fbpx
More

    Ulasan Razer Deathadder V2 Pro: Tetikus “gaming” ergonomik dengan hayat bateri sehingga 5 hari

    Sewaktu Razer melancarkan tetikus gaming Razer Deathadder V2 Pro pada 22 September 2020, ia merupakan tetikus Deathadder pertama yang dilengkapi kebolehan wayarles. Dengan harga RM619, ia lebih mahal daripada Razer Deathadder V2 (RM349) dan Deathadder V2 Mini (RM259). Adakah harga yang hampir dua kali ganda ini membuatkan Deathadder V2 Pro produk yang berbaloi?

    Dalam ulasan kali ini, kami akan lihat pada Deathadder V2 Pro secara mendalam dan lihat sama ada ia mampu menyerlah dalam kegunaan persaingan e-sukan sengit dan juga sewaktu kegunaan harian.

    Barang dalam kotak selain Deathadder V2 Pro: kabel Speedflex yang dijahit, beg dan dongle USB

    Seperti produk lain dalam siri ini, Deathadder V2 Pro hadir dengan rekaan ergonomik, membuatkan pegangan pada tetikus ini amat selesa manakala bahagian sisi yang dibuat daripada getah menyediakan geseran yang tinggi terhadap jari saya. Ini adalah penting untuk memastikan jari tidak bertukar tempat sewaktu tetikus ini digerakkan.

    Tanpa unit dongle yang dihubungkan di USB komputer, tetikus ini mempunyai berat 88g. Ia bukanlah tetikus teringan dalam dunia, namun ia masih boleh dianggap ringan oleh kebanyakan orang. Walaupun selepas bermain game selama beberapa jam, tangan saya tidak terasa lenguh daripada pelbagai gerakan tangan yang dilakukan.

    Untuk hayat bateri pula, laman web Razer mengatakan ia mampu bertahan selama 120 jam jika dihubungkan melalui Bluetooth dan selama 70 jam jika fungsi Razer HyperSpeed Wireless dihidupkan. Namun, perlu diingati bahawa hayat bateri berubah jika pencahayaan lampu RGB ditetapkan pada keterangan tertinggi. Pencahayaan RGB boleh bersinar dalam pelbagai mod seperti Audio Meter, Breathing, Reactive, Spectrum Cycling, Static dan banyak lagi melalui ruang Advanced Effects.

    Pada permukaan bawah tetikus ini, terdapat lapik polytetrafluoroethylene (PTFE) bewarna putih untuk melicinkan gerakan tetikus anda serta ruang pemasangan untuk Razer Mouse Dock Chroma (dijual berasingan pada harga RM249). Di atas ruang pemasangan tersebut, anda boleh lihat sensor Razer Focus+ Optical yang mempunyai sensitiviti 20,000 DPI dengan kejituan 99.6%.

    Di sisi kanan pula, terdapat butang profil untuk mengubah tetapan tetikus dengan pantas manakala di sisi kiri terdapat sepasang butang ekstra. Sepasang lagi butang terdapat di bawah roda (scroll wheel). Anda boleh gunakan perisian Razer Synapse untuk menetapkan butang-butang ini dengan tugasan spesifik, seperti Main/Jeda, sensitiviti gerakan dan banyak lagi. Terdapat juga butang untuk mengaktifkan Bluetooth, fungsi Razer HyperSpeed Wireless dan suis.

    Dua butang di sisi kiri
    Dua butang di bawah roda scroll wheel

    Dua butang utama Deathadder V2 Pro dibuat dengan Razer Optical Mouse Switches generasi ke-2 yang boleh tahan sehingga 70 juta klik dan boleh capai masa tindak balas secepat 0.2 milisaat. Ia turut menyelesaikan masalah besar dalam tetikus Deathadder sebelum ini yang mempunyai masalah dwi-klik.

    Daripada segi penggunaan, tetikus ini rasa sangat selesa buat saiz tangan dan cara pegangan saya. Buat mereka yang lebih gemar memegang tetikus secara “cengkaman” atau mempunyai tangan bersaiz kecil, mungkin akan mengalami sedikit kesukaran berikutan saiz Deathadder V2 Pro yang agak besar.

    Butang-butangnya amat responsif dan memberi tindak balas klik yang memuaskan apabila saya menekannya. Walau bagaimanapun, ia mungkin terlalu sensitif walaupun ketika saya sekadar meletakkan jari di atasnya. Sewaktu saya sekadar melayari laman web, kadangkala saya terklik secara tidak sengaja sewaktu merehatkan jari di atas butang kanan dan kiri.

    Ini bukanlah sesuatu yang buruk sewaktu bermain game, kerana saya hanya perlu menekan halus untuk bertindak dengan pantas. Walaupun sensor optikalnya mampu mencapai 20,000 DPI, saya tidak mengesyorkannya kerana mustahil untuk anda kawal gerakan pada tetapan setinggi itu.

    Saya sendiri lebih selesa dengan 400 DPI kerana ia membolehkan saya untuk membidik dengan lebih jitu dalam game tembak-menembak hanya dengan membuat gerakan kecil. Selepas menggunakannya selama hampir dua minggu, sukar untuk saya kembali ke tetikus gaming berwayar kerana kabelnya sering menganggu gerakan tetikus lantas menjejaskan bidikan saya.

    Memandangkan ia adalah tetikus wayarles, Deathadder V2 Pro dilengkapi bateri dalaman yang mampu bertahan selama tiga hari dengan pengecasan penuh menggunakan kabel Razer Speedflex sepanjang 1.8 meter. Pengecasan selama setengah jam sudah cukup untuk penggunaan satu atau dua hari. Jika ia dihubungkan secara Bluetooth, tetikus ini mampu digunakan sehingga lima hari.

    Lapisan PTFE di bawah tetikus ini juga membuatkan tetikus ini bergerak dengan sangat lancar di atas pelapik tetikus saya.

    Boleh digunakan secara berwayar sewaktu mengecasnya

    Saya langsung tidak mengalami masalah jejakan (tracking) yang menjejaskan corak permainan saya, daripada segi pecutan tetikus (mouse acceleration), getaran kecil atau leretan tetikus (mouse drift). Walaupun dengan hubungan wayarles, hubungannya kekal kukuh dan tidak pernah terputus termasuklah ketika digunakan dalam satu pertandingan Valorant.

    Deathadder V2 Pro adalah produk yang mantap jika anda mahukan produk Deathadder yang wayarles dan tamatkan masalah pengurusan kabel komputer anda. Kalau anda tidak mempunyai wang yang banyak, Deathadder V2 yang berharga RM349 mungkin lebih sesuai untuk anda namun ia perlu dihubungkan secara berwayar. Jika anda memiliki tangan kecil atau lebih gemar mencengkam tetikus anda, Deathadder V2 Mini berharga RM249 adalah lebih padan.

    Beritahu kami di Facebook jika anda akan mendapatkan Razer Deathadder V2 Pro dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Sensor Razer Focus+ Optical 20,000 DPI
    • Suis Razer Optical Mouse Switch generasi ke-2
    • Fungsi Razer HyperSpeed Wireless
    • Hayat bateri sehingga 120 jam
    • Ukuran: 127×61.7×42.7mm, berat 88g (tidak termasuk penghubung USB)

    Kelebihan dan kekurangan

    Kelebihan: Hayat bateri yang lama, sehingga lima hari. Prestasi sama seperti tetikus berwayar

    Kekurangan: Perlu menambah RM270 untuk kemudahan wayarles

    Kesimpulan: Bagus untuk mereka yang bencikan kabel atau kerap menyertai pertangan e-sukan

     

    Artikel Terkini

    Apple mengalih keluar WhatsApp dan Thread daripada App Store di China

    Menurut Reuters, Apple melaporkan bahawa Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta Apple untuk mengalih keluar aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store...

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X