fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy A56 5G – Telefon “mid-range” pertama dengan Galaxy AI?

    Saban tahun, Samsung melancarkan siri telefon pintar kelas pertengahan Samsung Galaxy A yang laris bak pisang goreng panas di seluruh dunia kerana ia merupakan siri telefon Android yang paling banyak dibeli. Untuk tahun ini, Samsung melancarkan pelbagai varian Galaxy A untuk memenuhi permintaan daripada pelbagai kategori bajet, termasuklah Samsung Galaxy A56 5G yang dijual pada harga bermula RM1,999.

    Menarik untuk edisi tahun ini adalah Samsung memperkenalkan fungsi-fungsi AI buat kali pertama untuk Galaxy A, di mana fungsi-fungsi ini hanya dikhaskan untuk siri telefon flagship Galaxy S sahaja sebelum ini. Walau bagaimanapun, fungsi AI dalam Galaxy A56 tidak digelar “Galaxy AI”, sebaliknya sekadar “Awesome Intelligence” sahaja. Jadi adakah fungsi-fungsi AI baharu ini bakal menarik minat anda untuk beli Galaxy A56? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Bonggol kamera baru!

    Walaupun Galaxy A56 ialah sebuah telefon pintar kelas pertengahan, Samsung masih memberi mutu buatan yang bagus untuknya. Bahagian depan dan belakangnya dibuat daripada kaca Corning Gorilla Glass Victus+ yang berkilauan dan mempunyai ciri-ciri tahan lasak dan tahan calar, serta membuatkannya rasa lebih kukuh berbanding telefon pertengahan lain yang mempunyai badan plastik sahaja.

    Bahagian belakang Samsung Galaxy A56
    Skrin hadapan yang nampak cantik
    Bahagian sisi kanan yang menempatkan butang kuasa dan butang volume pada satu bonggol kecil

    Selain itu, rangka aluminium di sekelilingnya juga membuatkan telefon ini nampak seperti telefon yang lebih mahal. Di bahagian sisi kanan, butang kuasa dan butang volume diletakkan dalam sebuah bonggol yang diperkenalkan sejak Galaxy A55 pada tahun lepas. Turut melengkapi buatan padu pada telefon ini adalah rating kalis air dan debu IP67 yang membuatkannya boleh tenggelam dalam air pada paras 1 meter selama 30 minit.

    Daripada segi estetik, satu pembaruan pada Galaxy A56 adalah sebuah bonggol kameranya yang kini agak tebal dan menempatkan tiga lensa. Ini berbeza dengan Galaxy A55 pada tahun lalu di mana ia mempunyai tiga bonggol dan setiap bonggol ini menempatkan lensa-lensanya sendiri. 

    Perlu diketahui bahawa bonggol kamera pada Galaxy A56 nampak seperti “terpisah” daripada badan keseluruhan telefon ini kerana terdapat ruang kecil di antara bonggol kamera dan badan telefon.

    Rekaan bonggol kamera yang baru
    Terdapat ruang kecil berwarna hitam antara bonggol kamera dengan badan telefon

    Walaupun bahagian belakang telefon ini berkilauan, ia tidak menampakkan kesan cap jari, jadi anda mungkin tidak perlu memakaikan sarung padanya. Untuk pilihan warna, ia ditawarkan dalam empat pilihan iaitu Awesome Graphite, Awesome Olive, Awesome Pink dan Awesome Lightgray. Warna yang diulas oleh kami ialah Lightgray dan ia nampak kemas, namun jika anda inginkan telefon yang nampak unik, ini mungkin bukan telefon untuk anda kerana ia nampak serupa seperti lambakan telefon kelas pertengahan dalam pasaran sekarang.

    Spesifikasi – Lengkap untuk kegunaan am

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy A56 5G:

    • Paparan: 6.7-inci FHD+ Super AMOLED (1200 nits), segar semula skrin 120Hz, Vision Booster
    • Cip Pemprosesan: Exynos 1580
    • RAM: 8GB atau 12GB
    • Storan: 128GB atau 256GB
    • Kamera Belakang: 50MP (utama) + 12MP (ultra lebar) + 5MP (makro)
    • Kamera Hadapan: 12MP (dengan Nightography dan Low Noise Mode)
    • Bateri: 5,000mAh
    • Pengecasan: 45W Super Fast Charge 2.0
    • Sistem Operasi: Android 15 dengan One UI 7 (dengan kemas kini sehingga 6 tahun)
    • Ciri Tambahan: Best Face, Circle to Search, Samsung Knox Vault, Digital Key
    • Pilihan Warna: Awesome Graphite, Awesome Olive, Awesome Pink, Awesome Lightgray
    • Harga: RM1,999 (8GB+128GB)| RM2,199 (12+256GB)

    Telefon ini mempunyai segala spesifikasi dan ciri-ciri yang boleh dijangka untuk telefon kelas pertengahan yang dilancar pada 2025. Ia mempunyai skrin AMOLED yang menghasilkan warna sangat cantik untuk sebarang video dan game, serta kadar segar semula setinggi 120Hz yang menjanjikan pengalaman menatal yang lancar. Satu isu yang mungkin anda perasan adalah sempadan bezel yang agak tebal di bahagian dagu, namun ini bukanlah sesuatu yang akan terlalu mengganggu pengalaman tontonan anda.

    Skrin yang boleh hasilkan pengalaman tontonan menarik

    Untuk storan, ia hanya ditawarkan dalam dua kapasiti sahaja iaitu 8GB+128GB dan 12GB+256GB. Saya tidak kisah sangat tentang RAM kerana 8GB memang sudah cukup untuk kebanyakan situasi, namun pilihan storan sekadar 128GB dan 256GB sahaja adalah isu yang perlu dipertimbangkan kerana telefon ini tidak mempunyai slot kad microSD untuk membesarkan storan. Saya rasa kapasiti 128GB sudah tidak boleh dijual lagi pada 2025, kerana banyak fail pada waktu ini mengambil ruang yang besar dalam storan, jadi saya sangat mencadangkan anda dapatkan storan 256GB. 

    Untuk kapasiti bateri, ia masih dikekalkan pada 5,000mAh seperti Galaxy A55, namun telefon ini mempunyai kadar pengecasan yang jauh lebih pantas iaitu 45W. Malangnya, pengecas tidak disertakan dalam kotak telefon ini, dan ia tidak mempunyai pengecasan wayarles. Saya akan ulas mengenai hayat bateri dan waktu pengecasan dalam seksyen Prestasi.

    Kini mari kita beralih kepada tarikan utama untuk semua telefon Samsung Galaxy iaitu perisian OneUI 7.0 berdasarkan Android 15. Rekaan antara muka (UI) Samsung memang mudah diguna dan nampak kemas, namun terdapat beberapa permbaharuan yang menarik dalam versi 7.0. Sebagai contoh, Control Center (ruang yang diakses apabila anda leret jari dari atas skrin) kini dibahagi kepada dua. Jika anda leret dari bucu atas kanan, anda akan mengakses Quick Settings, manakala jika anda leret dari bucu atas kiri, anda akan mengakses Notification Panel. Ya, ini serupa seperti iOS.

    Selain itu, anda mempunyai lebih banyak pilihan untuk mengubahsuai widget kegemaran berbanding versi OneUI sebelum ini. Sebagai contoh, anda boleh pilih bentuk widget yang ingin dipaparkan pada Home Screen.

    OneUI mempunyau antara muka yang mesra pengguna dan mudah difahami
    Quick Settings boleh diakses apabila anda seret daripada bahagian atas kanan skrin
    Control Center untuk Galaxy A56, (kiri) Notification Panel boleh diakses jika anda seret jari dari atas kiri skrin, manakala (kanan) Quick Settings boleh diakses jika seret jari dari atas kanan skrin
    Anda kini boleh ubah bentuk (Shape) widget pada home screen

    Satu lagi perkara yang penting anda perlu tahu adalah telefon ini akan menerima kemas kini selama enam tahun untuk kemas kini Android utama dan kemas kini keselamatan. Ini bermaksud ia boleh digunakan sehingga 2031 dan sepanjang tempoh ini, anda tidak perlu risau sama ada ia akan ketinggalan atau tidak kerana ia akan terus menerima sokongan Samsung.

    Untuk fungsi AI “Awesome Intelligence”, ia tidaklah selengkap Galaxy AI yang terdapat pada Galaxy S25. Dalam ruang tetapan (Settings), ia disenaraikan dalam seksyen “Intelligent Features” dan bukannya “Galaxy AI” seperti dalam Galaxy S25. Prestasinya juga tidak cemerlang seperti Galaxy S25.

    Sebagai contoh, fungsi Object Eraser boleh memadamkan objek yang tidak dikehendaki dalam gambar-gambar anda, namun kualiti pemadamannya agak comot dan tidak konsisten. Best Face pula akan mengimbas gambar yang diambil dalam mod Motion Photo dan pilih ekspresi muka yang paling sesuai untuk dijadikan gambar akhir, namun kadang-kala pemilihan mukanya tidak tepat.

    Fungsi AI yang ditawarkan dalam Galaxy A56
    Object Eraser gagal memadam skateboard dalam gambar ini dengan kemas

    Saya tidak kisah tentang jumlah fungsi AI yang sedikit pada telefon ini memandangkan ia hanyalah telefon kelas pertengahan, namun dalam fungsi-fungsi yang ditawarkan ini, saya agak kecewa bahawa prestasinya tidak setaraf Galaxy S25. DI samping itu, dalam senarai Intelligent Features, ia menyenaraikan fungsi-fungsi AI yang boleh dibuat, namun ia tidak mengajar cara untuk menggunakannya. Ini adalah isu sama yang terdapat pada Galaxy AI dalam Galaxy S25.

    Prestasi – Selesa untuk semua kegunaan, termasuk “gaming” ringan

    Berikut adalah markah penanda aras untuk Samsung Galaxy A56 yang kami sudah lakukan:

    Geekbench menunjukkan telefon ini menghasilkan prestasi yang setaraf dengan telefon flagship yang dilancar pada tiga hingga empat tahun lalu, seperti Galaxy S21 dan Galaxy S22
    3DMark menunjukkan telefon ini boleh mengekalkan prestasi yang stabil (dengan markah Stability 97.8%), walaupun digunakan dalam tempoh yang lama (20 minit untuk penanda aras ini), namun prestasinya tidak sepantas telefon lebih mahal

    Saya rasa ini adalah markah yang boleh dijangka untuk telefon kelas pertengahan seperti ini, tetapi apakah maksudnya untuk situasi penggunaan sebenar? Kalau untuk penggunaan am seperti menonton video, membaca artikel dan melayari media sosial, ia memang boleh lakukannya dengan cemerlang, lancar dan tidak tersangkut-sangkut. 

    Untuk tugas yang lebih berat seperti gaming, ia terpulang kepada tetapan grafik dan game yang dimainkan. Jika saya memainkan game yang agak ringan seperti PUBG Mobile, ia boleh dimainkan dengan agak lancar walaupun dengan tetapan grafik tinggi, malah jika anda sanggup turunkan kualiti grafik, anda boleh main dengan kadar bingkai setinggi 60fps.

    Untuk game yang lebih berat seperti Genshin Impact, saya merasakan ia tidak boleh menghasilkan pengalaman yang lancar jika anda menetapkan tetapan grafik tertinggi dengan kadar bingkai 60fps. Malah, tetapan grafik lalai (default) untuk game ini adalah yang paling rendah apabila ia dipasang dalam telefon ini, jadi saya cadangkan anda tetapkan pada tahap grafik terendah sahaja untuk pengalaman yang lebih lancar.

    PUBG Mobile boleh dimainkan dengan selesa walaupun dengan grafik tinggi
    Genshin Impact sesuai dimainkan dengan tetapan grafik rendah untuk pengalaman yang lebih lancar. Perlu diingati bahawa telefon jadi agak panas apabila bermain game ini

    Daripada segi hayat bateri, kapasiti baterinya yang setinggi 5,000mAh mampu menawarkan hayat bateri selama lebih daripada sehari. Walaupun dengan menggunakan beberapa aplikasi sepanjang hari, pada waktu malam, telefon ini masih mempunyai baki bateri yang agak tinggi. Sewaktu bermain game pula, untuk game ringan seperti PUBG Mobile, sesi selama 30 minit menggunakan sekitar 5% bateri, manakala Genshin Impact pula sekitar 14% dengan tetapan grafik tertinggi.

    Untuk pengecasan, saya menggunakan pengecas pihak ketiga yang berkadar 65W dan pengecasan penuh daripada 0% mengambil masa lebih sejam. Untuk sebuah telefon kelas pertengahan, ini adalah sesuatu yang boleh dijangka.

    Saya cuba memainkan video secara berulang (loop) pada telefon ini untuk menguji Screen On Time, dan ia mencatatkan masa yang sangat lama iaitu lebih 21 jam
    Pengecasan daripada 7% hingga 96% mengambil masa 1 jam 6 minit (10:34pm hingga 11:40pm)

    Kini mari kita beralih ke bahagian kamera pula. Jika dilihat pada spesifikasi kamera sahaja, mungkin ada yang kecewa tentang ketiadaan kamera telefoto, kerana ia hanya terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 12MP dan kamera makro 5MP, namun ini adalah sesuatu yang boleh dijangka untuk telefon Galaxy A. Kualiti gambarnya nampak cantik jika mengambil gambar dalam situasi yang terang, dengan penghasilan warna dan cahaya yang seimbang, butiran yang jelas serta julat dinamik yang agak luas untuk sebuah telefon. 

    Untuk gambar dalam situasi malap pula, Night Mode boleh menghasilkan gambar yang jelas dengan noise rendah dan butiran yang memuaskan, namun hanya untuk kamera utama sahaja. Night Mode untuk kamera ultra-lebar nampak kabur, manakala Night Mode untuk zum juga nampak kabur.

    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar zum 2x
    Gambar zum 2x
    Gambar ultra-lebar
    Gambar ultra-lebar
    Gambar Night Mode
    Gambar Night Mode
    Gambar swafoto petret
    Gambar swafoto dalam suasana malap

    Bercakap tentang zum, ia hanya mempunyai zum digital sehingga 10x. Saya berpendapat gambar setakat 3x masih nampak kemas, namun apabila anda pergi lebih daripada itu, gambar sudah mula nampak pecah. Untuk gambar swafoto pula, ia masih nampak kemas dan saya gemar penghasilan tona warna kulit yang nampak natural.

    Kamera ini boleh merakam video dalam resolusi 4K 30fps dan kualiti videonya nampak baik dengan penstabilan yang bagus. 

    Kesimpulan – Telefon mid-range yang sesuai untuk semua

    Samsung Galaxy A56 5G membuktikan bahawa anda kini tidak perlu melabur wang yang besar untuk mendapatkan telefon berkualiti tinggi yang boleh melakukan kebanyakan tugas. Jika anda sekadar inginkan telefon am yang boleh lakukan 90% daripada tugas harian dengan lancar dan anda tidak harapkan kualiti tertinggi untuk gaming, fotografi atau fungsi-fungsi AI, ini adalah peranti yang sesuai.

    Segala kekurangan yang terdapat pada telefon ini boleh dijangka untuk telefon yang dijual pada harga bawah RM2,000. Sungguh pun begitu, telefon jenama lain yang dijual pada harga serupa mungkin akan menawarkan beberapa ciri yang lebih menarik. Sebagai contoh, vivo V50 (bermula RM1,899) menawarkan kamera yang mengutamakan mod potret dengan cahaya Aura Light Portrait, Nothing Phone (3a) Pro (bermula RM1,999) menawarkan rekaan belakang yang lebih menarik dan kamera telefoto yang boleh hasilkan gambar zum lebih cantik dan OPPO Reno13 5G (bermula RM2,299) menawarkan bateri lebih besar dan pengecasan lebih pantas.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Luno perkenal koin digital baharu dengan Algorand dan NEAR

    Luno yang merupakan satu-satunya bursa aset digital yang dikawal selia di Malaysia, kini menambah dua lagi koin ke dalam senarai aset digitalnya...

    WhatsApp lancar Advanced Chat Privacy untuk privasi sembang peribadi dan kumpulan

    WhatsApp hari ini secara rasmi telah melancarkan ciri baharu yang dinamakan Advanced Chat Privacy yang merupakan satu lapisan keselamatan tambahan untuk pengguna...

    Redmi Turbo 4 Pro rasmi sebagai telefon pertama dengan SD 8s Gen 4, bermula...

    Redmi Turbo 4 Pro kini rasmi di China dan menariknya, ia menjadi telefon pintar pertama di dunia yang dikuasakan cip Snapdragon 8s...

    Siri Samsung Galaxy Tab S10 FE dilancar di Malaysia: Skrin 90Hz, cas pantas 45W...

    Samsung Malaysia hari ini memperkenalkan dua buah tablet baharu dalam siri Galaxy Tab FE iaitu Samsung Galaxy Tab S10 FE dan Samsung...

    Astro kini tawarkan langganan Prime Video untuk peranti Ultra dan Ulti Box

    Pelanggan Astro kini boleh menikmati lebih banyak hiburan apabila aplikasi Amazon Prime Video mula tersedia untuk peranti Ultra dan Ulti Box. Kolaborasi...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured