fbpx
More

    Ulasan OPPO Reno7 Pro 5G – Raja mod potret dalam kamera telefon

    Baru-baru ini, OPPO telah melancarkan model terbaru dalam siri telefon kelas pertengahan Reno iaitu OPPO Reno7 yang terdiri daripada OPPO Reno7 5G dan OPPO Reno7 Pro 5G. Kali ini, OPPO memasarkan siri telefon ini sebagai Portrait Expert kerana mereka telah memfokuskan pada prestasi mod potret dalam kamera telefon ini bagi menghasilkan mod potret yang paling cantik.

    Dengan harga setinggi RM2,999, adakah OPPO Reno7 Pro 5G layak menggelarkan dirinya sebagai “pakar potret”, ataupun ia sekadar omong kosong sahaja? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahui lebih lanjut

    Rekaan – Memang nampak sangat premium

    Siri OPPO Reno memang terkenal sebagai siri telefon kelas pertengahan yang mempunyai rekaan mewah, dan OPPO Reno7 Pro 5G meneruskan legasi tersebut. Untuk telefon ini yang mempunyai warna biru Startrails Blue, ia telah dibuat dengan teknologi Laser Direct Imaging (LDI) yang membuatkan permukaan belakang telefon ini mempunyai corak garisan yang sangat berkilauan. 

    Warnanya juga boleh berubah di antara merah dan biru muda jika anda sengetkan telefon ini. Permukaannya mempunyai sudahan pusam (matte) kemas dan tidak akan meninggalkan kesan cap jari jika anda memegangnya. Terdapat sebuah logo OPPO yang kecil di bahagian bawah, namun ia tidak terlalu menonjol. Jika anda sengetkan telefon ini pada sudut tertentu, logo tersebut hampir tidak kelihatan.

    Bonggol kameranya pula kali ini jauh berbeza berbanding Reno6 Pro sebelum ini, di mana Reno7 Pro mempunyai dua lensa bersaiz besar, dua lensa bersaiz kecil dan satu lampu kilat LED. Selain itu, bonggol kamera telefon ini mempunyai dua “tangga” kerana satu lensa adalah lebih tebal berbanding lensa lain.

    Satu ciri menarik pada bonggol kameranya adalah ia akan menyala sewaktu anda mengecas telefon atau mendapat notifikasi. Saya mendapati cahaya bernama Orbit Breathing Light amat berguna untuk memaklumkan notifikasi kepada saya atau bateri sudah penuh sewaktu saya meletakkannya dengan skrin menghadap ke bawah.

    Di bahagian sisi pula, Reno7 Pro mempunyai sisi yang rata dan membuatkannya nampak seperti sebuah telefon andalan (flagship). Sisi yang rata ini juga bermakna telefon ini boleh berdiri tegak jika ia diletakkan atas permukaan rata. 

    Sisi yang rata membenarkan Reno6 Pro untuk “berdiri” sendiri
    Bonggol kameranya menyala sewaktu anda mengecas atau menerima notifikasi

    Sisi kanan menempatkan butang kuasa, manakala sisi kiri pula menempatkan butang kawalan audio. Di bawah, ia mempunyai satu pembesar suara, port USB-C dan ruang dwi-kad SIM. Malangnya, telefon ini tidak mempunyai sokongan kad memori microSD dan bicu audio 3.5mm.

    Di hadapan, ia mempunyai skrin berukuran 6.5 inci dengan sebuah lubang punch hole kecil di bahagian atas kiri untuk kamera swafoto. Sempadan bezel skrin pula adalah sangat nipis di semua sisi. Dengan berat 180 gram dan ketebalan 7.45mm sahaja, Reno7 Pro adalah sebuah telefon yang mudah untuk dipegang.

    Kandungan kotak Reno7 Pro

    Spesifikasi – Taraf “flagship” untuk 2021

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO Reno7 Pro 5G:

    • Skrin AMOLED resolusi FullHD+, 6.5 inci, kadar segar semula 90Hz, kecerahan 920 nits, dibina dengan kaca Gorilla Glass 5
    • Cipset MediaTek Dimensity 1200 Max 5G
    • RAM 12GB, boleh dibesarkan dengan DRE sebanyak 3GB, 5GB atau 7GB
    • Storan dalaman UFS3.1 256GB
    • Kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX766 + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP
    • Kamera swafoto 32MP
    • Bateri 4,500mAh
    • Pengecasan pantas 65W SuperVOOC
    • Perisian ColorOS 12 berdasarkan Android 11
    • Pembesar suara stereo
    • Pengimbas cap jari optikal bawah skrin

    Dengan panel AMOLED dan kadar segar semula 90Hz, skrin Reno7 Pro boleh menghasilkan imej yang sangat cantik dan lancar untuk sebarang bentuk kandungan. Kaca Gorilla Glass 5 juga bermaksud telefon ini mempunyai skrin yang agak kukuh, walaupun tidak setanding dengan kaca Gorilla Glass Victus. Di bawah cahaya terik pula, ia boleh menjana kecerahan sekadar 920 nits sahaja, jadi ia tidak cukup terang untuk digunakan bawah matahari terik.

    (Kiri) Tetapan warna untuk skrin Reno7 Pro, (kanan) tetapan kadar segar semula antara 60Hz atau 90Hz

    Daripada segi cipset, ia dilengkapi MediaTek Dimensity 1200 Max 5G yang dibuat dengan nod proses 6nm, jadi ia boleh menghasilkan prestasi yang sangat pantas untuk semua kegunaan termasuk tugas berat seperti bermain game. Cipset ini sebenarnaya adalah sebuah cipset andalan untuk 2021, jadi walaupun ia bukan lagi cipset MediaTek tercanggih pada 2022, ini tidak bermaksud Dimensity 1200 Max tidak boleh menghasilkan prestasi yang pantas.

    RAM dalam Reno7 Pro mempunyai kapasiti yang agak besar iaitu 12GB. Pada pendapat saya, ini sudah cukup untuk kebanyakan pengguna namun jika itu masih tidak cukup untuk anda, anda boleh gunakan fungsi Dynamic RAM Expansion (DRE) untuk menambah RAM sebanyak 3GB, 5GB atu 7GB, menjadikan RAM keseluruhan dalam telefon ini sebanyak 19GB.

    (Kiri) spesifikasi Reno7 Pro, (kanan) tambahan RAM DRE
    Rupa Home Screen ColorOS 12 dengan ikon berbentuk petak

    Sewaktu berinteraksi dengan telefon ini pula, ia dilengkapi perisian ColorOS 12 berdasarkan Android 11. Secara keseluruhan, ia menawarkan antara muka (UI) yang mudah difahami dan menawarkan beberapa fungsi unik seperti PC Connect dan Omoji, namun anda perlu mempunyai akaun OPPO untuk mengakses ciri ini. Pada waktu ulasan ini ditulis, Reno7 Pro masih mempunyai Android 11, jadi ia mungkin akan menerima Android 12 dalam masa beberapa minggu lagi.

    Untuk tujuan keselamatan, telefon ini mempunyai pengimbas cap jari optikal di bawah skrin dan ia berfungsi dengan sangat pantas. Selain itu, anda juga boleh gunakan fungsi pengimbasan muka dan ia turut berfungsi dengan pantas kecuali dalam suasana malap. Untuk audio, Reno7 Pro mempunyai pembesar suara stereo yang memuaskan untuk telefon kategori ini.

    Prestasi – Mod Portrait cantik dalam gambar dan video

    OPPO Reno7 Pro 5G berjaya mencatatkan markah yang agak tinggi dalam ujian penanda aras GeekBench dan 3DMark. Sungguh pun begitu, ia masih ketinggalan berbanding telefon lain yang mempunyai cipset lebih canggih untuk tahun 2022 ini.

    Dengan cipset Dimensity 1200 Max 5G, sebarang aplikasi yang anda buka dalam Reno7 Pro boleh diakses dengan sangat pantas. Malah, jika anda merupakan seorang pengguna yang kerap membuka banyak aplikasi serentak, fungsi DRE boleh menyediakan RAM sehingga 19GB jadi telefon tidak akan menjadi perlahan sewaktu anda membuat kerja multi-tugas. Skrin yang mempunyai kadar 90Hz juga menambahkan lagi pengalaman lancar sewaktu menggunakan telefon ini.

    Saya telah mencuba beberapa game seperti Asphalt 9, PUBG Mobile dan Genshin Impact dan ketiga-tiga game boleh dimainkan dengan tetapan grafik tertinggi tanpa banyak masalah. Permukaan belakang telefon juga tidak menjadi terlalu panas walaupun selepas bermain selama satu jam.

    Daripada segi hayat bateri, Reno7 Pro berkapasiti 4,500mAh dan boleh bertahan selama sehari tanpa sebarang masalah. Saya berjaya mencatatkan masa penggunaan skrin (screen on time) selama hampir 12 jam, iaitu tempoh yang sangat cemerlang untuk telefon kelas pertengahan. Hayat baterinya boleh dipanjangkan lagi dengan Power Saving Mode atau Super Power Saving Mode yang boleh bertahan sehingga tiga hari, namun prestasi telefon akan diturunkan dengan ketara.

    Turut mendampingi prestasi bateri cemerlang ini adalah teknologi pengecasan pantasnya iaitu 67W SuperVOOC. Walaupun dengan kapasiti 4,500mAh, ia boleh dicas penuh dalam masa sekitar 40 minit sahaja daripada 1%. Lagi pun, pengecasnya turut disertakan dalam kotak jadi anda boleh memanfaatkan pengecasan pantas ini tanpa perlu membeli pengecas pihak ketiga.

    Saya berjaya merekod “screen on time” selama hampir 12 jam dengan cas bateri penuh
    Pengecasan dari 1% ke 99% mengambil masa 45 minit (7:54pm ke 8:39pm)

    Sekarang mari kita beralih kepada bahagian kamera pula. Sekali pandang, kameranya mempunyai UI yang serupa dengan kebanyakan telefon pintar lain, namun apabila anda mengakses mod Portrait, anda boleh mengakses ciri yang unik untuk siri Reno7 iaitu AI Colour Portrait dan Bokeh Flare Portrait. Inilah ciri yang akan membuatkan gambar potret anda nampak jauh lebih cantik berbanding gambar daripada telefon lain.

    AI Colour Portrait akan membuatkan latar belakang menjadi hitam putih, namun badan dan muka anda masih kekal berwarna. Bokeh Flare Portrait pula membuatkan efek kabur di latar belakang nampak lebih halus dengan bebola cahaya cantik, membuatkannya nampak seperti gambar yang diambil daripada kamera DSLR.

    (Kiri) UI kamera, (tengah) pilihan filter untuk Mod Potret, (kanan) lebih banyak mod dalam “More”

    Selain itu, pemisahan di antara subjek dengan latar belakang juga nampak sangat kemas dalam kebanyakan gambar Portrait, dengan sedikit sahaja kesilapan.

    Di samping mod Portrait, gambar dalam mod auto juga dihasilkan dengan cantik dalam semua lensa. Ini tidak menghairankan kerana sensor Sony IMX766 dalam telefon adalah sensor kamera yang kerap digunakan dalam telefon pintar andalan.

    Untuk rakaman video pula, Reno7 Pro boleh merakam dalam resolusi 4K pada kadar 30fps. Rakaman video masih menyokong fungsi AI Colour Portrait dan Bokeh Flare Portrait untuk efek yang sangat artistik, dan pemisahan antara subjek dengan latar belakang masih nampak kemas walaupun ia tidak sempurna. Sewaktu merakam sambil berjalan pula, telefon ini mempunyai penstabilan elektronik (EIS) untuk mengurangkan gegaran dalam video.

    Jika dibandingkan dengan Cinematic Mode dalam iPhone 13, saya rasa Reno7 Pro boleh menghasilkan efek kabur yang lebih cantik terutamanya dalam Bokeh Flare Portrait.

    Kesimpulan – Pilihan terbaik untuk penggemar mod Potret

    Jika anda sedang mencari telefon yang boleh menghasilkan gambar mod Portrait yang paling cantik, OPPO Reno7 Pro 5G adalah telefon untuk anda. Telefon ini menawarkan kamera yang setaraf dengan telefon andalan lain namun daripada segi spesifikasi, ia lebih rendah sedikit berbanding telefon andalan lain. Oleh yang demikian, Reno7 Pro juga adalah telefon yang sesuai jika anda inginkan kamera tercanggih namun tidak peduli tentang spesifikasi terpantas.

    Jika Reno7 Pro yang berharga RM2,999 ini terlalu mahal, anda boleh dapatkan OPPO Reno7 5G (RM1,999) yang turut menawarkan fungsi kamera Portrait sama dengan Reno7 Pro, namun dengan rekaan yang berlainan, skrin lebih kecil dan cipset MediaTek Dimensity 900 yang tidak sepantas Dimensity 1200 Max. Alternatif lain yang sesuai untuk Reno7 Pro 5G termasuklah Samsung Galaxy S21 FE (RM3,099), vivo X70 (RM2,499) dan iPhone 12 mini (RM2,899).

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Maybank bakal gantikan pemberitahuan SMS kepada pop timbul aplikasi bermula 22 April ini

    Maybank mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan dasar pemberitahuan baharu mulai 22 April 2024 dan akan menggunakan pemberitahuan pop timbul aplikasi (APP) untuk...

    Polis: Orang ramai diingatkan berwaspada tentang kecurian data menggunakan kod QR

    Polis memberi amaran kepada orang ramai tentang strategi pancingan data baharu di mana penipu menyampaikan hadiah seperti botol air dengan kod QR...

    Apple mengalih keluar WhatsApp dan Thread daripada App Store di China

    Menurut Reuters, Apple melaporkan bahawa Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta Apple untuk mengalih keluar aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store...

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X