fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy Note20 Ultra – Telefon terbaik dalam kategori harga ini

    Saban tahun, penulis sering menjenguk kembali kemajuan dalam siri telefon pintar flagship Samsung Galaxy Note. Saya masih ingat waktu saya baru mula menggunakan Galaxy Note8 dan kini kita sudah pun sampai ke Samsung Galaxy Note20 Ultra. Cepat sungguh masa berlalu!

    Kembali ke topik artikel ini, siri Galaxy Note20 yang dilancarkan pada tahun ini masih lagi mengekalkan mutu flagship yang kita boleh jangkakan namun kali ini ia ditawarkan dalam dua model iaitu Galaxy Note20 dan Galaxy Note20 Ultra, di mana Ultra dilengkapi dengan spesifikasi yang lebih komprehensif. Dengan harga setinggi RM5,199, adakah telefon ini mampu mencapai standard yang ditentukan harga tersebut? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Segi empat dan lengkungan yang ikonik 

    Jelasnya, dengan harga lebih RM5,000, ia perlulah dilihat secara berlainan dengan kebanyakan telefon pintar dalam industri. Galaxy Note20 Ultra mengekalkan reka bentuk petak dan lengkungan di bahagian sisi, dengan modul kamera yang amat mudah dikenali di bahagian atas kiri pada permukaan belakangnya. Namun perkara yang paling menarik buat saya adalah warna gangsa Mystic Bronze dengan sudahan pusam (matte) yang sangat berlainan berbanding corak warna pada telefon-telefon lain, lantas membuatkannya lebih mudah dikenali.

    Warna gangsa Mystic Bronze dengan sudahan pusam (matte), permukaan yang tidak meninggalkan kesan cap jari, sangat selesa untuk dipegang
    Rekaan skrin Infinity-O di bahagian depan
    Pembesar suara dan S Pen yang telah berubah kedudukan berbanding Galaxy Note10
    Butang kuasa dan kelantangan suara di bahagian kanan
    Ruang kad SIM dan kad memori di bahagian atas

    Walaupun Galaxy Note20 Ultra mempunyai modul kamera yang lebih tebal dan besar, berat telefon ini masih lagi ringan. Untuk perbandingan, ia lebih ringan berbanding Galaxy S20 Ultra. Permukaan belakang telefon ini dihiasi permukaan kusam yang kemas dan tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari.

    Satu masalah yang timbul dengan modul kamera tebal adalah ia akan membuatkan permukaan lensa lebih tersembul dan mudah bersentuhan dengan permukaan meja apabila ia diletakkan di atasnya. Saya selalu memeriksa kamera tersebut jika ia telah tercalar, jadi untuk telefon ini saya perlu mula memasang sarung (casing) untuk melindunginya.

    Bonggol kamera di belakang agak tebal
    Ukiran penjenamaan Samsung nampak eksklusif dan cantik

    Jika rekaannya dibandingkan dengan Galaxy Note10+, Galaxy Note20 Ultra mempunyai beberapa perbezaan kecil. Pertama, butang kuasa dan kawalan kelantangan audio kini berada di bahagian kanan. Untuk memberi ruang kepada modul kamera, batang S-Pen pula telah dipindahkan ke bahagian kiri, manakala pembesar suara juga telah berubah tempat.

    Oleh itu, jika anda merupakan pengguna Galaxy Note yang sudah biasa dengan telefon-telefon sebelum ini, anda perlu membiasakan diri dengan posisi baru dalam Note20 Ultra. Bagi saya, perubahan ini tidaklah terlalu ketara.

    Kandungan kotak Galaxy Note20 Ultra

    Spesifikasi – Seperti yang kita boleh jangkakan untuk kelas ini

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy Note20 Ultra:

    • Skrin melengkung Dynamic AMOLED 2X QHD+ Infinity-O berukuran 6.9 inci dengan kadar segar semula 120Hz
    • Cipset Exynos 990
    • RAM 12GB + storan dalaman 256GB
    • Kamera utama 108MP + kamera periskop 12MP + kamera ultra-lebar 12MP | kamera swafoto 10MP
    • Zum optikal 5x, zum digital 50x
    • Rakaman video 8K + fungsi rakaman video profesional + prakaman audio daripada 5 pilihan arah
    • Pengimbas cap jari ultrasonik di bawah skrin, IP68, NFC, USB Type-C, dwi-pembesar suara Dolby ATMOS
    • WiFi 6 (ax), Bluetooth 5.1, rangkaian 5G
    • Bateri 4,500mAh, pengecasan pantas 25W

    Jika spesifikasi ini diteliti, Galaxy Note20 Ultra menampilkan spesifikasi yang boleh dijangkakan lebih-lebih lagi apabila sesetengah negara sudah pun mendapatkan Note20 Ultra dengan cipset Snapdragon 865+ manakala kita masih tersangkut dengan Exynos 990 tanpa sebarang simbol “+” atau apa-apa penambahbaikan.

    Namun perlu diingati bahawa sungguh pun markah penanda aras cipset Exynos dan Snapdragon adalah berlainan, pengalaman penggunaan dalam situasi harian tidaklah mempunyai banyak perbezaan. Malah, kedua-duanya masih memberikan pengalaman flagship yang sangat bagus. Saya sendiri pernah menggunakan telefon dengan cipset siri Snapdragon 800 (telefon flagship bermula dengan Snapdragon 820) dan telefon dengan cipset Exynos flagship (bermula Galaxy Note8) jadi usah kita bincangkan keburukan dan kebaikan pada kedua-dua cipset canggih ini.

    Spesifikasi Galaxy Note20 Ultra kali ini juga tidak difokuskan kepada pemproses atau storan dalaman, namun mari kita lihat dengan lebih mendalam. Memori Note20 Ultra terdiri daripada RAM 12GB dan storan 256GB jadi ia adalah lebih daripada cukup untuk penggunaan masa kini. Jika anda inginkan storan yang lebih, telefon ini menyokong kad memori microSD sehingga 1TB.

    Daripada segi skrin, Samsung Galaxy Note20 Ultra menggunakan skrin Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi Quad HD+ (1440×3088) dan kadar segar semula 120Hz. Walau bagaimanapun, seperti siri Galaxy S20, pengguna hanya boleh menggunakan resolusi Quad HD+ pada 60Hz. Jika anda ingin menggunakan 120Hz, resolusi perlu diturunkan kepada Full HD+ sahaja. Dalam tetapan kadar segar semula skrin, Samsung hanya memberikan pilihan untuk 60Hz dan Adaptive. Pengguna tidak boleh menetapkan 120Hz sewaktu penggunaan, namun pada kebanyakan masa skrin Galaxy Note20 Ultra masih boleh mengekalkan kadar segar semula 120Hz.

    Tetapan kadar segar semula hanya terdapat dalam Standard (60Hz) dan Adaptive
    Tetapan 120Hz hanya boleh digunakan setakat resolusi Full HD+ (2316×1080)

    Sekarang mari kita lihat pada kamera telefon ini. Ia terdiri daripada kamera utama 108MP, kamera periskop 12MP dan kamera ultra-lebar 12MP. Prestasi kamera Note20 Ultra difokuskan pada fungsi Laser AutoFocus yang baru untuk fotografi yang lebih baik.

    Anda boleh lihat contoh gambar dan video dalam ruangan Prestasi.

    Antara muka Pro Video Mode
    Anda boleh utamakan arah sumber audio sama ada di depan, belakang atau sekeliling
    Kawalan zum di sebelah kanan

    Seterusnya, saya rasa berbelah bahagi terhadap S Pen yang baru dalam telefon ini. Pertama sekali, perlu saya katakan bahawa sensitiviti S Pen pada kali ini sangat bagus, ia amat sesuai untuk dijadikan alat lukisan dan pelbagai kegunaan lain. Ia rasa lancar dan terdapat fungsi tambahan yang boleh diakses melalui S Pen.

    Fungsi Recordings yang baru dalam Samsung Notes adalah amat berguna buat wartawan kerana ia boleh merekod audio sambil menulis perkara yang dibincangkan. Fungsi ini juga boleh dimanfaatkan oleh ahli perniagaan sewaktu mesyuarat yang penting.

    S Pen yang terdapat dalam Note20 Ultra

    Walau bagaimanapun, fungsi baru yang terdapat pada S Pen iaitu gesture navigation (kawalan gerakan tangan), menimbulkan pelbagai soalan daripada saya. Fungsi ini membenarkan pengguna untuk membuat pelbagai perkara seperti mengambil gambar skrin (screenshot) atau menyunting gambar tanpa menyentuh skrin.

    Fungsi ini nampak bagus pada mulanya, namun gerakan gesture boleh ditafsirkan dengan salah oleh telefon ini, membuatkannya tidak boleh diharap sangat dan lebih elok untuk sentuh sahaja skrin. Mujur gesture navigation boleh diubah untuk fungsi spesifik yang anda mahukan. Jadi kalau anda menggunakannya untuk tugas ringkas seperti membuka kamera, ia agak membantu.

    Anda boleh tetapkan sendiri penggunaan S Pen
    Audio Bookmark sangat berguna, anda boleh memainkan semula audio yang dirakam sewaktu nota ditaip atau ditulis
    Anda boleh uruskan nota-nota anda dengan mudah
    Terjemahan automatik
    S Pen amat mudah digunakan untuk melukis
    Tiada masalah untuk menukarkan tulisan tangan kepada teks komputer

    Memandangkan telefon ini sinonim dengan kegunaan bisnes, penting untuk Note20 Ultra menyokong fungsi Samsung DeX dan Link to Windows. Sebelum ini, Samsung DeX telah pun digunakan secara meluas oleh pengguna Galaxy Note dan kini Link to Windows adalah fungsi yang baru. Ia sebenarnya boleh dimuat turun daripada Play Store namun ia telah pun disiap pasang dalam Note20 Ultra (dan beberapa lagi telefon flagship Samsung). Untuk mengaksesnya, pengguna hanya perlu meleret ke bawah dan buka ruang notifikasi untuk melihat ikon Link to Windows.

    Tidak seperti DeX, Link to Windows membenarkan pengguna untuk menggunakan antara muka (interface) Windows, manakala skrin telefon hanya akan memfokuskan pada notifikasi, fungsi Screen Mirror dan aplikasi yang memang hanya boleh dibuka dalam telefon. Antara muka aplikasi ini hanya terdapat dalam Note20 Ultra. Galaxy Note10+ sebelum ini hanya mempunyai fungsi Screen Mirror, namun penggunaannya masih tidak berubah sehingga kini.

    Anda boleh gunakan komputer Windows untuk buka nota-nota dalam Note20 Ultra
    Penggunaan fungsi Link To Windows

    Prestasi – Tak semuanya terbaik

    Melihat kepada tajuk di atas, saya harap pembaca boleh memahami satu perkara: Sebagai sebuah telefon flagship, Galaxy Note20 Ultra mempunyai prestasi keseluruhan yang sangat mantap. Walaupun varian cipset yang kami terima tidak sepadan dengan prestasi varian Snapdragon 865+, pengalaman penggunaannya tidaklah terlalu berbeza. Telefon ini ada baik dan buruknya serta ia tidak semestinya disebabkan oleh cipset.

    Boleh dilihat dalam penanda aras GeekBench di mana markah Galaxy Note20 Ultra adalah tinggi, dengan markah ujian teras tunggal sebanyak 682 dan multi-teras sebanyak 2653. Untuk ujian imej pula, 3DMark menunjukkan markah 6580 untuk OpenGL ES 3.1 manakala Vulkan mempunyai markah 6277 iaitu markah yang boleh dijangka untuk telefon flagship.

    Markah ujian penanda aras Galaxy Note20 Ultra

    Untuk pengalaman gaming sebenar, Note20 Ultra memberikan prestasi yang baik namun tidaklah sempurna. Selain menyepadukan perisian game dalam Game Launcher, anda juga boleh mengaktifkan mod Do Not Disturb untuk menghalang sebarang panggilan atau mesej dan mod mengoptimumkan prestasi. Namun, sewaktu prestasi dioptimumkan, pengguna akan mengalami pengurangan frame rate serta lebih panas sedikit di belakang telefon. Jika anda inginkan pengalaman yang terbaik, saya masih galakkan mod Focus On Performance dan ia tidak akan mengehadkan kadar segar semula kepada 48Hz sahaja.

    Bercakap tentang kepanasan, prestasi gaming tidak akan terjejas walaupun jika telefon menjadi terlalu panas. Saya menggalakkan pengguna untuk berhenti gaming selepas satu jam bagi mengelak haba merosakkan komponen lain dalam telefon seperti bateri. Untuk skrinnya, 120Hz memang membuatkan game dimainkan dengan lebih lancar. Walaupun game arus perdana seperti COD Mobile dan PUBG hanya menyokong 60Hz, tindak balas sentuhan adalah lebih sensitif.

    Tak perlu ubah sangat tetapan asal, prestasinya sudah cukup bagus
    COD Mobile menetapkan sendiri tetapan grafiknya ke pilihan yang tertinggi

    Daripada segi ketahanan bateri, penulis tidak begitu berpuas hati dengan prestasi Note20 Ultra, terutamanya apabila mod 120Hz dipasang kerana ia memerlukan penggunaan tenaga yang lebih tinggi. Selepas wayar elektrik dicabut pada jam 9:00 pagi, saya menggunakan telefon selama 35 minit sambil memainkan muzik melalui fon telinga Bluetooth. Pada pukul 12:00 tengah hari, telefon itu mengatakan bateri hanya boleh bertahan selama 17 jam 48 minit lagi. Untuk penggunaan yang lebih stabil, saya menggunakan High Performance Mode yang mungkin telah memanjangkan sedikit hayat bateri, namun saya masih mengharapkan hayatnya untuk bertahan lebih lama. Akan tetapi, jika pengguna menetapkan skrin kepada 60Hz dan resolusi 2K, hayat bateri akan menjadi lebih panjang. Pilihan berada dalam tangan anda.

    Dalam aspek lain, Galaxy Note20 Ultra berfungsi dengan baik. Semua hubungan wayarles termasuk WiFi6 adalah pantas dan stabil. Walaupun kami tidak dapat menguji prestasinya dalam rangkaian 5G, kami masih boleh melihat hubungan yang stabil untuk rangkaian 4G (menggunakan Yes 4G). Daripada segi audio, Galaxy Note20 Ultra menghasilkan bunyi yang jelas daripada earpiece untuk panggilan telefon tanpa sebaran audio yang terbocor ke luar telinga, manakala audio daripada dwi-pembesar suara stereo pula adalah jelas dan seimbang. Dengan teknologi Dolby ATMOS, pembesar suaranya menghasilkan audio dengan bass dan treble yang tepat. Terdapat fungsi Equalizer untuk pengguna menalakan (tuning) audio mengikut citarasa mereka.

    Rekod penggunaan bateri Galaxy Note20 Ultra

    Sebagai seorang pengguna Galaxy Note10+, saya boleh alami perbezaan yang terdapat pada prestasi fotografi Galaxy Note20 Ultra berbanding model Note tahun lepas. Kamera dan perisian fotografi yang baru membuatkan Galaxy Note20 Ultra memang bagus untuk gambar yang cantik. Perkara yang paling saya gemari dalam kamera ini adalah Laser Autofocus, membuatkan sistem autofokus Note20 Ultra ini sangat cepat untuk mengenal pasti subjek dalam gambar dan video.

    Dalam mod Pro Video, arah mikrofon boleh diubah sewaktu rakaman video. Selain itu, kawalan zum juga akan menggerakkan zum dengan lebih stabil untuk rakaman yang lebih sinematik. Jika anda ingin menggunakan Note20 Ultra untuk merakam video profesional, telefon ini boleh melakukannya.

    Usah risau untuk gambar yang sangat cantik dalam suasana terang
    Gambar swafoto pun cantik juga
    Gambar ultra-lebar yang diambil pada waktu malam
    Langit malam jelas kelihatan dalam gambar ultra-lebar ini
    Gambar telefoto, gambar keseluruhan akan jadi lebih terang jika tiada sumber cahaya yang cukup
    Perbandingan zum Note20 Ultra, dari kiri: 1x, 2x, 5x, 20x, 50x
    Haiwan-haiwan peliharaan anda terlalu dekat? Gunakan kamera ultra-lebar, selesai masalah
    Warna lauk ni nampak sedap!
    Zum 50x boleh digunakan untuk mengambil gambar bulan
    Tiada masalah untuk ambil gambar makro
    Fungsi Live Focus boleh digunakan untuk pelbagai efek kabur seperti ini

    Secara amnya, Samsung Galaxy Note20 Ultra menghasilkan prestasi yang amat baik dalam semua aspek kecuali pada hayat bateri. Telefon ini mempunyai prestasi flagship, rekaan luaran yang menawan, prestasi kamera yang tinggi serta fungsi yang akan memudahkan tugas pekerjaan anda. Selagi anda mampu untuk membelanjakan wang yang banyak untuk harganya, telefon ini sangat berbaloi.

    Bagaimana pula dengan adiknya, Samsung Galaxy Note20? Penulis masih tidak berpeluang untuk mengulasnya, namun terdapat dua alternatif daripada jenama lain terhadap flagship Samsung ini, iaitu OnePlus 8 Pro (RM3,699) dan siri Xiaomi Mi 10 Pro (RM3,899). Kedua-dua telefon ini dilengkapi Snapdragon 865, Mi 10 Pro mempunyai kamera 108MP manakala OnePlus 8 Pro pula menawarkan skrin 120Hz dalam resolusi 2K. Dilihat pada harganya, kedua-dua telefon adalah alternatif yang baik untuk Galaxy Note20.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    • Kelebihan: Fungsi rakaman video yang mantap, pelbagai perisian yang memudahkan kerja
    • Kekurangan: Hayat bateri tidak panjang, bonggol kamera yang sangat tebal
    • Kesimpulan: Jika anda mampu membelinya, telefon ini masih boleh dianggap sangat canggih walaupun pada tahun-tahun akan datang

    (Diterjemahkan daripada TechNave CN)

     

    Artikel Terkini

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X