fbpx
More

    Ulasan ROG Phone 8 – Reka bentuk segar, prestasi kekal

    Siri ROG Phone 8 kini tersedia secara rasmi dalam pasaran Malaysia tetapi hadir dengan reka bentuk baharu. Reka bentuk baharunya menjadi buah mulut ramai sejak penampilan sulung di acara CES 2024. Siri ROG Phone 8 masih merupakan telefon pintar permainan namun kali ini ASUS mahu memasarkannya kepada khalayak ramai.

    Oleh itu, terdapat perubahan rupa dan reka bentuk untuk menjadikannya lebih kasual. ASUS telah menambah baik aspek kamera tetapi sejauh manakah ia bagus? Teruskan membaca ulasan kami tentang ROG Phone 8. Untuk pengetahuan, ulasan ini diterjemah daripada pasukan TechNave Bahasa Inggeris.

    Reka bentuk – Adakah ini cukup kasual?

    Adakah anda menyukai wajah baharu?

    DNA siri ROG Phone sentiasa menjadi reka bentuk yang menarik minat pemain. Untuk ROG Phone 8? Anda mungkin memikirkan bahawa ia kehilangan daya tarikan. Secara peribadi, saya rasa ia masih kelihatan baik. Satu-satunya perkara yang menjadi kelainan ialah logo ROG LED dan beberapa perkataan pada badannya.

    Jika matlamat ASUS ROG adalah untuk menjadikannya menarik dan cukup kasual kepada khalayak ramai, adakah ia berjaya? Sejujurnya, sukar untuk diceritakan memandangkan ROG Phone 8 baru dikeluarkan di Malaysia. Saya boleh katakan bahawa tiada seorang pun daripada rakan saya yang bukan gamers berminat dengan telefon ini.

    Sekurang-kurangnya mereka tidak mengalih keluar AirTriggers
    Dua port USB-C

    Sesetengah akan tertarik dengan lampu LED, tetapi itu sahaja. Bonggol kameranya juga berubah dan sedikit menonjol. ROG Phone 8 mengekalkan beberapa ciri permainan seperti AirTriggers yang sentiasa berguna dan port pengecasan dwi USB-C di bahagian bawah dan kiri. Kurang menariknya kali ini adalah siri ROG Phone 8 tidak mempunyai pembesar suara dwi-hadapan lagi.

    Masih terdapat dua pembesar suara tetapi pada bahagian bawah. Ia mungkin tidak akan memberi banyak perbezaan untuk pengguna kasual namun ia adalah sesuatu kekurangan untuk pemain mudah alih tegar.

    Benggol kamera besar yang menonjol dan kamera swafoto lubang tebuk

    Spesifikasi dan ciri teknikal – Adakah ciri AI mengubah permainan? 

    Berikut ialah spesifikasi lengkap ROG Phone 8 di Malaysia:

    • Cipset Snapdragon 8 Gen 3
    • RAM LPDDR5X 12GB
    • Storan UFS 4.0 256GB
    • Badan berukuran: 163.8×76.8×8.9 mm | Berat: 225g
    • SAMSUNG Fleksibel AMOLED FHD+ 6.78-inci, 2400×1080 piksel, Corning Gorilla Glass Victus 2, LTPO 1~120Hz, Maks hingga 165Hz, kecerahan puncak 2500nits, HDR10
    • Tiga kamera belakang: Sony IMX890 50MP (OIS) + 13MP (ultralebar) + 32MP (telefoto, OIS, zum optik 3x)
    • Kamera swafoto: Sensor RGBW 32MP
    • Peti Armory + Ciri Permainan AI, Pencetus Udara, bicu audio 3.5mm, Adaptif aptX, aptX lossless, rakaman video sehingga 8K UHD + 24FPS
    • Menyokong sehingga 6GHz WiFi, Bluetooth 5.3, NFC, WiFi 7, sambungan 5G
    • Bateri 5,500mAh dengan HyperCharge sehingga 65W
    • Android 14 dengan UI ROG
    Kecerahan pada tahap separuh (kiri) dan tahap maksimum (kanan) ketika di luar

    ROG Phone 8 mempunyai beberapa penambahbaikan terutamanya bahagian paparan. Kadar penyegaran adalah lancar. Jadi, kebanyakan permainan mudah alih terkini kelihatan hebat dengannya. Kecerahan juga sangat tinggi mencapai 2500nits membolehkan anda melihat kandungan di bawah matahari.

    Selain itu, ia mempunyai cip Snapdragon 8 Gen 3 terkini. Snapdragon 8 Gen 3 pada asasnya berkeupayaan AI dan terpulang kepada pembangun bagaimana mereka boleh menggunakannya. ASUS menyepadukan empat ciri AI iaitu X Capture, AI Grabber, X Sense dan Mod Latar Belakang ke dalam telefon. Apabila saya mula-mula membaca butiran ciri oleh ASUS, ia kelihatan sangat berguna di atas kertas.

    AI Grabber

    Tetapi ia bergantung jika anda benar-benar mahu menggunakannya. Sebagai contoh, AI Grabber ialah alat yang membolehkan anda menangkap teks terus daripada permainan. Selain itu, dengan teknologi Pengecaman Pembelajaran Mesin, ia boleh membantu anda dengan memberikan panduan dalam talian melalui Google tanpa meninggalkan permainan.

    Saya mendapati bahawa ciri ini tidak buruk tetapi hasilnya tidak selalu konsisten. ASUS juga berkata X Capture dan X Sense 2.0 kini menyokong lebih banyak permainan kualiti tinggi baharu dengan teknologi AI Pattern Recognition. Namun, ia hanya untuk permainan terpilih seperti Genshin Impact (agak berguna dengan Auto-Run, Auto-Pick Up dan Text Speed).

    Anda boleh mengakses ciri AI melalui Game Genie
    Menyediakan AirTriggers

    Terdapat ciri AI lain seperti Carian Semantik, Wallpaper AI dan teknologi pembatalan hingar AI yang saya tidak gunakan langsung (tetapi anda mungkin mendapati ia berguna). Selain itu, Pemetaan Makro dan Getaran hadir dalam bar Game Genie tetapi menawarkan tutorial yang tidak jelas tentang perkara yang sepatutnya mereka lakukan.

    Daripada semua ciri, AI Grabber adalah yang paling berguna. Namun, saya harap mereka boleh memikirkan cara yang lebih baik untuk meningkatkan pengalaman permainan dan tutorial yang lebih baik. Memandangkan ASUS ingin memasarkan ini kepada khalayak ramai, mereka perlu menyediakan langkah tutorial yang lebih baik dan penjelasan yang lebih baik.

    Prestasi – Masih raja permainan

    Tidak ada keraguan bahawa ROG Phone 8 sememangnya mempunyai prestasi yang kuat. Seperti yang anda boleh jangkakan daripada telefon dengan cipset Snapdragon 8 Gen 3, ia boleh mengendalikan permainan mudah alih mewah dengan mudah. Saya boleh memainkan Diablo Immortal pada 60FPS dengan lancar pada grafik tertinggi (tetapi bukan ultra).

    Peliknya, beberapa permainan mudah alih seperti WarCraft Rumble dan COD Warzone Mobile sering mengalami crash (ranap) dan gangguan pada telefon tetapi bukan Asphalt 9 dan COD Mobile. Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana WarCraft Rumble sering mengalami masalah dan COD Warzone juga mengalami masalah selepas kemas kini baru-baru ini (kedua-duanya dari Activision Blizzard).

    Demo dan tetapan Diablo Immortal
    Animasi Warcraft Rumble kelihatan hebat tetapi kadangkala ia boleh crash

    Pada hari biasa penggunaan media sosial biasa, ROG Phone 8 boleh bertahan sepanjang hari. Semasa sesi bermain permainan, baterinya boleh tahan sekitar 4-5 jam. Walaupun anda perlu mengecas semula, ia melakukannya dengan pantas kerana HyperCharge (hanya mengambil masa sejam dari 10 hingga 100%).

    ActiveCooler X dihasilkan untuk menyingkirkan haba tetapi ia tidak disediakan untuk ROG Phone 8 melainkan anda mendapat pakej early bird bundle sekarang. Jika tidak, anda perlu membelinya secara berasingan dengan harga RM349. Satu lagi aspek penting ialah kualiti kamera. Sebelum dikeluarkan, ASUS telah menggembar-gemburkan kamera telefon yang dipertingkatkan.

    Markah daripada Geekbench (kiri) dan Wild Life 3D (kanan)
    Pek bateri lebih kecil sedikit daripada pendahulunya tetapi masih boleh “tahan” dengan baik

    Secara keseluruhan, gambar yang diambil sangat mengagumkan dalam menunjukkan butiran yang terang dan jelas. Walau bagaimanapun, kualitinya tidak begitu konsisten dan AI cenderung untuk mendigitalkan beberapa bahagian foto. Aspek lampu latar agak lemah untuk perdana 2024 dan saya harap ia boleh diperbaiki oleh ASUS. Dibawah adalah beberapa imej yang diambil oleh kami:

    Swafoto dengan mod potret (bokeh pada kedua-duanya kelihatan lemah)
    Mod dekat
    Langit kelihatan sangat palsu atas sebab tertentu
    Mod ultralebar dalam nisbah bidang 16:9, AI ‘kurang’ dalam memproses langit
    Secara jujur, saya menjangkakan cahaya latar jauh lebih baik daripada ini
    2x zum optik (kiri) dan 8x mod zum digital (kanan)
    Mod biasa matahari terbit
    Mod ultralebar dan biasa

    Kesimpulan – Masih kukuh seperti dulu tetapi kini dengan identiti yang keliru

    Saya rasa secara keseluruhan ROG Phone 8 berprestasi baik sebagai telefon permainan. Walau bagaimanapun, saya tidak begitu pasti keputusan ASUS untuk mengubah reka bentuk seperti arus perdana. Sesetengah pemain tidak menggemari rupa yang membosankan dan diturunkan taraf, kamera hadapan lubang tebuk serta lokasi dwi pembesar suara baharu.

    Kualiti foto adalah baik dan boleh dipertingkatkan. Rekaan ROG Phone 8 seakan secara tiba-tiba bertukar daripada pendahulunya dan membuat peminat keliru. Ia tidak salah, tetapi ia tidak menarik dan sukar untuk memenuhi kedua-dua pengguna kasual dan pemain. Lebih-lebih lagi, ROG Phone 8 bukan satu-satunya dengan Snapdragon 8 Gen 3.

    Akan ada beberapa lagi telefon pintar perdana tahun ini dengan cipset ini yang akan mengendalikan permainan mudah alih dengan baik. Pada julat harga RM3,999, ROG Phone 8 kelihatan selamat buat masa ini. Tetapi saya rasa lebih ramai peminat dan pemain lebih berminat dengan ROG Phone 8 Pro yang kelihatan lebih menarik.

    Pesaing terdekat ialah iQOO 12 5G dengan cipset yang sama dan banyak ciri serupa dengan harga RM3,399. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Mufti Selangor: Haram beli kad waranti atau waranti lanjutan secara berasingan

    Mufti Selangor sering menjawab pelbagai persoalan yang diutarakan. Terbaru, Mufti Selangor turut menjawab soalan melibatkan pembelian kad waranti atau waranti lanjutan bagi...

    KWSP: Sistem dalam talian tergendala kerana penyelenggaraan dari 10 – 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan langkah baharu untuk akaun ketiga (akaun fleksibel) mulai 11 Mei ini. Sebelum itu, KWSP terpaksa...

    Infinix bakal lancarkan komputer riba “gaming” pertama, Infinix GT Book

    Baru-baru ini, Infinix telah melancarkan telefon pintar GT 20 Pro secara rasmi dan dalam acara yang sama, Infinix turut berkongsi rancangan untuk...

    Pertandingan PUMA x PLAYSTATION Social Media Fit Check, berpeluang menang PlayStation 5

    PUMA Malaysia melancarkan koleksi eksklusif PLAYSTATION dengan hebat dengan menawarkan aktiviti yang menarik untuk meraikan acara tersebut. Salah satu acara yang menarik...

    vivo Y18 dilancar di Malaysia: Helio G85, RAM 8GB dan bateri 5,000mAh berharga RM599

    vivo telah melancarkan vivo Y18 baharu di pasaran Malaysia secara senya-senyap membawa harga RM599. vivo Y18 merupakan telefon pintar dalam segmen permulaan yang memuatkan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X