fbpx
More

    Ulasan vivo V21: Kamera swafoto pertama dengan penstabilan optikal!

    vivo telah pun melancarkan telefon kelas pertengahan vivo V21 pada bulan April dan peranti ini menampilkan ciri-ciri yang agak menarik, termasuklah kamera swafoto 44MP dengan penstabilan imej optikal (OIS), rekaan badan yang cantik, cipset MediaTek Dimensity 800U serta kamera utama dengan penstabilan empat paksi dan rakaman 4K.

    Dengan tiga kamera di belakang termasuk kamera utama 64MP, saya amat teruja dengan kebolehan fotografi telefon ini! Jadi tanpa membuang masa, ayuh kita mulakan ulasan untuk vivo V21.

    Rekaan – Hiasan cantik yang sinonim dengan siri vivo V

    vivo V21 mempunyai ketebalan 7.39mm dengan berat 177g dan ia mempunyai rekaan luaran yang sangat bergaya. Dengan bahagian sisi yang bersegi dan rata, anda boleh menggenggam telefon ini dengan mudah.

    vivo V21 meneruskan profil warna dua tona yang terdapat dalam telefon-telefon vivo baru-baru ini serta dibuat menggunakan teknologi AG Frosted Technology. Selain menghasilkan permukaan yang menarik, ini membuatkannya terasa licin apabila dipegang namun masih sukar untuk meninggalkan kesan cap jari.

    Ia terdapat dalam dua pilihan warna iaitu Sunset Dazzle dan Dusk Blue. Pada pendapat saya, warna Sunset Dazzle adalah yang lebih menarik kerana ia memang menyerupai langit senja sewaktu matahari terbenam. Warnanya juga akan berubah-ubah sedikit, bergantung kepada arah cahaya yang ditujukan kepada permukaan telefon tersebut.

    Jika anda ingin melindungi kecantikan pada permukaan belakang telefon ini, saya syorkan anda untuk terus melengkapkan sarung lutsinar yang disertakan bersamanya. Selain melindungi telefon tersebut, sarung ini masih membenarkan anda untuk menayangkan kecantikan warna pada badan vivo V21.

    Di hadapan, vivo V21 dilengkapi skrin E3 AMOLED berukuran 6.44 inci dengan resolusi Full HD+, sokongan HDR 10+ serta kadar segar semula 90Hz. vivo V21 masih mengekalkan takuk (notch) berbentuk titisan air di atas skrin seperti yang terdapat pada vivo V20, serta pengimbas cap jari di bawah skrin. Kamera di hadapan adalah kamera 44MP dengan penstabilan OIS.

    Spesifikasi – Kamera swafoto mantap, namun tidak untuk skrin

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk vivo V21:

    • Skrin AMOLED Full HD+ berukuran 6.44 inci, kadar segar semula 90Hz
    • Cipset MediaTek Dimensity 800U
    • RAM 8GB
    • Storan dalaman 128GB
    • Kamera utama 64MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP
    • Kamera swafoto 44MP dengan autofokus OIS
    • Bateri 4,000mAh
    • Pengecasan pantas 33W
    • Pengimbasan cap jari bawah skrin
    • Pilihan warna Dusk Blue dan Sunset Dazzle

    Daripada segi spesifikasi utama, vivo V21 dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 800U, RAM 8GB, storan dalaman 128GB, sistem operasi FunTouch OS 11.1 dan menyokong dwi-kad SIM. Malangnya, hanya dua ruang kad disediakan jadi pengguna perlu pilih sama ingin memasang kad SIM + kad SIM atau kad SIM + kad microSD.

    Saya berpendapat bahawa storan 128GB adalah cukup untuk kebanyakan pengguna. Anda boleh besarkannya jika anda memerlukan storan yang lebih banyak, namun seperti yang saya terangkan tadi, anda perlu korbankan satu ruang kad SIM untuk melakukannya.

    Satu teknologi menarik dalam vivo V21 adalah teknologi RAM tambahan yang menggunakan kapasiti 3GB dalam storan untuk dijadikan sebagai RAM, meningkatkan jumlah RAM dalam telefon ini kepada 11GB untuk operasi yang lebih lancar.

    Daripada segi skrin, vivo V21 menawarkan kadar segar semula 90Hz dan 60Hz. Pengguna boleh memilih kadar skrin yang diinginkan pada setiap masa atau aktifkan mod automatik yang membenarkan telefon untuk tentukan sendiri kadar skrin yang sesuai berdasarkan situasi penggunaan.

    Sejujurnya, saya tidak melihat perbezaan yang sangat ketara di antara kedua-dua kadar tersebut. Perlu diingati bahawa walaupun 90Hz adalah lebih lancar sedikit berbanding 60Hz, ia menggunakan lebih banyak bateri. Oleh itu, jika anda seorang pengguna yang hanya menggunakan aplikasi asas, saya nasihatkan anda untuk menetapkan kadar segar semula pada 60Hz sahaja.

    Fotografi – Prestasi kamera yang baik pada waktu malap

    Ciri utama yang diiklankan oleh vivo tentang telefon ini adalah kamera swafoto 44MP dengan teknologi OIS iaitu telefon pertama yang dilengkapi teknologi tersebut. Fungsi ini pasti akan dihargai oleh mereka yang menghasilkan vlog menggunakan kamera hadapan.

    Daripada segi penggambaran malap, kamera hadapan vivo V21 dilengkapi sensor ISOCELL Plus 2G yang menyokong fungsi Super Night Scene Selfie, rakaman 4K, dwi-teknologi penstabilan OIS+EIS dan rakaman menggunakan kamera hadapan dan kamera belakang secara serentak.

    Saya telah mengambil swafoto di dalam kereta dan suasana malam, dan anda boleh lihat perbezaan di antara mod normal dan mod malam. Saya berpendapat bahawa mod AI Polar Night Mode menghasilkan warna yang lebih semula jadi. Dalam suasana yang sangat malap, anda boleh aktifkan pencahayaan lembut (soft light) untuk menghasilkan gambar yang lebih terang.

    Gambar swafoto yang menggunakan fungsi soft light
    General; Portrait; AI Extreme Night
    Atas: mod normal; bawah: mod malam dengan soft light

    Daripada segi rakaman video, ia adalah sangat stabil walaupun jika anda menggunakan kamera hadapan, hasil penstabilan daripada OIS. Sewaktu ingin merakam video menggunakan kamera belakang dan hadapan serentak pula, anda boleh mengaktifkan mod picture-in-picture atau dual-scene. Ini akan memudahkan vlogger untuk merekod reaksi mereka sewaktu merakam menggunakan kamera utama.

    Kamera swafoto menyediakan mod kecantikan (beauty), solekan dan juga beberapa hiasan filter yang menarik. Jika anda mengambil gambar di bawah cahaya matahari terik, anda boleh aktifkan bantuan HDR untuk mengelakkan situasi pendedahan cahaya yang melampau (overexposure).

    Kamera belakang vivo V21 terdiri daripada kamera utama 64MP, kamera ultra-lebar 8MP dengan sudut penglihatan 120° serta kamera makro 2MP. Seperti kamera swafoto, kamera belakang ini turut dilengkapi penstabilan empat paksi serta rakaman 4K.

    Daripada segi rakaman pada waktu malam, vivo V21 mempunyai mod malam yang berfungsi untuk menerangkan kualiti video serta penghasilan warna yang lebih sensitif. Dalam mod normal, papan tanda “Kuala Langat” yang dirakam bukan sahaja kabur, malah mengalami masalah overexposure dalam video. Masalah tersebut berjaya diselesaikan dengan mengaktifkan mod malam dan papan tanda tersebut boleh dirakam dengan lebih jelas.

    Prestasi – Skrin AMOLED yang cantik, namun prestasi biasa sahaja

    vivo V21 yang dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 800U menyediakan RAM 8GB dan storan dalaman 128GB. Dalam ujian penanda aras Geekbench 5, ia memperoleh markah teras tunggal sebanyak 571 manakala markah multi-teras pula adalah 1,692. Untuk ujian grafik 3DMark Wild Life pula, ia merekodkan markah 1,595 mata.

    Markah penanda aras Geekbench dan 3DMark

    Saya telah memainkan game popular Genshin Impact untuk menguji prestasi telefon ini dan skrin E3 AMOLED berjaya memaparkan warna yang cantik untuk game tersebut. Prestasi game juga adalah sederhana, namun kadang-kala terasa juga prestasinya tersangkut-sangkut. Telefon juga tidak menjadi panas sewaktu 15 minit pertama, saya hanya merasakan kehangatan daripada telefon selepas bermain selama setengah jam.

    Sewaktu bermain game, vivo V21 dilengkapi fungsi Game Box yang boleh melaraskan pelbagai tetapan seperti mod e-sukan atau menghalang panggilan bagi membantu pemain menumpukan perhatian terhadap game. Telefon ini juga menyokong fungsi 4D di mana telefon boleh hasilkan getaran unik mengikut situasi game, namun fungsi tersebut hanya boleh digunakan untuk PUBG Mobile setakat ini.

    Daripada segi ketahanan bateri, vivo V21 dilengkapi bateri 4,000mAh dan pengecasan pantas 33W. Jika anda tidak banyak bermain game atau mengambil gambar, bateri vivo V21 boleh bertahan dengan agak lama iaitu lebih daripada sehari. Walau bagaimanapun, hayat bateri adalah lebih pendek jika mod skrin 90Hz diaktifkan.

    vivo V21 menyokong pengecasan pantas 33W, di mana pengecasan selama 30 minit daripada 5% akan menaikkan tahap bateri kepada 57% manakala pengecasan daripada 50% ke 99% pula mengambil masa 30 minit. Secara amnya, bateri vivo V21 boleh dicas penuh dalam masa satu jam, iaitu sangat bagus memandangkan ia mempunyai kadar pengecasan pantas 33W.

    Satu perkara yang mungkin akan mengecewakan anda adalah ketiadaan bicu audio 3.5mm pada vivo V21. Jika anda masih ingin menggunakan fon telinga berwayar, anda perlu melakukannya melalui port USB-C. Pembesar suaranya pula sekadar menghasilkan bunyi yang memuaskan tanpa bass yang dalam.

    Kesimpulan – Terbaik untuk penggemar swafoto

    Selepas menggunakan vivo V21, saya boleh menyimpulkan bahawa telefon ini amat sempurna untuk mereka yang gemar mengambil swafoto atau vlog. Bukan sahaja kamera swafotonya yang dilengkapi OIS, malah tiga kamera 64MP di belakang menyediakan kualiti fotografi yang sangat cantik manakala fungsi suntingan yang pelbagai memudahkan pengguna untuk berkongsi video mereka ke dalam media sosial.

    Prestasi vivo V21 juga adalah cukup baik untuk semua kegunaan asas. Daripada segi gaming pula, ia dapat menjana prestasi yang baik untuk telefon kelas pertengahan. Skrin E3 AMOLED dalam telefon ini adalah sangat cantik dan ia hadir dengan fungsi 90Hz jika anda gemar menggunakannya.

    vivo V21 dijual pada harga RM1,599 manakala alternatif yang sesuai buat telefon ini adalah Samsung Galaxy A52 yang dilengkapi rating kalis air IP68, POCO F3 dengan kadar segar semula 120Hz atau OPPO Reno5 5G dengan pengecasan pantas 65W.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Diterjemahkan daripada TechNave CN

     

    Artikel Terkini

    TP-Link meperkenalkan WiFi 7 di Malaysia: Menggandakan kelajuan internet secara wayarles

    TP-Link, penyedia rangkaian WiFi dan peranti rumah pintar terkemuka di dunia, siap untuk merevolusi cara kita mengakses internet, sejajar dengan visi kerajaan...

    Siri Samsung Galaxy S25 dijangka sokong kemas kini AI Gemini Nano generasi ke-2 Google

    Samsung memperkenalkan Galaxy AI dengan siri Galaxy S24, bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Kini, khabar angin mencadangkan bahawa kemas kini Gemini Nano...

    Sony Xperia 1 VI dijangka akan dilancarkan pada 17 Mei 2024

    Sony mengikuti jadual yang hampir sama dengan pelancaran Xperia tahun lepas, dengan pengumuman dijangka pada 17 Mei ini, seperti yang ditunjukkan oleh...

    Google Maps dan Carian bantu pemilik EV mencari lokasi pengecasan

    Dengan peningkatan pemilikan kenderaan elektrik (EV), terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk stesen cas yang mudah diakses. Bagi mengatasi ini, Google Maps...

    Siri iQOO Z9 disahkan SIRIM, mungkin dilancar di Malaysia tidak lama lagi

    iQOO sedang bersiap sedia untuk melancarkan siri iQOO Z9 di China tidak lama lagi dengan jangkaan model standard akan menampilkan spesifikasi berbeza...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X