fbpx
More

    Ulasan realme X50 Pro 5G – Mantap dan ‘sedap’ guna, cuma sedikit kelemahan kecil

    Bermula pada hujung tahun 2019, kebanyakan jenama telefon pintar sudah mula mengeluarkan varian peranti dengan sokongan 5G. realme mengorak langkah yang sama dengan melahirkan siri realme X50 5G buat pertama kalinya di China.

    Untuk pengetahuan anda, siri realme X50 5G adalah siri peranti 5G pertama dari realme. Varian tertinggi dalam siri tersebut, realme X50 Pro 5G akhirnya membuat kemunculan di pasaran Malaysia. Kami tidak akan mengulas mengenai rangkaian 5G di Malaysia, tetapi kami akan mengulas mengenai prestasi realme X50 Pro 5G dari segenap penjuru. Adakah varian tertinggi peranti 5G pertama dari realme ini berbaloi disambar? Baca ulasan kami!

    Reka bentuk – Biasa sahaja, hanya warna menarik

    Ulasan untuk reka bentuk adalah subjektif kerana ia bergantung kepada citarasa individu. Menurut kami, reka bentuknya adalah biasa sahaja, rata-rata kelihatan seakan sama seperti peranti flagship Android lain. Namun, apa yang menariknya adalah pilihan warna yang ditawarkan. realme tampil lebih berani dengan memberi pilihan warna Moss Green (hijau) dan Rust Red (merah). realme X50 Pro 5G di tangan kami adalah dengan pilihan warna Moss Green.

    Panel belakang peranti dilitupi cermin kaca, tetapi dengan sudahan pusam (matte). Sudahan ini memberi rasa yang selesa semasa memegangnya. Bukan itu sahaja, cap jari juga tidak akan mudah melekat pada peranti. Susunan modul kamera belakang adalah biasa sahaja seperti yang dapat dilihat pada peranti lain, tetapi warna belakang peranti memainkan peranan penting. Anda boleh lihat sendiri pada gambar yang disertakan.

    Apa yang ada dalam kotak
    Warna hijau tua, tetapi menarik
    Reka bentuk kamera belakang biasa sahaja

    Pada panel hadapan pula, ia dilengkapi skrin Super AMOLED 6.44 inci, nisbah skrin ke badan 92% dengan rekaan skrin berlubang yang memuatkan dua kamera swafoto. Mungkin rekaan skrin berlubang dengan dua kamera hadapan adalah agak menganggu, tetapi setakat ini, ia adalah rekaan terbaik untuk memuatkan tetapan dua kamera tersebut.

    Kedudukan butang-butang tidak menjadi masalah. Namun, seperti biasa, flagship kini tidak lagi ingin mengekalkan bicu audio 3.5mm.

    Skrin 6.44 inci Super AMOLED
    Rekaan dwi-kamera swafoto
    Logo realme di tepi bahagian belakang peranti
    Gril pembesar suara, port USB-C dan slot SIM
    Bahagian atas peranti
    Butang kelantangan (volume) di sebelah kiri
    Butang kuasa (power) di sebelah kanan
    Slot SIM

    Sedikit pendapat peribadi dari kami, peranti ini agak terasa berat apabila dipegang. Mungkin kerana faktor pengulas lebih biasa membawa peranti yang lebih ringan (lihat ukuran berat peranti pada segmen ciri dan spesifikasi).

    Agak mengecewakan juga, X50 Pro 5G tidak mempunyai slot mikroSD untuk penambahan kad mikroSD. Namun, storan sedia ada sudah memadai.

    Ciri teknologi dan spesifikasi – Flagship 5G pertama dari realme

    Memandangkan kita sudah dapat menjangkakan ciri teknologi dan spesifikasi sesebuah peranti flagship dengan Snapdragon 865 pada tahun ini, mungkin kita boleh melihat apakah spesifikasi paling menarik yang ditawarkan pada realme X50 Pro 5G.

    Selain janaan cipset Snapdragon 865, anda juga mungkin bakal berpuas hati dengan spesifikasi RAM tinggi 12GB bersama storan 256GB. Anda boleh menyemak senarai ciri teknologi dan spesifikasi realme X50 Pro 5G seperti di bawah.

    • Berukuran 159 x 74.2 x 8.9 mm
    • Berat 205g
    • Cipset Snapdragon 865
    • RAM 12GB + ROM 256GB
    • Skrin AMOLED 6.44 inci beresolusi 1080 x 2400 piksel
    • Sokongan kadar segar semula 90Hz
    • Kamera utama quad 64MP + 12MP (telefoto) + 8MP (ultra lebar) + 2MP (kedalaman)
    • Dwi-kamera swafoto 32MP + 8MP (ultra lebar)
    • Bateri 4200mAh bersama sokongan cas pantas SuperDart Flash Charge 65W
    • Sokongan Bluetooth 5.1, NFC
    • Sensor cap jari bawah skrin, Face Unlock

    Untuk pengetahuan anda, realme X50 Pro 5G menggunakan antara muka realme UI 1.0 (seperti gambar di atas) berasaskan Android 10. Antara mukanya agak kemas dan bersifat minimalis dengan ikon berbentuk bulat.

    Sensor cap jari di bawah skrin juga berfungsi dengan baik dan lancar tanpa kelewatan untuk nyahkunci. Selain itu, anda juga boleh menggunakan raut wajah untuk menyahkunci peranti ini. Pengesanannya agak pantas, namun bergantung kepada keselesaan anda untuk menggunakan sensor cap jari atau ciri Face Unlock.

    Prestasi – Tiada apa yang boleh dirungut melainkan sedikit mengenai kamera

    Sebelum memulakan ulasan mengenai prestasi, rasanya tidak lengkap jika tanpa markah dari aplikasi penanda aras. Seperti biasa, kami telah menguji realme X50 Pro 5G melalui aplikasi penanda aras 3DMark.

    Penanda aras 3DMark yang menguji lebih kepada aspek gaming memperlihatkan markah seperti di bawah.

    Markah ini berada dalam kategori yang agak tinggi dan berprestasi, terang lagi bersuluh kerana ianya menggunakan cipset Snapdragon 865.

    Menyambung kepada aspek gaming, seolah-olah tiada rungutan yang boleh ditulis. Hal ini kerana anda boleh menetapkan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah. Kadar segar semula 90Hz memberi pengalaman gaming yang lancar dan memuaskan.

    Melalui game Call of Duty: Mobile yang dimainkan, anda boleh menetapkan tetapan kualiti grafik pada tetapan tertinggi, begitu juga dengan kadar frame (frame rate) dan permainan game berjalan tanpa sebarang masalah.

    Tetapan tertinggi
    Cari musuh
    Dapat tembak!

    Semasa gaming selama hampir dua jam, tiada masalah pemanasan yang terlebih. Hanya suam-suam sahaja dan suhunya tidak tinggi. Terima kasih kepada teknologi sistem penyejukan Vapor Cooling System.

    Mengenai prestasi audio pula, peranti ini dilengkapi tetapan dua pembesar suara dengan sokongan Dolby Atmos dan Hi-Res Audio. Pembesar suara ditempatkan pada bawah peranti dan terdapat pembesar suara kedua di bahagian atas peranti.

    Kami memang berpuas hati dengan kualiti audionya, bukan sahaja semasa gaming, tetapi juga semasa menonton filem. Tontonan filem dan pengalaman gaming menggunakan peranti ini sangat memuaskan dek kerana skrin Super AMOLED 90Hz dengan gamut warna 100% dan tahap kecerahan 1000nit.

    Menonton Kampung People

    Beralih kepada aspek bateri dan ketahanannya, ia dilengkapi bateri berkapasiti 4200mAh. Dengan kehadiran kapasiti bateri di pasaran yang lebih besar mencecah 5000mAh, anda mungkin merasa kapasiti ini biasa sahaja. Namun, anda tidak perlu risau kerana ia hadir dengan pengecas pantas SuperDart Charge 65W.

    Untuk pengecasan, dari 0% sehingga 100% hanya mengambil masa lebih kurang 37 minit sahaja! Jika penggunaan peranti tidak berat, baterinya mampu bertahan sehingga 2 hari. Namun, jika anda menggunakannya seperti manusia biasa yang bermain game (penggunaan gaming, tontonan filem pada kadar medium), ia mampu bertahan sehingga anda sudah ingin melelapkan mata (seharian penggunaan). Perlu diingatkan juga bahawa ketahanan bergantung kepada tahap penggunaan anda.

    Pengecas SuperDart Charge 65W

    Selama menggunakan realme X50 Pro 5G selama 2 minggu, seperti biasa aspek kameranya turut diuji. Tetapan kamera utama dihuni lensa 64 MP, f/1.8, 26mm (lebar) + 12 MP, f/2.5, 54mm (telefoto) dengan kemampuan 2x zum optikal + 8 MP, f/2.3, 13mm (ultra lebar) + 2 MP, f/2.4 (kedalaman).

    Sebenarnya, ulasan untuk kamera juga agak subjektif berdasarkan citarasa peribadi. Ada pengguna yang gemar dengan hasil gambar berwarna semulajadi, ada juga yang gemar dengan hasil warna yang lebih pekat.

    Untuk pengguna yang gemar dengan warna semulajadi dan sebenar seperti pengulas, terdapat rungutan kecil untuk hasil gambar menggunakan kamera utama 64MP. Kepekatan warna (saturation) pada gambar agak melebih dari warna sebenar. Namun, anda boleh mengubah sendiri tahap kepekatan warna pada antara muka pengeditan gambar di peranti ini sendiri.

    Selain kamera utama, fungsi lensa ultra-lebar juga sangat membantu untuk mendapatkan pemandangan yang lebih luas.

    Anda bukan sahaja dapat mendapatkan pemandangan yang lebih luas untuk kamera belakang 64MP, tetapi juga kamera hadapan memandangkan kamera swafoto dihuni tetapan lensa 32MP + 8MP (ultra lebar). Seperti biasa, walaupun hasil gambarnya dengan kepekatan warna sedikit melebih, tetapi kualitinya baik.

    Kamera belakang biasa 64MP
    Kamera belakang: Mod Portrait
    Kamera belakang tanpa zum
    Kamera belakang 2x zum, masih jelas

    Anda juga boleh melihat hasil zum yang masih berkualiti resolusinya. Selain itu, anda boleh membuat tangkapan gambar dari jarak dekat.

    Jika anda tidak berpuas hati, anda boleh ke pilihan lebih pada antara muka kamera, terdapat fungsi Ultra-Macro yang boleh digunakan. Tangkapan menggunakan mod malam (Night Mode) juga memuaskan kerana cahaya dalam gambar tidak berselerak seperti dalam gambar tanpa mod malam.

    Tangkapan jarak dekat
    Tangkapan Ultra Macro
    Mod malam
    Mod malam di KLCC
    Tanpa mod malam
    Dengan mod malam, cahaya tidak berselerak

    Mengenai rakaman video pula, peranti ini mampu merakam sehingga 4K pada 30fps dan dilengkapi sokongan penstabilan video UIS. Lebih menarik, sokongan UIS mempunyai versi yang lebih baik iaitu UIS Max.

    Terdapat banyak lagi ciri video menarik seperti 1080P Slow-Mo Selfie pada 120fps, namun kami hanya memaparkan video Slow-Mo menggunakan kamera belakang 960fps pada 720p. Hasilnya sangat baik seperti yang anda dapat lihat.

    Slow-Mo 960fps
    Mod penstabilan UIS Max – dirakam semasa berlari, penstabilan sangat baik!

    Secara keseluruhannya, prestasi kameranya adalah mantap, kecuali tahap kepekatan warna sedikit lebih. Antara perkara yang paling disukai adalah prestasi sokongan penstabilan UIS yang sangat baik.

    Kesimpulan – Harga yang perlu dibayar oleh gamer yang pentingkan spesifikasi tinggi

    Ya, itulah yang kami dapat simpulkan. realme X50 Pro 5G dengan RAM 12GB dan storan 256GB yang bermula pada harga RM2,999 boleh dibeli jika anda adalah individu yang mengejar spesifikasi flagship yang tinggi. Apalah guna spesifikasi cipset tinggi jika tidak digunakan untuk bermain game, bukan begitu?

    Peranti ini mantap dan bagus untuk digunakan walaupun mempunyai kelemahan kecil yang tidak ketara. Kelemahan kecilnya menurut pandangan kami adalah jika anda tidak menyukai reka bentuknya atau tidak menyukai hasil kameranya. Namun, peranti ini seakan sempurna (jika anda menyukai reka bentuk dan hasil gambarnya).

    Untuk sesetengah gamer mudah alih sekadar bertahap ringan atau pengguna yang lebih berfokuskan kepada produktiviti dan kegunaan harian, mungkin terdapat banyak lagi pilihan lain dengan spesifikasi lebih rendah, namun cukup untuk memuaskan hati anda.

    Jika ingin memfokuskan kepada gaming, terdapat pilihan lain seperti Black Shark 3 yang berharga RM2,799. Terdapat juga OnePlus 8 sebagai salah peranti dengan cipset Snapdragon 865 sama yang berharga RM2,899. Anda boleh lihat senarai peranti dari harga RM2,500 hingga RM3,000 di pautan ini.

    Jika anda menginginkan pengalaman membuka kotak realme X50 Pro 5G, anda boleh menonton video di bawah dan mengikuti kami di YouTube.

    Anda mempunyai ulasan sendiri? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Shopee lancarkan program Jaminan Tepat Masa untuk penghantaran barang bermula 6 Mei ini

    Shopee akan melancarkan inisiatif terbaharunya, program Jaminan Tepat Masa yang bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan mengenai kebolehpercayaan penghantaran untuk pembeli dalam talian.

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles lutsinar bermula RM479

    Nothing Malaysia telah memperkenalkan dua fon telinga wayarles baharu iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Syarikat teknologi yang berpusat di London,...

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    nubia Neo 2 5G dilancar di Malaysia: Tampilkan ‘Dual Gaming Shoulder Triggers’ berharga RM999

    Siri nubia Neo melancarkan peranti andalan terbaharunya, nubia Neo 2 5G yang dicipta untuk memenuhi keperluan pemain kasual dan peminat dengan mengutamakan...

    TIME naik taraf Pakej MyKabel 100Mbps kepada 200Mbps, harga kekal pada RM69/bulan

    Awal bulan ini, TIME memberikan peningkatan Speed Boost secara percuma kepada beberapa pelanggan yang layak. Kini, terdapat satu lagi peningkatan baru dan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X