dengan cepat. Ya, ia berfungsi seperti fungsi AirDrop dalam iPhone, namun ini versi antara peranti OPPO dengan Apple.

    Jadi apakah perbezaan antara Find X9 dengan Find X9 Pro? Kedua-dua varian sebenarnya mempunyai banyak persamaan kecuali daripada tiga aspek iaitu skrin, kapasiti bateri dan kamera telefoto. Find X9 mempunyai saiz skrin yang lebih kecil sedikit berbanding Find X9 Pro (6.78 inci) dan baterinya juga lebih kecil berbanding Find X9 Pro (7,500mAh).

    Perbezaan utama boleh dilihat pada kamera telefoto, di mana Find X9 Pro mempunyai kamera telefoto periskop 200MP. Ini bermaksud kamera telefoto periskop 50MP pada Find X9 tidak boleh mengambil gambar zum dengan butiran yang setaraf  Find X9 Pro. Jadi jika anda mahu fokus pada kebolehan zum, anda perlu pertimbangkan Find X9 Pro.

    Prestasi – Sangat laju, kamera pun cantik gila

    Berikut adalah markah penanda aras yang kami lakukan dalam Geekbench dan 3DMark:

    Geekbench menunjukkan prestasi yang jauh meninggalkan Snapdragon 8 Gen 3 (cipset flagship 2023)
    3DMark Steel Nomad Light Stress Test menunjukkan Find X9 gagal mengekalkan prestasi yang tinggi sepanjang 20 minit, menunjukkan bahawa ia mungkin mempunyai isu thermal throttling dengan agak cepat

    Tidak sangsi lagi, cipset Dimensity 9500 yang ditawarkan dalam telefon ini mampu menewaskan cipset flagship tahun lepas seperti MediaTek Dimensity 9400 dan Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Dengan RAM LPDDR5X berkapasiti 16GB dan storan dalaman UFS 4.1 berkapasiti 512GB, ia memberikan memori yang luas dan pantas untuk sebarang aplikasi anda supaya ia boleh digunakan dengan sangat lancar.

    Sebarang aplikasi boleh dibuka dengan cepat, malah apabila saya ingin bertukar-tukar aplikasi pun, ia masih rasa sangat lancar. Sungguh pun begitu, perbezaan prestasi antara Dimensity 9500 dengan Dimensity 9400 tidaklah begitu jauh.

    Bagi mencuba sendiri prestasi yang tinggi ini, saya memainkan game Wuthering Waves iaitu game yang memerlukan pemprosesan tinggi kerana keperluan grafiknya yang mendesak. Saya boleh memainkannya dengan tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah ketara, walaupun kadang-kala terdapat kadar bingkai yang menurun secara tiba-tiba.

    Satu isu yang saya alami adalah penjanaan haba yang agak cepat sewaktu saya memainkan Wuthering Waves. Penjanaan haba sewaktu bermain game memang telah menjadi lumrah telefon pintar, namun pada Find X9 saya mendapati ia berlaku dengan agak cepat. Saya risau jika saya bermain game dengan lama (mungkin selama sejam), haba ini akan menjejaskan kesihatan jangka panjang untuk baterinya.

    Wuthering Waves boleh dimainkan dengan grafik tinggi, namun jangan jangkakan kadar bingkai yang sekata sepanjang masa
    Anda boleh aktifkan Bypass Charging untuk halakan terus arus elektrik kepada cipset

    Mujur sekali jika anda ingin bermain game sambil mengecas, Find X9 menyokong fungsi Bypass Charging yang bermaksud arus elektrik dari pengecas akan terus dihalakan kepada pemprosesan telefon dan tidak mengecas bateri langsung, bagi melindungi kesihatan bateri. Saya sedar bahawa Find X9 tidak dipasarkan sebagai telefon gaming jadi ini mungkin bukan isu untuk kebanyakan pengguna, namun telefon ini masih boleh memainkan game grafik tinggi dengan bagus. Saya nasihatkan anda untuk menurunkan tetapan grafik atau tidak memainkannya dalam tempoh yang lama bagi mengelakkan haba yang terlalu lama.

    Hayat baterinya juga sangat cemerlang, di mana ia mampu bertahan selama sehari dengan yakin. Walaupun saya kerap menggunakan Google Maps untuk mencari arah, bermain game dan membuka hotspot, pada hujung hari saya masih mempunyai baki sekitar 30%. Saya tidak sempat mencuba mod penjimatan kuasa, namun saya tidak terkejut jika ia mampu bertahan selama dua hari.

    Sewaktu mengecas, ia menyokong kadar pengecasan 80W yang boleh mengecas penuh dalam masa satu jam sahaja. Ia juga menyokong kadar pengecasan wayarles 50W, namun saya tidak memiliki pengecas wayarles yang mempunyai kadar sedemikian jadi saya tidak boleh mengujinya.

    Pengecas 80W yang disertakan dalam kotak OPPO Find X9

    Kini mari kita beralih kepada kameranya pula. Kami diberi peluang untuk menghadiri majlis pelancaran siri OPPO Find X9 di Pulau Pinang dan telah mengambil ratusan gambar di situ. Kualiti gambar yang dihasilkan sangat mengagumkan kerana butiran nampak sangat jelas dalam kebanyakan situasi, termasuklah dalam situasi malap dengan jumlah hingar yang rendah.

    Ia mempunyai kawalan cahaya yang bagus, jurang dinamik yang agak tinggi untuk sebuah kamera telefon dan warna yang nampak natural. Apa yang lebih mengagumkan saya adalah prestasi zum yang sangat bagus, walaupun dengan zum jauh sehingga 50x. Secara teori, kamera telefon ini boleh zum sehingga 120x, namun secara jujurnya saya tidak akan gunakannya dengan kerap. Ia masih menawarkan pemprosesan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan butiran dalam gambar yang anda zum jauh, namun ia masih nampak agak palsu.

    Untuk gambar mod potret, saya mendapati ia boleh memisahkan subjek daripada latar belakang dengan sangat kemas, pengesanan sempadannya (edge detection) boleh diharap untuk tidak mengkaburkan bahagian sisi subjek.

    Untuk video, ia boleh merakam video dengan resolusi sehingga 4K 120fps, jadi maksudnya anda boleh rakam video gerak perlahan (slow-motion) dengan butiran yang sangat tinggi. Kami telah mencuba rakaman video gerak perlahan dalam 4K dan kami sangat kagum dengan hasilnya. Sukar untuk kami percaya bahawa video seperti ini diambil menggunakan telefon sahaja. Penstabilannya juga berfungsi dengan baik, jadi anda boleh rakam video dengan jelas walaupun sekadar pegang menggunakan tangan sahaja.

    Kesimpulan – Lebih berbaloi berbanding Pro

    Untuk kebanyakan orang, jika anda merancang untuk dapatkan telefon flagship generasi terkini untuk 2025/2026, OPPO Find X9 ialah pakej yang sangat menarik. Dengan harga RM3,699 sahaja, anda boleh nikmati segala fungsi dan spesifikasi bertaraf flagship seperti prestasi pantas yang disediakan oleh cipset Dimensity 9500, pengecasan pantas 80W dan paling penting sekali, kualiti kamera Hasselblad yang sangat cantik.

    Malah, berani saya katakan bahawa Find X9 adalah lebih berbaloi berbanding Find X9 Pro yang dijual pada harga RM4,999. Kebaikan ketara yang dibawa oleh varian Pro hanyalah pada kebolehan kameranya untuk mengambil gambar zum yang lebih jelas, jadi jika itu bukan sesuatu yang diutamakan oleh anda, pilih sahaja Find X9 standard.

    Buat masa ini, tidak banyak alternatif yang setaraf dengan Find X9 kerana ia merupakan telefon flagship 2025/2026 pertama yang dilancar di Malaysia. Alternatif yang paling dekat pun adalah telefon-telefon flagship generasi sebelumnya seperti OPPO Find X8 (RM3,399) jika anda masih mahukan kamera Hasselblad, Samsung Galaxy S25 (RM3,399) jika anda mahukan fungsi AI yang pelbagai atau vivo X200 (RM3,299) jika anda mahukan teknologi kamera Zeiss.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    DJI Osmo Pocket 4P dilancar: Kamera poket pertama dengan dwi-kamera dan zum optikal 3x

    DJI secara rasmi melancarkan Osmo Pocket 4P iaitu kamera gimbal poket pertama mereka yang hadir dengan dua kamera utama selepas pelancaran Osmo...

    HONOR X80 Pro Max tertiris – Bateri 11,000mAh, telefon pertama dengan SD 6 Gen...

    HONOR nampaknya bersedia meneruskan trend bateri besar untuk siri pertengahan mereka apabila khabar angin terbaharu mendakwa HONOR X80 Pro Max akan hadir...

    LRT3 dijangka mula operasi menjelang penghujung bulan ini

    Selepas beberapa kali mengalami perubahan jadual operasi sebelum ini, projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) kini dilihat semakin hampir untuk menerima penumpang...

    Pengecasan EV kini lebih “autopilot” dengan lengan robot baharu Xiaomi

    Xiaomi Auto memperlihatkan teknologi baharu dikenali sebagai lengan robot pengecas yang direka untuk mengautomasikan proses pengecasan kenderaan elektrik (EV) di rumah. Produk...

    Waze akhirnya tambah ciri lampu isyarat dalam navigasi – Dilancar secara berperingkat

    Waze dilaporkan mula melancarkan ciri baharu yang memaparkan lokasi lampu isyarat secara terus pada paparan navigasi aplikasi tersebut. Ciri tersebut sebelum ini...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...