fbpx
More

    Ulasan Redmi 9 – Tak perlu pecah tabung untuk telefon yang bagus!

    Siri telefon Redmi daripada Xiaomi memang sinonim dengan barisan produk yang dijual pada harga berpatutan namun masih memberikan prestasi mirip telefon-telefon yang lebih mahal. Redmi 9 yang dilancarkan pada 15 Jun lalu juga termasuk dalam kategori ini, dengan harganya yang sangat mampu milik iaitu bermula pada RM499 sahaja untuk varian terendah. Jadi adakah prestasinya padan dengan harga tersebut? Ayuh baca ulasan kami di bawah untuk mengetahuinya.

    Reka bentuk – Murah di luar, mahal di dalam

    Sebaik sahaja saya memegang telefon ini, memang terus terasa bahawa ia adalah telefon kelas permulaan. Permukaan belakangnya yang mempunyai sudahan kusam (matte finishing) dibuat daripada plastik manakala rangkanya pula turut dibuat daripada bahan yang sama. Namun ini tidaklah bermakna Redmi 9 terasa rapuh atau mudah dirosakkan.

    Mutu buatannya terasa amat kukuh dan padu, tidak seperti sesetengah telefon kelas permulaan lain. Malah, skrin yang dibuat dengan Gorilla Glass 3 mengukuhkan lagi struktur keseluruhan Redmi 9. Lagipun dengan plastik, anda tidak perlu risau tentang kesan cap jari yang sering menjadi masalah pada telefon-telefon flagship yang diperbuat daripada kaca. Senang kata, usah dipakaikan sarung (casing) untuk melindungi permukaan belakang.

    Permukaan belakang Redmi 9 yang mempunyai sudahan matte
    Terdapat aluran yang agak menarik pada permukaan belakang Redmi 9

    Turut berada di belakang adalah empat kamera, lampu kilat LED dan pengimbas cap jari. Semua komponen ini diposisikan di bahagian tengah dalam satu kolum menegak.

    Satu perkara yang saya kurang gemar tentang susunan ini adalah pengimbas cap jari yang berada terlalu dekat pada kamera. Ini mungkin akan membuatkan anda tersentuh kaca kamera sewaktu ingin mengimbas cap jari dan mengaburkan kamera anda dengan kesan cap jari.

    Bonggol kamera di belakang Redmi 9, pengimbas cap jari berada di bawah tiga kamera utama

    Di bahagian depan pula, Redmi 9 dilengkapi skrin Dot Drop Display berukuran 6.53 inci dengan resolusi Full HD+ (1080×2340) dan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 83.2%. Secara umumnya, ia mempunyai sempadan bezel yang agak nipis kecuali pada bahagian bawah. 

    Ia adalah agak besar untuk telefon kategori ini dan sangat sesuai untuk bermain game, menonton filem atau kegunaan harian. Kamera swafotonya pula berada di bahagian atas tengah dalam bentuk titisan air (water drop). Pada pendapat saya, kamera swafoto itu agak mengganggu skrin kerana bentuk titisan air itu boleh dikatakan agak besar.

    Skrin Redmi 9 yang berukuran 6.53 inci
    Sempadan bezel Redmi 9 adalah agak nipis kecuali pada bahagian bawah
    Kamera swafoto yang berada dalam bentuk ‘water drop’ di bahagian atas tengah skrin

    Di bahagian bawah, Redmi 9 datang dengan bicu audio 3.5mm dan port USB Type-C. Beberapa telefon kelas permulaan masih lagi menggunakan microUSB sebagai port mereka, jadi saya lega apabila melihat Redmi sudah pun mengimplementasi USB Type-C pada Redmi 9. Turut berada di bawah adalah pembesar suara dan mikrofon, manakala di atas pula terdapat pemancar inframerah (IR blaster) dan satu lagi mikrofon.

    Butang kuasa dan kawalan kelantangan suara berada di bahagian kanan, manakala di bahagian kiri pula terdapat ruang kad untuk dua kad SIM dan satu kad memori microSD. Ini tentunya amat berguna memandangkan storan dalaman Redmi 9 dalam varian terendah adalah agak kecil iaitu sekadar 32GB sahaja.

    Bahagian bawah Redmi 9: Pembesar suara, port USB-C, mikrofon dan bicu audio 3.5mm
    Bahagian kanan Redmi 9: Butang kawalan kelantangan suara dan butang kuasa
    Bahagian kiri Redmi 9: Ruang kad SIM dan kad microSD
    Redmi 9 boleh dilengkapkan dengan dua kad SIM dan satu kad memori microSD
    Barang yang anda akan dapat dalam kotak Redmi 9: Pengecas 10W, sarung silikon, kabel USB, pembuka ruang kad SIM dan dokumen berkaitan

    Spesifikasi – Padu walaupun dengan harga murah!

    Walaupun rupa luarannya nampak biasa, namun spesifikasi dalamannya amat bagus untuk peranti kelas ini. Selain skrinnya yang agak besar dalam kategori ini, Redmi 9 mempunyai cipset MediaTek Helio G80, empat kamera dan bateri 5,020mAh; ciri-ciri yang cemerlang untuk telefon berharga setengah ribu Ringgit.

    Berikut adalah spesifikasi penuh Redmi 9:

    • Berukuran 163×77×9.1mm, berat 198g
    • Cipset MediaTek Helio G80
    • RAM 3GB atau 4GB
    • Storan dalaman 32GB atau 64GB
    • Skrin IPS LCD Dot Display berukuran 6.53 inci, resolusi 1080×2340, nisbah aspek 19.5:9, nisbah skrin-ke-badan 83.2%
    • Kaca Corning Gorilla Glass 3 di depan, kerangka plastik
    • Kamera utama 13MP f/2.2 + kamera ultra-lebar 8MP f/2.2 dengan medan penglihatan 118°+ kamera makro 5MP f/2.4 + sensor kedalaman 2MP f/2.4
    • Kamera swafoto 8MP f/2.0
    • Bateri 5,020mAh, menyokong pengecasan pantas 18W (pengecas dalam kotak berkadar 10W sahaja)
    • Antara muka MIUI 11 berdasarkan Android 10
    • Bicu audio 3.5mm, port USB-C, NFC, pemancar IR

    Secara umumnya, spesifikasinya agak baik untuk sebuah telefon dalam kategori harga ini. Ia dilengkapi cipset MediaTek Helio G80 iaitu sebuah cipset kelas pertengahan yang difokuskan untuk kegunaan gaming. Daripada sudut memori pula, ia datang dalam dua varian iaitu 3GB+32GB dan 4GB+64GB. Memandangkan storan dalamannya tidaklah sebesar mana, elok jika anda menggunakan kad memori microSD untuk membesarkan storan.

    Walaupun ia telefon kelas permulaan, Redmi 9 masih dilengkapi dengan empat kamera termasuk kamera ultra-lebar, makro dan sensor kedalaman. Sistem kamera telefon ini diiringi dengan beberapa ciri menarik seperti mod Portrait, kawalan manual, penapis warna (filter) dan high dynamic range

    Dari atas: Kamera ultra-lebar 8MP, kamera utama 13MP, sensor kedalaman 2MP. Di bahagian kanan, dari atas: Kamera makro 5MP, lampu kilat (flash)
    Contoh antara muka (UI) kamera Redmi 9. Dari kiri: mod auto, mod manual dan penapis warna (filters)

    Untuk rakaman video pula, ia boleh merakam dalam resolusi 720p atau 1080p pada kadar 30fps sahaja. Perlu diingati bahawa Redmi 9 tidak dilengkapi sebarang teknologi penstabilan imej, jadi pastikan anda pegang telefon sebaik mungkin untuk mengurangkan getaran dalam video. 

    Bagi penggemar Instagram Story pula, mod Short Video pasti akan menjadi kegemaran anda kerana ini adalah mod khas untuk merakam video selama 15 saat. Malah, ia juga boleh disunting lagi dengan kawalan kelajuan atau efek kaleidoskop untuk menghiasi Instagram Story anda. Di samping itu, terdapat juga mod Slow Motion untuk video yang dirakam pada kadar 120fps dan diperlahankan dalam telefon, namun ia hanyalah dalam resolusi 720p sahaja.

    Fungsi Short Video akan menghasilkan video 15 saat untuk dikongsi dalam media sosial seperti Instagram Story dan Snapchat, serta boleh dihiasi dengan efek kaleidoscope. Selain itu, terdapat fungsi Slow Motion untuk rakaman gerak perlahan.

    Pengimbas cap jari yang berada di belakang berfungsi dengan pantas, ia tidak memerlukan masa yang lama untuk membaca cap jari anda. Jika anda lebih cenderung kepada imbasan muka untuk membuka skrin, fungsi Face Unlock juga berfungsi dengan pantas walaupun jika anda memakai pelitup muka, lebih-lebih lagi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

    Pada waktu penulisan, Redmi 9 masih tidak menerima kemas kini untuk MIUI 12 yang baru sahaja dilancarkan Mei lalu, jadi ia masih kekal dengan MIUI 11. Secara amnya, MIUI 11 memberikan pengalaman penggunaan yang sangat lancar, sebarang pembukaan atau penukaran aplikasi boleh dilakukan dengan pantas. Rupa ikonnya dan antara muka dalam MIUI 11 nampak ringkas dan mudah difahami. Tiada maklumat jika Redmi 9 akan menerima MIUI 12 pada masa akan datang.

    MIUI 11 tampil dengan antara muka yang ringan, ringkas dan mudah digunakan

    Prestasi – Sangat mantap untuk peranti kelas permulaan

    Sebelum saya ulaskan prestasi penggunaan Redmi 9, saya bentangkan dulu keputusan penanda aras (benchmark) untuk telefon ini.

    Saya memilih untuk menggunakan perisian AnTuTu dan 3DMark:

    Dari kiri: AnTuTu, 3DMark Sling Shot dan 3DMark Sling Shot Extreme

    Dengan markah di atas, saya rasa Redmi 9 mendapat keputusan yang baik dalam penanda aras tersebut, namun nombor sahaja tidak menggambarkan penggunaan dalam dunia sebenar.

    Saya menggunakan telefon ini untuk bermain tiga game kegemaran ramai iaitu COD Mobile, PUBG Mobile dan Asphalt 9. Ketiga-tiga game ini mempunyai keperluan grafik yang agak tinggi namun sukacita saya melaporkan bahawa pengalaman gaming dalam Redmi 9 adalah sangat baik. Untuk game multi-pemain seperti COD Mobile dan PUBG Mobile, frame rate kekal konsisten walaupun saya bermain game dengan lama.

    Sungguh pun begitu, kelancaran ini adalah kerana tetapan grafiknya yang telah diturunkan secara automatik. Sebagai contoh, tetapan Graphic Quality dalam COD Mobile hanya dihadkan kepada Medium manakala beberapa tetapan seperti Bloom, Ragdoll dan Water Reflection dimatikan secara automatik. Begitu juga dengan PUBG Mobile yang menghadkan tetapan grafik kepada HD sahaja.

    Tetapan grafik COD Mobile mengehadkan kualiti grafik setakat Medium sahaja, manakala fungsi Bloom, Ragdoll dan Water Reflection telah dihalang daripada dihidupkan

    Sementara itu, jika saya memainkan game pemain tunggal (single player) yang memang mempunyai grafik intensif seperti Asphalt 9, grafik boleh ditetapkan dengan tetapan tinggi namun frame rate akan jatuh dengan mendadak sewaktu detik-detik yang mempunyai banyak efek khas.

    Permukaan belakang telefon juga akan menjadi suam namun tidaklah sampai terlalu panas. Anda boleh lihat contoh gameplay dalam video berikut:

    Bercakap tentang bateri, kapasiti 5,020mAh ini memang lebih daripada cukup untuk tahan selama sehari, walaupun apabila digunakan untuk pelbagai tugas berat seperti fotografi dan gaming berpanjangan.

    Kalau anda mengutamakan ketahanan bateri sehingga dua hari, saya syorkan anda untuk mengaktifkan mod Battery Saver yang boleh memanjangkan hayat bateri sehingga 1.5 kali ganda.

    Bateri Redmi 9 boleh bertahan sehingga 40 jam lebih dalam satu pengecasan penuh, dan lebih 60 jam jika mod Battery Saver dihidupkan

    Untuk pengecasan pula, Redmi 9 menyokong pengecasan pantas 18W namun pengecas yang disertakan dalam kotak hanyalah sekadar 10W sahaja. Jika pengecas ini digunakan, pengecasan penuh akan mengambil masa lebih kurang dua jam 30 minit.

    Jadi kalau anda ingin memanfaatkan sokongan 18W, anda perlu gunakan pengecas lain yang mampu menyamai kadar tersebut.

    Pengecasan daripada 7% ke 95% mengambil masa 2 jam 30 minit, menggunakan pengecas yang disertakan dalam kotak

    Prestasi fotografi Redmi 9 agak baik jika anda menggunakannya di bawah cahaya yang terang. Ia boleh menghasilkan gambar yang cantik dengan butiran yang memuaskan selagi anda tidak zum dengan terlalu dekat. Kamera Redmi 9 menyokong zum digital 2x yang masih nampak baik dan sesuai untuk dimuat naik ke media sosial. Secara teori, anda boleh memanjangkan zum tersebut sehingga 10x namun lebih baik zum anda dihadkan kepada 2x sahaja bagi mengekalkan kualiti gambar, zum selepas 2x menjadi sangat kabur.

    Kamera ultra-lebar juga berfungsi dengan amat baik untuk mendapatkan lebih banyak subjek dalam gambar anda. Untuk kamera makro pula, ia mampu mendapatkan butiran yang sangat halus pada subjek anda, selagi anda berada dalam jarak fokus 4cm daripada subjek dan ia diterangi dengan cahaya yang cukup. Sensor kedalaman juga memberikan hasil yang sangat bagus untuk mod Portrait, di mana latar belakang subjek anda boleh dikaburkan dengan efek bokeh yang nampak asli.

    Pencakar langit Kuala Lumpur, diambil menggunakan kamera utama
    Kamera utama Redmi 9 boleh mengendali situasi membelakangkan cahaya (backlit)
    Butiran yang terdapat pada pokok besar ini boleh dilihat dengan jelas
    Warna-warni tangga ini dihasilkan dengan baik
    Gambar diambil menggunakan zum 2x
    Gambar makro. Butiran yang terdapat pada tumbuhan ini boleh dilihat dengan jelas
    Gambar makro yang dicahayakan oleh lampu agak malap, butirannya tidak begitu jelas
    Gambar ultra-lebar, butirannya sangat jelas dan terang
    Gambar ultra-lebar, kamera utama tidak mampu memasukkan ranting-ranting pokok ini dalam gambar

    Gambar Portrait boleh digunakan untuk menghasilkan efek kabur (bokeh) pada latar belakang subjek
    Gambar swafoto dengan mod Portrait akan mengkaburkan latar belakang untuk gambar keseluruhan yang lebih memuaskan

    Seperti yang boleh dijangkakan dalam telefon kategori ini, fotografi malap bukanlah sesuatu yang Redmi 9 mampu tangani. Kameranya gagal untuk mendapatkan pendedahan cahaya (exposure) yang sesuai, mempunyai banyak noise dan butiran juga tidak sejelas gambar di bawah cahaya terang.

    Malah, dengan ketiadaan mod khas untuk fotografi malap, sukar untuk anda dapatkan gambar yang elok pada waktu malam dengan Redmi 9.

    Contoh gambar malap: jika subjek anda mempunyai sumber lampu yang cukup, Redmi 9 boleh hasilkan gambar yang memuaskan
    Dengan ketiadaan mod malap, penggambaran pada waktu malam adalah agak sukar

    Daripada segi video, ia mempunyai prestasi yang lebih kurang sama dengan fotografi: Cantik apabila di bawah cahaya terang, kabur di bawah cahaya malap. Ketiadaan resolusi 4K dan kadar 60fps mungkin akan mengecewakan anda, namun itu adalah kompromi yang anda perlu terima dengan telefon pada harga seperti ini.

    Satu perkara yang saya tidak jangkakan, saya amat menggemari fungsi Short Video memandangkan saya kerap memuat naik video ke dalam Instagram Story. Malah, efek-efek Kaleidoscope dan kelajuan membuatkan video pendek ini sangat menarik. Sementara itu, video Slow-Motion yang dirakam pada 720p 120fps pula memang nampak bergaya dan seronok untuk digunakan, namun kualitinya agak hambar berbanding video biasa.

    Kesimpulan – Prestasi bagus tanpa perlu berbelanja besar

    Dengan harga RM499, Redmi 9 memberikan prestasi yang lebih daripada berbaloi untuk harga tersebut. Prestasi gaming, fotografi dan pelbagai tugasan harian adalah lebih daripada cukup untuk kebanyakan pengguna yang tidak memerlukan spesifikasi tinggi daripada telefon mereka. Walaupun peranti ini ada kekurangannya, namun tidak banyak yang kami boleh rungutkan apabila ia dijual pada harga yang sangat berpatutan.

    Jika anda ingin lihat telefon lain yang mempunyai prestasi serupa pada harga ini, boleh lihat pada realme C3 (RM499), Samsung A11 (RM599) atau Redmi 9C (RM429). Jangan lupa untuk tonton video 5 Phone Terbaik Bawah RM600 di saluran YouTube kami untuk bantu anda membuat pilihan terbaik.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Fujifilm instax mini 99 dilancar di Malaysia: Kamera analog yang boleh cetak gambar berharga...

    Pada hari ini, Fujifilm Malaysia melancarkan model kamera analog segera (instant analog camera) yang terbaru dalam siri instax*1 iaitu instax mini 99....

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X