fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy Tab S7 Plus – Tablet Samsung paling pantas dengan harga paling mahal

    Dengan skrin berukuran 12.4 inci, Samsung Galaxy Tab S7 Plus merupakan tablet premium Samsung yang paling besar setakat ini. Malah dengan ketebalan 5.75mm, membuatkannya antara tablet ternipis yang berada dalam pasaran sekarang. Turut mendampingi skrin Super AMOLED 120Hz HDR10+ yang besar ini adalah spesifikasi canggih seperti cipset Qualcomm Snapdragon 865+, bateri 10,090mAh, RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Dengan spesifikasi hebat ini, adakah prestasinya berbaloi dengan harganya yang agak mahal? Jom ketahuinya dalam ulasan kami ini.

    Sekali pandang, Galaxy Tab S7 Plus nampak seperti Apple iPad yang baru terutamanya apabila dilihat daripada bahagian sisi yang rata, rangka besi dan bucu melengkung, namun Samsung sebenarnya sudah mengeluarkan tablet ini terlebih dahulu daripada Apple iPad. Walau bagaimanapun, Galaxy Tab S7 Plus nampak kemas dan premium dengan sempadan bezel yang cukup-cukup sahaja untuk anda memegang tablet ini dengan selesa. Bonggol kamera yang agak tertimbul mungkin akan membuatkan tablet ini tidak rata jika diletakkan pada belakangnya, namun ia tidak mudah terjengket apabila anda meletakkannya begitu.

    Samsung Galaxy Tab S7 Plus disertakan bersama sarung papan kekunci
    Paparan 2K 12.4 inci nampak cantik dengan sempadan bezel yang cukup-cukup sahaja untuk genggaman selesa
    Permukaan belakang Galaxy Tab S7 Plus
    Tablet ini sangat nipis, dengan ketebalan 5.75mm dan dua pembesar suara di bahagian sisi
    Bonggol kamera 13MP + 5MP
    Kamera swafoto 8MP
    Memori luaran boleh dilengkapkan, sehingga 1TB menggunakan microSD
    S Pen terbaru menampilkan tindak balas terpantas setakat ini
    S Pen boleh dilekatkan dalam ruangan khas secara magnetik di belakang tablet
    Rupa sarung dari belakang
    Walaupun jika dipakaikan dengan sarung, keseluruhan tablet ini masih boleh dianggap nipis
    Skrin 12.4 inci ini adalah antara skrin tablet yang tercantik pernah kami lihat

    Paparan 12.4 inci adalah sangat cantik, setaraf dengan skrin Apple Retina, manakala empat pembesar suara di bahagian sisi adalah sangat kuat dan jelas. Seperti Tab S6 sebelum ini, ia mempunyai port yang boleh dihubungkan dengan sarung papan kekunci secara magnetik. Papan kekunci tersebut mempunyai kekunci yang telah dijarakkan dengan baik untuk kegunaan mudah, manakala ruang sesentuh (touchpad) pula boleh digunakan dengan pelbagai gerak jari (gesture) contohnya cubit ke dalam untuk zum ke dalam, cubit ke luar untuk zum ke luar dan sebagainya. Namun masih terdapat masalah untuk beberapa aksara, contohnya bila anda menekan kekunci (Shift dan 2) secara serentak, yang akan keluar pada skrin adalah ” manakala jika anda tekan kekunci (Shift dan “), yang akan keluar pada skrin adalah @ namun jika anda jarang menggunakan kekunci ini, mungkin ia tiada masalah.

    Beralih kepada S Pen dengan tindak balas (latency) terendah, ia memang mengagumkan saya. Memang rasa seperti hampir tiada sela masa (lag) melainkan jika anda betul-betul menelitinya, menjadikan S Pen ini amat mudah untuk digunakan sebagai alat lukisan dan lakaran. Di samping itu, fungsi gerakan udara (air command gestures) membolehkan anda untuk mengawal Galaxy Tab S7 seperti sebatang tongkat sakti. Tekan butang S Pen lama-lama dan gerakkan ia ke kiri atau ke kanan akan menukar imej yang dipaparkan dalam Gallery. Manakala jika anda gerakkan ke atas, butiran imej akan dipaparkan. Fungsi ini tentunya amat bernilai jika Galaxy Tab S7 Plus digunakan sebagai alat pembentangan di mana tablet itu dihubungkan kepada projektor (sama ada secara wayarles atau kabel melalui Samsung DeX).

    Pengalaman melukis gambar kucing ini seperti melukis pada kertas sebenar, hampir tiada lag
    S Pen boleh digunakan seperti tongkat sakti untuk mengawal Tab S7 Plus

    Bagaimana pula dengan gaming? Tab S7 Plus tiada masalah untuk bermain game kegemaran anda dengan tetapan grafik tertinggi. Walau bagaimanapun, agak sukar untuk bermain menggunakan ibu jari kerana saiz tablet ini yang besar dan berat akan melenguhkan tangan anda dengan sekejap sahaja. Kami menasihatkan anda untuk menggunakan controller atau memilih jenis game yang tidak memerlukan gerakan ibu jari, contohnya game puzzle atau strategi. Dalam ujian penanda aras kami, Galaxy Tab S7 Plus meraih keputusan yang mengatasi tablet-tablet lain dengan mudah.

    Tablet ini dilengkapi kamera belakang 13MP + 5MP dan kamera hadapan 8MP, namun umum diketahui bahawa penggambaran dengan tablet besar seperti Galaxy Tab S7 Plus memang sukar. Dengan sedikit kesabaran (dan ketahanan stamina) anda boleh mendapatkan gambar dengan kualiti yang baik namun butirannya tidaklah tajam, manakala jejakan autofokus tidak terlalu pantas dan hanya berfungsi dengan baik di bawah pencahayaan terang. Rakaman video pula adalah jelas dan stabil. Kamera swafoto 8MP pula bagus untuk swafoto dan panggilan video.

    Keputusan Geekbench 5 meletakkan tablet ini di atas tablet-tablet lain
    Prestasi yang baik dalam 3D Mark, jarang sekali boleh dapat markah seperti ini
    Terdapa fungsi kamera yang pelbagai dalam kamera
    Dengan pencahayaan yang terang, gambar adalah baik
    Butiran mungkin tidak begitu jelas, namun penghasilan warnanya adalah cantik
    Pastikan anda memegang tablet dengan stabil dan anda boleh dapatkan butiran halus pada gambar

    Daripada segi perhubungan, versi yang dijual di Malaysia hanya menyokong WiFi dan ia berfungsi dengan sangat baik dalam kebanyakan situasi. Hayat bateri pula agak bagus untuk tablet besar dengan resolusi paparan yang tinggi, di mana satu pengecasan penuh mampu bertahan selama hampir satu hari setengah (akan jadi kurang jika anda kerap menonton video 4K dan bermain game). Walau bagaimanapun, pengecasannya agak perlahan di mana ia memerlukan empat jam untuk pengecasan 100%.

    Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy Tab S7 Plus adalah produk yang sangat menarik dengan spesifikasi dan prestasi yang tercanggih untuk kelasnya (kecuali pada kamera). Dengan berat 575g, ia lebih ringan daripada komputer riba 12 atau 13 inci namun untuk tablet, ia adalah agak berat. Jadi jika anda sedang mencari alternatif kepada komputer riba dan mempunyai RM4,599 untuk dibelanjakan, Galaxy Tab S7 Plus adalah peranti yang wajar dipertimbangkan.

    Cipset Snapdragon 865+ dan memori yang besar membuatkannya sangat puas untuk digunakan, mengalahkan Apple iPad. Mungkin harga RM4,599 adalah terlalu mahal untuk sebuah tablet (melainkan iPad Pro 12.9 inci 256GB) namun dengan harga tersebut, anda akan mendapatkan sebuah tablet yang mampu mengatasi semua tablet (termasuk sesetengah komputer riba) daripada segi produktiviti, lukisan dan seni.

    Malang sekali versi yang dijual di Malaysia tidak menyokong rangkaian 5G. Namun jika dilihat kembali, kebanyakan komputer riba pun tidak menyokong sebarang bentuk rangkaian mudah alih. Kalaulah Samsung boleh hasilkan game lawan pedang menggunakan S Pen sebagai controller, saya akan berasa amat puas. Sungguh pun begitu, Galaxy Tab S7 Plus adalah tablet Android yang muktamad.

    Spesifikasi teknologi

    • Cipset Qualcomm Snapdragon 865+
    • RAM 8GB + storan 256GB, boleh dibesarkan dengan microSD sehingga 1TB
    • Skrin Super AMOLED 12.4 inci dengan resolusi 2800×1752
    • 185×285×5.7mm, berat 575g
    • Kamera utama 13MP + kamera ultra-lebar 5MP, kamera swafoto 8MP
    • S-Pen dengan air commands dan tindak balas pantas, pengimbas cap jari bawah skrin, empat pembesar suara ditala oleh AKG
    • Sokongan 802.11 a/b/g/n/ac/ax 2.4Ghz + 5Ghz, Bluetooth 5.0, GPS, Wifi direct
    • Bateri 10,090mAh
    • Warna hitam, gangsa dan perak

    Kebaikan dan keburukan

    Kebaikan: Antara skrin 12.4 inci 2K tercantik dalam tablet, S Pen yang hampir tiada lag. Boleh mengoperasikan segala jenis aplikasi

    Keburukan: Sangat mahal untuk tablet yang boleh dihubungkan pada WiFi sahaja. Dwi-kamera di belakang agak menghampakan

    Kesimpulan: Tablet Samsung Galaxy Tab yang premium, boleh menjadi pengganti kepada komputer riba selagi anda mampu membelinya

     

    Artikel Terkini

    Samsung Galaxy A35 5G dan A55 5G, mana satu lebih bagus?

    Jadi Samsung dah lancarkan dua telefon terbaru dalam siri telefon mid-range iaitu Samsung Galaxy A35 5G dan Samsung Galaxy A55 5G! Dua-dua...

    Nothing mengacah produk audio yang akan datang tidak lama lagi

    Nothing yang merupakan jenama dengan reka bentuk yang menarik kini telah menyiarkan pengacah rasmi mengenai pelancaran produk audio yang akan datang. Seperti...

    Selepas PDRM, Imigresen mungkin turut akan menggunakan kamera badan

    Sebelum ini, kami laporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memakai kamera badan secara beransur-ansur mulai Oktober ini. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)...

    Fungsi Gemini dalam Google Messages kini tersedia untuk pengguna di Malaysia

    Google Gemini merupakan bot sembang AI oleh Google dengan model berbilang bahasa. Namun, untuk mengakses Gemini Ultra, anda perlu melanggan pelan Google...

    Imej janaan Google Pixel 9 tertiris tanpa kanta periskop, model XL turut bakal dilancar

    Sebelum ini, terdapat imej janaan yang tertiris menunjukkan pandangan pertama Google Pixel 9 dan 9 Pro. Kini, sumber mendedahkan bahawa model standard...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X