fbpx
More

    Ulasan Sony WF-XB700 – TWS EXTRA BASS seimbang untuk harga sekitar RM500

    Produk True Wireless Stereo (TWS) semakin mendapat tempat di kalangan penggemar teknologi dan pada masa yang sama, harganya juga semakin menurun. Syarikat produk audio seperti Sony pula telah menawarkan produk serupa dengan harga di bawah RM1,000 tanpa mengorbankan kualiti yang tinggi. Untuk earphone wayarles Sony WF-XB700 yang dijual pada harga RM549, ia adalah sepasang TWS tanpa pembatalan hingar (noise cancellation) namun masih dilengkapi teknologi EXTRA BASS. Ayuh baca ulasan kami untuk lihat sama ada produk ini sesuai dengan keperluan muzik anda.

    Walaupun rekaan WF-XB700 nampak agak besar dan tebal, ia masih boleh dipakai secara selesa di telinga. Saya hanya perlu meletakkannya di telinga dan putar sedikit untuk genggaman yang lebih erat. Terdapat butang fizikal pada kedua-dua belah earphone yang responsif dan mudah untuk ditekan. Butang di sebelah earphone kanan berfungsi untuk memainkan atau menjeda (pause) muzik manakala di kiri pula mengawal tahap kelantangan bunyi.

    Mudah dipasang di telinga.
    Sony WF-XB700 boleh didapati dalam warna biru atau hitam.
    Butangnya agak responsif dan mudah dicapai.
    Rekaan WF-XB700 ini amat elok.

    Adakah ia boleh jatuh sewaktu anda sedang bersenam? Jika saya cuba menggerakkan kepala secara agresif, earphone ini terasa sedikit longgar di telinga saya namun kedua-dua belah masih tidak terjatuh. Sebaik sahaja saya menegakkan kepala semula, earphone ini kembali melekap dengan telinga. Saya tidaklah kerap keluar berjoging namun WF-XB700 ini kekal selesa sewaktu joging atau pun senaman harian.

    Antara masalah produk yang dikatakan mempunyai BASS atau EXTRA BASS adalah ia sebenarnya ALL BASS di mana runut bass menenggelamkan runut-runut bunyi lain. Mujur WF-XB700 tidak mengalami masalah ini, bunyi-bunyinya adalah seimbang.

    Perumah (casing) produk kecil ini boleh dicaskan melalui USB Type-C.

    Anda masih boleh alami pengalaman EXTRA BASS dengan lagu yang mempunyainya. Ia tidaklah cukup dalam untuk membuat jantung saya berdebar-debar namun saya masih boleh merasakan bass dalam dada sewaktu mendengar lagu Crawling in the Dark oleh Hoobastank dan dentuman dram dalam tema The Rock, serta Don’t Be Afraid daripada Final Fantasy.

    Terdapat pemisahan yang jelas dalam audio di mana saya boleh mendengar setiap alat muzik dengan jelas. Sewaktu menonton filem pula, bunyi yang dihasilkan adalah sangat jelas sehingga saya boleh mendengar bunyi yang tidak dapat didengari semasa menontonnya buat pertama kali. Terdapat juga sebuah mikrofon dalaman yang boleh merakam suara dengan jelas jadi ia boleh digunakan untuk panggilan secara baik.

    Ini bukanlah mata bewarna merah, ia hanyalah lampu yang menandakan earphone sedang dicas.
    Earphone diletakkan ke dalam perumah secara magnetik.

    Walaupun tiada pembatalan hingar aktif (active noise cancellation), WF-XB700 masih boleh memainkan muzik dengan kuat walaupun sewaktu kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan dilakukan berhampiran saya. Untuk mendengar perbualan, saya hanya perlu menekan butang di sebelah kanan untuk menjedakan muzik.

    Daripada segi hubungan Bluetooth, WF-XB700 adalah antara earphone TWS yang paling baik saya pernah dengari. Ia masih boleh mengekalkan hubungan walaupun sewaktu saya berada dalam bilik berasingan di sebalik dinding batu, asalkan saya berada dalam jarak 10 meter. Earphone ini akan disambungkan secara automatik sebaik sahaja ia dikeluarkan daripada casing dan juga diputuskan secara automatik apabila ia dimasukkan semula. Walau bagaimanapun, seperti earphone Bluetooth lain ia masih mempunyai penangguhan lag atau latency sewaktu bermain game. Jadi ia masih elok untuk pelbagai kegunaan kecuali gaming.

    Hayat baterinya memang lama.

    Hayat bateri WF-XB700 adalah sangat baik. Pengecasan melalui port USB Type-C mengambil masa lebih kurang 2.5 jam. Untuk menggambarkan dengan lebih baik kepada anda, selepas saya berhenti mengecasnya pada pukul 10:57 pagi pada 30 Jun 2020, peratusan bateri dalam earphone masih lagi berada pada tahap 100% sewaktu ulasan ini ditulis pada 8 Julai 2020.

    Saya sebenarnya bukanlah orang yang mendengar muzik dalam waktu yang lama, tetapi sewaktu saya mencuba WF-XB700 selama seminggu, saya memastikan bahawa saya menggunakannya sekurang-kuranga satu atau dua jam setiap hari dengan mendengar muzik atau menonton filem. Menurut Sony, bateri earphone itu sendiri boleh tahan sehingga sembilan jam dan jika digabungkan dengan bateri dalam casing, ia boleh tahan selama sembilan jam lagi.

    Secara keseluruhannya, earphone stereo wayarles Sony WF-XB700 adalah sepasang TWS yang elok jika anda tidak mempunyai bajet untuk peranti pembatalan hingar aktif daripada Sony. Sungguh pun begitu, bunyi yang dihasilkan masih jelas. Selain itu, hayat baterinya boleh tahan lama dan hubungan Bluetooth pula adalah stabil namun tidak cukup pantas untuk kegunaan gaming.

    Saya lebih menyukainya jika kawalan butangya boleh diubah, namun perkara lain secara keseluruhannya adalah amat baik.

    Rating kalis percikan air IPX4 tentunya amat berguna jika anda jenis yang banyak berpeluh sewaktu bersenam. Hayat baterinya yang lama juga bermaksud ia boleh digunakan untuk dua atau tiga sesi larian dan senaman tanpa perlu merisaukan tentang pengecasan. Entah-entah anda yang ‘habis bateri’ dulu sebelum earphone itu habis bateri.

    Pada harga RM549, ia memang mahal sedikit berbanding earbuds TWS yang berjenama telefon pintar. Namun jika anda masih mengharapkan mutu audio premium, Sony WF-XB700 adalah produk yang anda perlu pertimbangkan.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan produk ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Berikut adalah spesifikasi dan ciri-ciri Sony WF-XB700:

    • EXTRA BASS
    • Pemandu (driver) 12mm (magnet neodymium)
    • 20 Hz – 20000 Hz (Frekuensi sampling 44.1 kHz)
    • Kalis air IPx4
    • Bluetooth 5.0 dengan jarak wayarles 10 meter (di dalam garis penglihatan)
    • Menyokong profil audio (A2DP, AVRCP, HFP, HSP) dan format (SBC, AAC)
    • Band 2.4GHz (2.4000 GHz – 24835 GHz)
    • Hayat bateri 9 jam, masa menunggu 200 jam
    • Casing pengecas USB Type C (Hayat bateri 9 jam, pengecasan 3 jam), berat 46g
    • Berat earbuds 8.0g x 2
    • Terdapat dalam warna hitam dan biru

    Kelebihan: Mutu bunyi baik, rekaan ergonomik dan bateri tahan lama

    Kekurangan: Tiada pembatalan hingar aktif, tiada NFC dan harga lebih mahal sedikit daripada biasa. Tidak sesuai untuk gaming.

    Kesimpulan: Earphone TWS kelas pertengahan-atas yang mantap untuk mereka yang inginkan audio premium.

    (Diterjemahkan daripada TechNave English)

     

    Artikel Terkini

    Pesaing Tesla, Polestar hasilkan telefon pintar pertama dengan ciri AI khas

    Salah satu pesaing Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik, Polestar, baru sahaja melancarkan telefon pertama mereka. Untuk pengetahuan, Polestar Phone dan Meizu 21...

    Elon Musk: Tesla adalah kenderaan EV dengan kos penyelenggaraan paling murah

    Sebuah analisis data yang diterbitkan oleh Consumer Reports pada Jumaat lalu menyatakan Tesla adalah jenama kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kos penyelenggaraan...

    GXBank: Faedah deposit 5% Savings Pockets setahun akan berakhir lebih awal

    Kepada pengguna GXBank yang ingin menikmati diskaun faedah deposit 5% Savings Pockets setahun, ketahuilah bahawa ia akan berakhir walaupun belum sampai 9...

    BYD Hiace 07 EV diperkenal, dilengkapi “God’s Eye” dan jarak pemanduan sehingga 610 km

    Semasa Pameran Auto Beijing, BYD telah memperkenalkan kereta terbaharunya iaitu BYD Hiace 07 EV. Salah satu ciri menonjol Hiace 07 EV ialah...

    CelcomDigi tawarkan internet 1TB pada harga RM15 dan banyak lagi promosi sempena Hari Gaji...

    Seperti biasa, syarikat telekomunikasi CelcomDigi menawarkan promosi Hari Gaji Specials pada hujung bulan dan untuk kali ini ia akan berlangsung daripada hari...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X