fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy A52s 5G – Telefon kelas pertengahan yang lebih relevan berbanding Galaxy A52

    Selepas Samsung melancarkan telefon pintar kelas pertengahan Samsung Galaxy A52 pada bulan Mac lalu, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna. Walau bagaimanapun, satu kritikan yang sering diutarakan adalah pada cipsetnya, Qualcomm Snapdragon 720G untuk varian 4G atau Snapdragon 750G untuk varian 5G, yang boleh dikatakan agak ketinggalan kerana ia adalah dua cipset yang dilancar pada 2020.

    Kini, Samsung memperkenalkan varian terbaru untuk telefon tersebut iaitu Samsung Galaxy A52s 5G dan perbezaan yang paling ketara berbanding Galaxy A52 asal adalah pada cipsetnya, di mana kini Galaxy A52s 5G dilengkapi Snapdragon 778G iaitu cipset kelas pertengahan yang lebih baru. Adakah penukaran cipset ini berbaloi untuk anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Sepenuhnya plastik

    Sekali pandang, sesiapa pun boleh mengandaikan bahawa telefon ini adalah telefon kelas pertengahan, walaupun jika orang itu tidak mengetahui apa-apa langsung tentang peranti elektronik. Samsung Galaxy A52s 5G mempunyai badan yang diperbuat daripada plastik tanpa sebarang hiasan (finishing) menawan. Apabila anda mengetuk permukaannya dengan jari, ia menghasilkan bunyi yang sinonim dengan bunyi plastik.

    Pastinya, kebaikan permukaan ini adalah tiada lagi masalah cap jari yang akan terlekat padanya, namun pada masa yang sama ia juga membuatkan peranti ini nampak murah. Ini juga mungkin akan mengecewakan peminat Samsung yang menggunakan Galaxy A50 (seperti saya) atau Galaxy A51 sebelum ini, di mana ia mempunyai material “glasstic” yang berkilau-kilauan meskipun bahan asasnya adalah plastik. Jika anda menginginkan telefon pintar kelas pertengahan dengan reka bentuk eksklusif, Galaxy A52s bukanlah telefon yang sesuai untuk anda.

    Perbandingan antara Galaxy A52s (kiri) dengan Galaxy A50. Walaupun kedua-duanya mempunyai binaan plastik, Galaxy A50 mempunyai permukaan berkilauan manakala Galaxy A52s nampak lebih berprofil rendah

    Walaupun demikian, ini tidaklah bermakna Galaxy A52s tidak mempunyai mutu binaan yang kukuh. Rangka aluminium di sekelilingnya membuatkan telefon ini rasa teguh di tangan, seperti yang anda boleh jangkakan untuk produk daripada Samsung. Bonggol kameranya mempunyai warna yang sama dengan keseluruhan badan serta lebih nipis berbanding telefon andalan seperti Galaxy S21 atau Galaxy Z Fold3, membuatkannya nampak lebih berprofil rendah.

    Galaxy A52s mempunyai empat pilihan warna iaitu putih, ungu (violet), hijau (mint) dan hitam. Warna yang telah diberi kepada kami adalah putih dan ia nampak sangat kemas. Malang sekali, Samsung tidak menyertakan sarung (casing) di dalam kotak telefon ini, jadi jika anda ingin pelihara warnanya sebaik mungkin (terutamanya untuk warna yang terang), pastikan anda membeli sarung dengan segera.

    Butang suis dan kawalan kelantangan audio berada di bahagian sisi kanan, manakala di bawah pula terdapat port USB-C, bicu audio 3.5mm dan pembesar suara. 

    Di hadapan, ia mempunyai skrin berukuran 6.5 inci yang dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 5. Walaupun tidak sekukuh Gorilla Glass Victus, ini adalah cukup untuk melindunginya daripada sebarang kesan calar atau retak yang ringan. Sempadan bezel adalah nipis di bahagian atas dan sisi, manakala di bahagian bawah pula lebih tebal sedikit namun tidaklah terlalu mengganggu.

    Aksesori yang disertakan dalam kotak adalah pengecas 15W dan kabel USB-C

    Spesifikasi – Lebih canggih berbanding Galaxy A52, walaupun sedikit

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy A52s 5G:

    • Cipset Snapdragon 778G
    • Skrin Super AMOLED FHD+ 6.5 inci 120Hz
    • RAM 8GB
    • Storan 256GB, boleh dibesarkan sehingga 1TB
    • Kamera utama 64MP dengan penstabilan imej optikal (OIS) + kamera ultra lebar 12MP + sensor kedalaman 5MP + kamera makro 5MP
    • Kamera swafoto 32MP
    • Bateri 4,500mAh
    • Pengecasan pantas 25W (pengecas dalam kotak adalah 15W)
    • Pengimbas cap jari dalam skrin, pengecaman muka
    • Dwi-pembesar suara stereo Dolby Atmos
    • Ciri kalis air dan habuk IP67
    • Pilihan warna Awesome Black, Awesome White, Awesome Mint dan Awesome Violet
    • Berat 189g, ukuran 159.9 x 75.1 x 8.4mm

    Secara kasar, Galaxy A52s menampilkan spesifikasi yang lengkap untuk telefon yang dijual pada harga RM1,899. Terdapat satu sahaja perbezaan yang ketara dengan Galaxy A52 asal, di mana Galaxy A52s kini dilengkapi Snapdragon 778G. Cipset yang dibuat dengan proses nod 6nm ini adalah lebih pantas berbanding Snapdragon 720G atau 750G yang dibina dengan nod 8nm.

    Dengan skrin Super AMOLED, Galaxy A52s boleh menghasilkan imej yang sangat cantik pada skrinnya. Jika anda ingin melaraskan warna yang dipaparkan, Samsung membenarkan anda untuk mengubah sedikit tetapannya seperti imbangan putih (white balance) dan nilai RGB, namun tidak lebih daripada itu. Telefon ini juga mempunyai fungsi Always On Display yang akan memaparkan waktu dan notifikasi ringkas sewaktu skrin telefon ini ditutup.

    Skrin Galaxy A52s 5G boleh menghasilkan warna yang sangat cantik
    Pilihan kadar segar semula (kiri), pilihan mod warna (tengah), pelarasan nilai RGB (kanan)

    Selain itu, kadar segar semula 120Hz juga adalah penambahbaikan yang sangat baik daripada Galaxy A51. Pengguna kini boleh pilih di antara 60Hz atau 120Hz, namun skrin ini tidak mempunyai teknologi kadar adaptif (adaptive refresh rate). Ini bermaksud jika anda memilih 120Hz, skrin ini akan kekal dengan kadar 120Hz dalam segala kandungan yang dipaparkan. Walaupun pengalaman menatal (scroll) akan jadi lebih lancar pada setiap masa, perkara ini akan meningkatkan penggunaan hayat bateri dengan agak ketara.

    Beralih kepada audio pula, Galaxy A52s mempunyai pembesar suara stereo Dolby Atmos dan kualiti bunyinya adalah sangat jelas. Ia turut menawarkan fungsi Dolby Atmos For Gaming untuk mutu bunyi yang lebih jelas sewaktu gaming serta pelarasan equaliser untuk genre muzik kegemaran anda.

    Tetapan audio untuk Dolby Atmos
    Home Screen (kiri), App Drawer (tengah), Google Discover Feed (kanan)

    Daripada segi perisian, Galaxy A52s 5G dilengkapi antara muka OneUI 3.1 berdasarkan Android 11 dan ia adalah amat mesra pengguna. Jika anda sudah biasa menggunakan peranti Android lain, anda tidak akan mempunyai banyak masalah dengan OneUI. Malang sekali, ia didatangkan dengan perisian remeh yang agak banyak seperti Shopee, Lazada serta Candy Crush dan malangnya ia tidak boleh dibuang. 

    Di samping itu, satu perkara yang lebih menarik adalah jaminan daripada Samsung untuk menyediakan kemas kini utama (major updates) Android selama tiga tahun dan kemas kini keselamatan (security updates) selama empat tahun. Secara teori, ini bermaksud Galaxy A52s bakal menerima kemas kini sehingga Android 14, memanjangkan lagi hayat penggunaan peranti ini.

    UI untuk kamera juga mudah digunakan. Untuk Galaxy A52s, Samsung telah menyertakan fungsi fotografi Single Take yang diperkenalkan dalam Galaxy S20 pada tahun lepas, di mana kamera dalam telefon ini akan mencipta beberapa gambar dan video pendek secara automatik sebaik sahaja anda menekan shutter. Fungsi Fun pula menawarkan beberapa filter interaktif yang agak menarik.

    Filter menarik dalam seksyen Fun (kiri), menu utama dalam kamera (tengah), pelbagai mod tambahan (kanan)

    Selain daripada itu, ia turut mempunyai pelbagai fungsi standard seperti Portrait, Night, Panorama, Macro dan banyak lagi. Untuk rakaman video pula, ia boleh merakam dalam resolusi 4K pada kadar 30fps.

    Prestasi – Pantas untuk kebanyakan tugas

    Sebelum saya mengulas lebih lanjut tentang prestasi telefon ini, saya akan bentangkan dahulu keputusan penanda aras yang kami sudah lakukan dalam Geekbench dan 3DMark:

    Galaxy A52s 5G menghasilkan skor yang memuaskan untuk telefon kelas pertengahan

    Seperti yang anda jangkakan daripada cipset Snapdragon 778G, ia memberikan prestasi yang sangat pantas untuk tugasan-tugasan harian seperti menulis mesej, melayari media sosial, menonton video atau mengakses laman web. RAM 8GB di dalamnya pula membuatkan telefon ini kekal pantas walaupun anda membuka beberapa aplikasi serentak.

    Sungguh pun begitu, Galaxy A52s tidak mempunyai satu fungsi yang terdapat dalam majoriti telefon yang dilancar pada tahun ini iaitu pengembangan RAM maya (virtual RAM expansion) menggunakan storan dalaman. Oleh yang demikian, anda hanya akan kekal dengan RAM 8GB tersebut dan tidak boleh membesarkannya, jadi ini mungkin akan jadi satu kekurangan pada masa akan datang.

    Untuk keselamatan, Galaxy A52s dilengkapi pengimbas cap jari optikal dalam skrin serta pengimbasan muka (facial recognition). Pengimbasan cap jarinya berfungsi dengan baik, namun tidak sepantas telefon kelas pertengahan daripada jenama lain. Saya berpendapat pengimbasan mukanya boleh dilakukan dengan lebih cepat berbanding pengimbasan cap jari.

    Jika anda ingin menggunakan Galaxy A52s untuk gaming, telefon ini boleh mengakses pelbagai game popular seperti PUBG Mobile dan COD Mobile, namun bukanlah dengan tetapan grafik tertinggi. Demi mencapai kadar bingkai (frame rate) yang lebih lancar, anda perlu rendahkan kualiti grafik. Dalam sebuah game kompetitif seperti PUBG, kadar bingkai yang lebih lancar adalah lebih penting kerana anda boleh bertindak balas dengan lebih cepat terhadap tindakan musuh.

    Untuk game yang mengutamakan grafik seperti Asphalt 9 pula, saya merasakan anda perlu meletakkan tetapan grafik terendah untuk prestasi yang memuaskan. Satu perkara yang saya perasan apabila bermain game dengan Galaxy A52s adalah ia boleh menjadi suam dengan lebih pantas berbanding telefon kelas pertengahan yang lain. Jadi jika anda memakaikan sarung (casing) pada telefon ini, pastikan anda tanggalkannya terlebih dahulu sebelum bermain demi menjaga suhu dalaman telefon.

    Beralih kepada prestasi bateri pula, kapasiti 4,500mAh dalam Galaxy A52s boleh bertahan selama sehari walaupun jika anda mengaktifkan kadar segar semula 120Hz. Jika anda menetapkan kadar skrin pada 60Hz dan mengaktifkan mod Power Saving, ia boleh bertahan sehingga dua hari dengan selesa. 

    Bagi mengecas bateri tersebut, Galaxy A52s sebenarnya menyokong fungsi pengecasan pantas 25W, namun Samsung hanya membekalkan pengecas 15W sahaja dalam kotak. Jika anda menggunakan pengecas 15W itu, ia memerlukan masa sekitar 1 jam 40 minit untuk pengecasan penuh. Untuk memanfaatkan kadar 25W, anda perlu menggunakan pengecas Samsung lain atau pengecas pihak ketiga yang lebih pantas, di mana pengecasan penuh mengambil masa sekitar 1 jam sahaja.

    Skrin telefon ini akan memaparkan “Fast Charging” jika anda menggunakan pengecas 15W dan jika anda menggunakan pengecas 25W, ia akan memaparkan “Super Fast Charging.”

    Kini saya ingin membincangkan prestasi fotografi dalam kamera Galaxy A52s pula. Dengan empat kamera utama di belakang, ia menawarkan fungsi yang lengkap untuk sebuah telefon yang dilancar pada 2021, dengan kamera utama, ultra-lebar, makro dan sensor kedalaman. 

    Secara keseluruhan, gambar yang dihasilkan dalam mod auto nampak memuaskan namun satu perkara yang saya perasan adalah warnanya yang lebih pekat (saturated) berbanding telefon jenama lain. Mereka yang sudah lama menggunakan peranti Samsung mungkin sudah biasa dengan profil warna seperti ini, namun buat mereka yang lebih gemarkan warna natural, anda mungkin perlu melaraskan sedikit tetapan warna dalam kamera Galaxy A52s.

    Dynamic range dalam gambar juga nampak cukup luas untuk sebuah telefon kelas pertengahan. Untuk butiran yang lebih tinggi, anda boleh mengaktifkan mod 64MP namun kamera ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk mengambil gambar tersebut selepas anda menekan shutter dan gambar tersebut akan mempunyai saiz fail yang lebih besar.

    Untuk penggambaran pada waktu malap, Night Mode menawarkan kualiti yang cantik dan ia boleh digunakan dalam kamera utama dan ultra-lebar. Ia tidak menghasilkan banyak noise, namun beberapa gambar mungkin akan mempunyai efek oversharpened dan menghilangkan butiran dalam gambar.

    Rakaman video juga menghasilkan kualiti yang sangat cantik dalam resolusi 4K. Dengan penstabilan EIS, anda boleh merakam sambil berjalan dan efek penstabilannya nampak sangat natural. Jika anda inginkan penstabilan yang lebih tinggi, anda boleh mengaktifkan mod Super Steady dan ia memang seolah-olah seperti anda menggunakan gimbal sewaktu merakam.

    Kesimpulan – Lebih berbaloi berbanding Galaxy A52

    Samsung Galaxy A52s 5G menyediakan pengalaman penggunaan yang cemerlang untuk kebanyakan orang, terutamanya untuk mereka yang sekadar mengharapkan telefon untuk melakukan tugasan harian. Malah dengan jaminan kemas kini sehingga empat tahun, anda boleh menggunakan peranti ini dengan lebih lama berbanding jenama-jenama lain yang sekadar menyediakan kemas kini selama satu atau dua tahun sahaja.

    Jika dibandingkan dengan Galaxy A52 5G pula, Galaxy A52s 5G menawarkan prestasi yang lebih pantas namun tidaklah begitu ketara. Pengguna yang serius mungkin akan menyedari perbezaan tersebut terutamanya sewaktu bermain game, manakala pengguna biasa pula mungkin tidak akan menyedarinya.

    Memandangkan kedua-dua telefon dijual pada harga yang sama iaitu RM1,899, sudah pastilah saya mengesyorkan Galaxy A52s kerana anda akan mendapatkan nilai yang lebih tinggi dengan prestasi Snapdragon 778G. Alternatif lain yang sesuai untuk telefon ini termasuklah OPPO Reno6 Z(RM1,699), Xiaomi 11T (RM1,699) atau realme GT Neo2 (RM1,999).  Reno6 Z menawarkan rekaan yang lebih menawan manakala Xiaomi 11T dan realme GT Neo2 pula menawarkan cipset yang lebih pantas.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Shopee lancarkan program Jaminan Tepat Masa untuk penghantaran barang bermula 6 Mei ini

    Shopee akan melancarkan inisiatif terbaharunya, program Jaminan Tepat Masa yang bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan mengenai kebolehpercayaan penghantaran untuk pembeli dalam talian.

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles lutsinar bermula RM479

    Nothing Malaysia telah memperkenalkan dua fon telinga wayarles baharu iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Syarikat teknologi yang berpusat di London,...

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    nubia Neo 2 5G dilancar di Malaysia: Tampilkan ‘Dual Gaming Shoulder Triggers’ berharga RM999

    Siri nubia Neo melancarkan peranti andalan terbaharunya, nubia Neo 2 5G yang dicipta untuk memenuhi keperluan pemain kasual dan peminat dengan mengutamakan...

    TIME naik taraf Pakej MyKabel 100Mbps kepada 200Mbps, harga kekal pada RM69/bulan

    Awal bulan ini, TIME memberikan peningkatan Speed Boost secara percuma kepada beberapa pelanggan yang layak. Kini, terdapat satu lagi peningkatan baru dan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X