fbpx
More

    Ulasan POCO M3 Pro 5G – Kualiti yang sangat mantap untuk telefon kelas permulaan!

    Sejak POCO menjadi sebuah syarikat telefon pintar yang bergerak sendiri, penulis merasakan mereka telah menghasilkan pelbagai rekaan telefon pintar menawan yang menarik perhatian golongan muda. Selain itu, mereka juga terkenal dengan telefon yang dijual pada harga murah namun masih dilengkapi spesifikasi yang canggih, dan falsafah ini masih kekal untuk POCO M3 Pro 5G.

    Ia bukan sahaja menampilkan rekaan dan spesifikasi baru, malah merupakan telefon pertama dalam siri POCO M yang menyokong rangkaian 5G. Penulis telah pun menggunakan telefon ini selama beberapa minggu untuk mengulasnya, jadi ayuh lihat sama ada telefon ini bakal menjadi telefon baru anda!

    Rekaan – Rupa yang bergaya sambil mengekalkan keunikan POCO

    Tidak seperti POCO M3 sebelum ini yang dilengkapi permukaan belakang dibuat daripada kulit tiruan (faux leather), POCO M3 Pro 5G menampilkan permukaan belakang yang dibuat daripada kaca. Walaupun kaca nampak lebih menawan, ini juga bermaksud kesan cap jari boleh kelihatan dengan jelas pada badan telefon ini.

    Mujur sekali, POCO M3 Pro disertakan dengan sarung (casing) lutsinar silikon untuk melindungi badannya. Telefon ini ditawarkan dalam tiga warna iaitu kuning POCO Yellow, biru Cool Blue dan hitam Power Black iaitu warna yang diterima oleh penulis.

    Di bahagian sisi, anda boleh lihat rangka POCO M3 Pro yang dibuat daripada aluminium. Untuk bonggol kamera pula, ia disusun secara menegak di atas jalur berwarna hitam yang mempunyai logo POCO yang agak besar. Bonggol tersebut tidaklah begitu tebal dan telefon ini masih boleh diletakkan dengan rata di atas meja.

    Bahagian depan POCO M3 Pro mempunyai kamera swafoto di dalam lubang punch-hole di bahagian atas tengah, manakala sempadan bezel di bawah skrin pula agak tebal namun ia tidak mengganggu pengalaman tontonan pada skrin ini. Bahagian belakang telefon ini mempunyai sedikit lengkungan, membuatkannya mudah dipegang. Dengan berat 190 gram, ia juga tidaklah terlalu berat, jadi anda tidak akan mempunyai masalah untuk memegangnya dengan lama sewaktu bermain game.

    Buat para peminat tegar POCO pula, anda pasti akan menggemari pelekat POCO yang disertakan bersama telefon ini. Anda boleh hiaskan sarung telefon lutsinar dengan pelekat ini atau melekatkannya pada mana-mana barang milik anda untuk menzahirkan kesukaan anda terhadap jenama ini.

    Spesifikasi – Telefon 5G termurah?

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk POCO M3 Pro 5G:

    • Cipset Dimensity 700
    • Skrin LCD Full HD+ 90Hz 6.5 inci
    • RAM 4GB atau 6GB
    • Storan dalaman 64GB atau 128GB, boleh dibesarkan dengan microSD sehingga 1TB
    • Kamera utama 48MP + kamera makro 2MP + sensor kedalaman 2MP
    • Kamera swafoto 8MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 18W
    • Bicu audio 3.5mm, pemancar IR, NFC
    • Dwi-kad SIM
    • Pengimbas cap jari di bahagian sisi
    • Pilihan warna kuning POCO Yellow, biru Cool Blue dan hitam Power Black

    Dengan cipset MediaTek Dimensity 700, ia menjadikan POCO M3 Pro antara telefon 5G termurah pada waktu ini. Melihat pada skrinnya pula, ia menyokong kadar segar semula (refresh rate) sehingga 90Hz namun ia tidak mempunyai sebarang pelarasan kadar segar semula automatik bagi mengoptimumkan penggunaan bateri. Anda hanya boleh menetapkannya pada 60Hz atau 90Hz sahaja.

    Selain menawarkan mod gelap (dark mode) seperti kebanyakan telefon lain, POCO M3 Pro turut menawarkan reading mode yang terdiri daripada classic dan paper. Paper mode akan mengurangkan pancaran cahaya biru (blue light) agar mata anda boleh melihat skrin dengan lebih lama dan selesa. Sungguh pun begitu, penulis tidak melihat sebarang perbezaan jelas di antara classic dengan paper, jadi ia mungkin bukan tetapan yang terlalu penting.

    Pilihan kadar segar semula untuk POCO M3 Pro 5G
    Pilihan untuk reading mode
    Pengimbas cap jari di bahagian sisi

    Untuk tujuan keselamatan, ia turut menyokong pengimbasan muka dan pengimbas cap jari di bahagian sisi. Pengimbasan muka boleh dibuat dengan pantas walaupun dalam suasana malap, manakala pengimbas cap jari juga boleh dilakukan dengan kelajuan yang serupa.

    Sewaktu bermain game, telefon ini menawarkan perisian Game Assistant yang menawarkan pelbagai fungsi khas untuk gaming seperti penukar suara, perakam skrin dan kebolehan untuk telefon mengekalkan sesi gaming walaupun skrinnya telah dikunci (locked).

    Daripada segi bateri pula, kapasiti 5,000mAh dalam telefon ini akan menggunakan 10% cas bateri untuk menonton video selama 1 jam 36 minit dan 22% cas untuk tontonan selama 3 jam. Untuk game pula, sesi selama 30 minit akan menggunakan 8%-9% daripada cas bateri dan untuk sejam pula menggunakan sekitar 20%. Untuk penggunaan asas pula, pengecasan penuh boleh bertahan selama dua atau tiga hari.

    Bateri tersebut menyokong pengecasan pantas 18W, di mana pengecasan 0% ke 11% mengambil masa 17 minit, manakala pengecasan penuh pula sekitar dua jam iaitu agak lama untuk telefon yang dilancar pada 2021.

    Prestasi – “Gaming” dengan prestasi sederhana

    Berdasarkan perkhidmatan penanda aras Geekbench 5, POCO M3 Pro 5G merekodkan markah yang agak sederhana iaitu 558 mata untuk prestasi teras tunggal dan 1,579 mata untuk prestasi multi-teras.

    Sewaktu bermain game Honor of Kings, telefon ini masih boleh memainkannya dalam tetapan grafik ultra dengan kadar bingkai lancar. Walau bagaimanapun, kadang-kala game tersebut akan tersangkut sewaktu dimainkan jadi saya perlu menamatkannya dan memulakan game baru. Masalah ini masih wujud walaupun selepas saya membuang game ini dan memasangnya semula (reinstall).

    Untuk game dengan keperluan grafik tinggi seperti Genshin Impact, telefon ini mempunyai masalah untuk mengekalkan kadar bingkai sekata jika tetapan grafik diletakkan pada High. Oleh itu, ia lebih baik dimainkan dalam tetapan grafik Medium.

    Boleh memainkan Honor of Kings dengan grafik ultra

    Daripada segi haba, POCO M3 Pro 5G tidak menjadi terlalu panas sewaktu bermain game walaupun dalam game berprestasi tinggi seperti Genshin Impact. Penggunaan bateri juga adalah baik, jadi jangan risau untuk meluangkan masa yang lama bermain game dalam telefon ini kerana ia masih cukup untuk penggunaan sehari penuh.

    Beralih kepada bahagian fotografi, POCO M3 Pro 5G dilengkapi kamera utama 48MP, kamera makro 2MP dan sensor kedalaman 2MP. Mereka yang menginginkan kamera ultra-lebar akan kecewa dengan ketiadaannya dalam telefon ini.

    Walaupun ia adalah telefon kelas pertengahan, ia masih boleh menghasilkan gambar cantik dengan penghasilan warna yang tepat. Dalam waktu malap pula, ia boleh menerangkan gambar tanpa sebarang masalah overexposure. Berikut adalah contoh gambar yang diambil dengan telefon ini:

    Kesimpulan – Telefon kelas permulaan yang mantap

    Sebagai sebuah telefon pintar kelas permulaan, POCO M3 Pro 5G adalah antara pilihan terbaik pada tahun ini. Di samping kebolehannya untuk berhubung dengan rangkaian 5G, ia turut dilengkapi bateri besar 5,000mAh dan skrin kadar pantas 90Hz yang membuatkannya lebih canggih berbanding kebanyakan telefon kelas permulaan.

    Ia akan ditawarkan dalam dua varian memori iaitu 4GB+64GB berharga RM699 dan 6GB+128GB berharga RM799. Jika anda adalah seorang gamer santai atau sedang mencari telefon murah yang dilengkapi spesifikasi canggih.

    Alternatif yang sesuai kepada telefon ini adalah realme C25s (RM699) atau realme Narzo 30 (RM799). Mereka yang inginkan bateri lebih besar boleh dapatkan realme C25s manakala realme Narzo 30 pula menawarkan kadar pengecasan yang lebih pantas.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Diterjemahkan daripada TechNave CN

     

    Artikel Terkini

    Ant International tubuhkan Pusat Niaga Digital baharu di Malaysia, tawarkan lebih 500 peluang pekerjaan

    Syarikat pembayaran digital dan teknologi kewangan (fintech) antarabangsa, Ant International, mengumumkan penubuhan Pusat Niaga Digital yang terbaru di Malaysia, terletak dalam menara...

    Xsolla Curine Video Game Academy dibuka di Malaysia untuk bangunkan bakat pembina “game” tempatan

    Syarikat kewangan video game global, Xsolla, telah bekerjasama dengan syarikat pembina usaha niaga (venture builder) antarabangsa, Curine Ventures, untuk membuka Xsolla Curine...

    Siri HUAWEI Pura 70 dilancar: Kirin 9010 dan sensor kamera 1 inci 50MP bermula...

    HUAWEI telah memperkenalkan telefon andalan siri HUAWEI Pura 70 di China, menampilkan empat model iaitu Pura 70, Pura 70 Pro, Pura 70...

    TP-Link meperkenalkan WiFi 7 di Malaysia: Menggandakan kelajuan internet secara wayarles

    TP-Link, penyedia rangkaian WiFi dan peranti rumah pintar terkemuka di dunia, siap untuk merevolusi cara kita mengakses internet, sejajar dengan visi kerajaan...

    Siri Samsung Galaxy S25 dijangka sokong kemas kini AI Gemini Nano generasi ke-2 Google

    Samsung memperkenalkan Galaxy AI dengan siri Galaxy S24, bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Kini, khabar angin mencadangkan bahawa kemas kini Gemini Nano...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X