fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy S23 Ultra – Penambahbaikan dalam segala aspek

    Pada tahun lalu, Samsung Galaxy S22 Ultra merupakan antara telefon pintar premum yang terbaik dalam pasaran jadi amat sukar untuk Samsung menambah baik peranti tersebut untuk tahun 2023. Kini Samsung Galaxy S23 Ultra telah pun dilancar dan kami berpendapat Samsung berjaya menambah baik pelbagai aspek pada siri telefon ikonik ini.

    Ia menampilkan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, RAM sehingga 12GB, storan UFS 4.0 sehingga 1TB, empat kamera termasuklah kamera utama 200MP, stilus S-Pen dan banyak lagi ciri-ciri menarik. Berikut adalah ulasan untuk Galaxy S23 Ultra oleh pengarang TechNave English di mana beliau amat berpuas hati dengannya:

    Rekaan – Serupa tetapi tidak sama

    Secara jujur, kami mengandaikan bahawa Samsung Galaxy S23 Ultra akan mempunyai rekaan yang sama dengan Galaxy S22 Ultra. Walaupun skrin Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.8 inci dengan resolusi QHD dan kecerahan 1,750 nits ini dikekalkan daripada S22 Ultra, rekaan luaran S23 Ultra telah diubah sedikit di mana bahagian sisinya kini lebih rata daripada S22 Ultra. Sisi yang rata ini membuatkannya lebih selesa dipegang berbanding S22 Ultra.

    Rangkanya masih dibuat dengan Armor Aluminum dan mempunyai warna besi yang berkilauan. Warna yang dipinjamkan kepada kami adalah Cream dan bahagian belakangnya dibuat dengan bahan seramik untuk penampilan yang premium, malah boleh menyembunyikan sebarang kesan cap jari. Satu keburukannya adalah ia sangat licin.

    S23 Ultra tidak mempunyai bonggol kamera dan sebaliknya sekadar mempunyai tiga lensa yang tertimbul, dan kini semua telefon dalam siri Galaxy S23 mengikuti gaya lensa tertimbul ini. Kerana timbulan lensa di belakang, telefon ini terjengket sedikit apabila ia diletakkan atas meja, namun masalah ini boleh diselesaikan jika anda memakaikan sarung pada telefon ini.

    Daripada segi ukuran pula, Galaxy S23 Ultra lebih tinggi sedikit berbanding S22 Ultra iaitu setinggi 78.1mm, namun ketebalannya masih sama pada 8.9mm. Ia juga lebih berat sebanyak 5 atau 6 gram, namun ini bukanlah isu besar dan secara kasar, Galaxy Ultra memang dikenali sebagai siri telefon yang agak berat berbanding kebanyakan telefon lain.

    Di dalam kotak, S23 Ultra hanya disertakan bersama kabel USB-C ke USB-C, alat kad SIM dan dokumen berkaitan. Untuk ketahanan, ia diliputi dengan kaca Gorilla Glass Victus 2 dan mempunyai rating kalis air dan debu IP68. Stilus S-Pen pula boleh dimasukkan dari bawah, manakala dulang kad SIM boleh dilengkapkan dengan dua kad SIM.

    Kandungan dalam kotak Galaxy S23 Ultra

    Spesifikasi – Penambahan kecil daripada telefon sebelumnya

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Galaxy S23 Ultra:

    • Cipset Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy
    • Skrin Dynamic AMOLED 2X 6.8 inci, resolusi QHD+, kadar segar semula 120Hz, kadar bacaan sentuh 240Hz
    • RAM LPDDR5X 12GB
    • Storan UFS4.0 1TB
    • Kamera utama 200MP + kamera ultra-lebar 12MP + kamera telefoto 10MP zum periskop 10x + kamera telefoto 10MP zum optikal 3x
    • Kamera swafoto 12MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Kadar pengecasan pantas 45W, pengecasan wayarles 15W
    • Pembesar suara stereo
    • Pengimbas cap jari dalam skrin
    • Rating kalis air IP68
    • Menyokong hubungan 5G, WiFi 6E, Bluetooth 5.3, NFC
    Kamera di belakang terdiri daripada kamera utama 200MP + kamera ultra-lebar 12MP + kamera telefoto 10x 10MP + kamera telefoto 3x 10MP

    Berdasarkan nombor sahaja, penambahbaikan yang paling ketara adalah kamera utama 200MP yang jauh lebih tinggi resolusinya daripada kamera 108MP dalam Galaxy S22 Ultra sebelum ini. Kamera lain masih sama, termasuklah kamera ultra-lebar 12MP dan dua kamera telefoto 10MP.

    Kamera swafoto pula mengalami penurunan resolusi, iaitu daripada 40MP dalam Galaxy S22 Ultra kepada 12MP sahaja dalam S23 Ultra.

    Samsung mengatakan mereka telah memasukkan teknologi kamera baharu seperti Dual Pixel Auto Focus dan AI Stereo Depth untuk hasilkan efek kabur (bokeh) yang lebih natural pada waktu malam dan Adaptive Pixel untuk hasilkan resolusi yang tepat bagi setiap gambar. Mereka juga memasukkan beberapa fungsi baharu dalam Expert RAW seperti Astrophoto dan Multiple Exposures.

    Satu lagi penambahbaikan ketara ialah cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy. Ini adalah cipset khas untuk Galaxy S23 Ultra yang telah ditala oleh Samsung bagi memilih tenaga yang tepat untuk prestasi tertinggi serta penjimatan bateri yang lebih cekap.

    Rupa OneUI 5.1 (kiri) dan menu S Pen Air Commands

    Dengan lain-lain fungsi seperti skrin Dynamic AMOLED dengan resolusi QHD+, skrinnya masih boleh menghasilkan imej yang jelas walaupun di bawah cahaya matahari kerana kecerahannya boleh mencecah 1,750 nits manakala kadar segar semula 120Hz pula menawarkan kadar skrin yang lancar. Stilus S-Pen masih lagi cemerlang, namun ia tidak menawarkan penambahbaikan daripada S22 Ultra.

    Bateri S23 Ultra berkapasiti 5,000mAh dan boleh dicas dengan kadar pantas 45W. Ia juga boleh dicas secara wayarles pada kadar 15W dan menawarkan pengecasan wayarles berbalik jika anda ingin mengecas peranti lain.

    Ia juga menawarkan fungsi Samsung DeX yang berfungsi dengan elok untuk tugas produktiviti, dan boleh digunakan secara sambungan kabel USB atau secara wayarles. Kami ingin mencuba fungsi Multi Control yang boleh digunakan bersama peranti Galaxy, namun Malaysia tidak dapat komputer riba Samsung seperti Book 3 Ultra.

    Fungsi-fungsi kamera (kiri) dan ExpertRAW (kanan)

    Prestasi – Tercanggih untuk telefon premium

    Dalam keputusan penanda aras kami, Galaxy S23 Ultra mencatatkan markah 1,508 mata untuk ujian teras tunggal dan 4,717 mata untuk ujian multi-teras dalam Geekbench 5. Dalam Geekbench 6 pula, ia meraih markah 1,889 mata untuk ujian teras tunggal dan 4,962 untuk multi-teras manakala 3DMark Wild Life Extreme pula mencatatkan markah setinggi 3,642. Secara asasnya, Galaxy S23 Ultra mencatatkan markah yang sangat tinggi dalam setiap penanda aras yang diuji.

    Sewaktu bermain game, kami akhirnya sudah menjumpai sebuah telefon yang boleh memainkan Genshin Impact dengan tetapan grafik maksimum pada kadar 60fps tanpa menjadi terlalu panas. S23 Ultra boleh melakukan sedemikian dengan kelancaran yang menyerupai Genshin Impact versi PC. Asphalt 9 juga boleh dimainkan dengan sangat lancar.

    Sungguh pun begitu, penambahbaikan prestasi S23 Ultra yang terbesar adalah kecekapan tenaganya, kerana walaupun ia masih mempunyai kapasiti 5,000mAh seperti S22 Ultra, ia mempunyai cipset yang lebih berkuasa. Walaupun dengan penggunaan yang berat, bateri ini boleh bertahan selama sehari setengah dengan mudah. Kami tidak mempunyai pengecas 45W, namun pengecas 25W masih boleh mengecas penuh baterinya dalam masa sekitar satu jam 10 minit.

    Dengan bateri yang cekap ini, anda boleh masih gunakan Samsung DeX tanpa menghubungkan S23 Ultra dengan palam pengecas. Apabila ia dihubungkan kepada monitor FHD melalui hub USB-C ke HDMI, telefon ini hanya menggunakan 30 peratus daripada casnya untuk tempoh 3.5 jam.

    Khas untuk S23 Ultra, ia mempunyai stilus S Pen dengan tindak balas yang sangat pantas, hampir menyerupai pen dan kertas sebenar. Selain digunakan untuk menulis dan mencatat nota, ia juga boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh untuk mengawal slaid pembentangan atau mengambil gambar.

    Untuk fotografi pula, S23 Ultra mengambil gambar dengan kualiti yang lebih tinggi berbanding S22 Ultra. Warnanya lebih terang, butirannya lebih jelas dan dalam gambar situasi malap pula, hampir tiada noise. Sewaktu zum, telefon ini boleh melakukan zum digital sejauh 100x dan kualitinya turun apabila anda zum jauh, namun kualitinya lebih tinggi daripada S22 Ultra.

    Lakaran menggunakan S Pen dan Adobe Sketchbook

    Walaupun dengan kamera swafoto 12MP, kami boleh katakan kualiti swafoto S23 Ultra adalah setaraf dengan kamera swafoto 40MP pada S22 Ultra. Butiran gambar masih nampak jelas dan noise sangat rendah di bawah cahaya malap. Jelasnya, Samsung telah mengubah algoritma untuk memperbaiki kualiti gambar dalam S23 Ultra.

    Sementara itu, mod 200MP boleh mengambil gambar yang paling jelas, namun fungsi ini memakan masa dan tidak boleh mengambil gambar subjek yang bergerak laju seperti kucing atau kanak-kanak. Untuk situasi seperti ini, anda boleh aktifkan mod 50MP dan anda masih boleh dapatkan gambar butiran tinggi yang boleh dipotong (crop) dengan fleksibel.

    S23 Ultra boleh merakam video sehingga resolusi 8K pada kadar 30fps. Selain kualiti video yang cantik, penstabilannya juga berfungsi dengan sangat kukuh jadi anda boleh merakam video berkualiti tinggi dalam setiap situasi, tidak kiralah sama ada anda berdiri atau berjalan.

    Kesimpulan – Telefon serba lengkap terbaik untuk 2023

    Secara keseluruhan, Samsung Galaxy S23 Ultra telah menewaskan abangnya sebagai telefon pintar andalan serba lengkap yang terbaik untuk 2023. Walaupun ia tidak mempunyai banyak ciri-ciri unik selain daripada S Pen dan kamera 200MP, anda boleh menjangkakannya sebagai telefon yang mampu melakukan segalanya dengan prestasi terpantas, termasuklah apabila semua telefon lain telah diumumkan pada akhir tahun.

    Selepas saya menggantikan Galaxy S22 Ultra (RAM 8GB, storan dalaman 128GB) kepunyaan sendiri dengan Galaxy S23 Ultra (RAM 12GB, storan dalaman 256GB), saya boleh mengalami perubahannya, terutamanya dengan RAM yang lebih tinggi membenarkan interaksi yang lebih lancar sewaktu menukar aplikasi.

    Sungguh pun begitu, dengan harga RM5,699 untuk model asas sahaja, sukar untuk saya cadangkan Galaxy S23 Ultra kepada pemilik S22 Ultra walaupun ia menewaskan S22 Ultra dalam setiap aspek.

    Jika anda masih lagi menggunakan mana-mana telefon Samsung Galaxy Note, saya sangat mencadangkan anda untuk bertukar kepada Galaxy S23 Ultra. Penambahbaikan fungsinya adalah sangat tinggi dan setakat ini tidak banyak jenama teknologi yang menawarkan telefon yang turut disertakan dengan stilus.

    Promosi pra-tempahannya masih dibuka sehingga 23 Februari 2023, jadi jangan lupa untuk layari laman web ini bagi mendapatkan pelbagai hadiah percuma apabila anda membeli Galaxy S23 Ultra. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Telefon pintar cipset Snapdragon 8 Gen 4 pertama dijangka dilancar pada pertengahan Oktober

    Qualcomm telah memelihara kerahsiaan mengenai butiran prosesor mudah alih flagship akan datang mereka, Snapdragon 8 Gen 4. Namun, kebocoran dan desas-desus telah...

    Audio ‘lossless’ oleh Spotify dikatakan hampir siap

    Elemen antara muka (UI) yang bocor membayangkan kemungkinan keluaran peringkat audio tanpa kerugian (lossless) Spotify yang telah lama ditunggu-tunggu, menunjukkan ia mungkin...

    Threads benarkan kawalan terhadap siapa yang boleh mengulas ‘post’ anda

    Threads memperkenalkan kawalan baru yang membenarkan pengguna menguruskan siapa yang boleh mengulas kenyataan mereka dengan matlamat untuk mewujudkan persekitaran yang lebih positif...

    Google Wallet perkenalkan senarai ‘Kaedah Pembayaran’ baharu

    Kemas kini terbaru kepada Google Wallet untuk Android memperkenalkan pendekatan yang lebih teratur dalam menguruskan kaedah pembayaran yang disimpan. Menu akaun kini...

    Jalan Sultan Ismail menjadi dua hala, kurangkan kesesakan lalu lintas

    Sekurang-kurangnya 20 anggota Polis Kuala Lumpur telah ditempatkan untuk mengawal lalu lintas susulan penukaran jalan satu hala kepada dua hala di Jalan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X