fbpx
More

    Ulasan realme C15 – Seperti realme C12, tetapi sedikit lebih baik

    Rasanya tidak perlu lagi kami memperkenalkan siri realme C dengan lebih lanjut memandangkan keluarga siri realme C telah berkembang dengan baik di pasaran Malaysia. Pada bulan Oktober lepas, realme telah melancarkan realme C17. Mengambil masa lebih kurang sebulan sahaja, realme kini melancarkan realme C15 pula.

    Sebenarnya, setiap peranti realme C mempunyai kelebihan masing-masing. realme C15 sebenarnya dilancar buat kali pertama di pasaran Indonesia, diselangi di beberapa negara lain termasuk Malaysia. realme C15 mempunyai keistimewaan yang sama dengan realme C12 seperti bateri besar 6000mAh, tetapi dengan beberapa spesifikasi berbeza seperti janaan cipset. Jadi, adakah realme C15 ini hanya lambakan dalam keluarga realme C atau sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri? Baca ulasan kami mengenai reka bentuk, ciri teknologi, spesifikasi dan prestasi sebenar realme C15!

    Reka bentuk – Sama tapi tak serupa

    Bermula dengan rekaan pada panel belakangnya, ia tampil bersama rekaan geometri bergradien yang dibina oleh polikarbonat. Rekaan ini disifatkan oleh realme sebagai salah satu keistimewaan pada realme C15. Varian yang berada di tangan saya adalah dalam pilihan warna Marine Blue. Warnanya seakan biru laut bersama garisan geometri dan tekstur yang kasar. Saya agak menyukai warna ini berbanding satu lagi pilihan warnanya, Seagull Silver (bergantung kepada citarasa individu). Tekstur kasar bergaris ini sebenarnya adalah untuk mengelakkan terdedah kepada kesan cap jari. Jadi, anda tidak perlu risau kerana peranti ini tidak mudah dikotorkan dengan kesan cap jari anda.

    Ia hadir dengan potongan kamera belakang berbentuk segi empat tepat dan sensor cap jari di belakang, sama seperti beberapa model telefon realme C yang lain, tetapi memiliki spesifikasi lensa kamera berbeza. Bagi saya, rekaan panel belakang dengan ruangan susunan kamera berbentuk segi empat tepat ini adalah sesuai dengan tahun 2020, tetapi mungkin tidak kelihatan premium. Sekali pandang, rekaan realme C15 sama seperti realme C12, tetapi dengan pilihan warna berbeza. Sama tetapi tak serupa.

    Apa yang anda akan dapat dalam kotak

    Berukuran 164.5 x 75.9 x 9.8mm dengan berat sehingga 209g, realme C15 terasa agak berat apabila dipegang. Namun, ia tidaklah seberat powerbank 10,000mAh kepunyaan saya. Berat realme C15 dikira memadai dengan kapasiti baterinya yang besar iaitu 6000mAh. Skrin berukuran 6.5 FHD+ dengan rekaan skrin titisan air mempunyai bezel yang agak tebal di bahagian bawah peranti. Namun, ianya tidak menjadi masalah kerana sebenarnya bezel tebal di bawah sangat membantu untuk tidak tersentuh skrin di bahagian tersebut semasa bermain game.

    Sesuai dengan taraf peranti kelas permulaan, ia hadir dengan pembesar suara mono sahaja. realme C15 juga hadir dengan port microUSB yang mana tidak menjadi masalah, tetapi pengguna mungkin lebih suka pada port USB-C yang lebih relevan pada masa kini. Tidak ketinggalan juga bicu audio 3.5mm yang masih diperlukan untuk sesetengah pengguna yang tidak gemar menggunakan fon telinga wayarles.

    Ciri teknologi dan spesifikasi – Seimbang

    realme C15 yang berada di tangan kami adalah varian tertinggi iaitu RAM 4GB dan storan 128GB. Ia dioperasikan oleh realme UI dan Android 10. Cipset yang menjana realme C15 di pasaran Malaysia adalah cipset Qualcomm Snapdragon 460, berbeza dengan cipset untuk realme C15 di beberapa negara lain.

    Anda boleh menyemak spesifikasi realme C15 di pautan ini atau di bawah.

    • Berukuran 164.5 x 75.9 x 9.8mm
    • Berat 209g
    • Cipset Snapdragon 460
    • Paparan 6.5 inci HD+ LCD dengan rekaan titisan air (water drop) beresolusi 1600×720 piksel
    • RAM 4GB + ROM 64GB/128GB
    • Empat kamera utama, 13MP (lensa utama) + 8MP (lensa ultra lebar) + 2MP (lensa Retro) + 2MP (lensa hitam dan putih)
    • Kamera swafoto 8MP
    • Bateri besar 6000mAh
    • Sokongan pengecasan pantas 18W
    • Sokongan pengecasan berbalik
    • Sensor cap jari di belakang peranti, sensor proksimiti, sensor cahaya
    • Bicu audio 3.5mm, microUSB
    • Slot 3 kad (2 kad SIM, 1 microSD)
    • Bluetooth 5.0, GPS
    • Pilihan warna Marine Blue dan Seagull Silver

    Antara muka realme UI:

    Untuk ciri sekuriti, anda boleh memilih sama ada untuk menggunakan sensor cap jari, kata kekunci atau nyahkunci menggunakan wajah Face Unlock. Kesemua ciri sekuriti yang disebutkan adalah baik, kecuali perlu diingatkan bahawa Face Unlock tidak mampu mengesan wajah dalam keadaan kurang cahaya.

    Terdapat spesifikasi yang boleh dinaik taraf seperti port microUSB, tetapi terdapat juga beberapa spesifikasi yang baik seperti bateri 6000mAh dan sokongan pengecasan berbalik. Dalam erti ringkas, peranti ini boleh menjadi powerbank untuk anda mengecas peranti lain. Jadi, spesifikasinya adalah seimbang untuk sebuah peranti kelas permulaan.

    Prestasi – Jangka hayat bateri yang sangat bagus

    Bercakap mengenai prestasinya, saya mulakan dengan keupayaan dan kelancaran untuk penggunaan biasa dahulu. Kelancaran adalah baik di mana pembukaan aplikasi dan penggunaan aplikasi tidak mempunyai sebarang isu kelewatan.

    Untuk rujukan, anda boleh melihat markah realme C15 pada aplikasi penanda aras Geekbench dan 3DMark. Melalui markahnya, ia boleh dikatakan berada pada paras baik sahaja untuk kategori telefon mampu milik.

    Sebelah kiri; 3DMark, sebelah kanan; Geekbench.

    Untuk pengalaman gaming pula, prestasi untuk game berat adalah sekadar memuaskan sahaja jika anda menggunakan tetapan asal (default). Jika anda sebelum ini sudah menggunakan peranti dengan grafik yang bagus, anda pasti sedikit naik angin dengan kelewatan (lag). Usahlah jangkakan prestasi yang terlalu tinggi melangit untuk peranti berharga sekitar RM600 ini. Namun, game ringan boleh dimainkan dengan lancar. Selain itu, peranti juga tidak terlalu panas walaupun dengan penggunaan gaming dalam masa lebih kurang satu jam. Antara game yang diuji adalah PUBG dan Genshin Impact.

    Sebagai contoh, tetapan asal untuk grafik game PUBG adalah Smooth, manakala kadar bingkai (frame rate) adalah Medium. Anda juga boleh lihat gameplay dalam tetapan tertinggi iaitu grafik Balanced dan kadar bingkai Medium.

    Tetapan asal
    Tetapan tertinggi
    Gameplay tetapan asal
    Gameplay tetapan tertinggi

    Prestasinya dari segi hiburan seperti tontonan filem atau video adalah memuaskan. Ia tidak terlalu baik kerana tontonan realme C15 hanya menyokong video beresolusi 720p sahaja di YouTube. Namun, kepekatan warnanya adalah seimbang dan cantik untuk ditonton. Memandangkan tiada pembesar suara stereo, kualiti audionya adalah sederhana sahaja tetapi masih boleh didengar dengan baik.

    Sepanjang penggunaan selama dua minggu, hasil keupayaan jangka hayat bateri adalah sangat baik! Anda boleh menggunakan peranti sehingga 2 hari setengah untuk penggunaan biasa. Jika anda banyak menghabiskan masa dengan gaming berat selama beberapa jam, ia mampu bertahan sehingga satu hari. Pengecasan penuh bateri 6000mAh mengambil masa sekitar dua jam, manakala anda boleh dapat lebih kurang 46% bateri untuk kira-kira satu jam pengecasan.

    Fungsi Super Saving Mode

    Lebih menarik, realme turut memberi fungsi penjimatan bateri seperti Super Saving Mode yang sangat membantu. Tidak lupa juga kepada fungsi pengecasan berbalik yang boleh mengecas mana-mana peranti anda yang lain (saya tidak sarankan anda mengecas komputer riba).

    Dari segi kamera, realme C15 memberikan spesifikasi yang mengikut keperluan pengguna biasa sahaja seperti kamera utama 13MP + 8MP ultra lebar 119° + 2MP sensor hitam putih (B&W) + 2MP sensor Retro dan kamera swafoto 8MP. Peranti ini mempunyai ciri fotografi HDR, AI Beauty, Portrait Mode, Super Nightscape dan Chroma Boost. Untuk rakaman pula, ia menyokong resolusi sehingga 1080p pada 30 bingkai sesaat (fps).

    Mengenai kamera utamanya, saya sememangnya tidak menaruh harapan tinggi. Jadi, hasil gambarnya adalah memadai untuk kegunaan biasa. Gambar di waktu siang dengan pencahayaan yang cukup menghasilkan kualiti dan kejelasan gambar yang baik termasuklah jika anda zum pada gambar yang diambil. Kualiti gambar pada swafoto pula adalah memuaskan sahaja. Warna yang dihasilkan melalui kamera utama dan kamera hadapan adalah baik dan tidak terlalu pekat seperti kebanyakan peranti mampu milik lain.

    Namun, hasil gambar yang menggunakan mod malam adalah bergantung kepada pencahayaan. Untuk gambar waktu malam dalam keadaan yang ada cahaya, seperti tiada beza jika menggunakan mod malam atau tidak. Perbezaan mod malam hanya boleh dilihat melalui gambar dengan cahaya yang sangat kurang.

    Mengenai rakaman video pula, kualitinya adalah sekadar memuaskan untuk kamera 13MP. Rakaman video tidak menyokong fungsi penstabilan, tetapi anda juga boleh merakam dengan lensa ultra lebar. Rakaman lensa ultra lebar menghasilkan warna yang agak baik seperti kamera utama 13MP.

    Rakaman kamera utama 1080p
    Rakaman lensa ultra lebar (angin ribut ingin mengganas semasa rakaman dibuat)

    Prestasi kamera secara keseluruhannya adalah memuaskan untuk telefon dengan harga sebegini. Namun, mungkin lebih baik jika realme memberi sensor kedalaman yang mungkin akan membantu menghasilkan gambar yang lebih baik.

    Kesimpulan – Memuaskan untuk peminat realme

    Secara keseluruhannya, prestasinya lebih kurang realme C12, tetapi dengan beberapa spesifikasi lebih baik termasuklah spesifikasi kamera, sokongan cas pantas 18W dan RAM yang lebih besar. Pada awal ulasan, saya telah memberi persoalan ini; adakah realme C15 ini hanya lambakan dalam keluarga realme C atau sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri? Setelah menggunakan peranti ini, saya dapat simpulkan bahawa ia bukan sekadar lambakan kepada barisan peranti realme, tetapi realme C15 berfokuskan kepada pengguna yang inginkan telefon murah yang ada ketahanan bateri yang baik dan menyokong cas pantas.

    Dengan harga bermula pada RM599 untuk varian 4GB+64GB dan RM699 untuk varian 4GB+128GB, anda mungkin menemui beberapa peranti jenama lain dengan cipset lebih baik seperti POCO M3 dan Redmi Note 9. Namun, kekuatan sebenar realme C15 adalah pada ketahanan baterinya. Terdapat juga satu lagi peranti dari realme dengan ketahanan bateri yang sama, tetapi kamera yang lebih baik iaitu realme Narzo 20.

    Apakah pandangan anda mengenai ulasan ini atau mengenai realme C15? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Anda boleh melihat video unboxing realme C15 dan video terkini mengenai realme di laman YouTube kami!

     

    Artikel Terkini

    vivo Y18 rasmi dengan skrin paling terang dalam segmen permulaan, penarafan IP54 bermula ~RM511

    vivo baru sahaja memperkenalkan model telefon pintar Y18 baharu di India. vivo Y18 merupakan telefon pintar dalam segmen permulaan yang memuatkan beberapa...

    Siri Xiaomi Pad 7 akan dilancarkan Oktober ini, boleh ‘plug and play’ dengan EV...

    Xiaomi mungkin bersiap sedia untuk pelancaran beberapa peranti perdana pada Oktober ini termasuk siri tablet perdana baharunya, siri Xiaomi Pad 7. Barisan...

    Nokia 3210 yang ikonik pada 90-an kini diberi nafas baharu dengan 4G

    HMD Global yang merupakan syarikat di sebalik peranti Nokia sedang melakar nostalgia. Menjelang pelancaran semula Nokia 6310, HMD Global kini juga sedang...

    Xiaomi 15 akan jadi peranti pertama dengan Snapdragon 8 Gen 4, bakal dilancar Oktober...

    Minggu lepas, satu laporan mendakwa bahawa Xiaomi mempunyai hak pelancaran pertama eksklusif untuk cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 4 yang akan datang....

    Samsung Galaxy Tab S6 Lite (2024) rasmi di Malaysia: Skrin 10.4″, sokong S Pen...

    Samsung Malaysia mengumumkan bahawa tablet Samsung Galaxy Tab S6 Lite (2024) telah tiba di pasaran Malaysia secara rasmi dengan memori RAM 4GB...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X