fbpx
More

    Ulasan realme 8 Pro – Adakah kamera 108MP ini satu naik taraf yang berbaloi?

    realme Malaysia telah melancarkan telefon pintar kelas pertengahan realme 8 Pro pada bulan April dan ia menawarkan spesifikasi yang agak menarik dengan harganya, termasuklah cipset Snapdragon 720G dan skrin AMOLED 6.4 inci. Ciri utama realme 8 Pro yang diiklankan oleh realme Malaysia adalah kebolehan kamera ini untuk mengambil gambar dalam resolusi 108MP yang menjanjikan butiran gambar paling jelas.

    Dengan harga RM1,299, adakah kamera 108MP ini mampu membuatkan anda untuk membeli telefon ini atau menaik taraf jika anda sudah pun memiliki telefon realme 7 Pro atau realme 6 Pro? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahui lebih lanjut.

    Rekaan – Unik untuk telefon kelas pertengahan

    realme 8 Pro mempunyai permukaan belakang yang agak berbeza dengan kebanyakan telefon pintar kelas pertengahan daripada jenama lain. Walaupun ia dibuat daripada plastik, ia mempunyai permukaan kasar sand-blasted yang membuatkannya nampak lebih unik dengan telefon lain yang mempunyai permukaan plastik. Ia juga membuatkan anda lebih mudah untuk menggenggam telefon ini kerana ia tidak begitu licin.

    Satu lagi perkara yang menonjol pada belakangnya adalah slogan DARE TO LEAP yang agak besar dan mempunyai tekstur yang berlainan dengan keseluruhan permukaan belakang telefon itu. Slogan itu memang membuatkan telefon ini sangat mudah dikenal pasti dari jauh. Saya sendiri bukanlah peminat besar dengan slogan besar pada telefon, tetapi jika anda peminat realme mungkin slogan ini boleh membuktikan tahap kesetiaan anda terhadap jenama tersebut.

    Realme 8 Pro juga terasa terasa sangat ringan dan nipis apabila dipegang. Telefon ini mempunyai ketebalan 8.1mm dan berat 176g sahaja, iaitu lebih ringan daripada realme 7 Pro atau realme 6 Pro dan membuatkannya antara telefon pertengahan teringan pada waktu ini.

    Pada bonggol kameranya pula, ia mempunyai ketebalan yang agak tebal namun tidaklah terlalu menganggu. Anda tidak boleh meletakkan telefon ini secara rata sepenuhnya di atas meja, namun ia tidak akan tersangkut pada kain sewaktu anda ingin memasukkannya ke dalam poket seluar. Kameranya terdiri daripada empat lensa yang disusun secara 2×2 dan masing-masing mempunyai saiz bulat yang sama.

    Anda boleh melihat rangka telefon ini di keseluruhan sisi yang dibuat daripada plastik. Bahagian sisi kanan menempatkan butang suis dan kawalan suara, manakala sisi kiri pula terdapat ruang untuk dwi-kad SIM. Di bawah pula, anda boleh lihat bicu audio 3.5mm, mikrofon, port USB-C dan satu pembesar suara. realme 8 Pro hanya mempunyai satu pembesar suara dan bukannya dua pembesar suara stereo seperti dalam realme 7 Pro.

    Di hadapan, realme 8 Pro mempunyai skrin Super AMOLED berukuran 6.4 inci dalam resolusi Full HD+ dan kadar segar semula 60Hz sahaja. Sempadan bezel adalah agak nipis di bahagian sisi dan atas skrin, namun bahagian bawah adalah lebih tebal berbanding bahagian lain. Sebuah kamera swafoto dalam lubang punch-hole boleh dilihat pada bahagian atas kiri dan ia adalah sangat kecil, jadi ia tidak akan mengganggu pengalaman tontonan anda.

    Spesifikasi – Kamera sahaja yang lebih baik berbanding generasi sebelum ini?

    realme 8 Pro menampilkan spesifikasi yang sangat menarik, namun peminat realme mungkin agak kecewa dengan perbezaan yang tidak begitu ketara berbanding telefon sebelum ini, realme 7 Pro. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk realme 8 Pro:

    • Cipset Snapdragon 720G
    • Skrin Super AMOLED Full HD+ 6.4 inci
    • RAM 8GB
    • Storan 128GB, boleh dibesarkan dengan microSD sehingga 256GB
    • Kamera utama 108MP dengan sensor Samsung HM2 + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP + kamera hitam putih 2MP
    • Kamera swafoto 16MP
    • Bateri 4,500mAh
    • Pengecasan pantas 50W SuperDart
    • Pengimbas cap jari dalam skrin
    • Sistem operasi realme UI 2.0 berdasarkan Android 11
    • Pilihan warna biru Infinite Blue dan hitam Infinite Black

    Cipset Snapdragon 720G yang terdapat dalam telefon ini adalah cipset sama yang terdapat dalam realme 7 Pro dan realme 6 Pro, jadi jika anda sedang menggunakan salah satu di antara dua telefon tersebut, realme 8 Pro bukanlah satu naik taraf jika anda inginkan peningkatan prestasi cipset.

    Skrin realme 8 Pro menyokong mod warna DCI-P3 dan sRGB dan anda boleh memilihnya dalam tetapan untuk menyesuaikan mengikut kesukaan anda. Sebuah pengimbas cap jari turut berada dalam skrin tersebut, di mana ia adalah sangat responsif. Jika anda tidak ingin menggunakan jari, telefon ini menyokong fungsi imbasan muka (Face Unlock) yang juga sangat responsif.

    Anda boleh pilih di antara profil warna Brilliant, Vivid (DCI-P3) atau Gentle (sRGB)
    realme 8 Pro turut dilengkapi skrin sentiasa hidup (always on display)

    Skrin ini juga mempunyai fungsi skrin sentiasa hidup (always on display) yang menunjukkan waktu, tarikh, tahap bateri dan logo aplikasi yang mempunyai pemberitahuan.

    realme mengatakan telefon ini menyokong pengecasan pantas 50W yang boleh mengecas penuh selama 47 minit, namun unit yang telah dipinjamkan kepada saya bukanlah palam yang boleh digunakan dalam sistem elektrik tempatan dan walaupun saya telah menggunakannya, ia gagal memberikan masa pengecasan sepantas 47 minit.

    Pengecas turut diberikan bersama realme 8 Pro, namun realme Malaysia tidak meminjamkan kepada saya pengecas yang boleh dihubungkan dengan soket elektrik Malaysia, jadi ia gagal menunjukkan masa pengecasan yang diiklankan

    Daripada segi antara muka (user interface), realme UI 2.0 menampilkan rekaan yang mesra pengguna dan tidak datang dengan perisian remeh (bloatware) yang terlalu banyak. Ia mempunyai ikon yang ringkas dan mudah difahami, dan jika anda ingin ubah mana-mana penampilan tema, bentuk ikon, muka taip atau susunan ikon, anda boleh buat demikian dengan mudah.

    Dalam perisian kamera, selain daripada fungsi standard seperti auto, Pro dan Night, terdapat sebuah mod khas yang membenarkan anda untuk mengambil gambar dalam 108MP. Jadi bagaimanakah prestasi kamera ini jika dibandingkan dengan kamera biasa? Ayuh kita bincang dalam seksyen Prestasi.

    realme UI menampilkan ikon yang mudah difahami (kiri); realme 8 Pro tidak mempunyai aplikasi remeh yang banyak (tengah); fungsi multi-window, dalam gambar ini kami membuka aplikasi TechNave di hadapan Instagram (kanan)
    UI kamera dalam realme 8 Pro, ia menawarkan zum digital sehingga 3x (kiri); mod khas untuk 108MP (tengah); pilihan mod ekstra (kanan)

    Prestasi – Kamera 108MP yang banyak butiran, tapi tidak semestinya lebih cantik

    Memandangkan telefon ini dilengkapi Snapdragon 720G yang sudah pun berada dalam pelbagai telefon pintar, anda tidak akan menjangkakan realme 8 Pro untuk mencatatkan markah yang tinggi dalam ujian penanda aras. Berikut adalah ujian penanda aras yang saya telah lakukan untuk realme 8 Pro:

    Markah penanda aras Geekbench (kiri) dan 3D Mark Sling Shot (kanan)

    Daripada segi penggunaan asas seperti pemesejan, media sosial dan menonton video, realme 8 Pro memberikan pengalaman yang sangat bagus. Varian yang telah dipinjamkan kepada kami mempunyai RAM sebanyak 8GB dan ia boleh mengendali beberapa aplikasi serentak tanpa memperlahankan prestasi telefon.

    Daripada segi gaming, realme 8 Pro boleh memainkan game kelas pertengahan seperti Call of Duty Mobile dengan baik. Anda boleh tetapkan grafik ke tetapan tertinggi dan telefon ini mampu untuk memainkannya, namun jika anda inginkan kadar bingkai (frame rate) yang lebih lancar sewaktu sesi kompetitif, anda perlu menurunkan grafik kepada tahap sederhana.

    Boleh tetapkan grafik pada Very High dalam COD Mobile dan realme 8 Pro mampu memainkannya dengan selesa!

    Untuk game dengan keperluan grafik tinggi seperti Genshin Impact, saya hanya boleh memainkannya dalam tetapan grafik sederhana. Jika saya meningkatkan kepada tetapan grafik tertinggi, kadar bingkai akan menjadi agak rendah dan menyukarkan saya untuk bermain dengan seronok. 

    Daripada segi penggunaan bateri, realme 8 Pro mampu bertahan sehingga dua hari daripada pengecasan penuh, jika anda sekadar menggunakannya untuk tugasan biasa serta sesi gaming pendek.

    Penggunaan bateri dari 100% ke 10% mengambil masa lebih 2 hari untuk penggunaan biasa, atau hampir 10 jam masa skrin dihidupkan (screen on time)

    Sekarang mari beralih kepada prestasi kamera telefon ini yang menawarkan fungsi 108MP iaitu jumlah megapiksel tertinggi dalam industri telefon pintar setakat ini. Gambar yang diambil dengan mod auto menggunakan kamera utama menghasilkan gambar yang baik jika diambil pada waktu siang, dengan butiran yang sangat jelas dan dynamic range yang luas untuk kamera telefon.

    realme turut menawarkan fungsi AI Scene Enhancement yang membenarkan telefon untuk membuat larasan secara automatik untuk menghasilkan gambar yang lebih cantik. Ia sebenarnya menjadikan warna dalam gambar anda lebih terang daripada mod auto, jadi jika anda gemarkan warna yang natural, anda perlu matikan fungsi AI Scene Enhancement. Pada pendapat saya, ini adalah fungsi yang baik kerana saya gemar gambar yang berwarna-warni.

    Jadi bagaimana pula dengan tarikan utama realme 8 Pro, iaitu kamera 108MP? Kualiti gambar yang dihasilkan sebenarnya nampak sama sahaja dengan gambar yang diambil dalam mod auto. Beza yang ketara dalam gambar 108MP hanyalah kebolehannya untuk dizum dengan lebih mendalam berbanding gambar yang diambil dalam mod auto.

    Fungsi 108MP ini sebenarnya agak sukar digunakan kerana telefon mengambil masa yang lama sedikit untuk memproses imej selepas shutter ditekan. Selain itu, gambar 108MP juga mengambil lebih banyak ruang dalam storan telefon berbanding gambar mod auto. Oleh itu, saya merasakan fungsi 108MP ini bukanlah sesuatu yang akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua orang. Anda hanya patut menggunakan fungsi 108MP jika anda melakukan banyak kerja-kerja suntingan gambar dan memerlukan kebolehan untuk potong (crop) gambar secara mendalam.

    Gambar ini diambil dalam mod auto dan mod 108MP. Jika anda fokuskan dan zum pada ruangan yang dibulatkan…
    Anda tidak boleh baca nombor pada kain rentang ini dalam gambar di kiri yang diambil dengan mod auto, namun anda masih boleh baca nombor dengan gambar yang diambil dalam mod 108MP (kanan)

    Gambar yang diambil dengan kamera ultra-lebar pun nampak bagus, dengan penghasilan warna yang baik dan efek membulat (distortion) yang tidak terlalu ketara.

    Sensor kedalaman juga berjaya menghasilkan gambar mod potret yang boleh memisahkan subjek daripada latar belakang dengan bagus.

    Jika anda ingin menggunakan realme 8 Pro untuk mengambil gambar pada waktu malam, kamera dalam mod auto boleh menghasilkan gambar yang baik dan penghasilan warna yang serupa dengan objek sebenar, namun dengan noise yang agak ketara. Anda boleh mengaktifkan Night Mode untuk mengurangkan noise serta menghasilkan gambar yang lebih jelas dan terang, namun satu masalah yang agak besar dalam mod ini adalah telefon ini akan mengambil beberapa saat untuk memproses gambar selepas anda menekan shutter.

    Jadi Night Mode mungkin boleh digunakan sekali-sekala untuk beberapa detik istimewa dalam suasana yang malap, namun jika anda ingin mengambil banyak gambar dalam masa yang pendek, lebih baik anda gunakan mod auto sahaja.

    Daripada segi video, realme 8 Pro menawarkan resolusi sehingga 4K pada 30fps dan kualitinya adalah sangat baik. Warna yang dihasilkan nampak natural dan jika anda inginkan warna yang lebih pekat, anda boleh aktifkan mod AI Highlight. Bunyi yang dirakam juga boleh didengar dengan jelas.

    Penstabilan elektronik (EIS) juga berfungsi dengan baik walaupun sewaktu anda berjalan kaki, selagi anda tidak melakukan gerakan agresif seperti berlari. Jika anda sekadar berdiri tegak dan menggerakkan telefon ke sisi, EIS amat membantu untuk membuatkan video anda nampak stabil tanpa efek distortion yang ketara.

    Kesimpulan – Telefon yang bagus, tapi bukan naik taraf yang tinggi

    Jika dilihat pada telefon ini sahaja, realme 8 Pro menawarkan pengalaman yang bagus untuk semua kegunaan daripada gaming hinggalah tugasan asas. Anda boleh menonton video yang cantik dengan skrin AMOLED Full HD+, bermain game dengan grafik tinggi serta mengambil gambar yang hampir setaraf dengan telefon flagship. 

    Walau bagaimanapun, ia bukanlah naik taraf yang ketara jika anda sudah pun memiliki realme 7 Pro atau realme 6 Pro kerana cipsetnya adalah sama sahaja. Selain itu, ketiadaan pembesar suara stereo juga mungkin akan mengecewakan anda, terutamanya apabila realme 7 Pro memiliki ciri tersebut. Kamera 108MP mungkin akan menggerakkan hati anda untuk menaik taraf kepada realme 8 Pro jika anda mempunyai minat yang mendalam terhadap fotografi.

    Alternatif yang sesuai dengan realme 8 Pro adalah vivo V21e (RM1,299) yang menampilkan cipset sama, Redmi Note 10 Pro (RM1,099) jika anda mahukan skrin 120Hz atau Samsung Galaxy A32 5G (RM1,199) kalau anda mahukan bateri yang besar iaitu 5,000mAh.

    Kongsi pendapat anda tentang ulasan ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Selepas PDRM, Imigresen mungkin turut akan menggunakan kamera badan

    Sebelum ini, kami laporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memakai kamera badan secara beransur-ansur mulai Oktober ini. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)...

    Fungsi Gemini dalam Google Messages kini tersedia untuk pengguna di Malaysia

    Google Gemini merupakan bot sembang AI oleh Google dengan model berbilang bahasa. Namun, untuk mengakses Gemini Ultra, anda perlu melanggan pelan Google...

    Imej janaan Google Pixel 9 tertiris tanpa kanta periskop, model XL turut bakal dilancar

    Sebelum ini, terdapat imej janaan yang tertiris menunjukkan pandangan pertama Google Pixel 9 dan 9 Pro. Kini, sumber mendedahkan bahawa model standard...

    Fahmi Fadzil: Kerajaan akan bincang mengenai model rangkaian dwi 5G minggu depan

    Satu mesyuarat mengenai model rangkaian dwi 5G dijangka diadakan minggu depan menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Beliau mendedahkan perkara ini semasa pelancaran...

    Jualan Xiaomi 14 Ultra catat peningkatan lebih 4 kali ganda berbanding Xiaomi 13 Ultra

    Telefon pintar andalan terbaru daripada Xiaomi, Xiaomi 14 Ultra, baru sahaja dilancar pada awal bulan ini dan ia telah pun mencatatkan jumlah...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X