fbpx
More

    Ulasan ROG Phone 7 Ultimate – Raja, berkuasa dan “spoiler” aktif!

    Telefon gaming bukanlah suatu perkara baharu dalam pasaran kini. Malah, semakin hari semakin banyak telefon segmen gaming dihasilkan contohnya seperti ASUS ROG, Redmagic dan Black Shark di mana semua jenama ini dikhaskan untuk menjadi peranti yang menumpukan kepada gaming.

    ASUS ROG mungkin terasa bahang kesengitan dalam perlumbaan telefon gaming, tetapi ia kekal sebagai peneraju pasaran dan tidak mengubah kitaran pengeluaran dwi-tahunannya untuk telefon ROG. Saya telah menguji ROG Phone 7 Ultimate dan sejujurnya saya kagum. Ia hadir dengan teknologi skrin canggih, ciri penyejukan dan perisian gaming tersedia.

    Terdapat tutorial menggunakan Cyber Flight Panel
    Reka bentuk seakan ROG Phone 6

    Secara harfiahnya, telefon ini menarik perhatian dengan penampilan dan kekuatannya serta boleh memainkan semua game Android dengan sempurna. Jom kita baca ulasan tentang ASUS ROG 7 Ultimate!

    Rekaan – Masih sama tapi ada “spoiler”

    Pada awal penggunaan ROG Phone 7 Ultimate, saya rasa saya tidak berminat dengannya kerana bosan dengan reka bentuk yang sama seperti ROG 6 yang besar dan berat. Namun, perlu diingatkan bahawa kebiasaanya telefon dalam segmen gaming hadir dengan sesuatu yang bulk tidak kira untuk komputer riba mahupun telefon pintar.

    Sebut sahaja gaming, pasti kita terfikir bahawa peranti tersebut berkuasa namun hadir dengan ‘risiko’ berat dan besar. Namun, selepas beberapa minggu menggunakan, saya rasa terbiasa dengan fizikalnya dan mula menggemari apa yang ditawarkan oleh ROG 7 Ultimate. Pilihan warna untuk edisi Ultimate adalah warna putih matte sahaja.

    Spoiler aktif yang boleh terbuka
    ROG Phone 7 + AeroActive Cooler 7

    Menariknya, bahagian belakangnya langsung tidak menunjukkan cap jari. Telefon ini kalis air dan habuk IP54 dan seberat 239g. Pada bahagian belakang mempunyai reka bentuk simetri yang menempatkan tiga kamera serta skrin LED kecil dan tingkap aktif untuk pelepasan haba yang dipanggil Portal AeroActive.

    Ia merupakan lubang penyejukan yang terbuka secara automatik apabila kipas AeroActive Cooler 7 yang disertakan dilekatkan pada telefon. Kualiti binaan ROG 7 Ultimate adalah sangat baik dengan kemasan warna putih dua tona di bahagian belakang beserta penjenamaan ROG dan beberapa jalur biru pada butang kuasa, lensa kamera dan dulang SIM.

    Bahagian sisinya agak sedikit bulat dan terdapat dua port USB-C iaitu satu pada bahagian bawah untuk pengecasan biasa dan satu lagi pada bahagian sisi tengah untuk memasang dan menghidupkan kipas AeroActive 7.

    Bahagian belakangnya mempunyai skrin OLED yang boleh memaparkan animasi yang dipanggil ROG Vision berukuran 2 inci. Skrin ini boleh memaparkan status pengecasan, panggilan masuk, pengaktifan Mod X, pemasangan aksesori dan ketika membuka game. Anda juga boleh mencipta animasi peribadi mengikut kreativiti sendiri.

    Spesifikasi – Daripada gamer, untuk gamer

    Skrinnya rata seperti yang diharapkan pada telefon gaming namun bezel sekelilingnya agak sedikit tebal yang mana ia sedikit sebanyak menghodohkan penampilannya. Perlu diingatkan bahawa itu hanyalah perspektif berbeza kerana jika dilihat daripada pengalaman ketika gaming, ia merupakan sesuatu yang selesa untuk dipegang semasa anda bermain dalam mod landskap.

    Skrinnya bersaiz 6.78 inci menggunakan panel AMOLED dengan kadar penyegaran 165Hz, HDR10+, sehingga 1,000 nits kecerahan dan kadar pensampelan sentuhan 720Hz yang tinggi. Skrin kecil PMOLED pada bahagian belakang telefon adalah untuk estetika dan boleh memaparkan pemberitahuan jika anda membiarkan telefon menghadap ke bawah.

    Bezel yang agak tebal
    Kamera swafoto

    Selain itu, telefon ini hadir dengan pembesar suara dwi yang menghadap ke hadapan. Ia merupakan ciri yang ringkas tetapi menarik kerana jika dibandingkan dengan telefon pintar konvesional yang kebiasaan pembesar suara pada bahagian bawah. Hal ini kerana jika menggunakan telefon ketika bermain game dengan mod landskap, kebiasannya tapak tangan akan menutupi ruang pembesar suara dan menenggelamkan bunyi.

    ROG Phone 7 Ultimate mempunyai cipset Snapdragon 8 Gen 2 yang paling berkuasa daripada Qualcomm. Telefon seperti Galaxy S23 Ultra dan OnePlus 11 juga menggunakan cipset ini tetapi gabungan spesifikasi tambahan agak ‘berat’ pada ROG Phone menjadikannya berada di atas daripada segi prestasi dan keupayaan gaming.

    Butang pencetus bahu sensitif sentuhan, butang kuasa dan butang kawalan kelantangan

    Walaupun terdapat peningkatan dalam cipset, spesifikasinya adalah serupa dengan ROG Phone 6 Pro dan ROG Phone 6D Ultimate yang menjadikannya agak bosan. Telefon ini mempunyai RAM LPDDR5X 16GB dan storan UFS 4.0 512GB bersama-sama GPU Qualcomm Adreno 740.

    Di dalam kotak disertakan AeroActive Cooler 7 iaitu aksesori kipas yang dikuasakan oleh port USB-C yang dipasang di sisi telefon bersama sarungnya. Reka bentuknya kompak dengan menempatkan empat butang bahu fizikal yang boleh ditetapkan untuk pergerakan tertentu dalam permainan ditambah dengan butang pencetus bahu sensitif sentuhan di bahagian sisi peranti yang juga turut memiliki tetapan seperti berikut:

    9 gerak isyarat pada butang pencetus bahu sensitif sentuhan
    Butang pencetus bahu sensitif sentuhan

    ASUS telah menambah baik kawasan permukaan ruang wap dalam telefon dan saya mendapati perisian Armoury Crate cukup bijak untuk memilih mana antara empat tahap untuk menetapkan kipas. Anda perlu mempunyai pengecas yang disertakan disambungkan ke Cooler untuk sampai ke tahap maksimum iaitu ‘Frosted’ kerana ia memerlukan lebih kuasa.

    ROG Phone 7 Ultimate dilengkapi bateri 6,000mAh dengan mempunyai dua sel berkapasiti 3,000mAh yang berasingan. Jumlah ini adalah 1,000mAh lebih daripada bateri Galaxy S23 Ultra. Jika anda tidak bermain sebarang game maka anda akan mendapat dua hari ketahanan bateri dengan sekali caj.

    Pengecasan agak pantas dengan palam berkuasa 65W dan wayar disertakan di dalam kotak. Pengecasan setengah jam memberikan sekitar 70% bateri. Namun, tiada pilihan untuk pengecasan wayarles.

    Pakej yang anda akan dapat jika membelinya

    Prestasi – Game? Tiada masalah!

    Selain Game Genie, aplikasi Armoury Crate ialah cara terbaik untuk mengakses game dan memantau prestasi sistem. Anda boleh membaca suhu CPU, GPU, melihat storan, penggunaan memori, menukar mod prestasi, mod AeroActive Cooler dan tetapan pencetus bahu. Tahap kawalan yang tersedia membolehkan anda memilih mod prestasi yang anda mahukan serta memastikan ia berjalan dengan baik.

    Saya memainkan beberapa game yang mencabar pada ROG Phone 7 Ultimate dan ia menawarkan prestasi yang sempurna. Antara game yang saya mainkan ialah PUBG Mobile, Asphalt 9, Genshin Impact dan Mobile Legends: Bang Bang.

    ASUS juga menyertakan perisian Game Genie yang membolehkan anda mematikan pemberitahuan semasa dalam permainan, melaraskan kadar penyegaran skrin dan pelbagai penyesuaian lain untuk menambah baik pengalaman permainan pengguna. Berikut adalah grafik yang ditawarkan pada setiap game yang dimainkan:

    Apa yang boleh diperkatakan, sesi gaming pada ROG Phone 7 Ultimate adalah sangat mengagumkan dengan peranti yang berkuasa, kipas AeroActive 7 untuk penyejukan dan bateri yang tahan. Kadang-kadang saya tidak sedar sudah bermain game untuk tempoh yang lama (sekitar 3-4 jam) kerana tiada isu tentang kepanasan melampau atau sangkut (lagging).

    Peranti ini juga mengesan game AAA dalam ‘X-Mode’ untuk meningkatkan prestasi manakala permainan arked yang lebih mudah dipratetap pada tetapan yang lebih seimbang. Untuk menguji peranti dengan lebih tepat, saya telah melakukan ujian penanda aras menggunakan aplikasi 3DMark dan Geekbench 6. Berikut adalah hasil daripada ujian yang dilakukan:

    Telefon ini menampilkan Android 13 dan Asus menjanjikan dua tahun kemas kini OS kepada Android 14 dan 15 tetapi kemas kini keselamatan adalah selama empat tahun iaitu sehingga 2027. Untuk bahagian kamera, kita perlu faham bahawa kebiasaanya telefon gaming tidak menekankan aspek fotografi.

    Kamera utamanya dilengkapi sensor Sony IMX766 50MP yang sama ditemui dalam OPPO Find X3 Pro pada 2021. Ia bukanlah sensor yang tidak bagus, tetapi hakikatnya ia telah wujud selama dua tahun menunjukkan ASUS tidak mahu memfokuskan pada bahagian kameranya.

    Contoh imej swafoto

    Walau bagaimanapun, ia menghasilkan tangkapan gambar yang sangat jelas dengan perincian yang baik pada waktu siang dan mempunyai mod malam yang boleh diterima. Ia membantu mengekalkan foto cahaya malap dalam fokus dan pencahayaan yang lebih baik. Anda boleh mendapatkan imej 2x tanpa ‘pecah’.

    Tambahan, terdapat kamera ultra lebar 13MP dan makro 8MP. Di bahagian hadapan pula terletak kamera swafoto 32MP. Terdapat juga mod Potret dan mod Malam. Anda boleh merakam video pada 8K 24fps (bingkai sesaat) dan dalam 4K sama ada pada 60fps atau 30fps. Berikut adalah contoh imej dan video yang dirakam menggunakan ROG Phone 7 Ultimate:

    Mod malam pada ROG Phone 7
    Mod Potret

    Kesimpulan – Sempurna untuk gamer yang tegar

    Tidak dinafikan ASUS ROG Phone 7 Ultimate adalah telefon gaming terbaik setakat ini. Ia mempunyai spesifikasi terbaik dalam segmennya dengan paparan yang hebat, kapasiti bateri yang besar dan tetapan perisian yang boleh ditetapkan dengan mudah. Jangan lupa bahawa anda telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk semua ciri ini dengan harga yang serupa dengan telefon pintar paling mahal daripada Apple dan Samsung. 

    Ia juga datang dengan storan 512GB dan pengecas serta aksesori kipas penyejuk di dalam kotak. Maka, saya berpendapat bahawa telefon ini berbaloi dengan wang yang telah anda belanjakan sekiranya anda merupakan seorang gamer yang tegar. ASUS juga menyediakan empat tahun kemas kini keselamatan untuk telefon ini. Jadi, tepuk dada, tanya selera.

    Terdapat pilihan yang lebih murah jika anda tidak memerlukan sesuatu yang terlalu berlebihan contohnya seperti Black Shark Pro 5 yang hadir dengan kamera 108MP berharga RM3,999 dan REDMAGIC 8 Pro yang dilengkapi cipset yang sama tetapi lebih murah iaitu berharga RM4,299 (promosi awal RM3,499).

    Sebelum berakhir, perkara yang anda perlu fikirkan untuk memiliki telefon ini adalah saiznya yang besar dan berat walaupun reka bentuknya menarik serta hadir dengan harga RM4,999. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Kerjasama PETRONAS, CelcomDigi bakal transformasi tekno-digital 5G untuk sektor tenaga

    PETRONAS dan CelcomDigi bekerjasama melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu usaha transformasi digital dan kemampanan untuk industri tenaga dengan memanfaatkan kuasa...

    TSMC bakal hasilkan cip dengan proses 1.6nm menjelang 2026

    TSMC mengumumkan proses pembuatan 1.6nm untuk cip dan ia juga termasuk rangkaian penghantaran kuasa yang meningkatkan kecekapan kuasa dan ketumpatan transistor dengan...

    Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro tawar hadiah sehingga RM10,000, acara bakal diadakan pada...

    Sempena pelancaran Infinix GT 20 Pro pada 2 Mei ini, Infinix Malaysia akan menganjurkan Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro iaitu sebuah...

    Samsung Galaxy Unpacked kedua dijadualkan pada 10 Julai 2024

    Acara Samsung Galaxy Unpacked yang akan datang dijadualkan pada 10 Julai 2024 di Paris, bertepatan dengan penganjuran City of Love Sukan Olimpik...

    Malaysia negara kedua paling ketagih gajet di Asia pada 2024, luang masa 8 jam...

    Agensi kajian pemasaran antarabangsa Electronics Hub telah menerbitkan senarai untuk negara yang paling banyak menggunakan gajet dalam masa sehari secara purata (average...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X