fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy Z Flip3 – Telefon lipat yang lebih matang

    Dengan pengenalan siri peranti lipat Galaxy Z generasi ketiga pada tahun ini, Samsung Galaxy Z Flip3 5G nampak seperti ia menawarkan pembaharuan yang amat ketara berbanding model lepas. Ini termasuklah binaan yang lebih kukuh, rating kalis air IPX8 dan harga yang lebih murah iaitu RM3,999 (Galaxy Z Flip sebelum ini diperkenalkan dengan harga RM5,888).

    Adakah ini telefon lipat yang lebih sesuai untuk anda? Jika anda belum pernah memiliki telefon lipat, kami rasakan produk ini sesuai dijadikan telefon lipat pertama anda. Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahui kenapa kami berkata demikian:

    Rekaan – Gaya, mutu, keunggulan

    Sebelum ini, telefon-telefon lipat awal telah menunjukkan rekaan yang agak goyah dan apabila ia dilipat, telefon tersebut tidak menawarkan lipatan yang selari. Selain itu, skrinnya juga tidak menyokong kadar segar semula yang pantas.

    Mujur sekali Galaxy Z Flip3 tidak mempunyai masalah-masalah tersebut. Engselnya terasa lebih kuat, membuatkan binaanya terasa amat kukuh walaupun ini bermakna anda tidak boleh membuka skrinnya dengan satu tangan. Dengan berat 186g, ia adalah lebih ringan berbanding Galaxy Note20 Ultra yang saya gunakan untuk tugas harian.

    Apabila ia dilipat, ciri yang paling menonjol adalah skrin luaran yang berukuran 1.9 inci di mana ia boleh menunjukkan masa, pemberitahuan dan pelbagai tugas ringkas. Saiz telefon ini yang sangat kecil apabila ia dilipat pasti boleh dimasukkan ke dalam banyak poket.

    Skrin utama Flip3 dibina dengan teknologi Gorilla Glass Victus untuk ketahanan tertinggi, manakala rangka telefon ini pula dibuat daripada besi. Sebuah pengimbas cap jari diletakkan di bahagian sisi kanan, bersebelahan dengan butang kawalan audio. Ruang kad SIM pula berada di sisi kiri, namun ia tidak menyediakan ruang untuk kad memori microSD.

    Skrin tersebut mempunyai ukuran 6.7 inci dan sebuah kamera swafoto 10MP diletakkan dalam sebuah lubang punch hole di bahagian atas tengah. Walaupun dengan skrin yang agak besar dan memenuhi hampir keseluruhan bahagian hadapan, ia mudah untuk dipegang dan tidak akan diganggu oleh sentuhan tidak sengaja daripada tapak tangan saya (masalah yang kerap berlaku kepada saya kerana tangan yang agak besar).

    Kesan lipatan masih boleh dilihat dengan jelas di bahagian tengah skrin, namun ia tidaklah terlalu mengganggu kerana skrin ini tidak menunjukkan sebarang herotan (distortion) di bahagian lipatan. Kadar segar semula 120Hz juga bermakna semua kandungan yang dipaparkan pada skrin ini nampak sangat lancar.

    Pegangannya terasa seperti telefon pintar biasa namun permukaan belakang yang dibuat daripada kaca membuatkannya agak licin untuk dipegang.

    Spesifikasi – Sepadan dengan kategori andalan

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Galaxy Z Flip3 5G:

    • Skrin utama Dynamic AMOLED 2X Infinity Flex Display 6.7 inci, resolusi 2640×1080
    • Skrin luaran Super AMOLED 1.9 inci, resolusi 512×260
    • RAM 8GB
    • Storan dalaman UFS3.1 128GB atau 256GB
    • Kamera utama 12MP + kamera ultra-lebar 12MP
    • Kamera swafoto 10MP
    • Bateri 3,300mAh
    • Pembesar suara stereo Dolby Atmos
    • Pengimbas cap jari di bahagian sisi
    • Rating kalis air IPX8
    • Perisian OneUI 3
    • Pilihan warna Cream, Phantom Black, Lavender dan Green
    • Dimensi: 72.2 x 166.0 x 6.9mm (dibuka), 72.2 x 86.4 x 17.1mm (dilipat)
    • Berat 183g

    Dengan cipset Snapdragon 888 5G, RAM 8GB dan storan 128GB, telefon ini setaraf dengan pelbagai telefon andalan di luar sana namun fokus utama peranti ini adalah pada skrin lipat AMOLED berukuran 6.7 inci. Ia menyokong kadar segar semula 120Hz, resolusi 2640×1080 dan sokongan warna HDR10+.

    Skrin ini membenarkan Flip3 untuk dilipat kepada ukuran 86.4mm x 72.2mm x 15.9 ~ 17.1mm sahaja, membenarkan anda untuk menggenggam telefon ini dengan mudah. Apabila skrinnya dibuka, ia mempunyai ukuran 166mm x 72.2mm x 6.9mm yang serupa dengan kebanyakan telefon pintar.

    Walaupun baterinya sekadar 3,300mAh, ia masih menawarkan pengecasan pantas 15W, pengecasan wayarles 10W dan pengecasan wayarles berbalik.

    Pelbagai fungsi yang boleh dipaparkan pada skrin luaran
    Paparan skrin luaran boleh diubah, seperti muka jam, cuaca dan banyak lagi

    Skrin luarannya boleh memaparkan pemberitahuan, waktu, cuaca, penggera, jadual dan perakam suara. Walau bagaimanapun, skrin ini tidak menyokong input sentuh dengan baik dan anda perlu menggunakan skrin utama untuk berinteraksi dengan mesej yang telah ditunjukkan pada skrin luaran.

    Selain itu, skrin ini juga memudahkan anda untuk mengambil swafoto menggunakan kamera utama kerana ia boleh memaparkan gambar yang diambil, walaupun ia tidak menunjukkan keseluruhan gambar. Sewaktu dilipat, kamera boleh diaktifkan dengan menekan dua kali pada butang suis.

    Saya sebenarnya lebih gemar jika skrin luaran boleh dimanfaatkan oleh lebih banyak aplikasi pihak ketiga. Sebagai contoh, saya berpendapat ia boleh dimanfaatkan untuk imbasan kod QR dalam aplikasi MySejahtera.

    Mod separa lipatan atau Flex Mode amat menarik untuk digunakan dalam kamera dan galeri, manakala dengan fungsi Lab, ia boleh diadaptasi untuk pelbagai aplikasi lain. Sungguh pun begitu, ia tidak semestinya berfungsi dengan baik.

    Daripada segi kamera, Flip3 menawarkan kamera utama 12MP Dual Pixel phase-detect autofocus dengan penstabilan imej optikal dan kamera ultra-lebar 12MP, manakala di hadapan pula adalah kamera swafoto 10MP. Banyak fungsi fotografi yang ditawarkan, namun ia tidak sama dengan kamera Galaxy S21 atau Galaxy Note20 kerana Flip3 tidak mempunyai jumlah kamera yang banyak seperti dalam siri telefon tersebut.

    Prestasi – Sangat pantas dengan fungsi lipatan unik

    Dengan prestasi tahap andalan, prestasi telefon ini mencatatkan markah tinggi dalam ujian penanda aras kami. Game seperti Call of Duty boleh dimainkan dengan sangat lancar pada grafik tertinggi namun anda mungkin perlu menyusun semula kedudukan butang agar ia tidak berselisih dengan kamera swafoto.

    Keputusan penanda aras Geekbench dan 3DMark

    Genshin Impact turut boleh dimainkan dengan grafik tertinggi. Walau bagaimanapun, telefon ini boleh menjadi panas dengan agak cepat jadi saya tidak menasihatkan anda untuk bermain game dengan lama.

    Walaupun baterinya mempunyai kapasiti yang agak kecil iaitu 3,300mAh sahaja, Flip3 boleh bertahan sehingga sehari jika digunakan untuk tugasan asas. Pengguna yang kerap membuka aplikasi berat pula mungkin boleh menghabiskan hayat bateri dalam masa setengah hari sahaja. Mujurlah ia hanya mengambil masa sekitar sejam untuk pengecasan penuh.

    Bateri boleh bertahan selama sehari untuk penggunaan asas
    Google Docs boleh dibuka dengan Flex Mode, namun papan kekuncinya terlalu kecil

    Flex Mode sesuai digunakan untuk mengambil gambar time lapse, long exposure, rakaman diri sendiri atau menghadiri mesyuarat dalam talian. Google Docs juga boleh dimanfaatkan dengan Flex Mode, namun papan kekuncinya agak kecil untuk tugas penaipan yang serius. Untuk tujuan produktiviti, Samsung mengesyorkan papan kekunci fizikal untuk digunakan bersama Flip3.

    Secara keseluruhan, prestasi kamera adalah bagus untuk kedua-dua kamera di belakang. Kamera hadapan juga berfungsi dengan baik untuk swafoto dan video namun ia masih memerlukan cahaya yang terang untuk berfungsi dengan baik. Selain itu, Night Mode akan membantu anda untuk mengambil gambar yang baik dalam suasana malap. Anda boleh nilai sendiri mutu gambar di bawah:

    Memandangkan skrin ini boleh dilipat dalam pelbagai sudut, saya cuba meletakkanya dalam kedudukan yang memudahkan rakaman swafoto untuk vlog dan ia berfungsi dengan baik. Sewaktu bergerak pula, rakaman kamera ini mempunyai teknologi penstabilan optikal, jadi anda boleh abaikan gimbal atau tongkat swafoto untuk menstabilkan video. Sungguh pun begitu, video masih terdapat efek grain jika dirakam dalam suasana malap.

    Mutu panggilan telefon adalah jelas dan lantang. Saya agak kecewa dengan ketiadaan mod DeX seperti dalam peranti andalan Samsung lain namun ini mungkin akan diperkenalkan dalam kemas kini akan datang.

    Kesimpulan – Telefon andalan dengan saiz yang sangat mudah dibawa

    Samsung Galaxy Z Flip3 adalah telefon lipat yang telah dibangunkan dengan lebih elok berbanding model sebelum ini dan lebih sesuai untuk dicadangkan kepada orang ramai. Ia adalah lebih kukuh, lebih nipis dan lebih mudah dibawa, manakala harganya juga kini lebih murah iaitu RM3,999 sahaja.

    Sungguh pun begitu, saya berpendapat perisiannya masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan, jadi Samsung mungkin akan menawarkannya dalam kemas kini pada masa akan datang. Saya juga merasakan kualiti kameranya sekadar seperti telefon kelas pertengahan sahaja.

    Galaxy Z Flip3 5G adalah telefon lipat yang lebih mudah untuk dicadangkan kepada orang ramai

    Setakat ini tiada alternatif lain untuk telefon lipat seperti ini di Malaysia. Jika anda inginkan peranti lipat yang bergaya di bawah RM4,000, Galaxy Z Flip3 5G adalah satu-satunya pilihan anda.

    Adakah anda berminat dengan Samsung Galaxy Z Flip3? Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Diterjemahkan daripada TechNave

     

    Artikel Terkini

    Fujifilm instax mini 99 dilancar di Malaysia: Kamera analog yang boleh cetak gambar berharga...

    Pada hari ini, Fujifilm Malaysia melancarkan model kamera analog segera (instant analog camera) yang terbaru dalam siri instax*1 iaitu instax mini 99....

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X