fbpx
More

    Ulasan Xiaomi 11T – Lebih berbaloi daripada Xiaomi 11T Pro?

    Xiaomi Malaysia telah memperkenalkan telefon pintar kelas andalan Xiaomi 11T Pro pada bulan September lalu di mana tarikan utamanya adalah pada pengecasan pantas 120W, menjadikannya telefon dengan pengecasan terpantas setakat ini. Meskipun begitu, Xiaomi turut melancarkan varian yang lebih rendah iaitu Xiaomi 11T yang masih dilengkapi spesifikasi tahap tinggi seperti cipset MediaTek Dimensity 1200 dan skrin AMOLED dengan kadar 120Hz.

    Walaupun Xiaomi 11T tidak mempunyai pengecasan yang sepantas kilat dalam Xiaomi 11T Pro, harganya yang lebih murah mungkin akan membuatkan lebih ramai pengguna untuk mempertimbangkannya, terutamanya buat mereka yang tidak kisah tentang pengecasan terpantas. Untuk mengetahui sama ada Xiaomi 11T ini sesuai untuk kegunaan harian anda, ayuh baca ulasan kami:

    Rekaan – Kukuh dengan rangka aluminium dan kaca Victus

    Xiaomi 11T menampilkan rekaan yang rasa kukuh di tangan dan mempunyai ciri-ciri yang membuatkannya setanding dengan telefon kelas andalan. Rangkanya dibuat daripada aluminum manakala bahagian depan dan belakang pula dibuat daripada gelas, terutamanya gelas Gorilla Glass Victus di hadapan untuk perlindungan tertinggi daripada kesan calar atau retak. 

    Sungguh pun begitu, daripada segi estetika, Xiaomi 11T tidak nampak begitu premium. Rangka aluminium di bahagian sisi mempunyai cat warna hitam, menghilangkan sebarang kilauan besi yang sinonim dengan telefon pintar mahal. Warna pada bahagian belakang juga tidak membuatkan telefon ini lebih menonjol berbanding kebanyakan telefon kelas pertengahan lain. 

    Ini membuatkan Xiaomi 11T sesuai untuk mereka yang inginkan telefon berprofil rendah, namun mereka yang gemarkan rekaan menawan mungkin boleh hiraukan telefon ini. Logo “Xiaomi 5G” juga dipaparkan dengan kecil di bahagian bawah, bersama beberapa teks dan logo. Warna yang kami dapat adalah kelabu Moonlight Grey, manakala pilihan lain adalah putih Moonlight White atau biru Celestial Blue.

    Bonggol kameranya terletak di bahagian atas kiri dan ia tidaklah terlalu tebal. Kerana bonggol kamera itu, telefon ini tidak boleh diletakkan rata di atas meja namun masalah ini boleh diselesaikan dengan sarung lutsinar yang turut disertakan dalam kotak Xiaomi 11T. Saya menggemari susunan lensa pada bonggol kamera, dengan dua lensa besar dan satu lensa kecil di tengah-tengah. Ini menjadikan Xiaomi 11T mempunyai rekaan bonggol kamera yang unik dalam pasaran dan mudah dikenali.

    Aksesori yang disertakan dalam Xiaomi 11T

    Di bahagian sisi kanan pula, terdapat butang kawalan audio serta butang suis yang turut bertindak sebagai pengimbas cap jari. Pengimbas ini adalah sangat responsif untuk membuka skrin telefon. Di bahagian bawah pula, terdapat pembesar suara, port USB-C dan ruang dwi-kad SIM manakala di atas pula terdapat sebuah mikrofon dan satu lagi pembesar suara. Malang sekali, telefon ini tidak menyokong kad memori microSD atau bicu audio 3.5mm.

    Spesifikasi – Pengecasan masih pantas walaupun bukan 120W

    Walaupun Xiaomi 11T tidak menarik perhatian orang ramai seperti abangnya Xiaomi 11T Pro, telefon ini masih menawarkan spesfikasi yang lebih daripada cukup untuk kegunaan harian dan untuk mereka yang inginkan fungsi khas (enthusiast). Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Xiaomi 11T: 

    • MediaTek Dimensity 1200-Ultra
    • Skrin AMOLED DisplayMate A+ FHD+ 6.67 inci 120Hz, HDR10+, kadar segar semula 120Hz, pensampelan sentuhan 480Hz
    • Kamera 108MP + ultra-lebar 8MP + tele-makro 5MP
    • Rakaman 4K 30fps dengan penstabilan imej elektronik (EIS)
    • Kamera swafoto 16MP
    • RAM LPDDR5 8GB
    • Storan UFS 3.1 128GB atau 256GB
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 67W
    • Dwi-pembesar suara dengan Hi-Res Audio
    • Pengimbas cap jari di sisi
    • Perisian MIUI 12.5 berdasarkan Android 11
    • Rating kalis air IP53
    • Pilihan warna Meteorite Gray, Moonlight White dan Celestial Blue
    • Dimensi: 164.1 x 76.9 x 8.8 mm, Berat: 203 gram

    Dengan skrin AMOLED Full HD+ sebesar 6.67 inci, sebarang filem atau video boleh ditonton dengan warna yang sangat terang dan pekat. Jika anda ingin melaraskan warna dengan lebih teliti, Xiaomi 11T membenarkan anda untuk mengubah suhu warna, memilih gamut warna DCI-P3 atau sRGB, melaras nilai merah-hijau-biru (RGB), kepekatan (saturation), hue dan banyak lagi. Saya berpendapat ini bukanlah fungsi yang akan dimanfaatkan oleh ramai orang, namun pasti akan dihargai oleh peminat teknologi.

    (Kiri) pilihan kadar segar semula, (tengah) tetapan gamut warna, (kanan) pelarasan suhu warna

    Selain itu, kadar segar semula 120Hz juga menjanjikan pengalaman leretan (swiping) yang amat lancar. Untuk menjimatkan penggunaan bateri, Xiaomi 11T dilengkapi teknologi AdaptiveSync bagi melaraskan kadar segar semula mengikut aplikasi yang sedang dibuka. Jika mod 120Hz diaktifkan, anda boleh nikmati kadar tersebut pada setiap masa, kecuali dalam aplikasi yang tidak menyokongnya seperti YouTube atau beberapa game.

    Walaupun sistem audio Xiaomi 11T tidak mempunyai pengiktirafan Harman/Kardon seperti dalam Xiaomi 11T Pro, pembesar suara stereo dalam telefon ini masih boleh menghasilkan bunyi yang jelas dan kuat. Ketiadaan bicu audio 3.5mm pasti akan mengecewakan ramai orang, jadi pastikan anda memiliki sepasang fon telinga wayarles atau dengan port USB-C.

    Perisian MIUI 12.5 pula menawarkan antara muka (UI) yang mesra pengguna dan pelbagai fungsi tambahan yang akan menggembirakan peminat teknologi, seperti mod gelap (dark mode), tema skrin sentiasa hidup (always-on-display) untuk memaparkan jam dan notifikasi ringkas, Breathing Light Notification yang mencahayakan bahagian sisi skrin jika anda mendapat notifikasi dan Super Wallpapers yang menghiaskan latar belakang dengan gambar bergerak.

    (Kiri) Home Screen, (tengah) App Drawer untuk MIUI 12.5, (kanan) tetapan untuk Control Center jika dileret dari atas

    Jika anda meleret dari atas, MIUI 12.5 menawarkan dua pilihan menu iaitu Notification Center apabila anda meleret daripada bahagian bucu atas kiri dan Control Center apabila anda meleret daripada bucu atas kanan. Daripada segi bloatware pula, Xiomi 11T tidak datang dengan banyak aplikasi yang remeh.

    Untuk UI kamera pula, ia boleh digunakan dengan mudah di mana anda hanya perlu meleret ke kanan atau kiri untuk bertukar mod. Selain mod popular seperti Portrait, Night dan Pro, kamera Xiaomi 11T turut menawarkan beberapa fungsi tambahan seperti Movie Effects, Clone dan Dual Video. Ini adalah sebahagian daripada fungsi Cinemagic yang diketengahkan oleh Xiaomi sewaktu pelancaran telefon ini.

    (Kiri) Mod fotografi auto, (tengah) mod Pro, (kiri) pelbagai fungsi tambahan untuk video dan foto

    Prestasi – Hampir setaraf dengan Xiaomi 11T Pro

    Dengan cipset andalan MediaTek Dimensity 1200, Xiaomi 11T boleh menjalankan kebanyakan aplikasi dengan pantas. Sungguh pun begitu, ia tidak boleh menghasilkan prestasi sama dengan Snapdragon 888 yang dilengkapi dalam Xiaomi 11T Pro. Berikut adalah hasil penanda aras yang kami telah jalankan untuk Xiaomi 11T:

    Keputusan benchmark Geekbench (kiri) dan 3DMark Wild Life Stress Test

    Untuk gaming, Xiaomi 11T boleh memainkan game popular seperti COD Mobile, PUBG Mobile dan Asphalt 9 dengan lancar sambil meletakkan tahap grafik tinggi. Malah untuk game dengan keperluan grafik tinggi seperti Genshin Impact pun boleh dimainkan dengan selesa, namun anda mungkin perlu merendahkan beberapa tetapan grafik.

    Daripada segi penjanaan haba pula, Xiaomi 11T boleh menjadi agak suam selepas bermain game selama 30 minit, namun ia tidak akan mengganggu prestasi grafik.

    Dengan bateri sebesar 5,000mAh, Xiaomi 11T boleh bertahan lebih daripada sehari untuk kegunaan biasa. Menurut ujian saya, jika skrin dibiarkan hidup dengan memainkan video secara berulang kali, bateri penuh boleh bertahan selama 15 jam. Jika digunakan untuk situasi harian dan membuka aplikasi ringan, ia boleh bertahan sehingga dua hari.

    Walaupun kadar pengecasan 67W dalam Xiaomi 11T tidaklah setaraf dengan 120W dalam Xiaomi 11T Pro, ia masih lagi berada dalam kategori terpantas dalam industri telefon pintar. Pengecasan selama sejam boleh mengecas daripada 1% ke 73%, manakala untuk pengecasan penuh pula mengambil masa sekitar sejam 15 minit.

    Penggunaan bateri hampir 15 jam jika skrin dibiarkan hidup dengan bermain video berulang kali

    Malah, satu lagi perkara yang penting adalah sebuah pengecas 67W turut disertakan dalam kotak Xiaomi 11T. Di saat syarikat telefon pintar lain mula mengecualikan pengecas daripada kotak telefon andalan, pemilik Xiaomi 11T masih mendapat pengecas bersama telefon ini.

    Sekarang mari kita beralih kepada prestasi fotografi untuk Xiaomi 11T. Ia menampilkan modul kamera yang sama dengan Xiaomi 11T Pro dan gambar yang dihasilkan dalam kamera utama nampak sangat cantik walaupun sekadar menggunakan mod auto 12MP sahaja. Warnanya mungkin nampak agak pekat (saturated), tetapi masih tidak menjejaskan keseluruhan gambar. Imbangan putih (white balance) dan dynamic range juga nampak seimbang.

    Jika anda inginkan gambar dengan butiran yang lebih tinggi, anda boleh aktifkan mod 108MP. Dengan gambar ini, anda boleh potong (crop) gambar dan kualitinya masih kekal jelas dan tidak pecah. Sungguh pun begitu, gambar 108MP akan mempunyai saiz fail yang lebih besar. Memandangkan telefon ini tidak menyokong tambahan memori kad microSD, mod 108MP mungkin bukanlah sesuatu yang harus digunakan selalu.

    Kamera telemakro pula boleh menghasilkan gambar yang baik sehingga zum 5x. Sebaik sahaja anda zum lebih daripada itu (anda boleh zum digital sehingga 10x), kualiti gambar akan jatuh mendadak. Mod makro akan menangkan butiran yang sangat halus manakala Kamera ultra-lebar juga boleh menghasilkan gambar yang cantik tanpa sebarang efek herotan (distortion) melampau.

    Untuk gambar pada waktu malap pula, Xiaomi 11T boleh menghasilkan gambar yang baik dalam mod auto, namun saya galakkan anda untuk aktifkan Night Mode untuk gambar yang lebih jelas dan kurang noise. Night Mode dalam Xiaomi 11T berfungsi baik seperti dalam telefon andalan yang lebih mahal.

    Xiaomi 11T turut boleh menghasilkan rakaman video yang baik, malah apabila digabungkan dengan penstabilan imej elektronik (EIS), membuatkan telefon ini sangat sesuai untuk kegunaan vlogging. Malang sekali, penstabilan EIS tidak disokong untuk rakaman swafoto. Buat mereka yang berjiwa kreatif dan ingin menambah efek dalam video mereka, kamera ini mempunyai fungsi Clone untuk mencipta “klon” anda, Dual Video untuk rakaman kamera utama dan swafoto serentak, Movie Effects untuk efek menarik dan banyak lagi.

    Kesimpulan – Lebih sesuai untuk mereka yang tidak utamakan pengecasan

    Secara keseluruhan, Xiaomi 11T adalah telefon pintar yang lebih sesuai untuk kebanyakan pengguna berbanding Xiaomi 11T Pro. Pastinya, anda tidak dapat menikmati pengecasan pantas 120W yang merupakan teknologi tercanggih pada waktu ini, namun spesifikasi lain untuk Xiaomi 11T adalah serupa dengan Xiaomi 11T Pro.

    Malah dengan harga bermula RM1,699 sahaja, ini adalah antara telefon pintar terbaik yang anda boleh dapat dengan harga tersebut kerana selalunya telefon dalam kategori harga ini dilengkapi spesifikasi yang lebih rendah. Ini juga adalah kekal dengan tradisi Xiaomi T yang sering melancarkan telefon spesifikasi canggih dengan harga mampu milik pada setiap tahun.

    Alternatif yang sesuai kepada Xiaomi 11T termasuklah Samsung Galaxy A72 (RM1,899), realme GT Master Edition (RM1,499) dan OPPO Reno6 5G (RM1,699). Jika anda kurang gemar dengan reka bentuk sederhana yang terdapat pada Xiaomi 11T, ketiga-tiga telefon di atas menawarkan rekaan yang sangat menarik, terutamanya realme GT Master Edition dengan permukaan kulit (leather).

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki Xiaomi 11T dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Ulasan HONOR MagicBook X 16 – Berbaloi jika anda peminat skrin besar!

    Dalam pasaran komputer riba segmen pertengahan yang sesak, mungkin sukar untuk mencari peranti yang menawarkan keseimbangan ciri, prestasi dan nilai yang menarik....

    OPPO A60 dilancar di Malaysia: Snapdragon 680, RAM 8GB dan kamera 50MP bermula RM699

    OPPO Malaysia memperkenalkan tambahan baharu kepada telefon pintar siri A iaitu OPPO A60 yang menawarkan reka bentuk premium dan tahan lama yang...

    Kad Visa TNG eWallet tawarkan ‘markup’ 0% untuk transaksi luar negara

    Touch 'n Go eWallet (TNG eWallet) menawarkan pilihan pembayaran rentas sempadan yang lancar untuk pengembara, membolehkan mereka menggunakan sama ada pembayaran QR...

    Acer Chromebook Plus 514 dilancar: Intel Core i3-N305 & skrin FHD 14″ berharga ~RM1,671

    Acer telah melancarkan Acer Chromebook Plus 514, tambahan kepada barisan Chromebook Plus yang menekankan prestasi, mudah alih dan ketahanan. Dengan paparan FHD...

    MSI Claw berikan diskaun RM250 sehingga akhir Mei 2024 dengan pemacu BIOS dan GPU...

    MSI mengumumkan peningkatan ketara dalam prestasi permainan tangannya, Claw dengan pemacu BIOS dan GPU baharu. Claw kini memberikan peningkatan sehingga 150% dalam...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X