fbpx
More

    Ulasan realme Narzo 30A – Telefon bagus untuk kegunaan asas dengan bateri 2 hari

    realme Narzo 30A telah dilancar di Malaysia pada hujung bulan Mac 2021, di mana ia menampilkan spesifikasi gaming kelas pertengahan pada harga yang sangat menarik iaitu RM599 sahaja. Dalam pengiklanannya, realme mengetengahkan prestasi gaming pantas yang boleh ditawarkan oleh pemproses Helio G85 serta bateri besar 6,000mAh.

    Jadi adakah realme Narzo 30A telefon kelas permulaan yang terbaik dalam pasaran telefon pintar yang sangat sengit? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Belakang tu rata ke?

    Daripada segi luaran, realme Narzo 30A mempunyai rekaan yang boleh dijangka untuk sebuah peranti yang dijual pada harga RM599. Rangka dan permukaan belakangnya dibuat daripada plastik dengan sudahan pusam (matte), jadi anda tidak akan mempunyai masalah cap jari yang melekat pada telefon.

    Satu perkara yang paling menonjol pada badan Narzo 30A adalah jalur yang membuatkan telefon ini nampak seperti ia mempunyai permukaan yang beralun. Saya sendiri menjangkakan permukaan yang beralun di belakang, namun itu sebenarnya hanyalah ilusi optikal yang dihasilkan oleh garisan-garisan melengkung pada permukaan telefon. Telefon ini sebenarnya rata sahaja.

    Permukaan belakang realme Narzo 30A nampak beralun, dengan garisan-garisan senget
    Jika dilihat daripada tepi, permukaan telefon ini sebenarnya rata sahaja

    Sebahagian besar permukaan belakang Narzo 30A mempunyai corak garisan tersebut, manakala selebihnya di bahagian atas adalah rata sahaja. Sebuah logo kecil “narzo” turut terpapar di belakang, di sebelah pengimbas cap jari berbentuk bulat yang berada di tengah-tengah.

    Narzo 30A mempunyai bonggol kamera berbentuk segi empat sama yang sangat nipis, ia sebenarnya tidak tertimbul sangat seperti yang terdapat pada telefon-telefon andalan (flagship). Jadi, anda boleh membaringkan telefon ini secara rata di atas meja dan ia tidak akan terjengket.

    Sekali pandang, anda mungkin akan menjangkakan Narzo 30A untuk mempunyai empat kamera kerana seolah-olah bonggol tersebut menempatkan empat lensa. Sebenarnya ia hanya mempunyai dua kamera, satu lampu kilat LED manakala satu lagi bentuk bulat pada bonggol itu hanya mempunyai tulisan “AI” padanya dan tidak mempunyai sebarang fungsi. Saya berpendapat realme buat begini kerana mereka ingin berkongsi bentuk dengan realme C agar kos pengilangan Narzo 30A boleh dikurangkan.

    Selain daripada itu, tidak banyak yang unik tentang Narzo 30A. Butang suis dan kawalan suara berada di bahagian sisi kanan, manakala ruang dwi-kad SIM dan kad memori microSD berada di bahagian kiri. Di bawah, anda boleh melihat satu pembesar suara, port USB-C dan bicu audio 3.5mm.

    Skrin 6.5 inci HD+ yang terdapat pada realme Narzo 30A memberikan warna yang terang

    Di hadapan, Narzo 30A mempunyai skrin LCD berukuran 6.5 inci dengan resolusi 720 x 1600 dan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 81.7%, di mana ia mempunyai bezel yang agak tebal pada bahagian dagu. Di bahagian atas skrin pula, terdapat sebuah kamera swafoto yang berada dalam takuk (notch) di bahagian tengah.

    Spesifikasi – Padan dengan harga

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk realme Narzo 30A:

    • Cipset MediaTek Helio G85
    • RAM 4GB + storan 64GB
    • Paparan Mini-drop 6.5 inci LCD HD+ 6.5 inci
    • Kamera utama 13MP + 2MP lensa monokrom
    • Kamera swafoto 8MP
    • Bateri 6000mAh
    • Sokongan cas 18W (USB-C)
    • Sensor cap jari di belakang
    • Perisian realme UI berdasarkan Android 10
    • Pilihan warna Biru dan Hitam

    Walaupun sekadar paparan LCD, skrin Narzo 30A sebenarnya sangat memuaskan dan ia menghasilkan warna yang terang. Malah, saya berpendapat bahawa skrin ini lebih baik daripada sesetengah skrin LCD pada telefon lain. Walaupun dengan skrin HD+, ia masih boleh memainkan video 1080p dalam YouTube.

    Malang sekali, tahap keterangannya sekadar 570 nits jadi skrin ini tidak senang digunakan di bawah cahaya matahari terik. Malah, saya perlu segera mencari tempat teduh untuk melihat skrin ini dengan lebih jelas jika saya menggunakan telefon ini pada waktu siang.

    Skrin realme Narzo 30A sukar digunakan pada siang hari

    Sewaktu ulasan ini ditulis, Narzo 30A masih dilengkapi sistem operasi Android 10. Memandangkan ia adalah sebuah telefon yang dilancar pada tahun ini, saya menjangkakan ia akan menerima kemas kini Android 11 dalam masa terdekat. Perisian realme UI juga mempunyai estetika seperti Android asal (stock) dan penggunaannya adalah sangat responsif.

    Untuk audio, ia mempunyai satu sahaja pembesar suara di bahagian bawah yang menghasilkan kualiti audio yang biasa sahaja. Mujur, jika anda ingin menikmati kualiti audio yang lebih jelas, anda boleh hubungkan fon telinga berwayar dengan palam 3.5mm.

    Daripada segi kamera, Narzo 30A menawarkan fungsi fotografi dan video automatik, mod potret, selang masa (hyperlapse), gerak perlahan (slow motion), mod pro, mod panorama dan juga mod malam. Saya rasa mereka yang suka mengambil gambar akan kecewa dengan Narzo 30A ini kerana ia tidak dilengkapi kamera ultra-lebar, telefoto atau sensor kedalaman. Walau bagaimanapun, ia masih mempunyai kebolehan zum digital 4x.

    Fungsi utama dalam kamera Narzo 30A (kiri), fungsi lanjutan (tengah), dan zum digital sehingga 4x (kanan)

    Prestasi – Bateri sampai dua hari!

    Berikut adalah dua markah penanda aras yang telah kami buat untuk realme Narzo 30A:

    Penanda aras GeekBench (kiri) dan 3D Mark. Kedua-dua keputusan menunjukkan markah yang rendah

    realme mengiklankan telefon ini sebagai sebuah peranti gaming mampu milik, jadi saya akan mulakan ulasan prestasi dengan pengalaman gaming terlebih dahulu. Dengan cipset Helio G85, Narzo 30A memberikan prestasi gaming yang memuaskan untuk kebanyakan game-game popular tetapi anda tidak boleh harapkan pada prestasi yang tinggi.

    Dalam Call of Duty Mobile, Narzo 30A boleh memainkannya pada tetapan grafik sederhana dengan kadar bingkai yang tinggi. Sepanjang saya memainkan game tersebut selama setengah jam, saya tidak mengalami penurunan prestasi yang ketara dan mampu mengekalkan kadar bingkai High. Saya hanya boleh mengaktifkan Depth of Field dan Real-time Shadows manakala tetapan lain tidak boleh dihidupkan langsung.

    Untuk PUBG Mobile pula, ia agak menghampakan. Narzo 30A cuma boleh memainkan pada tetapan grafik rendah dengan kadar bingkai sekadar 30fps. Prestasi yang sama juga boleh dilihat pada game Asphalt 9 Legends, di mana prestasi boleh jadi merangkak-rangkak sewaktu anda sedang berluma dengan laju. Jika anda ingin memainkan Genshin Impact, usah berharap kerana Narzo 30A tidak boleh memainkannya langsung.

    COD Mobile hanya membenarkan tetapan grafik medium, manakala kebanyakan tetapan lain tidak boleh dihidupkan
    Tetapan grafik PUBG Mobile sekadar pada tahap HD sahaja

    Daripada segi penjanaan haba, telefon ini boleh menjadi agak panas selepas memainkannya lebih daripada 30 minit. Ia bukanlah panas sehingga menjadikan tangan tidak selesa, namun saya risau jika haba tersebut akan merosakkan komponen dalaman telefon ini dalam jangka masa panjang kerana ia tidak mempunyai sistem penyejukan yang canggih. Oleh itu, saya tidak menasihati anda untuk bermain game dalam bilik yang panas atau bawah cahaya matahari.

    Untuk membuka skrin, anda boleh menggunakan pengimbas cap jari di belakang yang sangat responsif. Anda juga boleh gunakan Face Unlock dan ia boleh mengimbas muka dengan sangat cepat walaupun dalam keadaan malap.

    Bateri besar 6,000mAh yang terdapat dalam Narzo 30A boleh bertahan selama dua hari penuh untuk kegunaan biasa seperti membaca e-mel, melayari laman web, media sosial dan menonton video YouTube. Memang ia adalah tempoh yang lama, tapi bukanlah sesuatu yang mengagumkan kerana telefon kelas ini dengan bateri besar memang dijangkakan boleh bertahan sehingga dua hari.

    realme turut menyertakan sebuah pengecas 18W bersama telefon ini, di mana pengecasan penuh mengambil masa sekitar dua jam 30 minit. 

    Penggunaan bateri penuh ke 10% mengambil masa 2 hari 15 jam
    Pengecasan dari 10% ke 97% mengambil masa 2 jam 26 minit

    Untuk kamera pula, realme Narzo 30A menghasilkan mutu gambar yang biasa sahaja dalam kamera belakang dan hadapan. Warna yang dihasilkan tidaklah terlalu pekat tanpa pemprosesan yang melampau, namun butiran yang terdapat pada bahagian gelap seperti bayang-bayang mungkin nampak pudar.

    Mod potret pula menawarkan pemisahan yang kemas di antara subjek dengan latar belakang, namun tidaklah sempurna. Untuk fotografi malap pula, kamera Narzo 30A tidak boleh menghasilkan gambar yang cantik dalam mod auto kerana butirannya agak kabur. Mod Malam (Night Mode) pula tidak berfungsi langsung, malah menghasilkan gambar yang lebih teruk daripada mod auto.

    Rakaman video 1080p juga baik, namun ia tidak mempunyai sebarang penstabilan imej.

    Perbandingan zum 1x, 2x dan 4x
    Pemisahan di antara subjek dengan latar belakang dalam Mod Potret nampak kemas, tapi tidaklah sempurna

    Kesimpulan – Bagus untuk mereka yang tidak ingin berbelanja besar

    realme Narzo 30A menawarkan fungsi yang bagus pada harga RM599, terutamanya dengan bateri sebesar 6,000mAh yang boleh bertahan selama dua hari. Selain daripada itu, telefon ini tidak mempunyai sebarang kelebihan yang boleh membuatkannya unik daripada telefon kelas permulaan yang lain. Saya berpendapat telefon ini sesuai digunakan oleh para pelajar atau beli sebagai telefon bimbit pertama dalam hidup mereka.

    Narzo 30A menghadapi saingan yang sengit kerana terdapat banyak alternatif oleh jenama lain jika anda tidak menginginkan telefon ini. Antara telefon yang dijual pada harga serupa adalah Samsung Galaxy A12 (RM699), Redmi 9T (RM599) dan OPPO A54 (RM599). Redmi 9T menampilkan saingan yang menarik kerana dengan harga sama dengan Narzo 30A, anda boleh mendapatkan skrin Full HD+ dan pembesar suara stereo.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan realme Narzo 30A dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    BYD Hiace 07 EV diperkenal, dilengkapi “God’s Eye” dan jarak pemanduan sehingga 610 km

    Semasa Pameran Auto Beijing, BYD telah memperkenalkan kereta terbaharunya iaitu BYD Hiace 07 EV. Salah satu ciri menonjol Hiace 07 EV ialah...

    CelcomDigi tawarkan internet 1TB pada harga RM15 dan banyak lagi promosi sempena Hari Gaji...

    Seperti biasa, syarikat telekomunikasi CelcomDigi menawarkan promosi Hari Gaji Specials pada hujung bulan dan untuk kali ini ia akan berlangsung daripada hari...

    HONOR Band 9 dilancar di Malaysia: Jam tangan pintar dengan skrin AMOLED 1.57″ berharga...

    HONOR Malaysia telah melancarkan jam tangan pintar terbaru iaitu HONOR Band 9. Ia menampilkan skrin AMOLED berukuran 1.57 inci dengan kadar segar...

    Acer Malaysia lancarkan desktop, monitor dwi-paparan dan projektor bermula RM1,699

    Acer Malaysia hari ini melancarkan barisan komputer desktop, monitor dwi-paparan mudah alih dan sebuah projektor yang direka untuk meningkatkan kelancaran alir kerja...

    HONOR Pad 9 5G dilancar di Malaysia: Tablet 12.1 inci dengan skrin 2.5K bermula...

    HONOR Malaysia telah melancarkan tabletnya yang terbaru iaitu HONOR Pad 9 5G. Sebagai tablet kelas pertengahan, ia dilengkapi skrin berukuran 12.1 inci...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X