fbpx
More

    Ulasan Samsung S95C OLED 4K TV – ‘Wayang’ paling gempak untuk rumah T20

    Buat para penggemar televisyen pintar di Malaysia, Samsung telah melancarkan Samsung S95C OLED 4K TV iaitu televisyen 4K andalan (flagship) terbaru untuk tahun ini. Ia dilengkapi teknologi baharu untuk kategori televisyen OLED iaitu Quantum Dot (QD) yang menjanjikan warna lebih cantik, putih yang lebih terang dan hitam yang lebih gelap.

    Dengan saiz 65 inci, ini pastinya adalah televisyen yang menarik jika anda ingin membina sebuah teater mini dalam rumah anda. Untuk mengetahui sama ada ini skrin yang tepat untuk rumah anda, ayuh baca ulasan ini:

    Pertama sekali, saya ingin ulas tentang rekaannya. Dengan skrin sebesar 65 inci, anda perlu ketahui bahawa ini adalah televisyen yang sangat berat, dengan berat sekitar 18.9kg (televisyen sahaja), manakala ukurannya pula adalah 1443.5×829.4×11.0mm. Semestinya, anda perlukan bantuan oleh sekurang-kurangnya dua orang untuk memasang televisyen gergasi ini.

    Dalam kotak, televisyen ini turut didatangkan dengan pendirinya (TV stand) yang diperbuat daripada besi dan rasa sangat kukuh. Memandangkan pendiri ini perlu menahan berat televisyen yang tinggi, mutu buatannya dibina dengan kualiti yang sangat padu. Apabila digabungkan dengan pendiri, berat keseluruhan televisyen ini menjadi 29kg. Jika anda tidak berminat dengan pendirinya, televisyen ini boleh digantung pada dinding untuk penampilan yang lebih kemas.

    Reka bentuk Samsung S95C dengan bezel nipis di seluruh sisi

    Walaupun beratnya memerlukan dua orang untuk memasang, proses pemasangannya amat mudah. Sebenarnya, saya dan seorang lagi penulis TechNave tidak pernah memasang televisyen sebelum ini, namun kami hanya mengikut panduan pemasangan yang disertakan dalam kotak dan kami tidak menghadapi sebarang masalah besar.

    Sewaktu menghubungkan kabel pula, televisyen ini didatangkan dengan kotak penghubung One Connect untuk menguruskan pelbagai kabel yang datang daripada peranti asing seperti dekoder, konsol gaming, komputer dan sebagainya. Hanya satu kabel sahaja yang menghubungkan One Connect dengan televisyen, jadi anda tidak perlu runsing mengurus lambakan kabel.

    Pelbagai port yang disediakan dalam kotak One Connect
    Kotak ini boleh diletakkan di belakang televisyen, atau tempat yang berasingan

    Kotak One Connect ini berbentuk nipis dan ia boleh diletakkan di belakang televisyen, atau anda boleh letakkannya dalam kabinet di bawah televisyen untuk menyembunyikan kabel yang berserabut.

    Sebaik sahaja anda menghidupkan televisyen ini, anda akan disambut dengan antara muka Tizen yang mudah untuk digunakan. Ia telah siap dipasang dengan tiga aplikasi penstriman popular iaitu Netflix, Disney+ dan Amazon Prime, manakala platform perkongsian video YouTube juga telah siap dipasang. Usah risau jika aplikasi kegemaran anda tidak disertakan kerana anda boleh memuat turun daripada galeri aplikasinya. 

    Alat kawalan jauh yang boleh dicas dengan tenaga suria

    Jika anda tidak menonton sebarang video, anda boleh aktifkan Ambience Mode di mana ia akan memaparkan beberapa screen saver yang cantik. Selain itu, buat mereka yang menggunakan peranti mudah alih Samsung seperti telefon pintar, fon telinga atau jam tangan, anda boleh gunakan peranti-peranti tersebut untuk berinteraksi dengan televisyen Samsung S95C.

    Untuk mengawal sistem operasi televisyen ini, anda perlu gunakan alat kawalan jauhnya yang berbentuk nipis dan ringan. Satu perkara menarik untuk alat kawalan jauh ini ialah ia mempunyai tiga butang khas untuk Netflix, Disney+ dan Amazon Prime. Selain itu, baterinya boleh dicas menggunakan tenaga suria, jadi anda tidak perlu lagi risau untuk mencari bateri AAA.

    Kini mari kita beralih kepada kualiti imejnya. Televisyen OLED selalunya tidak boleh menghasilkan kecerahan yang tinggi dan sukar ditonton dalam bilik yang banyak cahaya, namun Samsung S95C dengan teknologi QD-OLED boleh menghasilkan imej yang cerah walaupun apabila televisyen ini diletakkan dalam bilik yang banyak tingkap dan dibanjiri cahaya matahari. Saya tidak rasa silau langsung sepanjang menonton televisyen ini.

    Penghasilan warna yang cantik daripada filem The Avengers
    Babak Top Gun Maverick ini mempunyai cahaya yang sangat terang, namun ia masih boleh dipaparkan secara terkawal
    Sudut gelap pada babak yang agak malap dalam Spiderman: No Way Home ini dipaparkan dengan cantik pada skrin S95C

    Seperti yang dijangka, warna yang dihasilkan pada skrin Samsung S95C nampak hidup dengan nisbah kontras yang tinggi. Sewaktu menonton filem dengan babak-babak yang malap, warna hitam pada skrin nampak sangat gelap. Video yang mempunyai jurang dinamik tinggi (high dynamic range) juga nampak jelas walaupun dalam babak yang sangat terang seperti sinaran matahari atau lampu yang cerah. 

    Anda pasti akan menikmati kandungan 4K pada skrin ini, namun jika anda memainkan video dengan resolusi lebih rendah sekali pun seperti 2K atau 1080p, pemproses Neural Quantum Processor 4K boleh menaikkan skala (upscale) resolusi video tersebut kepada 4K dan ia nampak sangat natural. 

    Jika anda menonton video dengan kadar bingkai rendah seperti 24fps atau 30fps, anda boleh mengaktifkan Intelligent Mode untuk meningkatkan kadar tersebut kepada 60fps untuk efek yang nampak lebih lancar dan seperti kehidupan sebenar. Sungguh pun begitu, pemproses televisyen ini gagal menghasilkan efek 60fps yang sekata terutamanya dalam babak-babak aksi yang padat dengan gerakan. Mungkin jika anda menonton video yang lebih santai seperti drama, Intelligent Mode ini boleh dimanfaatkan dengan baik.

    Untuk babak yang banyak gerakan seperti tarian beramai-ramai dalam filem Bajrangi Bhaijaan, Intelligent Mode gagal menghasilkan efek 60fps yang cantik dan sekata

    Saya juga telah cuba memainkan game dengan televisyen ini dan saya sangat berpuas hati dengannya. Samsung mengatakan S95C mempunyai kadar segar semula sehingga 144Hz dan memang ia boleh menghasilkan animasi dan corak permainan (gameplay) yang lancar tanpa sebarang gagap (stutter) selagi anda mempunyai komputer atau konsol yang mempunyai kuasa grafik mencukupi.

    Untuk mengelakkan kesan skrin koyak (screen tear), fungsi AMD FreeSync Premium Pro berfungsi dengan sangat cemerlang kerana saya tidak mengalami sebarang kesan koyak langsung. Anda juga boleh mengaktifkan Game Mode yang akan memaparkan menu khas untuk membantu anda bermain game, seperti Minimap Zoom dan Virtual Aim Point. Sungguh pun begitu, saya merasakan fungsi-fungsi Game Mode ini lebih kepada gimik sahaja dan tidak banyak berbeza jika ia dimatikan.

    Suasana terang dalam game Battlefield 4 ini dipaparkan dengan sangat cantik
    Bahagian gelap pada babak ini dikendalikan dengan baik
    Menu Game Mode

    Sungguh pun begitu, kadang-kala saya mengalami masalah sewaktu menghubungkan komputer kepada televisyen ini dan saya perlu mencabut dan memasang semula kabel HDMI untuk menyelesaikannya.

    Kini saya ingin mengulas audio daripada pembesar suaranya dan saya merasakan ini adalah satu kekurangan pada S95C. Ia mempunyai lapan pembesar suara yang mempunyai sokongan Dolby Atmos dan dihalakan ke belakang televisyen, namun kualiti audionya agak hambar untuk sebuah televisyen seperti ini kerana ia lebih menyerupai televisyen yang lebih murah.

    Untuk pengalaman audio yang lebih mantap, saya mencadangkan anda untuk gabungkan televisyen ini dengan sebuah sistem audio luaran seperti soundbar dan subwoofer. Saya sebenarnya telah menggabungkannya dengan Samsung Soundbar Q800C dan pengalaman audionya jauh lebih baik daripada pembesar suara dalaman S95C. 

    Jika anda menggabungkan sistem audio Samsung dengan televisyen ini, ia akan mengaktifkan Q-Symphony yang menyepadukan pembesar suara dalaman dengan subwoofer dan soundbar untuk pengalaman audio mirip wayang. Saya akan ulas Q800C dalam sebuah ulasan yang berasingan.

    Akhirnya, saya ingin menjelaskan harga untuk televisyen ini. Samsung S95C 4K OLED TV akan dijual dalam pasaran Malaysia pada harga RM15,999. Sudah tentu ini adalah harga yang memang sangat mahal untuk televisyen premium, hampir sama dengan sebuah kereta terpakai. Namun jika anda inginkan kualiti imej yang paling cantik untuk teater mini dalam rumah anda, anda tidak akan menyesal dengan pelaburan sedemikian.

    Tidak banyak alternatif kepada televisyen seperti ini di pasaran. Pesaing yang paling dekat pastinya ialah LG OLED evo G3 (RM17,999) yang menawarkan sokongan imej Dolby Vision, namun ia tidak mempunyai ciri yang dikhaskan untuk gaming seperti kadar 144Hz dan Game Mode.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi

    • Saiz skrin 65 inci
    • Resolusi 3840×2160
    • Kadar segar semula 144Hz
    • Enjin gambar Neural Quantum Processor 4K dengan Quantum HDR OLED+ dan sokongan HDR10+
    • Fungsi Contrast Enhancer, Noise Reduction, Film Mode, Expert Calibration, AI Upscale, Filmmaker Mode
    • Pembesar suara 4.2.2 Dolby Atmos dengan Object Tracking Sound
    • Sistem operasi Tizen Smart TV, boleh digunakan dengan Samsung SmartThings
    • Game Mode
    • 4 port HDMI, tiga port USB, 1 port USB-C (kamera sahaja), 1 port ethernet
    • Sokongan wayarles WiFi 5, Bluetooth 5.2
    • Ukuran 1443.5 x 829.4 x 11.0mm (tanpa pendiri), berat 18.9kg (tanpa pendiri)

    Kebaikan: Kualiti imej tercantik untuk kategorinya, UI yang mudah digunakan

    Keburukan: Kualiti pembesar suara yang sekadar memuaskan

    Kesimpulan: Televisyen OLED yang terbaik untuk teater rumah, kalau anda mampu membelinya

     

    Artikel Terkini

    Google membayar Apple ~RM95 bilion pada 2022 kerana jadi enjin carian utama peranti

    Google membayar Apple $20 bilion (~RM95 bilion) pada 2022 untuk menjadi enjin carian utama bagi Safari pada iPhone, iPad dan Mac, lapor...

    Acer Nitro V 16 dilancar di Malaysia: Komputer riba “gaming” mampu milik bermula RM4,899

    Pada hari ini, Acer Malaysia memperkenalkan komputer riba gaming mampu milik Acer Nitro V 16 iaitu komputer Nitro pertama yang dilengkapi pemproses...

    realme 12x 5G dilancar di Malaysia: Skrin 6.67″ 120Hz, Dimensity 6100+, kamera utama 50MP...

    Pada hari ini, realme Malaysia melancarkan satu lagi telefon dalam siri realme 12 iaitu realme 12x 5G. Ia merupakan varian yang paling...

    vivo V30e dilancar di Malaysia: Kamera Sony IMX882 50MP dan Aura Light 3.0 berharga...

    vivo memperkenalkan inovasi terbarunya, vivo V30e di Malaysia hari ini, menjanjikan gabungan reka bentuk berteknologi tinggi dan prestasi terunggul. Reka bentuknya menampilkan...

    Infinix GT 20 Pro rasmi di Malaysia: Dimensity 8200 Ultimate, skrin 144Hz dan LED...

    Infinix melancarkan GT 10 Pro pada Ogos tahun lepas sebagai telefon pintar permainan pertamanya. Hari ini, sebagai pengganti GT 10 Pro, Infinix...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X