fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy Z Fold3 – Adakah ini akhirnya telefon lipat idaman anda?

    Tahun 2021 menyaksikan sebuah lagi iterasi dalam siri telefon lipat andalan oleh Samsung iaitu Samsung Galaxy Z Fold3 yang kini dilancarkan dengan harga lebih murah, sejumlah RM6,699 sahaja. Harga ini adalah jauh lebih murah berbanding RM7,999 untuk Galaxy Z Fold2 dan Galaxy Fold sewaktu pelancarannya. Samsung juga mengatakan telefon ini adalah lebih ringan, tahan lasak dan kini mempunyai rating kalis air IPX8.

    Untuk melihat sama ada telefon lipat Fold ketiga ini adalah peranti lipat yang anda tunggu-tunggu selama ini, ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Lebih nipis dan ringan, namun masih utuh

    Sekali pandang, Galaxy Z Fold3 nampak lebih kecil daripada yang saya sangkakan namun ini mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan telefon pintar yang mempunyai saiz skrin 6 inci dan ke atas. Dengan ketebalan 6.4mm sahaja apabila skrinnya dibuka, Fold3 sebenarnya adalah lebih nipis berbanding Galaxy Z Fold2 (6.9mm) dan membuatkannya menjadi lebih ringan, dengan berat 271 gram sahaja berbanding 282 gram pada Fold2.

    Seperti dalam Galaxy Z Flip3, engsel Fold3 mempunyai mekanisme yang lebih erat serta dilindungi rating kalis air IPX8. Di hadapan pula, ia mempunyai skrin cover display Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.2 inci dengan nisbah aspek 25:9 dan kadar 120Hz.

    Sungguh pun begitu, berat 271 gram itu masih membuatkannya sama berat dengan tablet 7 inci. Dengan bentuk keseluruhan seperti candy bar apabila ia dilipat, telefon ini lebih mudah digenggam berbanding Galaxy Note20 Ultra saya yang lebih ringan dan nipis. Apabila dilipat, skrin hadapan Fold3 boleh memaparkan sebarang kandungan yang telah dipaparkan terlebih dahulu dalam skrin utama Dynamic AMOLED 2X berukuran 7.6 inci. Sebuah kamera swafoto 10MP juga berada di bahagian atas skrin hadapan.

    Sebaik sahaja skrin utamanya dibuka, skrin 7.6 inci itu menawarkan paparan yang sangat unik kerana kamera swafoto 4MP tidak lagi kelihatan di bahagian atas kanan. Ini adalah kerana skrin utama Fold3 mempunyai teknologi kamera swafoto bawah skrin (under-display camera) untuk menyembunyikannya, namun ia masih kelihatan jika dilihat secara dekat.

    Skrin utamanya memaparkan imej yang cantik dan hampir mempunyai nisbah aspek petak. Seperti dalam Fold2 sebelum ini, garisan lipatan masih jelas kelihatan di tengah-tengah skrin namun ia tidak mengganggu sebarang grafik yang dipaparkan. Malah, kadang-kala saya terlupa bahawa ada kesan lipatan pada skrin tersebut.

    Di belakang, terdapat bonggol kamera yang menempatkan tiga lensa dan bonggol ini agak tebal, membuatkan telefon ini tidak boleh diletakkan secara rata di atas meja. Di bahagian sisi, terdapat butang kuasa yang turut bertindak sebagai sensor cap jari, serta sepasang butang kawalan suara dan ruang dwi-kad SIM. Pembesar suara stereo berada di bahagian sisi atas dan bawah, manakala port USB-C pula berada di bahagian bawah.

    Secara ringkas, Galaxy Z Fold3 bukan sahaja lebih ringan dan nipis berbanding Fold2, ia juga lebih kukuh dan kalis air. Walaupun warnanya tidak mempunyai dua tona seperti dalam Galaxy Z Flip3, telefon lipat ini menawarkan warna hijau gelap yang nampak lebih eksklusif dan tersendiri berbanding kebanyakan telefon pintar lain.

    Spesifikasi – Semuanya flagship!

    Dengan rekaan yang diperbaharui serta rating kalis air IPX8, spesifikasi dalaman Galaxy Z Fold3 turut mengalami penambahbaikan yang ketara. Fold3 kini dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 888, kamera swafoto 4MP di bawah skrin utama, kadar 120Hz untuk skrin hadapan dan sokongan stilus S Pen Fold atau S Pen Pro. Selain daripada itu, Fold3 mempunyai ciri-ciri dalaman yang sama dengan Fold2.

    Untuk kamera di belakang, ia terdiri daripada kamera ultra-lebar 12MP (f/2.2), kamera telefoto 12MP (f/2.4, OIS, Dual Pixel AF, PDAF) dan kamera utama 12MP (f/1.8). Kamera swafoto pula terdiri daripada kamera 4MP pada skrin utama dan kamera 10MP pada skrin hadapan. Aplikasi fotografinya menawarkan fungsi Pro Mode untuk gambar dan video serta fungsi Single Take yang terkenal dalam telefon-telefon andalan Samsung.

    Reka bentuknya yang lebih kecil dan nipis bermaksud baterinya terpaksa dikecilkan kepada 4,400mAh sahaja. Telefon lipat ini menyokong pengecasan pantas 25W, pengecasan wayarles 10W dan pengecasan wayarles berbalik 4.5W. Rating kalis air IPX8 itu bermaksud Fold3 boleh bertahan dalam kedalaman air satu meter selama 30 minit, di samping dilindungi daripada habuk selagi anda tidak menanggalkan lapisan pelindung skrin (screen protector).

    Skrin baharu Fold3 juga menyokong stilus S Pen Fold atau S Pen Pro, namun anda perlu menetapkan dalam telefon stilus manakah yang menjadi kegunaan anda. Malang sekali, stilus tersebut tidak dipinjamkan kepada saya jadi saya tidak boleh mengulas tentangnya. Fungsi-fungsi produktiviti juga kekal sama dalam mod Samsung DeX secara berwayar atau wayarles, manakala Flex Mode pula boleh digunakan dalam semua aplikasi.

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Galaxy Z Fold3:

    • Qualcomm Snapdragon 888
    • RAM 12GB
    • Storan dalaman 256GB atau 512GB
    • 7.6-inch Dynamic AMOLED 2X 120Hz Display
    • 6.2-inch HD+ Dynamic AMOLED 2X 120Hz Cover Display
    • Kamera ultra-lebar 12MP (F2.2) + kamera telefoto 12MP (F2.4, OIS, Dual Pixel AF, PDAF) + kamera utama 12MP (F1.8)
    • Kamera swafoto bawah skrin 4MP + kamera swafoto10MP
    • Berukuran 158.2 x 128.1 x 6.4mm (dibuka), 158.2 x 67.1 x 14.4-16mm (dilipat), berat 271g
    • Sokong 5G, WiFi 802.11 a/b/g/n/ac/ax 2.4G+5GHz, MIMO, 1x eSIM, 2x Nano – SIM, Bluetooth 5.0, NFC, GPS (Ultra-Wideband), Samsung Pay (MST / NFC)
    • Dilengkapi Dolby Atmos, pengimbas cap jadi di bahagian sisi, pengimbasan muka, Samsung Knox, Samsung DeX, rating kalis air IPX8, Flex Mode
    • Bateri 4,400mAh (Pengecasan pantas 25W, pengecasan wayarles 10W, 4.5W Wireless PowerShare / pengecasan wayarles berbalik)
    • Android 11 + OneUI
    • Pilihan warna Phantom Black, Phantom Green and Phantom Silver

    Prestasi – Cemerlang dalam setiap ujian penanda aras!

    Bercakap tentang prestasi, Galaxy ZFold3 mencatatkan keputusan cemerlang dalam setiap penanda aras yang saya jalankan seperti Geekbench 5 dan 3DMark. Apabila saya bermain Genshin Impact, Fold3 berjaya menjanakan prestasi tinggi dalam tetapan grafik tinggi atau medium, namun ia menjadi panas dengan agak cepat terutamanya di bahagian engsel. Ini mungkin adalah sudut penglihatan (vieweing angle) yang lebih besar apabila ia dimainkan dalam skrin utama, jadi telefon terpaksa menghasilkan lebih banyak grafik berbanding apabila ia dimainkan pada skrin hadapan.

    Saya juga mendapati bahawa grafik Genshin Impact nampak pelik (distorted) sedikit apabila ia ditukarkan daripada skrin utama ke skrin hadapan. Masalah ini tidak akan terjadi jika anda membuka terus game tersebut dalam skrin hadapan terlebih dahulu. Selain Genshin Impact, masalah ini turut timbul dalam beberapa aplikasi lain.

    Walapun dengan dua skrin besar 120Hz (skrin utama 7.6 inci dan skrin hadapan 6.2 inci), bateri Fold3 masih boleh bertahan selama lebih satu hari jika digunakan untuk tugasan asas. Pengguna yang kerap membuka aplikasi berat mungkin terpaksa mengecas telefon ini pada waktu pertengahan hari, namun pengecasan 25W boleh membantu anda mengecas baterinya dengan cepat.

    Grafik Genshin Impact akan “disempitkan” jika anda bertukar daripada skrin utama ke skrin hadapan
    Jika ia jarang digunakan, bateri Fold3 boleh bertahan sehingga dua hari

    Pengecasan penuh akan mengambil masa sekitar sejam 30 minit sahaja. Pengecasan berbalik atau Wireless PowerShare boleh digunakan untuk mengecas aksesori seperti fon telinga wayarles, namun memandangkan Fold3 adalah telefon yang kuat menggunakan bateri, saya merasakan fungsi tersebut tidak akan selalu digunakan.

    Daripada segi panggilan telefon, kualiti bunyinya adalah sangat kuat dan jelas. Apabila anda mengaktifkan Flex Mode dalam Google Docs, ia akan menukarkan Fold3 kepada sebuah “komputer riba” terkecil dalam dunia, di mana satu belah skrin utama akan dijadikan sebagai papan kekunci. Jari saya yang agak besar sukar untuk menaip pada kekunci tersebut namun dengan sedikit latihan, saya boleh menaip dengan selesa.

    “Komputer riba” terkecil dalam dunia!

    Beralih kepada kamera Fold3, tiga kamera 12MP di belakangnya boleh mengambil gambar yang lebih cantik berbanding dwi-kamera Fold2. Butiran dalam gambar kini lebih jelas, autofokus lebih pantas dan prestasi malap pula kini lebih cantik, jadi bonggol kamera tebal di belakang Fold3 ini adalah amat berbaloi.

    Walaupun ia tidak mempunyai Space Zoom seperti dalam Galaxy S21 Ultra atau Galaxy Note20 Ultra, zum optikal 2x dalam Fold3 sudah cukup bagus untuk kebanyakan situasi. Nilai sendiri gambarnya di bawah:

    Kualiti swafoto pada kamera bawah skrin 4MP sekadar memuaskan sahaja dan boleh digunakan untuk menyertai panggilan video. Jika anda inginkan swafoto yang lebih cantik, lebih baik anda gunakan kamera 10MP pada skrin hadapan atau gunakan gabungan kamera utama+skrin hadapan. Rakaman video pula adalah sangat stabil dan fungsi tambahan dalam Pro Mode akan membenarkan anda untuk melaraskan pelbagai tetapan fotografi dengan mudah.

    Kesimpulan – Telefon lipat terbaik setakat ini

    Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy Z Fold3 adalah telefon lipat terbaik yang anda boleh beli pada waktu ini. Ia dilengkapi segala spesifikasi tercanggih pada waktu ini seperti Snapdragon 888, rating IPX8 dan sokongan S Pen, manakala rekaannya pula lebih ringan dan nipis berbanding Fold2.

    Malah, apa yang membuatkannya lebih menarik adalah harganya yang bernilai RM6,699, jauh lebih murah berbanding harga pelancaran Galaxy Z Fold2 atau Galaxy Fold. Jika akaun bank anda mampu menampung harga telefon canggih ini, ia boleh digunakan untuk semua tugasan mudah alih anda.

    Fold3 masih mempunyai kekurangannya, seperti grafik yang berubah apabila skrin penggunaannya ditukar daripada skrin utama ke skrin hadapan dan berlaku sewaktu saya bermain Genshin Impact. Akan tetapi, saya merasakan isu ini boleh diperbaiki dalam kemas kini akan datang.

    Satu lagi perkara yang anda perlu pertimbangkan adalah berat 271 gram yang jauh lebih berat berbanding kebanyakan telefon pintar.

    Setakat ini, Galaxy Z Fold3 tidak mempunyai saingan yang hebat daripada jenama lain. Jika anda inginkan telefon lipat yang lebih murah, Galaxy Z Fold2 masih lagi sebuah telefon yang relevan pada 2021. Jika skrin besar tidak menjadi keutamaan anda, Galaxy Z Flip3 adalah telefon lipat yang masih menawarkan reka bentuk lebih kecil dan menyerupai kebanyakan telefon biasa.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki Galaxy Z Fold3 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Kit Starlink kini tersedia di Senheng dengan ansuran sehingga 36 bulan

    Kit Starlink kini tersedia secara rasmi dengan harga RM2,300 di SenHeng. Menurut maklumat pada laman rasmi Senheng, pembeli boleh memilih untuk membayar...

    Jom manfaatkan diskaun 15% untuk peminjam PTPTN sehingga akhir bulan ini!

    Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyeru peminjam untuk memanfaatkan diskaun bayaran balik sehingga 31 Mac ini bagi melunaskan pinjaman mereka. Dari...

    Grab Malaysia lancarkan kempen untuk memenangi Pakej Umrah pada Ramadan ini

    Grab Malaysia telah melancarkan kempen Ramadan yang menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk memenangi pakej Umrah dengan setiap tempahan di aplikasi Grab....

    Xiaomi Civi 4 Pro, telefon baharu Redmi & siri iQOO Z9 akan tampilkan cipset...

    Qualcomm telah melancarkan cipset perdana terbaharunya iaitu Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3, menjanjikan peningkatan ketara dan integrasi AI yang dipertingkatkan. Kemajuan ini...

    Harga rasmi Samsung Galaxy A55 5G dan A35 5G didedah, bermula RM1,699

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Samsung Galaxy A55 5G dan Galaxy A35 5G akan dilancarkan di Malaysia pada 22 Mac 2024. Namun,...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X