fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy Z Fold2 – Raja telefon lipat!

    Telefon pintar lipat sememangnya mempunyai tempat yang khas di kalangan penggemar telefon pintar. Sebaik sahaja saya membuka skrin sebuah telefon lipat, seluruh dunia seolah-olah tertarik dengan peranti yang berada dalam tangan saya. Buat masa ini telefon lipat masih lagi sesuatu yang asing dan tidak banyak kepelbagaian dalam rekaan telefon lipat di antara jenama-jenama elektronik.

    Sungguh pun begitu, banyak jenama telefon pintar masih mencuba nasib dengan rekaan telefon yang berada di luar kebiasaan, daripada kamera pop-up yang berada dalam telefon LG hinggalah papan kekunci yang dilengkapi oleh peranti Blackberry. Kini, saya ingin memperkenalkan sebuah telefon pintar lipat terbaru daripada Samsung iaitu Samsung Galaxy Z Fold2!

    Rekaan – Ini telefon atau tablet?

    Menyambung legasi yang dimulakan oleh Galaxy Fold, telefon lipat Samsung Galaxy Z Fold2 masih mengekalkan skrin lipat yang boleh menukarkannya daripada telefon ke tablet pada bila-bila masa. Walaupun begitu, Fold2 membawa banyak penambahbaikan berbanding Galaxy Fold. 

    Perubahan pertama yang boleh dilihat adalah pada skrin hadapan, di mana skrin Infinity-O 6.2 inci dalam Fold2 adalah lebih besar daripada dalam Fold sebelum ini. Dengan nisbah skrin-ke-badan yang tinggi, ini membuatkan skrin hadapan Fold2 nampak lebih mirip dengan kebanyakan telefon lain. Dalam skrin utama pula, ia berukuran 7.6 inci apabila dibuka, menjadikannya mirip tablet dan kini tiada lagi takuk (notch) kamera swafoto yang menganggu skrin seperti dalam telefon sebelum ini.

    Jika dilihat daripada depan, Galaxy Z Fold2 nampak lebih mirip kepada telefon pintar lain berbanding Fold pertama
    Kedut lipatan masih boleh dilihat jika disuluh secara terus, namun secara amnya ia tidak mudah dilihat
    Rupa belakang apabila Galaxy Z Fold2 dibuka

    Galaxy Z Fold2 juga mempunyai fungsi Flex Mode yang diperkenalkan dalam Samsung Galaxy Z Flip. Kini skrin Fold2 boleh dilipat dalam pelbagai sudut yang dikehendaki bagi memudahkan pengguna untuk menonton video, filem atau panggilan video.

    Warna Fold2 yang saya dapat untuk ulasan ini adalah gangsa Mystic Bronze, namun anda boleh membeli warna hitam Mystic Black jika anda lebih cenderung kepada warna gelap.

    Video boleh terus disambung daripada skrin hadapan ke skrin utama selepas ia dibuka

    Walaupun dengan penambahbaikan ini, masih terdapat kekurangan pada skrin utamanya. Samsung mengatakan skrin lipat ini menggunakan Gelas Ultra Nipis (Ultra Thin Glass, UTG), namun anda masih boleh merasakan bahawa skrin ini dibuat daripada helaian yang sangat lembut, jadi anda perlu berhati-hati agar skrin ini tidak bersentuhan dengan sebarang objek tajam.

    Sungguh pun ia dilengkapi teknologi Corning Gorilla Glass Victus, anda masih perlu mengendalinya dengan berhati-hati kerana komponen yang banyak untuk menghasilkan skrin ini. 

    Port USB-C dan pembesar suara di bawah, tiada bicu audio 3.5mm
    Sebuah lagi pembesar suara di bahagian atas untuk efek bunyi stereo
    Anda boleh lihat logo Samsung di bahagian engsel
    Bahagian sisi kanan, butang kawalan audio dan butang kuasa yang turut bertindak sebagai pengimbas cap jari (lapisan atas); ruang kad SIM (lapisan bawah)
    Bonggol kameranya agak tebal, seperti dalam Samsung Galaxy Note20

    Spesifikasi – Pelbagai komponen canggih yang dibayangi oleh skrin lipat

    Nampaknya dengan kecanggihan skrin lipat Galaxy Z Fold2, seolah-olah membuatkan spesifikasi telefon ini dipandang remeh oleh kebanyakan orang. Sayang sekali, kerana telefon ini disokong oleh perkakasan padu yang memberi pengalaman penggunaan terbaik. Fold2 dilengkapi cipset Snapdragon 865+, RAM 12GB dan storan 256GB. Ia tidak mempunyai ruang untuk membesarkan storan namun ini tidak mempengaruhi keseluruhan pengalaman Fold2.

    Untuk skrinnya, spesifikasi skrin utama dan skrin hadapan adalah berlainan. Skrin utamanya adalah Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi 2208×1768 (QXGA+) namun jika kadar segar semula 120Hz diaktifkan, ia akan memaparkan resolusi Full HD+. Untuk skrin hadapan, ia adalah Super AMOLED Plus dengan resolusi 2260×816 (HD+), jadi anda hanya boleh menonton video dalam 720p jika menggunakan skrin hadapan.

    Modul kameranya pula setaraf dengan telefon-telefon flagship lain, terdiri daripada kamera utama 12MP, kamera ultra-lebar 12MP dan kamera telefoto 12MP. Kualiti gambar yang dihasilkan adalah bagus, seperti yang boleh dijangkakan daripada peranti kelas ini. Terdapat juga fungsi menarik seperti Single Take dan Pro Video Mode yang diperkenalkan dalam siri Samsung Galaxy Note20. Untuk kamera swafoto pula, terdapat kamera 10MP pada skrin utama dan sebuah lagi kamera 10MP pada skrin hadapan. Dengan kehadiran skrin hadapan, anda juga boleh menggunakan kamera utama untuk mengambil swafoto.

    Skrin lipat memudahkan anda untuk mengambil gambar daripada pelbagai sudut
    Skrin hadapan dan skrin utama boleh digunakan untuk mengambil gambar
    Pro Video Mode boleh diaktifkan untuk kawalan yang lebih spesifik

    Dengan skrin utama yang boleh digunakan seperti tablet, pelbagi fungsi telah diubah suai bagi memanfaatkan skrin unik ini. Pengguna boleh mengaktifkan fungsi Edge Screen untuk membuka dan memaparkan tiga aplikasi pada masa yang sama. Kedudukan aplikasi-aplikasi ini dalam skrin juga boleh diubah. Untuk papan kekunci, ketinggiannya pada skrin utama adalah separuh daripada skrin jika ia digunakan dalam mod lanskap, jadi pengguna boleh menaip sambil melipatkan skrin sedikit untuk genggaman yang lebih erat.

    Di samping sistem keselamatan Samsung Knox, pengguna juga boleh menetapkan cap jari atau imbasan muka bagi membuka skrin. Pengimbas cap jari yang berada di sisi adalah pantas dan sensitif, namun saiznya yang kecil memerlukan anda untuk memberi perhatian sewaktu meletakkan jari anda.

    Sistem antara muka (UI) mirip tablet
    Beberapa aplikasi boleh dipaparkan serentak
    Papan kekunci yang mengambil separuh daripada ruang skrin dalam mod lanskap
    Papan kekunci boleh diguna sambil membuat panggilan video
    Beberapa aplikasi masih boleh dipaparkan walaupun jika skrin dilipat sedikit

    Prestasi – Penggunaan yang amat lancar namun baterinya dikorbankan sedikit

    Skrin lipat dalam Samsung Galaxy Z Fold2 tentunya adalah daya penarik untuk telefon ini, namun jangan dilupakan cipset Snapdragon 865+ yang berada di dalamnya. Prestasinya boleh dinilai daripada ujian penanda aras GeekBench 5 dan 3DMark di mana Fold2 telah meraih markah yang tinggi.

    Hasil ujian penanda aras GeekBench (kiri) dan 3D Mark menunjukkan markah tinggi

    Daripada segi penggunaan sebenar, Fold2 memberikan pengalaman cemerlang daripada segi penggunaan gaming kerana skrinnya yang besar. Saya boleh lipat sedikit skrin telefon ini bagi mendapatkan pengalaman seperti menggunakan konsol game mudah alih.

    Perlu diingati bahawa resolusi skrin di antara skrin utama dan skrin hadapan adalah berbeza, jadi jika anda menggunakan skrin hadapan untuk bermain game, ia akan nampak seperti grafik game tersebut telah diregangkan.

    Daripada segi hayat bateri yang berkapasiti 4,500mAh, ia adalah baik meskipun jika skrin utama banyak digunakan. Untuk penggunaan biasa seperti melayari laman web dan membalas mesej, bateri boleh tahan selama sehari dengan mudah. Namun jika anda mula menggunakan aplikasi berat seperti Google Maps, kamera atau game-game besar, hayat baterinya boleh dihabiskan dalam masa lebih kurang setengah hari. Di samping itu, telefon ini juga akan menjadi suam kerana prestasi tinggi yang dijana oleh Snapdragon 865+, jadi pastikan anda beri perhatian untuk merehatkan telefon ini dari semasa ke semasa.

    Kamera Galaxy Z Fold2 masih mengekalkan mutu flagship, dengan warna kamera Samsung yang terang. Kamera 12MP boleh menyimpan butiran yang jelas, malah gambar pada waktu malam juga nampak menarik. Lihat sendiri contoh gambar-gambarnya di bawah:

    Kesimpulan – Peranti mewah dengan skrin lipat terbaik

    Samsung Galaxy Z Fold2 sebenarnya bukanlah telefon pintar yang boleh disyorkan dengan mudah, lebih-lebih lagi dengan harganya yang sangat mahal iaitu RM7,999. Namun jika akaun bank anda mampu menampung harga telefon ini, ia adalah sangat berbaloi kerana prestasi dan rekaan Fold2 adalah jauh lebih baik berbanding model tahun lepas. Pada tahun ini, Samsung adalah satu-satunya jenama yang menjual telefon lipat dalam pasaran Malaysia, jadi boleh disimpulkan di sini bahawa Fold2 mempunyai skrin lipat terbaik di negara kita, malah seantero dunia.

    Oleh sebab sifatnya yang unik dan mewah, Galaxy Z Fold2 tidak mempunyai banyak saingan dalam pasaran Malaysia. Untuk tahap kemewahan yang serupa, HUAWEI Mate40 RS Porcsche Edition nampak seperti ia boleh menyaingi Fold2 namun tarikh pelancarannya masih belum diketahui. Jika anda masih inginkan peranti lipat namun tidak sanggup berbelanja besar, boleh lihat pada Samsung Galaxy Z Flip yang berharga RM4,999.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Shopee lancarkan program Jaminan Tepat Masa untuk penghantaran barang bermula 6 Mei ini

    Shopee akan melancarkan inisiatif terbaharunya, program Jaminan Tepat Masa yang bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan mengenai kebolehpercayaan penghantaran untuk pembeli dalam talian.

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles lutsinar bermula RM479

    Nothing Malaysia telah memperkenalkan dua fon telinga wayarles baharu iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Syarikat teknologi yang berpusat di London,...

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    nubia Neo 2 5G dilancar di Malaysia: Tampilkan ‘Dual Gaming Shoulder Triggers’ berharga RM999

    Siri nubia Neo melancarkan peranti andalan terbaharunya, nubia Neo 2 5G yang dicipta untuk memenuhi keperluan pemain kasual dan peminat dengan mengutamakan...

    TIME naik taraf Pakej MyKabel 100Mbps kepada 200Mbps, harga kekal pada RM69/bulan

    Awal bulan ini, TIME memberikan peningkatan Speed Boost secara percuma kepada beberapa pelanggan yang layak. Kini, terdapat satu lagi peningkatan baru dan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X