fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy A03 – Telefon mesra bajet dengan ciri yang sesuai untuk kegunaan harian

    Selepas Samsung melancarkan telefon pintar kelas permulaan Samsung Galaxy A03s pada bulan September lalu, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna. Walau bagaimanapun, ia menggunakan cipset yang agak lama dan Samsung telah menaik taraf model ini kepada Samsung Galaxy A03.

    Kini, Samsung memperkenalkan varian terbaru untuk telefon tersebut iaitu Samsung Galaxy A03. Perbezaan yang paling ketara berbanding Galaxy A03s asal adalah pada cipsetnya dan kameranya, di mana kini Galaxy A03 dilengkapi Unisoc T606 dan kamera yang dinaik taraf kepada 48MP. Adakah penukaran cipset dan kamera ini berbaloi untuk anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Glasstic dengan corak halus

    Sekali pandang, sesiapa pun boleh mengandaikan bahawa telefon ini adalah telefon kelas permulaan walaupun jika orang itu tidak mengetahui apa-apa langsung tentang peranti elektronik. Samsung Galaxy A03 mempunyai badan yang diperbuat daripada plastik dengan kemasan (finishing) matte.

    Kebaikan permukaan ini adalah tiada lagi masalah cap jari yang akan terlekat padanya. Satu perkara mengenai telefon ini ialah kemasannya menggunakan bahan plastik dan mempunyai corak halus untuk cengkaman yang lebih selesa. Jika anda menginginkan telefon pintar kelas permulaan dengan reka bentuk yang agak ‘eksklusif’, Galaxy A03 sesuai untuk anda.

    Samsung membina telefon ini dengan bahan yang diperbuat daripada 100% plastik. Mungkin Samsung ingin menjimatkan kos dalam pembuatan telefon ini yang sesuai dengan harganya. Namun, dengan harga yang ditawarkan, kita tidak boleh berharap lebih untuk mendapatkan kualiti seperti telefon pintar premium. Bonggol kameranya mempunyai warna yang sama dengan keseluruhan badan serta lebih nipis berbanding telefon andalan membuatkannya nampak lebih berprofil rendah.

    Galaxy A03 mempunyai tiga pilihan warna iaitu hitam, biru dan merah. Warna yang telah diberi kepada kami adalah hitam dan ia nampak sangat kemas. Tidak seperti jenama telefon pintar yang lain, Samsung tidak menyertakan sarung (casing) di dalam kotak telefon ini. Jadi, jika anda ingin pelihara warnanya sebaik mungkin (terutamanya untuk warna yang terang), pastikan anda membeli sarung dengan segera.

    Butang suis dan kawalan kelantangan audio berada di bahagian sisi kanan, manakala di bawah pula terdapat port microUSB (sangat mengecewakan), bicu audio 3.5mm dan pembesar suara. Jika dibandingkan dengan Galaxy A03s, ia dilengkapi pengecasan dengan port USB-C. Untuk telefon tahun 2022, adalah tidak praktikal bagi Samsung untuk menghasilkan telefon dengan port mikro USB.

    Bahagian hadapannya menampilkan skrin berukuran 6.5 inci dengan paparan PLS TFT Infinity-V. Ia tidak didatangkan dengan perlindungan skrin seperti Corning Gorilla Glass. Sempadan bezel adalah nipis di bahagian atas dan sisi manakala di bahagian bawah pula lebih tebal sedikit. Untuk pengetahuan anda, kebanyakan telefon dengan bezel yang tebal pada bahagian bawah adalah daripada segmen permulaan dan pertengahan. Jika dibuat perbandingan dengan Samsung Galaxy A03s, skrin Galaxy A03 menghasilkan kualiti yang lebih cantik dan kurang menggunakan tenaga. Hal ini adalah kerana Galaxy A03 menggunakan paparan jenis PLS TFT manakala Galaxy A03s menggunakan paparan jenis PLS LCD.

    Set lengkap jika anda membeli Galaxy A03

    Spesifikasi – Terdapat penaiktarafan berbanding model Galaxy A03s

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy A03:

    • Paparan: 6.5 inci HD+ (720 x 1600) PLS TFT Infinity-V
    • Kamera swafoto: 5MP, F2.2
    • Kamera belakang: utama 48MP, F1.8 + sensor kedalaman 2MP, F2.4
    • Dimensi: 164.2 x 75.9 x 9.1mm
    • Berat: 196g
    • Cipset: UNISOC T606 Octa-Core (2xA75 1.6 GHz + 6xA55 1.6 GHz)
    • Memori: RAM 3GB/4GB, Storan Dalaman 32GB/64GB
    • Kapasiti bateri: 5,000mAh, Pengecasan 7.75W
    • Sistem operasi: Android 11.0
    • Sambungan: Bluetooth v5.0, 802.11 a/b/g/n/ac 2.4+5GHz, Wi-Fi Direct, GPS, Glonass, Galileo, QZSS
    • Pilihan warna hitam, biru dan merah

    Secara kasar, Galaxy A03 menampilkan spesifikasi yang lengkap untuk telefon yang dijual pada harga RM469. Terdapat beberapa perbezaan yang ketara dengan Galaxy A03s untuk Galaxy A03 iaitu daripada segi cipset, kamera, port pengecasan dan versi Wi-Fi yang ditawarkan. Cipset Unisoc T606 (Galaxy A03) lebih baharu berbanding MediaTek MT6765 Helio P35 yang digunakan pada Galaxy A03s.

    Resolusi yang ditawarkan pada Galaxy A03

    Beralih kepada audio pula, Galaxy A03 mempunyai pembesar suara stereo Dolby Atmos dan kualiti bunyinya adalah sangat jelas. Ia turut menawarkan pengalaman Dolby Atmos untuk fon telinga dalam tetapan. Selain itu, terdapat juga Dolby For Gaming untuk digunakan dalam tetapan semasa sesi gaming.

    Tetapan Dolby Atmos

    Daripada segi perisian, Galaxy A03 dilengkapi antara muka One UI Core berdasarkan Android 11 dan ia adalah amat mesra pengguna. Jika anda sudah biasa menggunakan peranti Android lain, anda tidak akan mempunyai banyak masalah dengan OneUI. Saya harus memberikan pujian kepada Samsung OneUI kerana sepanjang menggunakan telefon ini, tidak terdapat lagging (tersangkut) ketika menatal (scroll) aplikasi.

    UI untuk kamera juga mudah digunakan. Untuk Galaxy A03, Samsung telah menyertakan fungsi fotografi potrait dengan tetapan automatik. Anda hanya perlu menyentuh subjek yang ingin anda fokus dan latar belakang gambar akan menjadi bokeh. Dengan ciri Live Focus Effect, gambar swafoto anda akan kelihatan cantik dengan latar belakang yang tidak mengganggu subjek utama gambar.

    Contoh tangkapan gambar menggunakan mod Potret

    Selain daripada itu, ia turut mempunyai pelbagai fungsi standard seperti Pro, Panorama, Food, Night, Hyperlapse dan Deco Pic (pilihan kesan kartun pada wajah). Untuk rakaman video pula, ia boleh merakam dengan kadar videografi standard seperti pada telefon peringkat permulaan yang lain.

    Prestasi – Cukup untuk tugasan harian

    Sebelum saya mengulas lebih lanjut tentang prestasi telefon ini, saya akan bentangkan dahulu keputusan penanda aras yang kami sudah lakukan dalam Geekbench dan 3DMark:

    Seperti yang anda jangkakan daripada cipset Unisoc T606, ia memberikan prestasi yang cukup untuk tugasan-tugasan harian seperti menulis mesej, melayari media sosial, menonton video atau mengakses laman web. RAM 3GB di dalamnya juga tidaklah terlalu besar dan terdapat sedikit tersangkut (lagging) jika anda membuka aplikasi secara serentak.

    Untuk keselamatan, Galaxy A03 dilengkapi pengimbasan muka (facial recognition). Tiada pengimbasan cap jari pada telefon ini. Jika dibandingkan dengan Galaxy A03s, ia memiliki pengimbas cap jari. Saya berpendapat prestasi pengimbasan muka pada Galaxy A03 adalah pada tahap sederhana (tidak terlalu pantas mengecam wajah mungkin atas faktor spesifikasinya).

    Jika anda ingin menggunakan Galaxy A03 untuk gaming, prestasi telefon ini sangat terhad untuk bermain game popular seperti PUBG Mobile dan COD Mobile. Walaupun sudah ditetapkan kepada kualiti paling rendah, ia tetap lagging (tersangkut). Saya berpendapat telefon ini sangat tidak sesuai untuk bermain game kerana cipset dan RAM-nya yang sangat rendah. Jika anda seseorang yang merupakan penggemar bermain game, saya sarankan anda untuk membeli telefon sekurang-kurangnya dalam segmen pertengahan.

    Satu perkara yang saya perasan apabila bermain game (saya uji dengan bermain game seperti Candy Crush dan Fruit Ninja) dengan Galaxy A03, ia menjadi cepat panas dengan lebih pantas mungkin kerana ia memaksa komponen dalaman untuk ‘bekerja lebih keras’. Jadi jika anda memakaikan sarung (casing) pada telefon ini, pastikan anda tanggalkannya terlebih dahulu sebelum bermain demi menjaga suhu dalaman telefon. Perlu diingatkan, hanya game yang memerlukan penggunaan grafik rendah sahaja boleh dimainkan.

    Beralih kepada prestasi bateri pula, kapasiti 5,000mAh dalam Galaxy A03 boleh bertahan selama sehari walaupun jika anda menggunakan ia sebagai telefon utama. Jika anda mengaktifkan mod Power Saving, ia boleh bertahan sehingga dua hari.

    Bagi mengecas bateri tersebut, Samsung hanya membekalkan palam pengecas 7.75W sahaja dalam kotak. Jika anda menggunakan pengecas 7.75W itu, ia memerlukan masa sekitar 1 jam 30 minit untuk pengecasan penuh. Salah satu kekurangan telefon ini juga ialah ia tidak didatangkan dengan pengecasan pantas. Jika dibandingkan dengan Galaxy A03s, ia mempunyai pengecasan pantas 15W. Walaupun tidak sepantas pengecasan telefon lain, sekurang-kurangnya Galaxy A03s mempunyai ciri tersebut berbanding Galaxy A03.

    Kini saya ingin membincangkan prestasi fotografi dalam kamera Galaxy A03 pula. Dengan dua kamera utama di belakang, ia menawarkan fungsi yang cukup untuk sebuah telefon yang dilancar pada 2021, dengan kamera utama, ultra-lebar dan sensor kedalaman. Untuk pengetahuan, Galaxy A03s mempunyai tiga kamera manakala Galaxy A03 tersedia hanya dua kamera. Namun, kelebihan ketara pada Galaxy A03 ialah saiz megapikselnya lebih besar berbanding Galaxy A03s.

    Secara keseluruhan, gambar yang dihasilkan dalam mod auto nampak memuaskan namun satu perkara yang saya perasan adalah warnanya yang lebih pekat (saturated) berbanding telefon jenama lain. Jika anda seorang yang arif tentang asas fotografi, terdapat mod Pro di mana anda boleh melaraskan ISO, imbangan putih (white balance) dan kontras ketika mengambil gambar.

    Tetapan untuk mod Pro

    Bagi saya, kamera yang terdapat pada Galaxy A03 ini hanya cukup sekadar mengambil gambar dan berkongsi. Anda perlu sedar bahawa jika ingin membandingkan harganya yang murah dan kualiti yang anda terima, saya yakin anda berpuas hati meski kameranya agak mengecewakan.

    Ketika mengambil gambar dalam keadaan malap, Night Mode menawarkan kualiti yang lebih baik dan ia boleh digunakan dalam kamera utama. Ia tidak menghasilkan banyak noise, namun beberapa gambar mungkin akan mempunyai kesan oversharpened dan menghilangkan butiran dalam gambar. Dalam Night Mode, anda perlu meletakkan telefon pada keadaan stabil dan tidak bergoyang kerana terdapat pemasa (timer) ketika gambar diambil.

    Contoh gambar Night Mode

    Rakaman video terdapat dua pilihan resolusi iaitu HD dan FHD. Kedua-dua pilihan ini disertakan dengan 30 bingkai sesaat. Tiada pilihan lain yang diberikan oleh Samsung pada telefon ini. Perlu diingatkan bahawa telefon ini tidak mempunyai video stabilizer (video agak gegar jika diambil menggunakan tangan).

    Contoh rakaman video daripada Samsung Galaxy A03

    Kesimpulan – Pilihan terbaik berbanding A03s

    Samsung Galaxy A03 menyediakan pengalaman penggunaan yang mencukupi untuk kebanyakan orang terutamanya untuk mereka yang sekadar mengharapkan telefon untuk melakukan tugasan harian. Jika dibandingkan dengan Galaxy A03s, Galaxy A03 menawarkan prestasi yang lebih pantas namun tidak begitu ketara.

    Pengguna yang serius mungkin akan menyedari perbezaan tersebut terutamanya sewaktu membuka aplikasi. Namun, terdapat satu kekurangan yang besar pada Galaxy A03 iaitu telefon ini menggunakan port pengecasan mikro USB yang mana saya rasa ia tidak patut digunakan pada masa kini. Pilihan di tangan anda, tepuk dada tanya selera.

    Untuk harga, sudah pasti saya mengesyorkan Galaxy A03  kerana anda akan mendapatkan nilai yang lebih tinggi dengan prestasi Unisoc T606. Jika dibandingkan dengan A03s, harga pada awal keluarannya adalah RM559 berbanding Galaxy A03 yang berharga RM469. Alternatif lain yang sesuai untuk telefon ini termasuklah vivo Y20 (RM459), realme Narzo 50i (RM449), OPPO A16 (RM479) atau Xiaomi Redmi 9C (RM449). 

    Adakah anda berminat dengan telefon pintar ini? Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    realme 12x 5G akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    realme Malaysia bakal melancarkan varian terbaru dalam siri telefon pintar kelas pertengahan realme 12 iaitu realme 12x 5G. realme mengatakan ia adalah...

    MediaTek Dimensity 6300 diumum, cipset 5G untuk telefon pintar segmen pertengahan

    MediaTek menawarkan pasaran telefon segmen pertengahan dengan cipset Dimensity 6300 5G terbaharu. Cip ini dihasilkan dengan proses 6nm dan menawarkan peningkatan sederhana...

    vivo V30e dengan SD 6 Gen 1, skrin 120Hz bakal dilancarkan pada 2 Mei...

    Mengikut pengumuman rasmi, vivo akan memperkenalkan vivo V30e di India pada 2 Mei 2024. Peranti ini dijangka menggunakan paparan AMOLED melengkung 6.78...

    Blackview Hero 10 mungkin jadi telefon boleh lipat paling murah di dunia

    nubia Flip 5G yang dilancarkan awal bulan ini dengan harga RM2,499 merupakan telefon boleh lipat paling murah dalam pasaran. Namun, itu tidak...

    Maybank bakal gantikan pemberitahuan SMS kepada pop timbul aplikasi bermula 22 April ini

    Maybank mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan dasar pemberitahuan baharu mulai 22 April 2024 dan akan menggunakan pemberitahuan pop timbul aplikasi (APP) untuk...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X