fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy Tab A7 Lite – Tablet serba boleh dengan harga mampu milik

    Di kala rakyat Malaysia semakin menyesuaikan diri dalam suasana norma baharu, lebih ramai pelanggan kini sedang mencari gajet elektronik untuk membantu mereka bekerja, belajar dan berhibur di rumah. Malang sekali, gajet-gajet ini sering kali dijual pada harga yang agak mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.

    Mujur sekali Samsung Malaysia telah melancarkan sebuah tablet mampu milik iaitu Samsung Galaxy Tab A7 Lite yang dijual pada harga RM699 sahaja. Ia menawarkan pelbagai spesifikasi menarik seperti skrin 8.7 inci dengan sempadan bezel nipis, RAM 4GB dan storan dalaman 64GB yang jarang didapati untuk tablet pada harga ini. Ayuh lihat sama ada tablet ini sesuai untuk menjadi gajet anda selepas ini:

    Daripada segi rekaan luaran, Galaxy Tab A7 Lite mempunyai ketebalan 8mm sahaja dengan rangka dan permukaan belakang yang dibuat daripada besi. Terdapat sebahagian kecil di bahagian atas dan bawah yang dibuat daripada plastik manakala sebuah kamera 8MP di belakang pula mempunyai sedikit bonggolan.

    Butang dan port fizikal juga adalah ringkas, dengan butang suis, kawalan kelantangan suara, port USB-C, bicu audio 3.5mm dan dwi-pembesar suara Dolby Atmos.

    Dengan berat 366 gram sahaja, ia adalah sangat ringan dan mudah dibawa ke mana-mana sementara skrinnya yang hampir berukuran 9 inci itu pasti akan memuaskan tontonan filem atau pembacaan dokumen. Walau bagaimanapun, bezel yang nipis itu akan menyukarkan sedikit penggunaan satu tangan kerana tapak tangan saya sering tersentuh skrin tersebut.

    Skrin ini mempunyai resolusi HD+ (1340×800) sahaja namun teks dan filem masih boleh ditonton dengan jelas. Apa yang menarik adalah YouTube membenarkan pengguna untuk tonton video dalam resolusi 1080p, namun Netflix hanya membenarkan resolusi 480p sahaja.

    Pembesar suara Dolby Atmos menghasilkan bunyi yang jelas dan kuat, namun kualitinya agak pecah apabila audio dimainkan dengan kelantangan tertinggi.

    Untuk spesifikasi dalamannya, tablet ini dilengkapi cipset Helio P22T dan RAM 4GB yang boleh menghasilkan prestasi pantas untuk kegunaan harian serta membuka beberapa aplikasi serentak secara pemisahan skrin (split screen) atau tetingkap asing (floating windows). Sungguh pun begitu, masih terdapat sela masa (lag) sedikit jika anda ingin menukarkan aplikasi yang sedang dibuka.

    Storan 64GB dalam tablet ini mungkin agak kecil untuk menyimpan filem atau dokumen dan memasang banyak aplikasi, jadi anda mungkin perlukan tambahan memori melalui kad microSD yang boleh disokong sehingga 1TB.

    Daripada segi prestasi keseluruhan, tablet ini sempurna untuk tugas harian seperti menonton video, membaca e-buku atau menyertai panggilan video untuk mesyuarat atau PDPR. Untuk bermain game pula, grafik dalam pelbagai game popular seperti Asphalt 9, Call of Duty dan Genshin Impact agak mengecewakan kerana efek piksel (pixelated) masih terpapar dengan jelas.

    Walaupun sistem kamera Galaxy Tab A7 bukanlah penarik utama peranti ini, kamera swafoto 2MP sudah memadai untuk menyertai panggilan video atau kelas dalam talian dan muka anda masih boleh dilihat dengan jelas. Kamera utama 8MP di belakang tablet ini pula masih boleh mengambil gambar dengan elok, namun kelajuan fokusnya agak perlahan jadi anda perlu bersabar dengannya.

    Dengan cahaya yang cukup, gambar yang dihasilkan adalah baik walaupun butiran dan resolusinya tidak begitu tinggi. Untuk gambar malap pula, gambar yang dihasilkan tidak begitu bagus.

    Untuk tugasan menaip, melakar dan melukis, skrin Galaxy Tab A7 Lite berfungsi dengan elok dengan sebatang stilus serta papan kekunci Bluetooth (ulasan ini ditaip dengan sebuah papan kekunci Bluetooth). Walaupun ia tidak responsif seperti S Pen, stilus pihak ketiga masih berfungsi dengan baik untuk mereka yang lebih gemar menulis pada skrin berbanding menaip.

    Daripada segi rangkaian, walaupun ia tidak menyokong WiFi 6, hubungan WiFi 802.11 ac normal adalah stabil dan boleh diharap. Malang sekali, ia tidak menyokong rangkaian 4G LTE. Bateri 5,100mAh pula boleh bertahan sehingga dua hari jika ia digunakan secara ringan, manakala jika anda banyak membuka aplikasi berat pula, ia boleh bertahan sekitar satu hari setengah.

    Dengan stilus yang sesuai, anda boleh melukis dan menulis di atas skrin Galaxy Tab A7 Lite
    Boleh bertahan lebih dua hari jika digunakan secara ringan
    Samsung Knox dan McAfee boleh membantu anda menjaga keselamatan siber dalam tablet ini

    Baterinya menyokong pengecasan pada kadar 15W dan pengecasan penuh mengambil masa sekitar sejam 30 minit. Seperti lain-lain peranti Samsung, tablet ini dilengkapi sistem keselamatan Samsung Knox dan antivirus McAfee.

    Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy Tab A7 Lite adalah sebuah peranti mudah alih yang sangat sesuai untuk pelbagai kegunaan umum. Dengan skrin 8.7 inci, RAM 4GB, storan 64GB dan harga RM699 sahaja, membuatkan tablet ini pilihan yang sempurna untuk mereka yang tidak ingin berbelanja besar.

    Kemudahannya untuk dibawa ke mana-mana membuatkannya sesuai untuk dijadikan wayang mudah alih atau buku elektronik, namun prestasinya yang agak rendah mungkin akan mengecewakan mereka yang lebih gemar bermain game.

    Tablet lain dalam kategori harga ini adalah Lenovo Tab M8 yang mempunyai spesifikasi lebih rendah seperti RAM 2GB dan storan 32GB namun dijual pada harga lebih murah iaitu RM500. Samsung sendiri ada menawarkan Galaxy Tab A 8.0 (2019) pada harga RM599 yang menyokong rangkaian 4G LTE, namun ia hanya dilengkapi RAM 2GB.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi

    • Cipset MediaTek Helio P22T
    • RAM 4GB
    • Storan 64GB, boleh dibesarkan dengan microSD sehingga 1TB
    • Skrin 8.7 inci TFT resolusi 1340×800
    • Kamera utama 8MP, kamera swafoto 2MP
    • Ukuran 212.5 x 124.7 x 8.0mm, berat 366g
    • Bateri 5,100mAh, pengecasan 15W
    • Bicu audio 3.5mm, USB-C 2.0, WiFi Direct, GPS, Bluetooth 5.0, 802.11 a/b/g/n/ac WiFi
    • Perisian OneUI 3.1 berdasarkan Android 11

    Kelebihan dan kekurangan

    Kelebihan: Skrin besar, ringan, harga mampu milik

    Kekurangan: Tidak boleh dihubungkan kepada 4G LTE, tidak boleh bermain game

    Kesimpulan: Tablet yang sesuai untuk kebanyakan orang

     

    Artikel Terkini

    MediaTek Dimensity 6300 diumum, cipset 5G untuk telefon pintar segmen pertengahan

    MediaTek menawarkan pasaran telefon segmen pertengahan dengan cipset Dimensity 6300 5G terbaharu. Cip ini dihasilkan dengan proses 6nm dan menawarkan peningkatan sederhana...

    vivo V30e dengan SD 6 Gen 1, skrin 120Hz bakal dilancarkan pada 2 Mei...

    Mengikut pengumuman rasmi, vivo akan memperkenalkan vivo V30e di India pada 2 Mei 2024. Peranti ini dijangka menggunakan paparan AMOLED melengkung 6.78...

    Blackview Hero 10 mungkin jadi telefon boleh lipat paling murah di dunia

    nubia Flip 5G yang dilancarkan awal bulan ini dengan harga RM2,499 merupakan telefon boleh lipat paling murah dalam pasaran. Namun, itu tidak...

    Maybank bakal gantikan pemberitahuan SMS kepada pop timbul aplikasi bermula 22 April ini

    Maybank mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan dasar pemberitahuan baharu mulai 22 April 2024 dan akan menggunakan pemberitahuan pop timbul aplikasi (APP) untuk...

    Polis: Orang ramai diingatkan berwaspada tentang kecurian data menggunakan kod QR

    Polis memberi amaran kepada orang ramai tentang strategi pancingan data baharu di mana penipu menyampaikan hadiah seperti botol air dengan kod QR...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X