More

    Ulasan Samsung Q800C – Sistem audio premium dengan harga yang lebih rendah

    Untuk membina sebuah teater dalam rumah (home theatre) yang lengkap dan menyerupai pengalaman mirip wayang sebenar, selain mempunyai televisyen bersaiz besar, anda perlu melaburkan wang untuk sebuah sistem audio yang boleh mengelilingi anda sebagai penonton. Perkara ini boleh dicapai dengan sistem audio persekitaran (surround sound) yang menggunakan beberapa saluran (channels) dan subwoofer.

    Pastinya sistem audio yang lebih mahal akan memberi pengalaman audio yang lebih menyeluruh, namun anda tidak perlu membayar produk yang paling mahal untuk mendapatkan audio sedemikian. Dengan Samsung HW-Q800C, ia memberikan kualiti audio premium dengan harga yang lebih rendah daripada soundbar jenama lain. Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya

    Sistem pembesar suara Q800C terdiri daripada dua komponen utama iaitu sebuah soundbar dan sebuah subwoofer. Soundbar ini mempunyai bentuk yang panjang dan tiris, dengan lebar yang menyerupai sebuah televisyen berukuran 55 inci, jadi ia mudah diletakkan di depan televisyen. Anda juga boleh menggantung soundbar di sebalik dinding dan Samsung turut menyediakan bracket khas untuknya dalam kotak.

    Saiz subwoofer yang agak besar

    Sungguh pun begitu, subwoofernya agak besar dengan saiz menyerupai sebuah komputer desktop, jadi anda harus memastikan bahawa anda mempunyai ruang yang cukup untuk menempatkan kedua-dua komponen ini. Kedua-dua komponen boleh dihubungkan secara wayarles dan automatik.

    Selain itu, soundbar dan subwoofer memerlukan palam kuasa yang berasingan, jadi anda mungkin perlu sediakan palam elektrik tambahan jika anda turut menggunakan palam kuasa yang sama untuk televisyen.

    Tidak seperti Samsung Q990C yang mempunyai sepasang lagi pembesar suara sebagai saluran audio belakang (rear channels), Q800C adalah sistem audio 5.1.2 yang bermaksud ia mempunyai tiga saluran di hadapan, dua saluran di sisi kanan kiri, satu subwoofer dan dua saluran dari atas. Untuk menghasilkan saluran atasan ini, soundbar akan memancarkan audio ke siling bilik kemudian ia akan dipantulkan kepada pengguna, bagi menghasilkan efek audio persekitaran.

    Seperti yang dijangka, kualiti audio yang dihasilkan daripada Q800C adalah sangat mantap. Saya telah menggunakannya untuk menonton pelbagai filem dan video pendek serta mendengar muzik dan saya sangat berpuas hati. Walaupun dengan ketiadaan saluran belakang, Q800C masih boleh menghasilkan kualiti audio jelas yang mengelilingi saya untuk pengalaman sinematik tertinggi dalam teater rumah.

    Subwoofernya menghasilkan bass yang terkawal untuk lagu yang padat dengan bass seperti Malampagi oleh Saixse, manakala muzik yang lantang seperti runut bunyi Doom Eternal juga boleh dihasilkan dengan baik walaupun pada paras audio yang tinggi.

    "
    "
    Syok dengar lagu “Satu Malam di Temasek” oleh Joe Flizzow

    Jika anda ingin menaik taraf audio anda pada masa hadapan, Q800C boleh digabungkan dengan pembesar suara SWA-9500S untuk dijadikan saluran belakang, namun ini memerlukan anda untuk membelanja lebih banyak wang.

    Apabila menghidupkan Q800C buat kali pertama, ia akan mengaktifkan SpaceFit Sound Pro bagi mengkalibrasi audio yang paling sesuai dengan bentuk bilik anda. Saya merasakan fungsi itu berjaya menghasilkan audio yang terbaik buat bilik yang digunakan untuk ulasan ini, namun saya tidak pasti jika ia mempunyai had untuk saiz bilik bagi menala audio terbaik.

    Jika anda menggunakan Q800C bersama sebuah televisyen pintar Samsung, kedua-dua produk boleh disepadukan dengan ciri Q-Symphony di mana pembesar suara dalaman televisyen akan bekerjasama dengan Q800C untuk menghasilkan kualiti audio yang lebih tinggi. 

    Untuk ulasan ini, saya menggabungkan Q800C dengan Samsung S95C OLED 4K TV yang telah saya ulas sebelum ini. Pada pendapat saya, kualiti audio daripada Q800C sahaja adalah jauh lebih baik daripada pembesar suara dalam televisyen dan anda tidak perlu pun mengaktifkan Q-Symphony untuk menikmati audio terbaik buat filem anda.

    Untuk mengaktifkan Q-Symphony, anda perlu pilih opsyen “TV+Soundbar”
    Anda boleh akses Equaliser dalam televisyen untuk menala audio anda, ia juga boleh diakses dalam telefon pintar Samsung

    Ia juga mempunyai fungsi Adaptive Sound dan Active Voice Amplifier (AVA) yang bertujuan untuk mengutamakan suara manusia dalam babak yang banyak dialog seperti siaran berita atau filem drama. Sewaktu menonton filem yang penuh babak aksi seperti Transfomers, Top Gun Maverick dan Kingsman, suara setiap pelakon masih boleh didengari dengan jelas walaupun mereka dikelilingi bunyi letupan dan tembakan. Saya juga tidak mengalami sebarang isu lag kerana suara daripada pelakon memang tepat dengan gerakan mulut.

    Lebih menarik adalah apabila televisyen dan Q800C digunakan untuk bermain game, kerana saya boleh mengetahui arah musuh melalui audio yang dihasilkan, seperti sewaktu saya bermain Battlefield 4. Selalunya, perkara ini sukar dilakukan dengan pembesar suara biasa kerana ia tidak dapat menghasilkan efek audio 3D, namun Q800C boleh memudahkan saya untuk mengenal pasti kedudukan musuh.

    Untuk mengawal Q800C, anda boleh gunakan alat kawalan jauh yang minimalis dan mudah digunakan. Jika anda menggunakan televisyen Samsung, alat kawalan jauh televisyen tersebut turut boleh digunakan untuk mengawal Q800C. Buat para pengguna telefon pintar Samsung Galaxy pula, peranti itu pun boleh mengawal Q800C melalui ekosistem SmartThings.

    Namun jika anda malas seperti saya dan ingin menggunakan arahan suara (voice commands), ia juga boleh memahami suara saya dengan jelas, walaupun sebutan Bahasa Inggeris saya mempunyai loghat yang berat.

    Alat kawalan jauh

    Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan Samsung Q800C kerana ia menghasilkan kualiti audio yang premium dan sangat bersesuaian dengan teater rumah. Pada harga RM3,999, ini bukanlah sebuah produk yang murah, namun untuk produk pada kategori ini, ia boleh dianggap sebagai lebih mampu milik berbanding produk lain yang setaraf. Untuk audio yang lebih bagus, anda boleh dapatkan Samsung Q990C dengan saluran 11.1.4 namun harganya jauh lebih mahal iaitu RM6,499.

    Jika anda inginkan produk serupa daripada jenama lain, anda boleh lihat pada LG Soundbar S90QY (RM3,499) atau JBL Bar 800 (RM3,999). Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Saluran audio 5.1.2
    • Soundbar dengan 11 pembesar suara, menghala ke tengah, sisi dan atas
    • Subwoofer wayarles
    • Berat: 5.1kg (soundbar), 9.8kg (subwoofer)
    • Ukuran
      • Soundbar: 1110.7 x 60.4 x 120.0 mm
      • Subwoofer: 210.0 x 403.0 x 403.0 mm
    • Menawarkan fungsi Active Voice Amplifier (AVA), Dolby Atmos, SpaceFit Pro, Hi-Res Audio Decoder, Q-Symphony, AirPlay2
    • Menyokong fail audio AAC, MP3, WAV, OGG, FLAC, ALAC dan AIFF
    • Mempunyai 1x port HDMI, 1x HDMI ARC, 1x optikal
    • Boleh dihubungkan melalui Wi-Fi, Bluetooth, Wireless Dolby Atmos
    • Menyokong alat penggunaan One Remote Control
    • Sistem arahan suara Google Assistant dan Amazon Alexa

    Kebaikan: Kualiti audio premium, tidak banyak memerlukan ruang kerana tiada pembesar suara belakang (rear speakers)

    Keburukan: Saiz subwoofer yang agak besar, memerlukan palam elektrik berasingan untuk subwoofer dan soundbar

    Kesimpulan: Pembesar suara yang padu untuk wayang dalam rumah anda

     

    Artikel Terkini

    Malaysia perkenal pasport 10 tahun RM350 — Ini apa yang anda perlu tahu

    Malaysia secara rasmi memperkenalkan pasport 10 tahun dengan kadar baharu RM350 bagi warganegara berumur 18 hingga 59 tahun, berkuat kuasa selepas diwartakan...

    TSMC dakwa Samsung “masih bermimpi” untuk dominasi industri foundri global

    Pengerusi TSMC, C.C. Wei, menegaskan kedudukan syarikat itu dalam industri foundri global masih kukuh dan percaya pesaingnya masih belum mampu mencabar penguasaan...

    HONOR MagicPad 4 turut diumum dengan SD 8 Gen 5, OLED 12.3″ dan bateri...

    Selain pelancaran telefon pintar boleh lipat Magic V6, HONOR turut mengumumkan ketibaan tablet premium baharunya iaitu HONOR MagicPad 4 untuk pasaran Malaysia....

    Infinix HOT 70 tiba di Malaysia dengan butang AI khas dan Google AI Plus...

    Infinix Malaysia hari ini melancarkan HOT 70 iaitu telefon pintar baharu dalam segmen mampu milik yang hadir dengan fokus terhadap reka bentuk,...

    HONOR Magic V6 diumum di Malaysia: “Super Steel Hinge” dan “Magic Diamond Screen” bermula...

    HONOR Malaysia melancarkan telefon pintar boleh lipat terbaharu HONOR Magic V6 yang tampil dengan rekaan lebih nipis, bateri lebih besar dan pelbagai...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Edifier W60 – Pilihan bajet dengan audio Hi-Res

    Edifier W60 merupakan fon telinga wayarles jenis over-ear yang direka khusus bagi pengguna yang mahukan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC) pada harga...

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...