More

    Ulasan ROG Xbox Ally X – Konsol PC mudah alih terbaik di Malaysia setakat ini?

    Apabila ROG Ally pertama kali diperkenalkan dua tahun lalu, ia menjadi satu eksperimen menarik dalam dunia konsol PC mudah alih. Idea bermain permainan PC di mana sahaja kedengaran hebat, tetapi model pertama itu hadir dengan dua masalah besar iaitu jangka hayat bateri yang lemah dan antara muka Windows 11 yang tidak dioptimumkan untuk skrin kecil.

    Tambahan, isu slot microSD turut menjejaskan reputasinya ketika itu. Kini, ASUS kembali dengan penambahbaikan yang lebih serius menerusi ROG Xbox Ally X dan ianya bukan pengganti rasmi ROG Ally 2, tetapi sebuah siri baharu hasil kolaborasi bersama Xbox. Selepas seminggu menguji model ini, saya boleh katakan ASUS akhirnya menemui formula terbaik mereka.

    Malah, ROG Xbox Ally X mungkin kini merupakan konsol PC mudah alih paling lengkap yang boleh anda dapatkan di Malaysia. Reka bentuknya tidak banyak berubah, tetapi ada penambahbaikan kecil yang memberi kesan besar. Model baharu ini mempunyai bahagian genggaman (hand grip) di kiri dan kanan menjadikan ia jauh lebih selesa untuk digunakan dalam jangka masa panjang.

    Sekali pandang nampak seperti perubahan kecil, tetapi bila anda main berjam-jam sambil bersandar di sofa, perbezaan keselesaan itu memang ketara. Secara fizikal, Xbox Ally X sedikit lebih tebal daripada Ally X asal, namun tidak sampai mengganggu rekaan keseluruhan. Butang LB dan RB di bahagian atas kini lebih melengkung untuk selari dengan bentuk genggaman bagi memberikan cengkaman yang lebih semula jadi.

    Satu lagi peningkatan ketara ialah kualiti pembesar suara. Bunyi yang dihasilkan kuat, jelas dan tidak pecah walaupun pada kelantangan tinggi. Di sebelah kanan, anda juga akan perasan satu butang Xbox khusus untuk melengkapkan identiti baharu konsol ini. Daripada sudut strategi, kerjasama antara ROG dan Xbox memang membuahkan hasil.

    Xbox sememangnya sebahagian daripada ekosistem PC di bawah Microsoft, jadi integrasi antara peranti dan sistem operasi berjalan dengan sangat baik. Namun, hakikatnya jenama Xbox masih belum begitu kukuh di Malaysia berbanding PlayStation dan Nintendo. Kehadiran PC Game Pass di Malaysia pada tahun 2022 sedikit sebanyak membantu memperkenalkan semula ekosistem Xbox di sini.

    Walaupun masih belum setanding dengan PlayStation+, Switch Online atau Steam, Game Pass tetap menawarkan nilai menarik dengan pelbagai judul daripada penerbit besar seperti Bethesda, id Software, MachineGames, Activision Blizzard, EA dan Ubisoft. Sebaik sahaja anda menghidupkan ROG Xbox Ally X, antara muka Xbox ialah perkara pertama yang muncul selepas log masuk akaun Microsoft anda.

    Prosesnya mudah dan lancar serta berfungsi jauh lebih baik berbanding antara muka Windows 11 biasa. Untuk pengguna baharu, anda boleh cuba Game Pass dengan langganan percubaan RM5 selama 14 hari atau tebus akses tiga bulan percuma dari Microsoft Store seperti mana tawaran pada komputer riba baharu. Selepas tempoh itu, langganan bulanan dikenakan RM25 tetapi masih berbaloi memandangkan jumlah permainan yang ditawarkan sangat banyak.

    "
    "

    Daripada segi antara muka pengguna (UI), ASUS turut melakukan banyak pembaikan menerusi aplikasi Armoury Crate. Kini, semua platform permainan boleh diakses dari satu tempat. Steam sedia dipasang manakala platform lain seperti Epic Games, GOG Galaxy dan EA App perlu dimuat turun secara manual. Mujur aplikasi seperti Ubisoft Connect dan Battle.net boleh dipasang terus dari Microsoft Store.

    Dalam ulasan saya terdahulu untuk ROG Ally, saya pernah mengkritik antara mukanya kerana terlalu besar dan menyusahkan. Namun dalam ROG Xbox Ally X, pengalaman itu kini jauh lebih baik. Anda tidak perlu log masuk berulang kali setiap kali menghidupkan semula peranti dan proses pemasangan aplikasi terasa lebih konsisten seperti menggunakan PC sebenar.

    Xbox Ally X dikuasakan oleh cip AMD Ryzen AI Z2 Extreme dengan grafik AMD Radeon 890 yang digandingkan dengan RAM LPDDR5X-8000 24GB serta storan SSD M.2 1TB. Ia menggunakan skrin 7 inci 120Hz FHD yang sama seperti model sebelumnya, tetapi prestasi keseluruhan jauh lebih stabil hasil daripada pemproses baharu dan memori pantasnya.

    Walaupun tidak mampu menandingi laptop gaming moden yang menggunakan siri GPU RTX 50, konsol ini masih cukup berkuasa untuk memainkan permainan AAA tanpa masalah besar. Sepanjang seminggu bermain, saya menguji beberapa tajuk seperti Indiana Jones and the Great Circle, Doom: The Dark Ages, Stellar Blade (demo), The Callisto Protocol, Skate, Avatar: Frontiers of Pandora dan Diablo Immortal. Semua berjalan dengan lancar dan tanpa isu besar.

    Kadang-kadang, ada sedikit kesan piksel di latar belakang tetapi tidak mengganggu pengalaman bermain. Ini mungkin hasil keupayaan AI dan sistem peningkatan imej (upscaling) yang dibina dalam cip Ryzen Z2 Extreme. ASUS mendakwa model ini mampu memberikan peningkatan kadar bingkai sehingga 30% untuk permainan seperti Indiana Jones dan Doom, selain 10–20% peningkatan kuasa CPU dan GPU keseluruhan.

    Gabungan cip pemprosesan, GPU dan NPU bersepadu menjadikan Xbox Ally X lebih cekap tenaga serta bersedia untuk aplikasi AI masa depan. Bercakap tentang bateri, inilah aspek yang paling banyak diperbaiki. Jangka hayat baterinya kini jauh lebih baik daripada versi sebelumnya. Berdasarkan pengalaman saya bermain setiap malam, konsol ini mampu bertahan lebih tiga jam dalam permainan grafik berat dengan tetapan 25W.

    Jika anda hanya bermain permainan ringan atau indie seperti Hollow Knight Silksong, tempohnya boleh jadi lebih panjang lagi. Proses pengecasan juga pantas daripada 31% ke lebih 90% dalam masa hanya sejam menjadikannya antara peranti mudah alih dengan pengecasan terpantas dalam kelasnya. Namun, tidak semuanya sempurna. Ada beberapa isu kecil yang saya perasan sepanjang tempoh ujian.

    Pertama, peranti ini memerlukan restart jika ingin mengaktifkan mod Xbox skrin penuh walaupun fungsi itu hanya pilihan. Kedua, kadang-kadang menekan butang Xbox akan menyebabkan Steam terbuka dalam mod Big Picture yang agak mengganggu jika tidak disengajakan. Selain itu, pernah sekali sistem secara tiba-tiba bertukar ke mod Windows penuh dengan paparan yang mengecil dan tidak boleh kembali ke mod Xbox biasa.

    Saya tidak pasti sama ada ini berpunca daripada kemas kini Windows, tetapi factory reset berjaya menyelesaikannya. ROG Xbox Ally X dijual pada RM4,299 di Malaysia. Ia mungkin agak tinggi untuk sesetengah orang, tetapi jika dibandingkan dengan nilai dan spesifikasi, harga ini masih munasabah. Untuk alternatif lebih murah, pengguna boleh memilih varian standard Xbox Ally berharga RM2,699, namun dengan spesifikasi lebih rendah serta bateri 60Wh.

    Pesaing daripada jenama lain ialah Lenovo Legion Go 2 dijual pada RM5,399 (lebih mahal) manakala MSI Claw A8 berharga RM4,199 dengan spesifikasi hampir sama. Jadi, bagi saya, harga RM4,299 untuk Xbox Ally X adalah tawaran yang berpatutan, apatah lagi dengan pengalaman Windows 11 yang lebih lancar hasil kolaborasi Xbox dan ASUS.

    Secara keseluruhan, walaupun ada beberapa isu kecil, ROG Xbox Ally X menawarkan pengalaman paling matang setakat ini dalam kategori konsol PC mudah alih. Ia hadir dengan rekaan genggaman lebih ergonomik, prestasi lebih pantas, bateri yang benar-benar tahan lama dan antara muka Xbox yang jauh lebih mesra pengguna. Masih ada ruang untuk diperbaiki terutamanya bug kecil dan ‘kelakuan’ pelik antara Xbox dan Steam.

    Namun secara keseluruhan, ini adalah peranti yang paling seimbang antara kuasa, rekaan dan pengalaman penggunaan. Bagi saya, ROG Xbox Ally X kini menjadi konsol PC mudah alih terbaik di Malaysia bukan hanya kerana spesifikasinya, tetapi kerana ia akhirnya memberikan pengalaman yang stabil, praktikal dan menyeronokkan seperti yang dijanjikan sejak hari pertama ROG Ally dilancarkan.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi lengkap ROG Xbox Ally X:

    • Panel IPS FHD (1080p) 7-inci, 500 nits, nisbah bidang 16:9, kadar penyegaran 120Hz, AMD FreeSync Premium (Kadar Penyegaran Boleh Ubah), Corning Gorilla Glass Victus + DXC Anti-Reflection
    • Pemproses AMD RyzenAI Z2 Extreme
    • RAM LPDDR5X-8000 24GB
    • SSD M.2 2280 1TB
    • Butang – Butang ABXY / D-pad / Pencetus impuls L & R / Bampar L & R / Butang Xbox / Butang Lihat / Butang Menu / Butang Pusat Perintah / Butang Pustaka / 2x butang belakang boleh diagihkan / 2x kayu analog bersaiz penuh / Haptik HD / 6-Axis IMU
    • Port I/O – 1x USB4 Type-C dengan DisplayPort 2.1 / Power Delivery 3.0, Thunderbolt 4, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-C dengan DisplayPort 2.1 / Power Delivery 3.0, 1x UHS-II pembaca kad microSD (menyokong SD, SDXC dan SDHC; mod DDR200) dan bicu audio 3.5mm
    • Sambungan – Wi-Fi 6E (2 x 2) + Bluetooth 5.4
    • Bateri 80Wj
    • Bersaiz 290.8 x 121.5 x 50.7mm, berat 715g

    Kelebihan: Selesa digenggam, cip Ryzen AI Z2 Extreme, antara muka Xbox yang mesra pengguna, bateri tahan lama dengan pengecasan pantas dan mampu main permainan AAA dengan lancar

    Kekurangan: Mod Xbox skrin penuh perlukan restart, butang Xbox kadang ganggu Steam dan ada kemungkinan gangguan kecil daripada kemas kini Windows 11

    Kesimpulan: Konsol PC mudah alih yang berkuasa, selesa digunakan, menawarkan pengalaman permainan stabil serta bateri tahan lama

    [Terjemahan TechnaveEn]

     

    Artikel Terkini

    Proton e.MAS labur lebih RM40 juta bangunkan ekosistem digital EV pertama Malaysia

    PRO-NET menerusi Proton e.MAS mengumumkan pembangunan platform mobiliti berhubung tempatan pertama di Malaysia dengan pelaburan melebihi RM40 juta sebagai sebahagian usaha memperkukuh...

    Nintendo lancar jualan eShop pertama di Malaysia dengan diskaun untuk “game” ekslusif!

    Selepas beberapa bulan, Nintendo eShop akhirnya mengadakan jualan digital di Malaysia dengan menawarkan potongan harga bagi tajuk terpilih untuk pemain Nintendo Switch...

    Red Magic 11S Pro dilancar secara global dengan SD 8 Elite Gen 5 dan...

    Red Magic mengumumkan pelancaran telefon gaming terbaharu Red Magic 11S Pro ke pasaran global selepas diperkenalkan terlebih dahulu di China. Peranti dikuasakan...

    YouTube mula labelkan video AI secara automatik dan lebih jelas bermula Mei ini

    Google mengumumkan penambahbaikan sistem label kandungan AI di YouTube bagi memudahkan pengguna mengenal pasti video yang dihasilkan atau diubah menggunakan kecerdasan buatan....

    Spotify perkenal Podcast Clips, kini boleh potong dan kongsi bahagian podcast

    Terbaharu, Spotify memperkenalkan fungsi “Podcast Clips” yang membolehkan pengguna memotong, menyimpan dan berkongsi bahagian tertentu daripada episod podcast secara terus dalam aplikasi....

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Edifier W60 – Pilihan bajet dengan audio Hi-Res

    Edifier W60 merupakan fon telinga wayarles jenis over-ear yang direka khusus bagi pengguna yang mahukan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC) pada harga...

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...