fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy Tab S6 Lite – Tablet kelas pertengahan serba boleh

    Setiap kali terdapat peranti yang mempunyai gelaran “Lite” pada namanya, sukar untuk ia dinilai tanpa membandingkan dengan variannya yang tidak mempunyai gelaran tersebut dan ini juga boleh dilihat pada Samsung Galaxy Tab S6 Lite. Dengan cipset Exynos 9611, RAM 4GB dan storan 64GB, tablet ini mempunyai spesifikasi kelas pertengahan yang baik namun adakah perkara yang sama boleh dikatakan pada prestasinya? Ayuh baca ulasan kami untuk ketahui lebih lanjut tentang peranti ini.

    Sekilas pandang, Galaxy Tab S6 Lite tidak ada banyak bezanya dengan Galaxy Tab S6 melainkan pada bonggol kamera berbentuk petak dan ketebalannya yang melebihi 7mm (namun masih dikiria nipis jika dibandingkan dengan tablet lain). Ia masih dilengkapi pembesar suara Dolby Atmos yang ditala (tuned) oleh AKG di atas dan bawah untuk bunyi stereo yang lebih bagus serta paparan 10.4 inci yang beresolusi 1200 x 2000, lebih rendah sedikit berbanding Tab S6. Mujur ia masih mempunyai sempadan bezel yang agak nipis untuk sebuah tablet dan bicu audio 3.5mm.

    Tab S6 Lite mempunyai bezel yang agak nipis untuk sebuah tablet 10 inci
    S-Pen dilekatkan secara magnetik di bahagian sisi
    Bahagian belakang dibuat daripada besi premium
    Port USB Type-C di bawah, sesuatu yang tidak terdapat dalam kebanyakan tablet Android kelas pertengahan
    Pembesar suara di kedua-dua sisi tablet, diiringi dengan bicu audio 3.5mm
    Bonggol kamera yang nipis di belakang, serta butang kuasa dan kelantangan suara di bahagian sisi
    Ruang kad microSDXC yang boleh menyokong sehingga 1TB
    Batang Stylus S-Pen, tekan butangnya lama-lama untuk menjadikannya sebagai pemadam
    Sisi S-Pen yang rata mempunyai permukaan magnetik

    Secara ringkas, Galaxy Tab S6 Lite masih nampak seperti tablet kelas premium dan S-Pen yang disertakan bersama tablet ini akan melekat secara magnetik di bahagian sisi. Bonggol kamera di belakang tidak membuatkan tablet ini nampak pelik dan pada 467 gram, ia adalah peranti yang boleh dikira sebagai ringan. Namun tidak seperti Tab S6, tablet Tab S6 Lite ini tidak mempunyai sebarang hubungan atau port untuk disambungkan dengan papan kekunci.

    Ini bermaksud anda perlu menggunakan papan kekunci Bluetooth, mujur Samsung kini sedang mempakejkan Tab S6 Lite dengan sarung (casing) papan kekunci Bluetooth Targus (sementara stok masih ada). Kekuncinya mudah ditaip dengan jarak key travel yang pendek namun ia membuatkan tablet ini rasa lebih tebal di samping masalah yang kerap membelenggu papan kekunci Bluetooth seperti masalah hubungan, perlu dicas berasingan dan lain-lain.

    Setiap pembelian Tab S6 Lite akan disertakan dengan sarung papan kekunci Bluetooth Targus, sementara stok masih ada
    Rupa sarung apabila ia dilipat
    Papan kekunci ini dihubungkan melalui Bluetooth jadi anda perlu mengecas dan menghidupkannya secara berasingan dengan tablet, namun pengalaman menaip padanya adalah baik
    Agak tebal apabila dilipat namun masih mudah untuk dibawa

    Selain itu, kami juga mendapati bahawa Samsung tidak menyertakan Samsung DeX atau mod Desktop Experience dalam tablet ini, jadi anda perlu selesa dengan menggunakan tablet ini dalam skrinnya sahaja. Ini bukanlah masalah besar buat pengguna yang sering ke sana ke sini, namun bagi pengguna yang sudah terlalu biasa dengan Windows, penggunaan tablet ini mungkin memerlukan sedikit latihan. Pengimbas cap jari juga tidak didapati dalam tablet ini namun sekurang-kurangnya ia mempunyai teknologi pengecaman muka.

    Nasib baiklah S-Pen kegemaran ramai masih dikekalkan dalam Tab S6 Lite jadi anda boleh membuat catatan, lakaran atau komen yang memang boleh dilakukan dalam Galaxy Tab atau Note. Dalam sarung Targus yang kami sebutkan tadi, turut mempunyai ruang untuk meletakkan S-Pen itu. Jika anda tidak memerlukan papan kekunci, anda perlu dapatkan sarung Samsung Book yang lebih nipis namun masih mempunyai ruang untuk meletakkan S-Pen.

    Tablet ini menyokong S-Pen Stylus Action Menu
    Anda boleh mencatat dengan mudah dan tepat (jangan pedulikan tulisan saya)

    Daripada segi prestasi, saya tidak mempunyai sebarang isu serius sepanjang menggunakan Tab S6 Lite. Memandangkan saya pun kerap menggunakan peranti Android, jadi saya rasa ia tidak akan menjadi satu isu buat pengguna lain. Walau bagaimanapun saya masih merindui kekunci pintas (shortcut) pada papan kekunci atau butang Escape namun anda masih boleh menekan butang ‘Back’ di bahagian navigasi di bawah. Dalam ujian penanda aras yang kami lakukan, Galaxy Tab S6 Lite mendapat markah teras tunggal 344 dan markah multi-teras 1063 di GeekBench 5, manakala 3DMark pula memberikan markah 1078 dan 1308. Markah-markah ini menunjukkan markah yang lebih tinggi sedikit berbanding tablet kelas pertengahan yang lain.

    Walaupun dengan markah sedemikian, kami masih kagum terhadap kemampuan Tab S6 Lite untuk memainkan game dengan baik asalkan tetapannya tidak diletakkan pada paras tinggi. Jika ia sekadar ditetapkan pada medium, tablet ini boleh memainkan game dengan lancar. Dwi-pembesar suara di bahagian tepi juga agak kuat, dengan audio yang boleh didengari dalam seluruh bilik.

    Markah GeekBench 5 untuk Tab S6 Lite
    Markah 3DMark yang agak baik untuk tablet Android kelas pertengahan

    Prestasi baik ini turut dicerminkan sewaktu menonton filem, dengan hayat bateri yang tahan lebih daripada satu hari untuk kegunaan biasa. Tablet ini menyokong pengecasan pantas 15W namun Samsung tidak menyertakannya jadi kami tidak mampu menguji kemampuan pengecasan tablet ini.

    Walaupun kami tidak menjangka atau menasihati pengguna untuk mengambil gambar menggunakan tablet (kerana saiznya yang besar dan sukar dikendali) Tab S6 Lite boleh mengambil gambar biasa-biasa sahaja dengan kamera 8MP dan kamera hadapan 5MP. Kamera utama berfungsi dengan baik di bawah cahaya terang namun anda perlu jangkakan tompok-tompok noise dan kekaburan dalam situasi malap. Kamera hadapan 5MP adalah cukup untuk mesyuarat dalam talian atau swafoto namun anda masih perlukan cahaya yang mencukupi. Lihat gambar-gambar yang telah diambil di bawah:

    Kamera 8MP berfungsi dengan baik di bawah cahaya terang
    Gambar yang cantik untuk bunga yang layu
    Cantik juga jantung pisang ni, ya?
    Tiada masalah untuk gambar jarak dekat
    Waktu Subuh, namun butirannya tidak banyak dalam situasi malap
    Gambar swafoto 5MP
    Jangan lupa pakai pelitup muka

    Secara keseluruhan, selain ketiadaan Samsung DeX dan port khas untuk disambung dengan papan kekunci, Samsung Galaxy Tab S6 Lite adalah sebuah tablet yang menarik buat mereka yang ingin kekal produktif bersama produk Android dan tidak ingin membawa komputer riba. Ini membuatkannya sesuai untuk golongan profesional yang sering bergerak, guru, pelajar dan malah kanak-kanak sekolah yang ingin belajar dari rumah namun dengan harga RM1,699 ia boleh dianggap sebagai agak mahal.

    Jika anda inginkan alternatif yang lebih murah, anda boleh lihat pada Galaxy Tab A 8.0 dengan S-Pen berharga RM1,099. Di bahagian iOS pula, anda boleh dapatkan Apple iPad 10.2 berharga RM1,499 namun hanya untuk varian 32GB dan menyokong hubungan WiFi sahaja. iPad juga tidak menyertakan batang stylus dan sarung jadi anda perlu berbelanja lebih untuk dapatkan aksesori tersebut.

    Perlu diketahui bahawa unit ulasan yang kami gunakan ini bukanlah versi yang dijual dalam pasaran Malaysia, jadi mungkin terdapat sedikit perbezaan seperti ketiadaan sokongan 4G LTE.

    Beritahu kami di Facebook jika anda merancang untuk dapatkan Samsung Galaxy Tab S6 Lite yang serba boleh ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk lebih banyak ulasan peranti elektronik dan berita teknologi terkini.

    Ciri-ciri dan spesifikasi:

    • Cipset Samsung Exynos 9611
    • RAM 4GB
    • Storan 64GB + microSDXC
    • Skrin TFT 10.4 inci (resolusi 2000 x 1200)
    • Kamera utama 8MP, kamera hadapan 5MP
    • 244.5 x 154.3 x 7mm, berat 467g
    • Dilengkapi S-Pen Actions, pembesar suara Dolby Atmos, AR Doodle
    • Bateri 7,040 mAh dengan pengecasan pantas 15W
    • USB Type-C, bicu audio 3.5mm
    • Bluetooth v5.0, WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
    • Pilihan warna kelabu Mountain Gray dan biru Cloud Blue

    Kelebihan dan kekurangan

    Kelebihan: Tablet Samsung versi pertengahan yang boleh lakukan kebanyakan tugas dengan baik, mampu menggantikan komputer riba anda. Audio yang kuat daripada pembesar suara.

    Kekurangan: Agak mahal untuk peranti Android kelas pertengahan.

    Kesimpulan: Tablet serba boleh yang sesuai jika anda tidak mempunyai wang yang cukup untuk Galaxy Tab S6

     

    Artikel Terkini

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar dengan ChatGPT terbina dalam bermula RM459

    Fon telinga terbaharu Nothing datang dalam dua model iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Nothing Ear ialah tawaran perdana baharu yang...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X