fbpx
More

    Ulasan RedmiBook 15 – Komputer riba bajet sesuai untuk pelajar

    Xiaomi Malaysia telah memperkenalkan komputer riba RedmiBook 15 pada bulan Jun lalu dengan harga promosi RM1,899 (harga pasaran RM2,399), di mana ia disasarkan kepada mereka yang inginkan komputer riba asas dengan skrin besar untuk kegunaan harian atau tugas dalam pekerjaan. 

    Dalam industri telefon pintar, Redmi adalah jenama yang terkenal dengan telefon mampu milik namun masih dilengkapi spesifikasi yang bagus, jadi adakah perkara yang sama boleh dikatakan untuk komputer riba ini? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Daripada segi luaran, RedmiBook 15 mempunyai rekaan yang sangat ringkas dan minimalis. Dengan badannya yang berwarna kelabu gelap dan dibuat daripada besi, ia menghasilkan imej yang agak premium walaupun ini adalah sebuah komputer kelas permulaan. Seluruh badannya mempunyai permukaan matte, jadi anda tidak akan meninggalkan kesan cap jari.

    Di belakang skrin, terdapat sebuah logo Redmi yang sangat kecil dan sangat berlainan dengan komputer jenama lain yang selalunya memaparkan logo-logo mereka dengan sangat besar dan jelas di belakang skrin. Terdapat slogan berwarna kelabu “Power Your Creativity” di sebelah logo Redmi, namun ia sangat sukar dilihat kerana warnanya yang serupa dengan badan komputer.

    Rekaan hadapan RedmiBook 15
    Rekaan belakang RedmiBook 15 yang minimalis
    Logo Redmi serta slogan “Power Your Creativity” yang halus dan sukar dilihat

    Komputer ini mempunyai ketebalan 19.9mm dan berat 1.8kg, iaitu dimensi dan berat yang agak standard untuk sebuah komputer kategori ini. Saya yakin ia boleh dimasukkan dengan mudah dalam semua jenis beg dan senang dibawa ke mana-mana.

    Untuk skrin, RedmiBook 15 mempunyai skrin berukuran 15.6 inci dengan resolusi Full HD (1920×1080), kadar segar semula standard 60Hz, kecerahan puncak 220 nits, nisbah kontras 500:1 dan gamut warna NTSC 45% sahaja. Seperti yang anda boleh jangkakan pada skrin untuk komputer kategori ini, ia berfungsi dengan baik untuk tugas asas namun tidak mempunyai kualiti warna yang pekat dan terang sewaktu anda ingin menonton filem.

    Skrin ini juga mempunyai sudut penglihatan yang agak sempit iaitu 90° sahaja, jadi anda perlu berada betul-betul di depan skrin untuk melihatnya dengan jelas. Kecerahannya yang rendah juga membuatkan komputer ini lebih sesuai digunakan dalam bangunan dan sukar untuk dilihat di bawah cahaya matahari terik.

    Skrin RedmiBook 15 berfungsi dengan baik untuk tugasan harian, namun penghasilan warnanya bukanlah yang terbaik

    Biasanya untuk komputer jenama lain pada harga ini, anda hanya boleh dapat skrin 14 inci. Namun untuk RedmiBook 15, ia sudah dilengkapi skrin 15.6 inci yang lebih besar. Di atas skrin, terdapat sebuah kamera webcam 720p yang berfungsi dengan baik untuk panggilan video.

    Beralih ke papan kekuncinya pula, ia mempunyai kekunci chiclet yang selesa untuk ditaip dengan saiz yang agak luas untuk setiap kekunci dan key travel 1.5mm. Banyak komputer bersaiz ini mempunyai number pad di bahagian kanan dan mengecilkan saiz kekunci, namun memandangkan RedmiBook 15 tidak mempunyai number pad, saiz kekunci boleh dijadikan lebih luas dan selesa untuk ditaip. Saiz pad penjejak pula agak besar, iaitu berukuran 126×82.6mm dan sangat responsif untuk digunakan.

    Walau bagaimanapun, papan kekuncinya tidak mempunyai cahaya latar (backlight) jadi sukar untuk anda menaip dalam suasana malap.

    Papan kekunci chiclet dan pad penjejak yang besar
    Komputer ini mempunyai permukaan yang luas untuk merehatkan tangan (palmrest)
    Sisi kanan: Bicu audio 3.5mm, slot kad memori SD, port USB 2.0, port ethernet RJ45, slot kunci Kensington
    Sisi kiri: Palam pengecas, port USB 3.2 Gen 1, port HDMI 1.4 dan port USB3.2 Gen 1

    Di bawah komputer, ia mempunyai dwi-pembesar suara stereo dengan pengiktirafan DTS Audio. Kualiti audionya sekadar memuaskan untuk komputer riba pada kategori ini. Di bahagian sisi kanan terdapat bicu audio 3.5mm, slot kad memori SD, port USB 2.0 dan ethernet RJ45, manakala sisi kiri pula terdapat port pengecasan, dua port USB 3.2 Gen 1 dan port HDMI 1.4. Ketiadaan port USB-C mungkin akan mengecewakan beberapa pengguna, memandangkan lebih banyak peranti kini menggunakan port tersebut.

    Spesifikasi komputer ini juga agak ringkas. Ia mempunyai cipset Intel Core i3-1115G4 @ 3.00GHz, unit pemprosesan grafik Intel UHD, RAM 8GB dan storan SSD 256GB. Anda boleh dapatkan varian yang lebih pantas sedikit iaitu Intel Core i5 dan SSD 512GB pada harga yang lebih mahal, namun kapasiti RAM masih sama. Sistem operasinya adalah Windows 11 Home.

    Keputusan penanda aras dalam PCMark10 yang agak rendah, tetapi boleh dijangka
    Untuk game, ia hanya boleh memainkan game ringkas sahaja seperti Metal Slug X

    Sepanjang saya menggunakan komputer riba ini, ia tidak mempunyai masalah dalam kegunaan harian seperti menulis dokumen, melayari laman web atau menonton video. Ia juga sudah siap dipasang dengan perisian Microsoft Office, jadi tiada masalah untuk meneruskan tugas kerja saya dalam komputer ini.

    Jika anda ingin bermain game dalam komputer ini sewaktu berehat, jangan jangkakan prestasi pantas dalam komputer ini. Dengan ketiadaan unit pemprosesan grafik khas (GPU), tidak banyak game yang anda boleh mainkan pada komputer ini kecuali game 2D ringkas atau game-game yang berusia lebih sedekad.

    Untuk bateri pula, komputer ini mempunyai kapasiti yang agak kecil iaitu 46Wh. Xiaomi mengatakan ia mampu bertahan sehingga 10 jam. Menurut penggunaan saya, dengan tetapan asal (default settings), bateri ini boleh bertahan sekitar enam ke tujuh jam, iaitu agak memuaskan untuk komputer kategori ini. 

    Penggunaan bateri daripada 99% ke 5% mengambil masa 7 jam 24 minit (2:13pm ke 9:37pm)
    Pengecasan daripada 5% ke 99% mengambil masa 1 jam 44 minit (9:38pm ke 11:22pm)

    Secara keseluruhan, saya berpendapat ini adalah komputer riba yang sangat sesuai untuk mereka yang sekadar mengutamakan tugasan asas sahaja seperti menaip dokumen, melayari laman web, membuat perbankan dalam talian atau menonton video. Malah, saya menganggap komputer ini sesuai dibeli oleh para pelajar yang inginkan komputer untuk menonton kuliah dan melengkapkan tugasan, serta menonton siri Netflix sewaktu ingin berehat.

    Komputer ini memang ada kekurangannya, seperti skrin yang asas dan kualiti audio pembesar suara yang tidak jelas, namun ini semua adalah perkara yang boleh dijangka untuk komputer yang dijual pada kategori harga ini. Sewaktu pelancarannya pada Jun 2022 lalu, ia dijual pada harga promosi terhad RM1,899 iaitu harga yang sangat berbaloi.

    Harga pasaran RM2,399 juga masih sesuai untuk komputer ini tetapi saya masih mencadangkan anda untuk menunggu jualan promosi oleh Xiaomi Malaysia. Alternatif yang sesuai kepada komputer ini termasuklah HP Laptop 14s (RM2,399), Dell Inspiron 15 3515 (RM2,099) dan Acer Aspire 5 A514 (RM2,199).

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan komputer ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Skrin 15.6 inci, resolusi 1920×1080, kecerahan puncak 220 nits
    • Gamut warna NTSC 45%, nisbah kontras 500:1
    • Cipset Intel Core i3-1115G4 atau Core i5-11300H
    • Grafik Intel Iris UHD atau Intel Iris Xe
    • RAM DDR4 6GB
    • Storan SSD 256GB atau 512GB
    • Hubungan Bluetooth 5.0, Wi-Fi 5 2.4GHz
    • Port I/O: 1x HDMI 1.4, 2x USB 3.2 Gen1, 1x USB 2.0, 1x ethernet RJ45, 1x bicu audio 3.5mm, 1x slot kad SD
    • Pembesar suara 2W + 2W
    • Webcam 720p
    • Bateri 46Wh
    • Papan kekunci chiclet dengan key travel 1.5mm
    • Pad penjejak PTP
    • Ukuran: 363.8 x 243.5 x 19.9mm | Berat 1.8kg
    • Harga: RM2,399 (Core i3), RM2,799 (Core i5)

    Kelebihan: Harga mampu milik, reka bentuk minimalis, skrin besar

    Kekurangan: Skrin sekadar memuaskan, papan kekunci tiada cahaya latar

    Kesimpulan: Sesuai untuk pelajar atau mereka yang inginkan komputer bajet

     

    Artikel Terkini

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X