fbpx
More

    Ulasan TCL Tab 11 – Tablet 11 inci mampu milik, berbaloi atau tidak?

    Tablet merupakan satu peranti yang dapat membantu anda melakukan kerja dalam perjalanan dan mudah di bawa kemana-mana sahaja, selain daripada komputer riba. Namun, anda perlu memastikan tablet yang dipilih dapat membantu produktiviti serta hadir dengan kualiti yang baik.

    Dalam artikel ini, saya akan mengulaskan TCL Tab 11 versi LTE daripada segi reka bentuk, spesifikasi dan prestasinya. Apakah yang ditawarkan oleh tablet ini kepada pengguna?

    Reka bentuk – Kemasan cantik dan mudah disimpan

    Bermula pada bahagian hadapan, anda akan melihat skrin 11 inci yang cukup besar untuk tontonan dan melakukan kerja harian. Bezel peranti ini sangat tebal dan jelas kelihatan tetapi saya tidak merasakan ia akan mengganggu tugasan anda.Terdapat juga kamera swafoto di bahagian tengah atas skrin dalam keadaan mendatar membawakan sensor 8MP.

    Skrin TCL Tab 11
    Kamera swafoto 8MP di tengah dalam keadaan mendatar

    Beralih ke bahagian belakang, saya mendapat TCL Tab 11 dalam warna kelabu gelap, satu-satunya warna yang dikeluarkan oleh syarikat itu. Ia membawa kemasan matte membuatkan tab ini kelihatan premium dan elegan.

    Malangnya, walaupun ia mempunyai kemasan matte, ia masih meninggalkan kesan cap jari sekiranya tangan anda mudah berpeluh. Maka anda perlu mengelapnya beberapa kali atau saya sarankan anda mengguna sarung yang boleh dibeli secara berasingan. Ia membawa ketebalan pada 6.8mm mudah untuk disimpan dalam beg tanpa perlu memikirkan ruang yang akan diambil.

    Kemasan matte di bahagian belakang tablet
    Kamera belakang 8MP
    Bonggol kamera yang nipis

    Bahagian belakangnya turut menempatkan satu kamera 8MP untuk anda menangkap gambar dan video. Bonggol kameranya nipis dan saya agak suka dengan reka bentuk pulau kameranya yang minima dan sesuai pada sesebuah tablet. Mengenai kamera, saya akan ulaskan lebih lanjut di bahagian prestasi.

    Sekiranya anda memegang tab ini secara menegak di mana kamera swafoto akan terletak pada bahagian tengah kanan skrin, anda akan dapati satu butang audio dan slot kad SIM di bahagian sisi kanan, satu butang kuasa di bahagian atas sudut kanan serta empat pembesar suara menempatkan dua di bahagian atas dan dua lagi di bahagian bawah. Ia juga menyokong dua mikrofon untuk anda melakukan panggilan audio atau video.

    Satu butang kuasa di bahagian atas sudut kanan
    Butang audio dan slot kad SIM
    Dua pembesar suara bahagian bawah dan port USB-C
    Di dalam kotak, terdapat pengecas 18W, kabel USB-C ke USB-C, T-Pen, penutup tablet, pemegang T-Pen pada penutup, pin-SIM dan filem pelindung.

    Bercakap tentang penutup tablet, walaupun ia berfungsi sebagai pendiri, saya kurang suka dengan idea dua garis pelekat untuk anda lekatkan tablet dan lebih suka sekiranya ia merupakan sarung dengan pendiri serta dapat melindungi sisi-sisi peranti mengelakkan sebarang kecacatan atau kerosakan sekiranya ia jatuh. Begitu juga pemegang T-Pen yang perlu dilekatkan di bahagian penutup tablet.

    Pendiri tablet
    Pendiri tablet, T-Pen dan pemegang T-Pen
    T-Pen: Butang aktif dan port USB-C

    Spesifikasi – Standard dan berbaloi daripada segi harga

    Di bawah merupakan spesifikasi ringkas TCL Tab 11:

    • Mediatek Helio P60T Octa-core
    • Skrin 11 inci dengan resolusi 2K (2000 x 1200 piksel)
    • RAM 4GB + ROM 128GB boleh dikembangkan sehingga 1TB dengan kad mikroSD
    • Bateri 8,000mAh dengan pengecas 18W
    • Kamera hadapan dan belakang 8MP dengan resolusi 1080p 30fps
    • Sistem operasi TCL UI v5.0.JY2M
    • Spesifikasi lain: Port USB-C, dwi mikrofon, 4 pembesar suara, penggalak (booster) bunyi, menyokong T-Pen
    • Warna: Kelabu gelap
    • Harga: RM999

    Cipset yang digunakan adalah Mediatek Helio P60T Octa-core memberikan prestasi yang kurang memuaskan daripada segi sokongan dan kelancaran aplikasi. Kemudian, skrinnya mempunyai resolusi 2K menghasilkan warna yang cantik. Daripada segi simpanan, anda tidak perlu risau kerana ia menyokong simpanan 1TB melalui kad mikroSD.

    Beralih kepada bateri, ia berkapasiti 8,000mAh yang besar dengan pengecas 18W. Saya mengecas tablet ini dalam masa 30 minit dan bateri meningkat daripada 0% ke 17%. Saya terus menunggu agar bateri mencapai kuasa 100% dan mendapati ia mengambil masa tiga jam 20 minit.

    Walaupun ia mengambil masa yang lama untuk mencapai bateri penuh, saya memainkan video YouTube tanpa henti selama tiga jam dan bateri hanya menurun 16% iaitu daripada 99% ke 83%. Ini merupakan salah satu kekuatan TCL Tab 11 yang membantu anda daripada segi produktiviti dan sekiranya anda dalam perjalanan yang lama.

    Selain itu, kamera hadapan dan belakang membawa sensor 8MP yang mungkin boleh ditingkatkan kerana ia menghasilkan banyak noise dan tidak jelas terutamanya pada waktu malam. Anda mungkin tidak berpuas hati dengan kualiti imej yang dihasilkan tetapi sebagai sebuah tablet, saya tidak merasakan ia adalah satu perkara penting sekiranya anda memerlukan peranti untuk bekerja.

    Spesifikasi lain adalah port USB-C, dwi mikrofon, empat pembesar suara dengan audio yang jelas bersama penggalak (booster) bunyi. Untuk tontonan dan gaming, audio tidak memberi sebarang masalah. Ia juga menyokong T-Pen untuk anda melakukan sebarang lakaran dan nota pada aplikasi Jnotes.

    Penggunaan T-Pen sangat membantu anda membuat nota kerana sensornya yang tepat dan mudah digunakan. Anda tidak perlu sambungkan T-Pen melalui Bluetooth kerana ia akan disambungkan secara automatik. Mod tidur akan diaktifkan sekiranya T-Pen tidak digunakan selama 30 minit.

    Anda hanya perlu tekan pada butang yang disediakan di bahagian bawah untuk mengatifkan T-Pen semula. Dalam pada itu, antara kebaikan membeli tablet ini, ia turut menyediakan pengganti hujung T-Pen sekiranya Pen tidak lagi sensitif atau mengelami kerosakan.

    Prestasi – Tidak berapa memuaskan tetapi bagus untuk produktiviti

    Di bawah merupakan penanda aras Geekbench 6 dan 3DMark untuk TCL Tab 11:

    Aplikasi terpadam sendiri

    Bermula dengan prestasi cipset, terdapat beberapa masalah yang saya hadapi antaranya adalah apabila saya menghidupkan tablet, ia mengambil masa hampir 45 saat untuk ke antara muka utama. Saya juga hadapi sedikit lag apabila membuka dan menukar aplikasi. Beberapa aplikasi turut terpadam dengan sendirinya dan anda perlu membukanya kembali.

    Walaupun begitu, ia tidak mengganggu prestasi saya ketika bermain game. Saya memainkan PUBG Mobile dan Mortal Kombat secara lancar tanpa sebarang gangguan. Sentuhan skrin juga bekerjasama dengan baik ketika bermain game.

    Ikon pensil beri jalan pintas

    Untuk memudahkan anda, terdapat juga jalan pintas untuk membuka aplikasi yang sering digunakan. Saya dapati terdapat ikon pensil dan boleh memasukkan aplikasi yang kerap digunakan selain pergi ke antara muka utama. Ikon pensil ini tetap muncul ketika anda bermain game dan akan hilang ketika tangkapan skrin. Selain ikon pensil, anda boleh aktifkan ciri kebolehcapaian (accesibility) di bahagian tetapan (Settings) untuk jalan pintas.

    Kemudian, semasa menonton YouTube, saya dapati terdapat gangguan skrin yang mengeluarkan kiub warna ataupun dipanggil ‘glitching‘ dalam bahasa Inggeris. Ia hanya berlaku sekejap sahaja dalam beberapa kali. Namun, anda tidak perlu risau kerana ia tidak berlaku pada aplikasi tontonan Netflix dan ketika anda melakukan kerja.

    Mod kamera yang disediakan
    Video pada waktu siang
    Video pada waktu malam

    Kameranya memberikan fungsi standard, berfungsi dengan baik tetapi dengan hasil kualiti yang tidak begitu memuaskan, tidak kira siang tau malam. Noise kelihatan sangat jelas dan objek yang jauh hampir tidak kelihatan. Fungsi zum sangat tidak digalakkan sekiranya anda ingin mengambil objek yang jauh.

    Namun, saya cukup faham kerana fokus utama peranti ini bukanlah mengenai kamera tetapi mengenai produktiviti kerja. Tugasan kerja saya dilakukan dengan lancar dan baik dibantu oleh T-Pen terutamanya ketika menulis nota.

    Dengan empat pembesar suara, ia sudah cukup bagus untuk melakukan panggilan persidangan walaupun tidak memakai fon telinga. Audionya jelas serta tidak bingit dalam kelantangan penuh.

    Kesimpulan – Lebih sesuai untuk penggunaan kerja

    Pada harga RM999, saya merasakan TCL Tab 11 lebih sesuai digunakan untuk tugasan kerja pejabat. Saya juga berpendapat tablet ini boleh diberikan kepada anak-anak untuk pembelajaran. Tablet ini juga memberikan prestasi bateri yang menakjubkan walaupun perlu menunggu lama untuk pengecasan penuh. Kekurangannya pula adalah prestasinya yang lag dan hasil imej yang kurang berkualiti.

    Dalam pada itu, anda boleh dapatkan tablet yang lain pada harga RM799 seperti realme Pad yang menawarkan Skrin WUXGA+ 10.4 inci dengan resolusi 2000×1200, bateri 7,100mAh dan kamera 8MP. Terdapat juga HONOR Pad X8 pada harga RM699 menampilkan skrin LCD 10.1 inci, cipset MediaTek MT8786 dan bateri 5,100mAh untuk penggunaan ringan.

    Sekiranya dilihat balik, TCL Tab 11 adalah antara tablet yang menawarkan spesifkasi yang lebih baik dalam julat harga RM999. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    5 telefon “flagship” lama yang masih lagi menyengat pada 2024!

    Dalam pasaran telefon pintar Malaysia yang semakin dinamik pada setiap tahun, setiap jenama akan memperkenalkan telefon baharu dengan fungsi-fungsi dan spesifikasi terkini...

    AEON Bank bakal lancarkan Kad Debit-i Visa pada akhir suku kedua 2024

    AEON Bank telah mendedahkan kerjasama dengan Visa untuk memperkenalkan kad debit yang direka khas untuk pemegang akaunnya yang dikenali sebagai Kad Debit-i...

    YouTube perkenal ciri AI “Jump Ahead”, tontonan terus ke bahagian menarik video

    YouTube telah melancarkan ciri baharu yang dipanggil Jump Ahead (Langkau Kedepan) yang direka khusus untuk pelanggan Premium. Ciri ini dikuasakan oleh AI...

    vivo X100 Ultra, X100s & X100s Pro akan dilancar pada 13 Mei 2024

    vivo akan mengumumkan telefon pintar yang dinantikan iaitu vivo X100 Ultra pada 13 Mei ini bersama dua model andalan lain, vivo X100s...

    Mufti Selangor: Haram beli kad waranti atau waranti lanjutan secara berasingan

    Mufti Selangor sering menjawab pelbagai persoalan yang diutarakan. Terbaru, Mufti Selangor turut menjawab soalan melibatkan pembelian kad waranti atau waranti lanjutan bagi...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X