OPPO Malaysia telah melancarkan tablet kelas pertengahan OPPO Pad 3 Matte Display Edition sebagai tabletnya yang ternipis setakat ini, bagi memuaskan para pelanggan yang mengutamakan ciri mudah dibawa pada peranti mereka. Dengan harga bermula RM1,999, tablet ini pasti akan dipertimbangkan oleh anda yang inginkan tablet untuk ganti komputer riba dalam tugasan harian.
Selain itu, ia juga dilengkapi beberapa fungsi kecerdasan buatan (AI) yang telah direka khas untuk meringkaskan pelbagai fungsi yang berkaitan produktiviti. Jadi adakah ini tablet paling sesuai untuk harga sedemikian? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.
Daripada segi rekaan, tiada yang istimewa pada OPPO Pad 3. Bahagian belakangnya mempunyai permukaan besi berwarna perak yang nampak biasa sahaja, dengan corak garisan membulat yang berpusat pada bonggol kamera. Bonggol kameranya tertimbul sedikit daripada permukaan belakang, namun ia tidaklah terlalu tebal. Bahagian sisinya pula membulat sedikit.




Tablet ini mempunyai ketebalan 6.29mm sahaja, jadi ia sangat mudah dimasukkan ke dalam beg. Malah dengan berat sekitar 536 gram sahaja (tidak termasuk papan kekunci), ini memang produk yang menarik jika anda ingin menggantikan komputer riba sebagai peranti produktiviti anda.
Di hadapan, ia mempunyai skrin LCD berukuran 11.61 inci dengan resolusi 2800×2000 dan kadar segar semula yang tinggi sehingga 144Hz. Meskipun ia tidak menggunakan panel OLED, saya masih berpuas hati dengan kualiti imej yang dipaparkan pada skrin ini, dengan warna yang memuaskan serta animasi yang sangat lancar apabila ditatal, hasil daripada kadar setinggi 144Hz.
Satu isu yang mungkin agak merisaukan adalah kecerahan puncaknya yang sekadar 700 nits, jadi ia tidak cukup terang jika anda ingin gunakan tablet ini bawah cahaya matahari terik kerana efek silau akan menyukarkan anda melihat skrin ini.
Walaupun begitu, satu manfaat unik yang ada pada skrin tablet ini adalah permukaan pusam (matte) yang akan mengurangkan efek silau jika anda menggunakan skrin ini dalam situasi yang terang. Selain itu, jika anda ingin menggunakan stilus untuk menulis atau melukis pada skrin tablet ini, permukaan pusam akan menghasilkan pengalaman mirip kertas dan meningkatkan keselesaan anda.

Tidak banyak tablet dalam pasaran yang menawarkan skrin permukaan pusam seperti ini. Satu tablet yang menawarkannya adalah HUAWEI MatePad Pro 12.2, namun ia dijual pada harga lebih mahal dan umum diketahui, produk HUAWEI tidak menyokong perkhidmatan Google. Jadi jika anda inginkan tablet pusam yang boleh gunakan aplikasi Google, OPPO Pad 3 memang sesuai.
Di bahagian atas skrin pula terdapat kamera hadapan yang terletak dalam sempadan bezel, jadi ia tidak akan mengganggu pengalaman tontonan anda. Kamera ini mempunyai sensor 8MP yang berfungsi dengan baik untuk panggilan video.
Prestasinya pula berasaskan cipset MediaTek Dimensity 8350 yang boleh menghasilkan prestasi memuaskan untuk kegunaan biasa seperti menaip dokumen atau melayari laman web. Jika anda ingin mainkan game pada tablet ini, jangan jangkakan prestasi grafik yang tinggi. Saya memainkan game lumba kereta CarX Street dan sebaik sahaja saya meningkatkan tetapan grafik ke tahap tertinggi dengan kadar bingkai tanpa had, saya boleh rasakan bahawa kadar bingkainya menurun dengan agak mendadak dan saya tidak boleh nikmati pengalaman gaming yang lancar. Jika saya turunkan tetapan grafik, ia boleh dimainkan dengan selesa.

Untuk memori, ia mempunyai RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Malangnya, storan tidak boleh dibesarkan dengan kad memori microSD.
Sewaktu anda menonton video atau bermain game, tablet ini mempunyai empat pembesar suara Hi-Res yang menghasilkan kualiti audio yang memuaskan. Kualiti audio bukanlah tarikan utama untuk tablet ini, namun ia boleh difahami kerana ini hanyalah produk kelas pertengahan.
Baterinya berkapasiti 9,520mAh dan mampu menghasilkan screen-on-time sekitar 13 jam. Untuk pengecasan, ia menyokong kadar 67W SUPERVOOC melalui port USB-C namun malangnya pengecas tidak disertakan dalam kotak. Sewaktu saya mengecas tablet ini dengan pengecas pihak ketiga dengan kadar 65W, pengecasan penuh mengambil masa sekitar satu jam setengah. Jika anda gunakan pengecas 67W SUPERVOOC yang rasmi, mungkin anda boleh mengecasnya dengan lebih cepat.


Kini mari kita beralih kepada fungsi AI yang hangat diperkatakan dalam industri sejak tahun lalu. Untuk OPPO Pad 3, ia menawarkan AI Intelligent Document yang boleh merumuskan artikel panjang (Document Summary), menulis semula teks kepada nada yang lebih santai atau profesional (AI Rewrite) dan menterjemah kepada bahasa lain (Document Translation). Semua ciri ini berfungsi dengan baik, dan lebih menarik adalah ia turut menyokong penterjemahan kepada Bahasa Melayu yang pada masa ini masih kurang ditawarkan oleh jenama lain.
Daripada segi multi-tugas, tablet ini boleh buka tiga aplikasi serentak supaya anda boleh manfaatkan skrin 11.61 inci sepenuhnya untuk produktiviti tinggi.




Satu lagi fungsi yang saya gemar ialah AI Recording Summary yang akan menganalisis klip audio panjang, kemudian menyediakan transkrip serta ringkasan atau penterjemahan kepada bahasa lain. Saya menggunakan fungsi ini untuk meringkaskan podcast dan saya mendapati kualiti transkrip dan ringkasannya agak tepat, walaupun bukan tepat sepenuhnya. Sekali lagi, fungsi ini menyokong audio dalam Bahasa Melayu.
Jangan lupa bahawa tablet ini mempunyai kamera belakang 8MP yang boleh menghasilkan gambar dengan kualiti yang sederhana. Besar kemungkinan, anda tidak akan gunakan kamera pada tablet ini sebagai kamera utama anda, namun ia mungkin sesuai jika anda sekadar ingin menangkap gambar ringkas untuk dikongsi bersama rakan-rakan.



Secara keseluruhan, OPPO Pad 3 Matte Display Edition adalah tablet kelas pertengahan yang mantap jika anda sekadar ingin gunakannya sebagai peranti produktiviti sewaktu kerja atau pembelajaran. Ia mungkin tidak menghasilkan pengalaman tontonan visual yang terbaik atau prestasi terpantas untuk gaming, namun skrin pusam akan memberikan pengalaman menulis yang sangat bagus dan fungsi-fungsi AI memang sangat membantu untuk meringkaskan tugasan produktiviti anda.
Jika anda membelinya pada waktu ini di laman web OPPO Malaysia, anda boleh dapatkan papan kekunci OPPO Pad 3 Smart Keyboard (bernilai RM499) secara percuma, namun ia bergantung kepada stok. Untuk stilus OPPO Pencil 2 pula, ia perlu dibeli secara berasingan pada harga RM199.
Spesifikasi OPPO Pad 3 Matte Display Edition
- Skrin LCD 11.61 inci, resolusi 2800×2000, nisbah aspek 7:5, kadar segar semula 144Hz, kecerahan puncak 700 nits
- Cipset MediaTek Dimensity 8350
- RAM 8GB
- Storan dalaman 256GB
- Kamera belakang 8MP
- Kamera hadapan 8MP
- Bateri 9,520mAh
- Pengecasan pantas 67W SUPERVOOC
- Sistem operasi Android 15 dengan ColorOS 15.0
- Menyokong Wi-Fi 6, Bluetooth 5.4
- 4 pembesar suara
- Port USB-C
- Ukuran 257.75 x 189.11 x 6.29mm | berat 536 gram
Kelebihan: Rekaan nipis, skrin matte yang seronok untuk menulis dan melukis, pelbagai fungsi AI produktiviti
Kekurangan: Rekaan tidak menarik, prestasi gaming sederhana
Kesimpulan: Tablet sesuai untuk gantikan tugas produktiviti dalam komputer riba