fbpx
More

    Ulasan Razer Blade 15 Advanced Model: Komputer riba berkuasa tinggi dengan reka bentuk ringkas

    Sewaktu komputer riba gaming Razer Blade 15 Advanced Model diperkenalkan oleh Razer pada awal 2021 dengan harga RM11,999, ia merupakan antara komputer riba pertama yang dilengkapi siri kad grafik RTX 3000. Oleh yang demikian, komputer ini mampu menjana prestasi yang sangat pantas buat mereka yang berkecimpung dalam dunia e-sukan atau pencipta kandungan internet.

    Dalam ulasan ini, kami akan lihat komputer riba Razer ini dengan mendalam dan menguji prestasinya sewaktu bermain game serta melakukan tugasan harian. Tanpa buang masa, ayuh lihat sama ada komputer ini sesuai untuk anda!

    Daripada segi rekaan, komputer riba ini mempunyai rekaan unibody dengan sudahan (pusam) matte yang membuatkannya nampak kemas dan sangat premium. Anda boleh lihat logo tiga ular Razer di belakang skrin dan ia akan menyala dengan warna hijau sebaik sahaja anda menghidupkan komputer ini. Malang sekali, logo ini tidak mempunyai pencahayaan RGB.

    Perkara pertama yang anda akan perasan apabila membuka komputer ini adalah papan kekunci yang mempunyai pencahayaan RGB, dua pembesar suara yang berada di bahagian sisi, ketiadaan kekunci nombor (numpad) dan pad sentuh yang agak besar. Anda boleh lihat butang suis pada pembesar suara belah kanan, namun ia tidak mempunyai fungsi pengimbasan cap jari iaitu sesuatu yang selalunya ada untuk komputer riba pada harga ini.

    Sebuah komputer riba yang sangat kemas dan premium

    Daripada segi paparan, varian yang kami terima mempunyai skrin 15.6 inci 240Hz dengan resolusi Quad HD (2560 x 1440). Dengan kadar segar semula (refresh rate) yang tinggi ini, ia pasti akan dimanfaatkan sebaiknya oleh penggiat game e-sukan seperti Counter Strike Global Offensive, Valorant atau Apex Legends. Jika anda menginginkan kadar yang lebih pantas, Razer ada menawarkan varian skrin 360Hz namun resolusinya sekadar Full HD (1920 x 1080) dan harganya juga lebih mahal iaitu RM14,599.

    Engsel yang menghubungkan skrin dengan badan komputer juga rasa amat kukuh dan boleh memberi keyakinan bahawa ia tidak akan rosak dalam masa terdekat.

    Kemudahan input-output (I/O) komputer ini menawarkan tiga port USB3.2 Type-A, satu port Thunderbolt 3 yang menyokong pengecasan 20V dengan Power Delivery (PD) 3.0, satu port USB Type-C 3.2 Gen2, satu port HDMI 2.1 dan pembaca kad memori SD bersaiz penuh yang amat berguna untuk pencipta kandungan.

    Bilangan port yang banyak ini pasti akan memudahkan anda untuk menghubungkan pelbagai jenis aksesori seperti monitor luaran, papan kekunci, tetikus dan fon kepala USB. Jika anda memerlukan lebih banyak port, anda boleh gunakan USB hub.

    Daripada segi spesifikasi, varian yang kami terima dilengkapi CPU Intel Core i7-10875H dengan Intel UHD Graphics, RAM 16GB, unit pemproses grafik (GPU) NVIDIA GeForce RTX3070, storan SSD 1TB dan bateri 80WHr.

    Dalam ujian penanda aras yang kami telah jalankan, Razer Blade 15 berjaya mencapai markah sebanyak 8,441 mata dalam 3DMark TimeSpy dan 5,665 mata dalam PCMark 10. Dengan markah sedemikian, anda boleh bermain sebarang game dengan tetapan grafik tertinggi tanpa sebarang kerisauan, malah boleh digunakan untuk tugas yang lebih intensif seperti pemodelan 3D ataupenyuntingan video.

    Jika RAM 16GB itu masih tidak cukup untuk anda, komputer ini menyediakan ruang untuk anda memasang lebih banyak modul RAM sehingga 64GB.

    Sekarang mari kita beralih kepada pengalaman saya bermain game menggunakan komputer ini. Ia boleh memainkan game strategi Total War: Three Kingdoms pada kadar purata 34fps sewaktu fasa peperangan dengan setiap tetapan grafik dihidupkan pada pilihan tertinggi.

    Dalam Apex Legends, komputer ini boleh menjana kadar 90FPS hingga 100FPS dengan tetapan grafik tertinggi pada resolusi 1440p. Walau bagaimanapun, kadar tersebut jatuh sedikit apabila saya mula bertarung dengan pemain lain.

    Jika anda lebih mengutamakan kadar FPS tinggi berbanding kecantikan grafik, anda boleh dapatkan kadar 240FPS jika semua tetapan grafik diletakkan pada pilihan rendah dan menurunkan resolusi kepada 1080p. Dalam Valorant pula, saya berjaya mendapatkan kadar 300FPS walaupun apabila semua tetapan grafik diletakkan pada tahap tertinggi. Jika tetapan grafik diturunkan, ia berjaya menjana kadar sehingga 400FPS.

    Untuk suntingan video pula, komputer ini boleh menyunting video 1080p 60FPS dengan amat mudah. Ruang kad memori SD bersaiz penuh juga amat membantu saya untuk memindahkan video daripada kamera ke komputer.

    Pemodelan 3D dalam Blender boleh dibuat dengan lancar

    Papan kekuncinya terasa sangat responsif dan lancar, membuatkan saya rasa amat selesa sewaktu menaip. Pencahayaan RGB pada kekuncinya juga memudahkan anda untuk bekerja dalam suasana gelap kerana anda boleh lihat huruf yang sedang ditaip, namun ia akan menjejaskan hayat bateri.

    Bercakap tentang bateri, komputer ini boleh bertahan selama 3 jam 30 minit memainkan video YouTube dalam keterangan skrin tertinggi. Walau bagaimanapun, ia boleh bertahan dengan jauh lebih lama jika anda sekadar menggunakannya untuk tugasan harian seperti menaip dokumen atau menonton video pendek.

    Anda boleh mengecas komputer ini menggunakan pengecas yang disertakan dalam kotak atau melalui pengecas USB Type-C yang menyokong Power Delivery 3.0.

    Pembesar suara komputer ini juga menghasilkan audio yang jelas dan kuat kerana saiznya yang amat besar berbanding kebanyakan komputer riba.

    Tiada masalah tersangkut-sangkut sewaktu menyunting video 1080p 60fps dalam Vegas Pro 15

    Satu perkara yang membimbangkan saya adalah ruang tempat letak tangan (wrist rest) boleh menjadi agak panas sewaktu bermain game dan mungkin akan membuatkan anda tidak selesa. Masalah ini boleh diselesaikan jika anda menggunakan papan kekunci luaran.

    Secara keseluruhannya, jika anda sedang mencari komputer riba serba boleh untuk semua tugasan kerja dan gaming anda, Razer Blade 15 Advanced Model adalah pilihan yang sangat sesuai. Walau bagaimanapun jika anda lebih mengutamakan kadar skrin yang pantas berbanding kecantikan grafik, anda boleh dapatkan varian yang lebih canggih dengan GPU RTX 3080 dan skrin Full HD 360Hz pada harga RM14,599.

    Jika varian yang kami ulas ini adalah terlalu mahal untuk anda, Razer menyediakan varian yang lebih murah, dilengkapi RTX 3060 dan skrin Full HD 144Hz pada harga RM8,299 sahaja. Selain itu, anda juga boleh lihat pada Acer Nitro 5 AMD Ryzen 5000 yang turut dilengkapi RTX 3080, RAM 16GB, skrin IPS Quad HD 165Hz pada harga RM8,999.

    Adakah anda akan membeli Razer Blade 15 Advanced Model? Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • CPU Intel Core i7 generasi ke-10 i7-10875H dengan Intel UHD Graphics
    • GPU NVIDIA GeForce RTX3070
    • RAM 16GB, SSD 1TB
    • Skrin Quad HD 15.6 inci 240Hz
    • Dimensi: 16.99mm x 235mm x 355mm
    • 2.01kg
    • Tiga port USB3.2 Type-A, satu port Thunderbolt 3, satu port USB Type-C 3.2 Gen 2, satu port HDMI 2.1, satu ruang kad memori SD

    Kebaikan dan keburukan

    Kebaikan – Rekaan yang kemas, skrin 240Hz QHD

    Keburukan – Agak mahal berbanding komputer jenama lain dengan spesifikasi sama

    Kesimpulan – Komputer riba yang sesuai untuk sebarang tugas jika harga bukan satu isu

    Diterjemahkan daripada TechNave

     

    Artikel Terkini

    WhatsApp sedang uji ciri sekat pengguna sementara jika langgar dasar khusus

    WhatsApp memperkenalkan ciri sekatan akaun baharu seperti yang dilihat dalam versi beta Android baru-baru ini. Ciri ini akan sementara menghalang pengguna daripada...

    Laporan IDC dedahkan HONOR menguasai pasaran telefon pintar di China

    Selain berita tentang ketersediaan PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR dalam pasaran Malaysia pada 5 Mei nanti, laporan terbaharu daripada International Data Corporation...

    PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR tersedia di HONOR Experience Store terpilih pada 5 Mei...

    PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR yang hangat diperkatakan ketika kemunculannya kini boleh dibeli di kedai HONOR Experience Store terpilih mulai 5 Mei...

    Astro bakal tayangkan semua perlawanan Liga Malaysia dalam HD, UHD secara percuma!

    Liga Malaysia musim baharu 2024/25 yang membawakan sebanyak 219 perlawanan bakal ditayangkan secara Definisi Tinggi (HD) di Astro bermula 10 Mei ini....

    Google membayar Apple ~RM95 bilion pada 2022 kerana jadi enjin carian utama peranti

    Google membayar Apple $20 bilion (~RM95 bilion) pada 2022 untuk menjadi enjin carian utama bagi Safari pada iPhone, iPad dan Mac, lapor...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X