fbpx
More

    Ulasan POCO X4 GT – Telefon kelas pertengahan terbaik untuk “gaming”?

    POCO bukan lagi sebuah jenama yang asing dalam industri telefon pintar, lebih-lebih lagi dalam sektor telefon kelas pertengahan. Mereka sering melancarkan telefon yang dijual pada harga berpatutan namun dengan spesifikasi canggih, dan POCO X4 GT yang dilancar pada Jun lalu dilihat seperti sebuah lagi peranti berkualiti tinggi daripada syarikat China ini.

    Sungguh pun begitu, adakah ia cukup unik untuk dicadang kepada anda jika dibandingkan dengan puluhan lagi telefon kelas pertengahan dalam pasaran sekarang? Malah, POCO sendiri menawarkan beberapa lagi telefon pintar yang dijual pada harga serupa dengan POCO X4 GT, seperti POCO F4. Dalam ulasan ini, kami akan lihat sama ada telefon ini ada tarikannya sendiri.

    Rekaan – Nampak ringkas dengan sisi rata

    POCO X4 GT menampilkan rekaan yang ringkas di bahagian belakang, dengan permukaan matte rata dan tidak terlalu berkilauan. Di bawah, terdapat sebuah logo POCO 5G dan beberapa teks ringkas mengenai pembuatan telefon ini. Warna hitam yang kami terima ini masih mempunyai kilauan sedikit, di mana ia akan memantulkan cahaya secara ringkas jika disengetkan dalam sudut-sudut tertentu.

    Pemukaan matte ini juga bermakna kesan cap jari langsung tidak kelihatan pada bahagian belakang telefon, namun jika jari anda disaluti minyak atau peluh, ia masih boleh meninggalkan kesan yang jelas pada telefon ini. Untuk warna, POCO X4 GT turut ditawarkan dalam warna biru dan perak.

    Di bahagian sisi, ia mempunyai bingkai yang rata pada keempat-empat sisi namun bukanlah rata sepenuhnya. Bahagian sisi kanan menempatkan butang kawalan audio serta butang kuasa yang turut bertindak sebagai pengimbas cap jari.

    Bahagian bawah pula menempatkan pembesar suara, port USB-C dan dulang dwi-kad SIM, manakala di atas terdapat satu lagi pembesar suara dan bicu audio 3.5mm. Perlu diingati bahawa ia tidak menyediakan ruang untuk kad memori microSD. Secara keseluruhan, rekaan POCO X4 GT tidak memberikan sebarang ciri menonjol, jadi ia pasti akan menarik hati pelanggan yang inginkan telefon berprofil rendah.

    Spesifikasi – Skrin LCD saja, tapi cipset power

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk POCO X4 GT:

    • Skrin LCD 6.6 inci, nisbah aspek 20.5:9, resolusi 2460×1080, kadar segar semula 144Hz, kadar bacaan sentuh 270Hz
    • Gamut warna DCI-P3, Dolby Vision, kecerahan puncak 650 nits, dibina dengan Gorilla Glass 5
    • Cipset MediaTek Dimensity 8100
    • RAM LPDDR5 8GB
    • Storan UFS 3.1 128GB atau 256GB
    • Kamera utama 64MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP
    • Kamera swafoto 20MP
    • Bateri 5,080mAh
    • Pengecasan pantas 67W, pengecas disertakan dalam kotak
    • Sistem penyejukan LiquidCool Technology 2.0, kamar wap lebih besar sebanyak 32%
    • Pengimbas cap jari di bahagian sisi, port USB-C
    • Pembesar suara stereo Dolby Atmos
    • Pemancar IR, Bluetooth 5.3, Wi-Fi 6, NFC
    • Pilihan warna hitam, biru, perak

    POCO X4 GT menampilkan spesifikasi dalaman yang sangat menarik untuk harganya, terutamanya pada cipset MediaTek Dimensity 8100 yang dibina dengan nod proses TSMC 5nm. Walaupun ini bukanlah cipset MediaTek yang tercanggih pada tahun ini, prestasinya setaraf telefon pintar andalan (flagship) yang dilancar pada 2021 kerana nod proses 5nm yang sama dengan telefon-telefon tersebut. Oleh itu, anda boleh jangkakan prestasi gaming yang pantas pada telefon ini.

    Sungguh pun begitu, satu perkara yang mungkin akan mengecewakan anda adalah skrinnya yang mempunyai panel LCD sahaja, jadi ia tidak dapat menghasilkan warna yang lebih terang seperti dalam skrin AMOLED. Nisbah kontrasnya agak rendah iaitu 1,500:1, jadi warna yang dihasilkan tidak pekat, manakala kecerahan puncak sekadar 650 nits membuatkannya sukar untuk digunakan bawah cahaya matahari terik.

    Mujur sekali, skrin ini mempunyai kadar segar semula setinggi 144Hz jadi anda boleh alami gerakan yang lancar sewaktu menatal skrin.

    (Kiri) Tetapan warna skrin (kanan) pilihan kadar segar semula antara 60Hz, 90Hz atau 144Hz

    Ia turut mempunyai kapasiti bateri yang agak besar iaitu 5,080mAh, manakala kadar pengecasannya sangat pantas iaitu 67W. Lebih penting lagi adalah telefon ini turut disertakan bersama pengecasnya dalam kotak.

    Untuk antara muka (UI) pula, POCO X4 GT menggunakan MIUI 13 for POCO yang mudah untuk digunakan. Anda boleh ubah suai rupa UI anda dengan mendalam, manakala sewaktu bermain game pula, anda boleh aktifkan Game Turbo untuk mengakses pelbagai fungsi yang dikhaskan untuk gaming seperti rakaman skrin, halang mesej dan panggilan serta banyak lagi. Daripada segi bloatware, terdapat beberapa yang sudah siap dipasang dalam telefon ini namun tidak terlalu banyak.

    (Kiri dan tengah) Home Screen, (kanan) App Drawer
    Game Turbo boleh memberi akses cepat untuk pelbagai fungsi berkaitan gaming

    Untuk keselamatan, anda boleh membuka kunci (unlock) skrin telefon ini dengan pengimbas cap jari sisi atau pengimbasan muka dengan kamera swafoto. Kedua-duanya berfungsi dengan sangat pantas walaupun dengan jari basah atau dalam suasana yang malap. 

    Modul fotografi pula menampilkan kamera yang lengkap, dengan kamera utama 64MP, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP, manakala di hadapan terdapat kamera swafoto 20MP.

    Fungsi-fungsi kamera dalam POCO X4 GT

    Prestasi – Tiada masalah walaupun dengan gaming berat

    Sepanjang saya menggunakan telefon pintar ini, saya amat berpuas hati dengan prestasinya. Dengan cipset MediaTek Dimensity 8100, ia boleh membuka sebarang aplikasi harian dengan mudah seperti media sosial, permesejan dan tontonan video. Untuk game pula, ia boleh memainkan sebarang game terkini dengan baik. 

    Saya telah memainkan Asphalt 9, COD Mobile, Genshin Impact dan PUBG Mobile dalam peranti ini. Semua game boleh dimainkan dengan selesa pada tetapan grafik tertinggi, kecuali untuk Genshin Impact. Memandang game MiHoYo itu terkenal dengan keperluan grafik yang tinggi, saya merasakan POCO X4 GT tidak boleh memainkan game ini pada tetapan grafik tinggi dan sebaliknya harus direndahkan jika anda ingin memainkannya dalam tempoh yang lama.

    POCO X4 GT dilengkapi sistem penyejukan LiquidCool Technology 2.0, jadi adakah ia berkesan dalam mengekalkan suhu telefon dalam keadaan terkawal. Sepanjang ujian saya, walaupun saya memainkan game selama sejam, suhu telefon tidak rasa terlalu panas dan prestasi gaming masih kekal stabil. Ia akan jadi suam sedikit, namun ini adalah normal dan tidak peru dirisaukan.

    Satu perkara yang agak mengecewakan saya adalah pembesar suara stereo pada telefon ini. Kualiti bunyinya sekadar memuaskan, namun yang lebih mengecewakan saya adalah kelantangannya yang tidak begitu tinggi. Mujur ia masih mempunyai bicu audio 3.5mm, jadi buat para penggemar audio di luar sana, saya mencadangkan anda untuk menggunakan fon telinga untuk menikmati muzik atau game.

    Beralih ke bahagian bateri pula, ia boleh bertahan selama sehari dengan selesa. Sering kali, saya sering mempunyai baki sekitar 20 peratus di hujung hari. Anda juga boleh mengaktifkan Ultra Battery Saver yang boleh bertahan sehingga tiga hari, jika anda ingin memanjangkan hayatnya.

    Sewaktu mengecas pula, pengecasan penuh daripada 0 peratus akan mengambil masa sekitar 40 minit, iaitu tempoh yang sangat pantas untuk telefon kelas pertengahan.

    Peratus bateri daripada 100% ke 5% boleh menghidupkan skrin selama 10 jam 40 minit (1:51pm ke 12:31am)
    Pengecasan daripada 4% ke 99% mengambil masa 45 minit (9:27am ke 10:12am)

    Kini mari kita beralih ke bahagian fotografi pula. Seperti kebanyakan telefon pintar kelas pertengahan lain, kamera POCO X4 GT boleh menghasilkan kualiti gambar yang cantik di bawah cahaya terang. Saya berpuas hati dengan gambar yang diambil dengan kamera utama, kamera ultra-lebar dan kamera swafoto, namun kamera makro sekadar menghasilkan gambar yang kabur.

    Perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk penggambaran pada waktu malap. Kualiti gambar yang dihasilkan nampak sederhana sahaja, namun ini boleh dijangkakan untuk telefon kategori ini. 

    Untuk video, telefon ini boleh merakam dalam resolusi 4K 30fps dan kualitinya nampak serupa dengan fotografi. Satu ciri yang menarik adalah ciri penstabilan imej elektronik yang berfungsi dengan agak baik jika anda berjalan secara perlahan.

    Kesimpulan – Cipset bagus, skrin biasa

    POCO X4 GT menampilkan cipset yang sangat menarik untuk telefon kelas pertengahan iaitu Dimensity 8100 dan ia sememangnya adalah cipset yang bagus untuk pelbagai kegunaan. Selain itu, ia mempunyai hayat bateri yang panjang, pengecasan yang sangat pantas dan kamera yang elok untuk kegunaan harian. Walau bagaimanapun, kelemahan yang paling utama pada telefon ini adalah skrinnya yang tidak menghasilkan warna terang seperti dalam panel OLED.

    Oleh yang demikian, jika anda ingin mencari telefon pintar kelas pertengahan yang difokuskan untuk prestasi pantas sahaja dan tidak kisah mengenai kualiti skrin, POCO X4 GT adalah peranti yang sesuai untuk anda. Jika sebaliknya, terdapat banyak telefon lain di luar sana yang dijual pada harga sama dan mempunyai skrin OLED tetapi mungkin dengan cipset dan kadar pengecasan yang lebih perlahan.

    POCO X4 GT dijual pada harga bermula RM1,499 untuk varian 8GB+128GB. Jika anda tambah RM100, anda boleh dapatkan POCO F4 (RM1,599) yang mempunyai skrin AMOLED dan cipset Snapdragon 870. Alternatif lain yang sesuai termasuklah Samsung Galaxy A33 5G (RM1,499) namun ia tidak mempunyai pengecas dalam kotak dan bicu audio 3.5mm, serta realme 9 Pro+ 5G (RM1,499).

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar dengan ChatGPT terbina dalam bermula RM459

    Fon telinga terbaharu Nothing datang dalam dua model iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Nothing Ear ialah tawaran perdana baharu yang...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X