fbpx
More

    Ulasan Samsung The Sero Smart Lifestyle TV – Skrin boleh putar, inikah TV masa hadapan?

    Untuk membeli sebuah televisyen baharu, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan. Contohnya, saiz panel skrin TV mana yang sesuai dengan ruang tamu anda? Adakah anda perlu resolusi 4K? Adakah panel LCD sudah mencukupi? Anda boleh membaca mengenai panduan membeli TV baru disini (dalam bahasa Inggeris). Namun, pada artikel ini kami akan melaporkan tentang TV menegak ini.

    Mungkin soalan pertama yang anda terfikir adalah “Siapa yang nak beli TV macam ini”. Soalan ini bagus kerana saya juga tidak mampu untuk ‘meracun’ anda untuk membeli TV ini, tetapi soalan yang lebih betul adalah “TV sebegini untuk siapa?” dan “adakah ini TV masa hadapan”. Jadi, kami akan mengulas mengenai The Sero dari Samsung, bermula dari atas hingga ke bawah peranti.

    Selain dari memasarkan telefon pintar, Samsung juga terkenal dalam pasaran barangan elektrik. Tentunya, sebelum ini Samsung sudah memasarkan pelbagai jenis TV secara global, tetapi kita tidak menyangka bahawa mereka akan mencipta TV yang boleh berputar dalam posisi menegak atau melintang. Panel skrin adalah berukuran 43 inci dengan resolusi 3840 x 2160 piksel. Terdapat pembesar suara 4.1 Ch di belakang peranti, tersorok di belakang permukaan biru dan keseluruhan TV berukuran 564.7 x 1200 x 327mm. Untuk perbandingan, tingginya adalah 120cm dalam mod menegak (lebih kurang pendek sikit sahaja dari ketinggian saya 173cm).

    Pandangan keseluruhan The Sero dalam mod menegak, Fakta – Sero bermakna menegak dalam bahasa Korea
    Di bahagian bawah terdapat pembesar suara 4.1 Ch yang tersembunyi di belakang permukaan biru
    Sepasang pendiri berbentuk bulat untuk memastikan TV dalam kedudukan baik
    Di belakang, anda boleh menanggalkan penutupnya dan melihat tetapan kabel. Port yang ada: 3x HDMI, 2x USB A dan satu ANT IN untuk audio
    Alat kawalan, anda boleh menggunakan arahan suara jika terlalu malas untuk menaip satu persatu huruf

    Tetapan pada TV ini tidak semudah yang disangka. Anda boleh membeleknya sendirian, tetapi lebih baik jika ada panduan atau pertolongan. Selepas memasang penongkat beroda dan memasang palamnya, anda boleh mengaktifkan TV dengan alat kawalan yang hadir bersama. Seperti kebanyakan alat kawalan moden yang lain, alat kawalan Samsung juga tidak memeningkan. Terdapat butang Netflix dan Amazon Prime, butang Home, main/jeda, kembali, kelantangan dan lain-lain. Memandangkan TV ini boleh berputar secara menegak, terdapat juga butang untuk fungsi tersebut.

    Setelah selesai urusan mendaftar atau log masuk, sebenarnya anda juga boleh menghubungkan The Sero dengan telefon pintar anda. Ya, selepas anda menghubungkannya, TV akan memaparkan perkara yang sama dengan apa yang telefon pintar anda lakukan. Dengan ini, secara tidak langsung persoalan pertama telah terjawab – The Sero dicipta untuk golongan Milenial dan Generasi-Z yang gemar meluangkan masa dengan telefon pintar. Anda boleh membayangkan melayari Facebook dan Instagram di TV atau melihat TikTok pada skrin besar. Mungkin untuk sesetengah golongan, perkara ini tidak perlu, tetapi untuk sesetengah golongan, ia adalah fungsi yang baik.

    The Sero lebih baik dihubungkan dengan telefon Galaxy (One UI 2.5 ke atas). Di sini, kami menggunakan Galaxy Note20 Ultra
    Pencerminan dari telefon ke TV
    Terdapat sedikit kelewatan latensi, telefon akan paparkan latar terdahulu sebelum TV memaparkannya

    Lihat video tontonan The Sero di pautan ini: https://www.facebook.com/watch/?v=975826009596958

    Anda boleh menghubungkan telefon Android atau iPhone melalui Bluetooth, tetapi hanya telefon Samsung Galaxy dengan versi One UI 2.5 ke atas sahaja yang memberi pengalaman terbaik. Menurut pengalaman saya, agak seronok untuk menatal laman Facebook, Instagram, TikTok dan lain-lain di skrin besar. Satu perubahan yang baik selain dari melihat skrin telefon. Namun, terdapat sedikit kelewatan latensi dari telefon Galaxy ke TV terutama jika ada pergerakan terlalu pantas (contohnya video menari dan aksi). Jadi, jika anda mempunyai mata yang tajam, perkara ini mungkin agak menjengkelkan dan lebih baik lihat di skrin telefon sahaja. Isu ini turut ada pada game mudah alih juga.

    Mengenai game pula, anda boleh menghubungkan konsol gaming anda ke The Sero melalui port HDMI dan ianya berfungsi dengan baik. Dengan HDR 10+, 100% Colour Volume dengan Quantum Dot, resolusi 4K dan banyak lagi kebaikan lain, pengalaman gaming di TV adalah menyeronokkan. Dengan saiz TV sebegini, game sesuai dimainkan di bilik tidur atau bilik lain berbanding ruang tamu. Jika anda ingin menonton filem melalui pemacu keras (hard drive) yang disambungkan ke TV, saya tidak menggalakkannya kerana kelewatannya agak teruk.

    Persembahan grafik yang baik seperti yang dijangkakan
    Lebih baik untuk letak TV di tempat tiada pantulan cahaya terang semasa menonton filem di TV
    Tontonan Netflix yang mantap terima kasih kepada sokongan HDR, walaupun ada sedikit warna putih di tempat yang dibulatkan
    Warna boleh jadi terlalu pekat, bergantung kepada tetapan mod TV
    Bermain Crash Team Racing pada Nintendo Switch
    The Sero juga sesuai untuk suasana pejabat

    Walaupun pengalaman menonton dari pemacu keras tidak digalakkan, anda masih boleh menonton di Netflix dan Amazon Prime. Seperti yang dijangka, kualiti imej pada The Sero adalah baik dan jika anda ingin mengubahsuai mod atau filter warna, anda boleh melakukannya di tetapan. Hampir tiada rungutan yang boleh dikeluarkan terhadap resolusi 4K kerana tiada sebarang pergerakan yang kabur jika menonton anime atau filem. Jika ada, ianya disebabkan internet yang tak mampu memaparkan kelajuan menstrim.

    Apa pun, jika menonton filem dalam keadaan gelap, anda akan dapat melihat sedikit warna putih di sebelah atas dan bawa bar hitam. Begitu juga dengan tayangan filem dengan latar belakang gelap. Hal ini kerana panel skrin TV tidak menggunakan OLED dan isu ini agak biasa, tetapi posisi TV yang boleh diubah sebenarnya menambahkan lagi warna putih ini. Syukurlah kualiti audionya agak menyeronokkan. Anda boleh menukar bilik anda kepada pawagam mini dengan sokongan sistem audio Dolby 5.1 dan tetapan mod filem (dan lain-lain). Percayalah, anda akan selesa menonton semasa anda berada di atas sofa atau katil dengan lampu yang dimalapkan, selimut tebal dan penghawa dingin dipasang.

    Selain daripada gaming dan menonton filem, anda juga boleh menggunakan The Sero sebagai kotak muzik gergasi dalam bilik anda. Anda boleh menghubungkan telefon anda, YouTube, Spotify atau aplikasi Apple Music yang sudah di pra-pasang dalam TV ini. Terdapat juga pelbagai pilihan paparan jam digital, poster, lukisan seni dan lain-lain untuk menambah seri ruangan anda. Anda boleh menambah gambar anda sendiri sebagai latar belakang. Lebih menarik, terdapat beberapa imej yang boleh mengikut rentak muzik. Kesemua ciri yang dinyatakan adalah sesuai dengan golongan Milenial atau Generasi Z bersama ciri pengubahsuaian yang boleh dipilih mengikut bilik sendiri.

    TV akan beri panduan untuk mendaftar atau log masuk akaun Spotify dari telefon anda
    Sudah ditetapkan!
    Pandangan lebih dekat pada aplikasi-aplikasi yang sudah dipra-pasang dalam The Sero
    Apple TV dan Apple Music juga ada
    Sistem UI carian di YouTube, menu di bawah
    Beberapa tetapan yang boleh diubah suai
    Tetapkan dan pilih mana-mana latar belakang yang anda suka
    Lain-lain jenis potret tersedia

    Secara keseluruhan, saya sebenarnya seronok menggunakan The Sero. Skrin boleh berputar adalah salah satu faktor mengagumkan. Tambahan pula, ia mempunyai visual dan kualiti audio yang baik untuk anda menikmati tontonan filem, bermain konsol game dan sebagai paparan besar yang disambungkan dengan telefon Galaxy. Walaupun terdapat isu kelewatan latensi dari Sync Live dan masalah tayangan media dari pemacu keras, kedua-dua masalah ini adalah kecil sahaja jika dibandingkan dengan harganya….. (bunyi dram) RM6,999.

    Mengenai target pasaran yang disebutkan sebelum ini, sejujurnya mungkin golongan Milenial atau Generasi Z inginkan TV ini, tetapi bukan semua orang dari golongan tersebut mampu membelinya. RM6,999 ialah jumlah yang besar, tetapi dengan kesemua ciri yang dinyatakan harganya boleh dikira setanding dengan apa yang ditawarkan. Ya, pandangan yang agak gila. Namun, televisyen ini mungkin sesuai menjadi calon televisyen di masa hadapan. Usaha yang tidak disangka-sangka dari Samsung ini mungkin mengubah pandangan kita mengenai TV di masa hadapan. Pasaran telefon pintar juga agak berkembang dengan pantas dan kebolehan untuk dihubungkan dengan The Sero adalah sesuatu yang masuk akal.

    Pendiangan yang sememangnya tak beri kehangatan, tapi GIF api yang bergerak agak mengagumkan

    Agak mengambil masa panjang untuk kami membiasakan diri menonton di TV menegak ini. Setakat ini, The Sero sepertinya sesuai diletakkan di dalam bilik sahaja. Mungkin boleh diletakkan di ruang tamu, tetapi ia kelihatan seperti TV kedua jika anda sudah mempunyai TV lain yang lebih besar. Apakah pendapat anda pula? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Ciri teknologi dan spesifikasi:

    • Tizen OS
    • Panel skrin 43 inci QLED 4K
    • Berukuran 564.7 x 1200 x 327 mm dengan berat 33.3 kg (saiz set bersama penongkat)
    • Pembesar suara 4.1CH + Dolby Digital Plus, sokongan Dolby 5.1, output bunyi 60W
    • Sokongan alat kawalan (TM2050A)
    • 3x HDMI, HDMI A / Return Ch. Support, 2 USB, 1x RF In (Terrestrial / input Kabel)
    • Dilengkapi Pemproses Quantum 4K, 2800 PQI, Quantum HDR, HDR10+, 100% Colour Quantum Dot, Adaptive Picture, Adaptive Sound+, AI Upscale, Active Voice Amplifier, Magic Screen+, Game Mode
    • Menyokong WiFi 5, Sync Live, Bluetooth 4.2 dengan iOS dan Android, Pembantu Suara Bixby Voice, SmartThings
    • Bekalan kuasa AC100-240V 50/60Hz, penggunaan kuasa 140W (maksimum), 164.16 kWh (tahunan)

    Kelebihan – Skrin boleh putar, kualiti visual dan audio memuaskan, Sync Live dengan peranti Galaxy, boleh disambung dengan konsol gaming, aplikasi yang dipra-pasang (Netflix, YouTube, Spotify dan banyak lagi) sedia untuk digunakan

    Kelemahan – Sedikit kelewatan latensi dari Sync Live, pemaparan kandungan media dari pemacu keras mengecewakan dan harga agak tinggi

    Kesimpulan – Mengagumkan, untuk pasaran golongan tertentu yang berpoket tebal

     

    Artikel Terkini

    Aeon Bank bakal mulakan operasi perbankan digital Islam pada akhir suku kedua 2024

    Aeon Bank (M) Bhd, yang merupakan salah satu daripada lima pemegang lesen perbankan digital di Malaysia, bakal memulakan operasi serta melancarkan aplikasi...

    Perkhidmatan ETS KTM bakal bermula di Segamat, Johor pada 1 Julai 2024

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) telah memberikan pendedahan mengenai Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan datang di Segamat, Johor yang akan mula beroperasi...

    realme Narzo 70x 5G akan dilancar pada 24 April 2024

    realme akan melancarkan telefon pintar mampu milik, realme Narzo 70x 5G, pada hari Rabu, 24 April 2024 di India jam 12:00 tengah...

    vivo Y200i dilancar: SD 4 Gen 2, bateri 6,000mAh, cas pantas 44W, skrin 120Hz...

    vivo telah memperkenalkan telefon pintar kelas permulaan terbaru di China iaitu vivo Y200i. Ia merupakan varian terbaru yang menggunakan penjenamaan tersebut, selepas...

    Infinix Malaysia ajak anda ke XFans Road Tour, boleh cuba sendiri NOTE 40 Series...

    Infinix Malaysia akan menganjurkan jelajah jerayawara XFans Road Tour di dua bandar utama dalam Semenanjung Malaysia bagi mengajak para pengguna untuk cuba...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X