fbpx
More

    Ulasan ROG Strix G15 Advantage Edition: Komputer riba “gaming” yang berkuasa dan penuh gaya

    Di kalangan jenama produk dan kelengkapan gaming, ASUS Republic of Gamers (ROG) merupakan antara jenama yang paling popular di seluruh dunia. Hampir keseluruhan produk mereka menampilkan rekaan yang tidak segan silu menunjukkan sifat “gaming” dan komputer riba terbaru oleh mereka, ROG Strix G15 Advantage Edition, juga tidak terkecuali dengan sifat tersebut.

    Komputer ini baru sahaja diumumkan dalam acara Computex 2021 pada 1 Jun 2021, di samping G17 Advantage Edition yang dilengkapi skrin lebih besar sedikit. Ia adalah komputer yang sangat bergaya dan berkuasa namun ASUS mengatakan ia mungkin tidak dipasarkan dalam Malaysia, jadi tiada jaminan sama ada anda boleh membeli komputer ini daripada pengedar tempatan. Sungguh pun begitu, kami akan ulas juga produk ini untuk melihat sejauh mana ia boleh memainkan game terkini.

    Sebelum saya memulakan ulasan ini, perlu diketahui bahawa Advantage Edition adalah berlainan dengan ROG Strix G15 (G513) yang dijual dalam pasaran Malaysia pada waktu ini. Kedua-duanya dilengkapi pemproses yang sama namun unit pemproses grafik (GPU) adalah berlainan kerana Advantage Edition dilengkapi AMD Radeon RX6800M yang turut dilancar dalam Computex 2021.

    Daripada segi rekaan, ciri utama dalam ROG Strix G15 Advantage Edition adalah hiasan Armor Cap iaitu sebuah aksesori plastik yang boleh dicabut dan digantikan dengan Armor Cap berwarna merah, kelabu atau lutsinar. Armor Cap ini boleh digunakan dengan dua lagi varian Advantage Edition jika anda berminat.

    Penutup komputer (lid) ini tidak dilengkapi pencahayaan LED AniMe Matrix namun ia masih mempunyai garisan cahaya LED (light bar) di bahagian bawah yang menonjolkan keunikan komputer ini. Penulis bukanlah seorang yang tergila-gilakan pencahayaan RGB namun garisan cahaya ini berjaya menambat hatinya. Memandangkan penulis meletakkan komputer ini di atas penegak komputer riba (laptop stand) sewaktu menggunakannya, penulis boleh melihat cahaya RGB menerangkan kawasan sekeliling dengan pelbagai warna. Jika anda ingin mengubah corak pencahayaan, anda boleh lakukannya dalam perisian Armoury Crate.

    Daripada segi perisian, Armoury Crate membenarkan anda untuk mengakses Aura Sync dan melaraskan pencahayaan RGB dengan sebarang aksesori ASUS ROG yang dihubungkan kepada komputer. Di samping itu, anda juga boleh melaraskan tahap kuasa sewaktu menggunakan komputer, sama ada anda ingin mengutamakan kesenyapan dengan mod Silent atau meningkatkan prestasi sewaktu bermain game dengan mod Turbo.

    Sekarang mari kita beralih ke bahagian prestasi pula. Cipset AMD Ryzen 9 5900HX dalam komputer ini berjaya menghasilkan prestasi yang sangat pantas, jauh mengatasi prestasi yang dijana oleh siri cipset AMD Ryzen 4000 sebelum ini. Dengan saiz struktur 7nm, lapan teras (core) dan 16 bebenang (thread), ia boleh melakukan pelbagai tugas berat dengan serentak seperti bermain game dan menyiarkan game anda (streaming).

    Komputer ini turut dilengkapi GPU Radeon RX6800M iaitu GPU komputer riba AMD tercanggih setakat ini, dengan kelajuan clock 2,300MHz dan jumlah kuasa grafik (total graphics power, TGP) 145W. Memandangkan CPU dan GPU adalah buatan AMD, kedua-duanya boleh diseragamkan dengan teknologi AMD SmartShift bagi meningkatkan prestasi sebanyak 15%. Teknologi AMD Smart Access Memory (SAM) juga meluaskan saluran data (data channel) untuk memanfaatkan memori GPU sebaiknya, dengan menggunakan bandwith daripada PCI Express untuk mengurangkan kesesakan (bottleneck) dan meningkatkan prestasi dalam beberapa game terpilih.

    Daripada pengalaman saya bermain game dalam komputer ini, saya tidak terkejut dengan prestasi pantas yang dihasilkan oleh gabungan CPU dan GPU AMD ini. Selain memberikan pengalaman gaming yang seronok, komputer ini juga boleh mengoperasikan pelbagai perisian serentak untuk tugasan kerja seperti pelayar web, menyunting video dan menyiarkan (streaming) aktiviti anda.

    Skrin komputer ini juga tidak kurang hebatnya, dengan kadar setinggi 300Hz/3ms dalam resolusi Full HD namun jika anda lebih mengutamakan gambar yang cantik, anda boleh kurangkan kelajuan kepada 165Hz untuk meningkatkan resolusi kepada Quad HD. Dengan sempadan bezel skrin yang nipis, pengalaman menonton filem dan siri televisyen juga adalah sangat mengasyikkan.

    Saya juga amat kagum dengan prestasi bateri komputer ini. Apabila pengecas dicabut, saya boleh menggunakannya untuk tugasan kerja dalam hampir keseluruhan waktu kerja. Jika baterinya hampir kosong, anda boleh gunakan Fast Charge Technology yang boleh dicas daripada 10% ke 50% sepantas 30 minit.

    Anda juga tidak perlu bimbang tentang masalah kepanasan melampau (overheating) sewaktu bermain game kerana komputer ini dilengkapi lohong udara yang banyak serta fungsi ROG Intelligent Cooling yang akan melaraskan output haba dengan mudah, menurut tugas yang sedang dioperasikan. Papan kekunci juga tidak akan menjadi terlalu panas supaya anda boleh bermain game dengan selesa.

    Adakah ASUS Malaysia akan menjual komputer hebat ini?

    Secara jujurnya, saya sendiri tidak mempunyai banyak rungutan terhadap ROG Strix G15 Advantage Edition. Segala aspek komputer ini telah dibina dengan spesifikasi terbaik agar ia boleh memenuhi segala keperluan anda dengan cemerlang. Walau bagaimanapun, satu keburukan yang agak ketara pada komputer ini adalah ketiadaan kamera webcam yang merupakan satu keutamaan pada waktu PKP ini.

    Sayang sekali ASUS Malaysia masih belum mempunyai perancangan untuk menjual komputer ini jadi kami tidak tahu apakah harga jualannya dan bagaimana ia dibandingkan dengan komputer jenama lain yang setaraf. Akan tetapi, satu perkara yang pasti; anda perlu sediakan jumlah wang yang banyak untuk memiliki “raksasa” gaming ini.

    Spesifikasi ASUS ROG Strix G15 Avantage Edition (G513QY)

    • CPU AMD Ryzen 9 5900HX dengan Radeon Graphics
    • GPU AMD Radeon RX6800M
    • RAM 16GB GDDR6 (boleh ditambah sehingga 32GB DDR4 3200mhz SDRAM)
    • 2x PCIe SSD M.2 512GB
    • Skrin IPS 15 inci (dari FHD 300Hz, 3ms sehingga QHD, 165Hz, 3ms, 100% DCI-P3, 300 Nits)
    • Port – 3x USB3.2 Gen 1 Type-A, 1x USB3.2 Gen2 Type-C (menyokong Display Port & pengecasan USB-C 100W), 1x bicu LAN RJ-45, 1x HDMI 2.0b, 1 bicu audio
    • Dua pembesar suara Dolby Atmos, mikrofon AI Noise Cancelation Smart Amp
    • Windows 10 Pro
    • Bateri: 90Wh
    • Pengecas yang disertakan: 280W

    Kebaikan: Sangat berkuasa, rekaan menawan dengan Armor Cap yang boleh ditukar, garisan lampu LED RGB di bawah, bateri tahan lama, sistem penyejukan yang mantap

    Keburukan: Belum dijual di Malaysia setakat ini, tiada webcam, mahal

    Kesimpulan: Komputer riba gaming premium untuk mereka yang mengutamakan prestasi terpantas

    Diterjemahkan daripada TechNave

     

    Artikel Terkini

    Samsung Galaxy AI akan ditawarkan kepada lebih banyak peranti selain Galaxy S24

    Sewaktu pelancaran siri Samsung Galaxy S24 pada awal tahun ini, Samsung telah melancarkan beberapa fungsi berdasarkan kecerdasan buatan (AI) iaitu Galaxy AI....

    Tengku Zafrul: Perodua akan hasilkan EV mampu milik pada 2025, perlu naikkan jumlah stesen...

    Pada awal tahun ini, Perodua dilaporkan sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa bagi menghasilkan kenderaan elektriknya (EV) yang pertama untuk pasaran...

    Siri vivo X Fold 3 rasmi sebagai telefon boleh lipat paling ringan, harga bermula...

    vivo telah melancarkan siri X Fold 3 hari ini di China dengan varian standard dan pro. Siri ini hadir dengan paparan OLED...

    Qualcomm perkenalkan cipset S5 Gen 3 dan S3 Gen 3 untuk produk audio akan...

    Qualcomm baru-baru ini memperkenalkan cipset bunyi S5 Gen 3 dan S3 Gen 3 bertujuan untuk meningkatkan pengalaman audio merentas pelbagai peranti seperti...

    Apple umumkan WWDC 2024 akan diadakan dari 10 hingga 14 Jun ini

    Apple secara rasmi mengumumkan Persidangan Pembangun Seluruh Dunia (Worldwide Developers Conference) akan diadakan pada 10 Jun hingga 14 Jun 2024 secara maya....

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X