fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy S21 FE 5G – Telefon “flagship” terakhir untuk 2021

    Untuk ramai pengguna, mereka menganggap bahawa telefon pintar hanyalah sebuah produk keperluan harian bagi tujuan berkomunikasi dengan orang lain. Bagi golongan seperti ini, mereka sekadar meletakkan kepentingan terhadap aplikasi asas dengan prestasi dalaman yang pantas untuk memudahkan tugasan harian, tanpa menghiraukan rekaan luaran telefon tersebut.

    Samsung nampaknya ingin menarik minat golongan pengguna tersbut dengan Samsung Galaxy S21 Fan Edition (FE) 5G, di mana ia menawarkan spesifikasi andalan (flagship) namun dengan rekaan luaran yang nampak ringkas. Selain itu, ia juga merupakan varian terakhir dalam siri Galaxy S21, jadi adakah telefon ini masih berbaloi untuk didapati pada 2022? Ayuh baca ulasan yang telah ditulis oleh pengulas dari TechNave CN untuk mengetahuinya:

    Reka bentuk – Masih serupa dengan semua varian Galaxy S21

    Memandangkan Galaxy S21 FE tidak ditujukan kepada mereka yang mengutamakan penampilan telefon, peranti ini mempunyai rekaan yang paling ringkas berbanding varian Galaxy S21 lain. Sebagai contoh, permukaan belakangnya diperbuat daripada plastik yang sama seperti dalam telefon lebih murah, Samsung Galaxy A52.

    Walaupun dengan binaan plastik, ia masih mempunyai rekaan yang sama dengan varian Galaxy S21 lain, di mana ia mempunyai bonggol kamera di bahagian atas kiri yang digabungkan dengan rangka telefon di bahagian sisi. Bercakap tentang rangka, ia dibuat daripada aluminium yang berkilauan jadi ia masih mempunyai beberapa elemen telefon premium.

    Saiz Galaxy S21 FE amat selesa untuk dipegang, dengan saiz skrinnya yang berukuran 6.4 inci. Ini adalah saiz yang semakin jarang terdapat dalam kategori telefon andalan kerana banyak produk dalam kategori ini mempunyai skrin 6.5 inci dan ke atas.

    Di hadapan, telefon ini mempunyai skrin Dynamic AMOLED 2X yang mengahsilkan warna sangat terang dan cantik. Pancaran cahaya skrin ini juga amat selesa pada mata saya, malah lebih selesa berbanding Galaxy S21 Ultra.

    Perlu diingati bahawa walaupun Galaxy S21 FE ini merupakan varian S21 yang lebih mesra dompet, ia masih tidak disertakan bersama pengecas seperti dalam semua telefon Galaxy S21. Dalam kotak Galaxy S21 FE, anda hanya akan menerima kabel pengecasan dan alat kad SIM, jadi anda perlu bergantung kepada pengecas telefon anda sebelum ini.

    Spesifikasi – Paling canggih untuk 2021

    Pelanggan di Malaysia akan menerima Samsung Galaxy S21 FE 5G yang dilengkapi cipset Exynos 2100 yang menawarkan prestasi kategori andalan dan menyokong sambungan 5G. Saya sedar bahawa segolongan pengguna lebih gemarkan cipset Snapdragon 888 tapi saya berpendapat prestasi Exynos 2100 tidak jauh berbeza daripada Snapdragon 888 untuk kegunaan harian, jadi anda tidak seharusnya risau.

    Walau bagaimanapun, daripada segi konfigurasi storan, Galaxy S21 FE menawarkan memori yang sedikit. Varian termurah menawarkan RAM 8GB dan storan dalaman 128GB pada harga RM2,899, manakala varian seterusnya menawarkan storan 256GB pada harga RM3,099. Memandangkan varian termurah hanya menawarkan storan 128GB, ini mungkin akan membuatkan orang ramai hilang minat terhadap peranti ini kerana semakin banyak aplikasi terkini menggunakan storan yang tinggi.

    Daripada segi fungsi, Samsung Galaxy S21 FE 5G tidak jauh berbeza daripada varian lain dalam siri Galaxy S21. Ia masih mempunyai pelbagai fungsi Samsung khas seperti Samsung Pay, OneUI 4.1, Knox Security dan banyak lagi.

    Modul kamera Galaxy S21 FE pula terdiri daripada kamera utama 12MP dengan penstabilan imej optikal (OIS), kamera telefoto 8MP dan kamera ultra-lebar 12MP. Ia menyokong Space Zoom sehingga 30x, namun kualitinya agak kabur.

    Prestasi – Lebih rendah daripada yang dijangkakan

    Dengan cipset Exynos 2100, anda sebenarnya tidak perlu risau langsung tentang prestasi Galaxy S21 FE. Ia mencatatkan markah yang sangat tinggi dalam penanda aras GeekBench 5 dan 3DMark, jadi ia memang menghasilkan prestasi yang boleh dijangka dalam sebuah telefon andalan.

    Perkara yang saya lebih bimbangkan adalah situasi pemanasan pada telefon ini. Lagipun, kebanyakan telefon andalan yang dilancar pada 2021 mempunyai masalah ini jadi ramai pengguna risau jika suhu yang tinggi itu akan menjejaskan prestasi atau hayat bateri.

    Dalam 3DMark, saya melakukan ujian penanda aras selama 20 minit dan mendapati bahawa suhu telefon ini boleh mencapai 46°C dan kestabilan keseluruhan hanya 57.6%, menjadikan Galaxy S21 FE tidak sesuai untuk digunakan dalam tempoh yang lama jika anda membuka aplikasi berat seperti game atau kamera.

    Perkara ini nampak jelas apabila saya memainkan game Genshin Impact. Walaupun saya telah mengaktifkan tetapan 60 bingkai sesaat (FPS), telefon ini gagal mencapai kadar tersebut dan ini menjejaskan pengalaman grafik sewaktu bermain game itu. Mujur sekali untuk game yang lebih rendah pula seperti COD Mobile, telefon ini boleh memainkannya dengan lancar dalam tetapan grafik tertinggi.

    Daripada segi audio, Galaxy S21 FE mempunyai dwi pembesar suara stereo dengan teknologi Dolby Atmos. Kualiti bunyi yang dihasilkan sewaktu bermain muzik, video atau game sangat jelas walaupun pada tahap paling kuat. Malang sekali, telefon ini tidak mempunyai bicu audio 3.5mm jadi anda perlu gunakan fon telinga wayarles atau fon telinga yang mempunyai penghubung USB-C.

    Untuk segi hubungan pula, ia boleh mengekalkan hubungan WiFi dan 4G dengan stabil, manakala panggilan telefon juga boleh didengari dengan jelas. Malang sekali, negara kita masih belum mempunyai rangkaian 5G jadi saya tidak boleh mengujinya.

    Hayat bateri juga sangat bagus dan saya yakin bahawa ia tidak mempunyai masalah untuk tahan lebih daripada sehari. Selepas saya menggunakannya selama 11 jam, Galaxy S21 FE masih mempunyai baki 50%.

    Sayang sekali, Galaxy S21 FE hanya menyokong kadar pengecasan 25W dan pengguna perlu membeli pengecas secara berasingan untuk memanfaatkan kadar tersebut. Pengecasan selama 30 minit hanya akan mengecas bateri sehingga 50%, lebih perlahan berbanding telefon andalan lain yang selalunya mempunyai kadar pengecasan 50W dan ke atas.

    Beralih kepada kamera, ia menawarkan segala fungsi fotografi yang dijangkakan untuk sebuah telefon pintar premium. Pada pendapat saya, kekurangan kamera Galaxy S21 FE adalah ia mempunyai sensor 12MP sahaja, jadi ia mungkin tidak mempunyai elemen fotosensitif yang cukup dalam suasana malap.

    Kamera telefon 8MP pula berfungsi dengan baik untuk zum optikal, namun apabila anda memasuki julat tertentu, kabur dan hingar (noise) akan mula muncul dalam gambar. Oleh demikian, prestasi kameranya tidak setaraf dengan telefon lain yang lebih mahal.

    Walaupun dengan kekurangan ini, Galaxy S21 FE masih boleh menghasilkan kualiti gambar yang sangat cantik dalam kebanyakan situasi.

    Kesimpulan – Telefon andalan yang menarik, walaupun tidak setaraf telefon andalan 2022

    Walaupun Samsung Galaxy S21 FE 5G mempunyai ruang untuk penambahbaikan dalam penggambaran dan prestasi jangka panjang, saya masih mencadangkan telefon ini untuk mereka yang inginkan telefon premium Samsung pada harga lebih berpatutan, dengan fungsi perisian dan pengalaman penggunaan yang lengkap.

    Harganya bermula daripada RM2,899, namun ia pasti akan menerima diskaun dalam masa terdekat kerana telefon ini bakal dibayangi oleh Samsung Galaxy S22 yang akan dilancar dalam masa terdekat.

    Di pasaran Malaysia, terdapat banyak pilihan lain yang menyaingi Galaxy S21 FE seperti Black Shark 4 Pro yang baru dilancar pada awal tahun ini, di mana ia dilengkapi cipset Snapdragon 888, skrin AMOLED 144Hz dan butang fizikal di bahagian bucu pada harga RM2,599. Jika anda mahukan kamera yang lebih cantik, vivo X70 yang berharga RM2,499 menawarkan kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 12MP dan kamera telefoto 12MP.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Tesla Model 3 Performance rasmi di Malaysia, 0-100km/j hanya 3.1 saat bermula RM242,000

    Hari ini, Tesla Malaysia telah melancarkan Tesla Model 3 Performance secara rasmi. Untuk pengetahuan, Tesla Model 3 Performance telah dilancarkan sebelum laporan...

    Pesaing Tesla, Polestar hasilkan telefon pintar pertama dengan ciri AI khas

    Salah satu pesaing Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik, Polestar, baru sahaja melancarkan telefon pertama mereka. Untuk pengetahuan, Polestar Phone dan Meizu 21...

    Elon Musk: Tesla adalah kenderaan EV dengan kos penyelenggaraan paling murah

    Sebuah analisis data yang diterbitkan oleh Consumer Reports pada Jumaat lalu menyatakan Tesla adalah jenama kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kos penyelenggaraan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X