fbpx
More

    Ulasan OSIM x Predator: Gabungan mantap kerusi “gaming” dengan kerusi urut!

    Dengan situasi pandemik yang masih tidak nampak penghujungnya, pastinya ramai di antara kita yang akan bekerja di rumah dalam masa terdekat. Di samping komputer dan peranti elektronik yang penting untuk pekerjaan dalam rumah, kerusi juga memainkan peranan kerana anda akan duduk berjam-jam sewaktu bekerja. Oleh yang demikian, mutu kerusi terutamanya daripada segi ergonomik akan mempengaruhi prestasi kerja anda.

    Tidak lama dahulu, jenama kerusi urut OSIM telah bekerjasama dengan Acer untuk menghasilkan kerusi gaming OSIM x Predator yang dijual pada harga RM2,799. Jadi adakah kerusi urut gaming ini kerusi yang sesuai digunakan oleh anda untuk duduk berjam-jam sewaktu gaming atau bekerja?

    Rekaan – Nampak seperti kerusi gaming lain, namun segala fungsinya berada di bawah perehat tangan

    Unit OSIM x Predator yang saya dapat berwarna hitam sepenuhnya dan datang dengan dua kusyen yang boleh dicabut iaitu kusyen kepala (headrest) dan kusyen lumbar untuk diletakkan di belakang badan.

    Kerusi dan kusyen-kusyennya dibuat daripada kain kulit PVC dengan busa memori (memory foam) yang boleh berubah bentuk mengikut bentuk badan pengguna. Bentuk asalnya mempunyai ketahanan yang tinggi dan akan kembali ke bentuk asal walaupun setelah anda duduk di atasnya.

    Secara keseluruhan, ia tidak banyak bezanya dengan kerusi-kerusi gaming lain. Jika logo pada kusyen kepalanya dibuang, ia akan nampak serupa seperti kerusi pejabat yang dibuat dengan bahan bermutu tinggi. Buat mereka yang menggemari rekaan dengan stail gaming, anda boleh pilih kerusi dengan gabungan warna biru dan hitam. Warna hitam yang saya dapat ini sesuai digunakan oleh mereka yang menyukai rekaan sederhana.

    Logo-logo OSIM dan Predator jelas terpampang di kusyen kepala, serta bahagian kanan dan belakang kerusi. Logo ini dijahit dan bukannya sekadar dicetak, jadi anda tidak perlu risau jika logo ini akan pudar dalam masa beberapa tahun.

    Walau bagaimanapun, keselesaan adalah ciri yang lebih penting daripada reka bentuk. Sebaik sahaja saya duduk buat pertama kali di atas kerusi ini, saya dapat rasakan keselesaan kerusi yang sinonim dengan produk OSIM. Ia tidak terlalu lembut atau keras serta membuatkan saya rasa lega duduk di atasnya. Selepas menggunakannya selama hanya beberapa hari, saya tidak boleh kembali menggunakan kerusi biasa.

    Perlu diingati bahawa memandangkan ini juga adalah sebuah kerusi urut, beratnya adalah lebih tinggi berbanding kerusi biasa. Selain itu, ia juga mempunyai wayar untuk menyalurkan elektrik kepada motor-motor urut di dalam kerusi ini. Berusi yang berat ini juga bermakna ia sukar untuk bergelongsor dan tidak akan banyak mengganggu anda sewaktu bermain game kerana anda lebih stabil.

    Terdapat ruang letak tangan di kiri dan kanan kerusi ini. Alat kawalan untuk fungsi-fungsi urut berada di bahagian kanan namun ia tidak akan mengganggu jika anda sekadar ingin meletakkan di tangan di atasnya. Tempat letak tangan serta posisi kusyen kepala juga boleh dilaraskan ke atas dan bawah tanpa sebarang sekatan.

    Satu ciri yang menarik pada kusyen kepala ini adalah pada bahagian sisinya yang terdapat lubang-lubang kecil. Ini sebenarnya adalah pembesar suara Bluetooth yang turut disertakan dalam kerusi ini. Kualiti bunyinya adalah baik, malah anda tidak perlu lagi memakai fon telinga dalam tempoh yang lama dan boleh menyakitkan telinga.

    Sudut sandar kerusi ini boleh dilaraskan sehingga 145 darjah, jadi kalau anda penat sewaktu bekerja atau bermain game, anda boleh baring di atas kerusi ini dengan meratakannya seperti katil kecil. Saya sendiri gemar menggunakan kerusi OSIM x Predator seperti ini sewaktu menonton TV.

    Sewaktu anda memainkan game atau siri televisyen pula, anda boleh gunakan pembesar suara di dalam kerusi jika anda rasa seperti tidak selesa memakai fon kepala. Kalaulah ada kusyen kaki pada kerusi ini, pastinya ia sudah sempurna.

    Prestasi – Sedap urut, tapi mungkin di luar waktu gaming

    Kerusi gaming OSIM x Predator mempunyai tiga mod urut utama: memicit (kneading), menepuk (tapping) dan menyapu (rolling). Ia menggunakan teknologi urut OSIM V-Hand dengan bebola urut 360 darjah yang direka untuk menghasilkan pengalaman urut mirip urutan sebenar. Anda boleh mengakses kawalan urut di tempat letak tangan sebelah kanan.

    Selain mengawal mod urutan, anda juga boleh mengawal posisi dan kelebaran alat pengurut menggunakan butang atas atau bawah pada alat pengawal. Malangnya, anda tidak boleh mengawal kekuatan mesin urut mengikut kehendak anda.

    Ilustrasi bebola urut 360 darjah dalam kerusi OSIM x Predator

    Selepas menekan butang atas atau bawah, mesin urut akan mengikut kehendak anda namun ia bergerak agak perlahan ke posisi yang diinginkan. Untuk memudahkan anda, OSIM sudah pun menyediakan tiga program urutan automatik yang merangkumi bahagian bahu, leher, tulang belakang dan pinggang.

    Saya sendiri menggemari mod memicit, di mana memang saya rasa seperti terdapat tangan yang mengurut badan saya. Daripada segi menepuk, pada mulanya saya berpendapat bahawa bola pengurutnya agak keras jadi saya terasa sakit sedikit sewaktu ia menepuk belakang saya. Namun tidak lama kemudian, saya sudah terbiasa dengannya dan merasakan tepukannya agak selesa. Memandangkan tahap keselesaan adalah berbeza untuk setiap individu, anda boleh cuba sendiri kerusi ini di kedai OSIM untuk menilainya.

    Mod memicit dan menyapu adalah cukup lembut untuk digunakan sewaktu bermain game, namun mod menepuk hanya sesuai digunakan sewaktu anda duduk berehat di atas kerusi ini. Memandangkan tepukannya agak kuat, ia mungkin boleh mengganggu prestasi gaming anda jika anda mengaktifkannya sewaktu bermain game. Malah sewaktu menaip pun, tepukan kerusi ini masih menganggu.

    Satu ciri menarik pada kerusi ini adalah sepasang pembesar suara Bluetooth di bahagian sisi. Cara memasangnya amat ringkas, anda hanya perlu cari nama peranti OSIM-B508D316 dalam senarai peranti Bluetooth yang boleh dihubungkan. Setiap kali pembesar suara ini dihidupkan, ia akan dihubungkan secara automatik kepada peranti yang telah dihubungkan sebelumnya.

    Kualiti bunyinya adalah seperti audio yang dihasilkan daripada pembesar suara komputer riba, jadi anda tidak boleh jangkakan mutu bunyi yang tinggi. Walau bagaimanapun, ia boleh memainkan bunyi dengan kuat. Walaupun dengan kelantangan suara maksium, mutu bunyi tidak pecah. Anda boleh menikmati mutu bunyi terbaik jika anda betul-betul meletakkan kepala di bahagian headrest.

    Saya sendiri gemar menggunakan kerusi ini untuk menonton drama dan filem seram. Bunyi yang datang daripada sisi kerusi adalah sangat dekat dengan telinga, meningkatkan lagi saspens daripada filem seram. Saya rasa penggunaannya akan lebih elok jika saya boleh melaras tahap kelantangan suara serta menjeda muzik menggunakan alat kawalan urut.

    Kesimpulan – Bukan sahaja untuk gamers, ia boleh dimanfaatkan oleh orang yang duduk lama

    Walaupun ia diberi nama kerusi gaming, kegunaannya bukan dihadkan kepada gamers sahaja malah ia sesuai digunakan untuk orang yang meluangkan masa yang lama duduk di atas kerusi. Selagi anda mempunyai bajet yang cukup, OSIM x Predator adalah kerusi urut yang mantap.

    Malah, ia boleh menjadi sangat berbaloi untuk anda. Harga kerusi gaming yang bagus bermula daripada RM1,500 manakala kerusi urut pula RM3,000. Jika anda mendapatkan kerusi OSIM x Predator, anda boleh dapatkan kedua-dua produk dalam satu kerusi yang mantap berharga RM2,799. Walau bagaimanapun, saiznya yang berat membuatkan ia sukar digunakan oleh mereka yang kerap bertukar-tukar posisi di rumah atau tempat kerja.

    Kelebihan – Kerusi e-sukan dengan fungsi urut yang pelbagai, dijual pada harga berpatutan. Terdapat juga sepasang pembesar suara dalaman.

    Kekurangan – Tidak boleh melaraskan kekuatan urut, tiada kusyen kaki

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan kerusi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Fahmi Fadzil: Kerajaan akan bincang mengenai model rangkaian dwi 5G minggu depan

    Satu mesyuarat mengenai model rangkaian dwi 5G dijangka diadakan minggu depan menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Beliau mendedahkan perkara ini semasa pelancaran...

    Jualan Xiaomi 14 Ultra catat peningkatan lebih 4 kali ganda berbanding Xiaomi 13 Ultra

    Telefon pintar andalan terbaru daripada Xiaomi, Xiaomi 14 Ultra, baru sahaja dilancar pada awal bulan ini dan ia telah pun mencatatkan jumlah...

    Samsung Galaxy AI akan ditawarkan kepada lebih banyak peranti selain Galaxy S24

    Sewaktu pelancaran siri Samsung Galaxy S24 pada awal tahun ini, Samsung telah melancarkan beberapa fungsi berdasarkan kecerdasan buatan (AI) iaitu Galaxy AI....

    Tengku Zafrul: Perodua akan hasilkan EV mampu milik pada 2025, perlu naikkan jumlah stesen...

    Pada awal tahun ini, Perodua dilaporkan sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa bagi menghasilkan kenderaan elektriknya (EV) yang pertama untuk pasaran...

    Siri vivo X Fold 3 rasmi sebagai telefon boleh lipat paling ringan, harga bermula...

    vivo telah melancarkan siri X Fold 3 hari ini di China dengan varian standard dan pro. Siri ini hadir dengan paparan OLED...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X