fbpx
More

    Ulasan Xiaomi 12T Pro: Prestasi canggih dan kamera 200MP sesuai untuk fotografi

    Xiaomi 12T Pro adalah telefon kelas andalan yang membawa kamera 200MP bersama cipset  Snapdragon 8+ Gen 1 4nm. Ia dilancarkan di Malaysia pada 4 Oktober lalu pada harga bermula dari RM2,699. Anda pasti ingin tahu lebih lanjut mengenai peranti ini.

    Mari baca ulasan di bawah untuk melihat pengalaman saya menggunakan telefon ini selama dua minggu.

    Rekaan – Saiz telefon mengikut gaya semasa sesuai untuk tontonan dan gaming

    Xiaomi 12T Pro mempunyai reka bentuk yang mengikut gaya semasa. Unit yang dipinjamkan kepada saya adalah warna biru hitam dengan kemasan matte. Walaupun ia mempunyai kemasan matte, ia masih meninggalkan kesan cap jari tetapi tidak begitu jelas. Anda boleh memilih warna perak dan biru sekiranya anda tidak berminat dengan warna hitam.

    Paparan berukuran 6.67 inci
    Butang audio dan butang kuasa
    Satu pembesar suara, port USB-C dan slot dwi-SIM
    Satu pembesar suara di bahagian atas

    Telefon ini selesa dipegang, merangkumi sisi kanan menempatkan butang audio dan butang kuasa. Bahagian bawah pula mempunyai satu pembesar suara, port USB-C dan slot dwi-SIM. Manakala di bahagian atas terdapat satu lagi pembesar suara. Seperti kebanyakan telefon andalan, ia mempunyai pengimbas cap jari dalam paparan.

    Di bahagian belakang, bonggol kameranya yang berbentuk segi empat agak menonjol di bahagian atas kiri. Ia membawa tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 200MP, ultra lebar 8MP dan makro 2MP.

    Tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 200MP, ultra lebar 8MP dan makro 2MP
    Kamera swafoto 20MP

    Di hadapannya, ia mempunyai skrin berukuran 6.67 inci dengan sempadan bezel skrin yang nipis menjadikan peranti ini hampir semua skrin pada bahagian hadapannya. Terdapat kamera swafoto 20MP dalam lubang punch hole di bahagian atas tengah skrin sama seperti kebanyakan telefon semasa.

    Ia menggunakan paparan AMOLED CrystalRes yang menghasilkan warna pekat dan jelas ketika menonton video dan bermain game. Sesi menatal (swiping) skrin juga sangat lancar dengan kadar penyegaran semula 120Hz untuk kegunaan harian termasuk melayari media sosial dan bermain game

    Bagi mereka yang membeli Xiaomi 12T Pro, anda akan mendapat sarung silikon, pin SIM, pengecas 120W dan kabel pengecas USB-C. Namun, disebabkan ia merupakan telefon andalan, saya mungkin inginkan satu lagi tambahan barangan dalam kotak seperti pelindung skrin kerana pelindung skrin di pasaran mungkin menawarkan harga yang tidak berpatutan.

    Spesifikasi – Prestasi yang sangat lancar dengan cipset andalan

    • Cipset Snapdragon 8+ Gen 1 4nm
    • RAM 8GB/ 128GB dan storan 256GB
    • Paparan AMOLED CrystalRes 6.67 inci
    • Kadar penyegaran semula 120Hz, kadar sampel sentuh 480Hz
    • Tri-kamera: Kamera utama 200MP, ultra lebar 8MP, makro 2MP
    • Kamera hadapan: 20MP
    • Bateri 5,00mAh, HyperCharge 120W
    • Pengimbas cap jari dalam paparan
    • Dwi pembesar suara Dolby Atmos
    • MIUI 13 berdasarkan Android 12
    • Dwi SIM, NFC, 5G, WiFi 6
    • Warna: hitam, perak dan biru

    Daripada segi paparan, paparan AMOLED 6.67 inci dilengkapi dengan resolusi 1220 x 2712 piksel yang tajam. Nisbah aspek 20:9 sama seperti pada Xiaomi 11T sebelum ini dan ia menghasilkan 446 piksel per inci (ppi) yang sangat baik menjadikannya kelihatan sangat tajam sekiranya ia dilihat dalam kehidupan sebenar.

    Ia juga mempunyai mod bacaan adaptif yang mengesan sesi bacaan yang berpanjangan dan mengurangkan jumlah cahaya biru yang datang daripada paparan. Paparan 12 bit ini memaparkan lebih 68 bilion warna serta diperakui oleh Dolby Vision dan HDR10+. Xiaomi mempunyai beberapa mod warna yang tersedia dalam menu tetapannya. Maka, anda boleh memilih mengikut kesesuaian penggunaan atau kehendak peribadi. 

    Daripada segi cipset, ia membawa cipset andalan Snapdragon 8+ Gen 1 4nm dengan prestasi yang sangat lancar untuk kegunaan harian termasuklah melayari internet, aplikasi pemesejan, gaming dan lain-lain. 

    Modul kameranya terdiri daripada kamera utama 200MP, ultra lebar 8MP dan makro 2MP. Bagi mereka yang menggemari bidang fotografi, telefon ini merupakan telefon yang sesuai untuk anda terutamanya dengan fungsi tangkapan imej 200MP. 

    Kameranya hadir dengan fungsi lain seperti video pendek (short video), dokumen (documents), panorama, VLOG, gerakan perlahan (slow motion) sela masa (time-lapse), kesan filem (movie effects), penapis (filter), pendedahan lama (long exposure), dwi-video (dual video) dan klon (clone)

    Selain itu, ia mempunyai kapasiti bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W. Anda tidak perlu risau untuk membelanjakan wang tambahan kerana pengecas 120W turut disediakan di dalam kotak.

    Ia mempunyai RAM sebanyak 8GB dan storan sehingga 1256GB tanpa slot kad memori microSD seperti telefon pintar yang lain untuk era terkini. Ia masih menggunakan sistem pengendalian MIUI 13 berdasarkan Android 12. Maka, ia mudah untuk digunakan untuk pengguna-pengguna peranti Android.

    Prestasi – Telefon andalan yang boleh digunakan untuk semua kerja

    Sebelum saya mengulas lanjut tentang prestasi telefon ini, berikut adalah keputusan yang dihasilkan daripada ujian penanda aras Geekbench dan 3DMark untuk Xiaomi 12T Pro ini:

    Anda boleh menetapkan kadar skrin Xiaomi 12T Pro kepada 120Hz, 60Hz atau memilih automatik. Mod kadar penyegaran semula automatik ini cukup pintar untuk mengesan sekiranya video yang dimainkan pada skrin atau aplikasi main balik seperti YouTube dengan menurunkan kadar penyegaran semulanya kepada 60Hz untuk menjimatkan kuasa.

    Sebagai pencipta kandungan, saya memerlukan masa yang panjang dalam menonton video untuk mencari idea. Saya mendapati tiada sebarang masalah malah ia cukup membantu dalam kerja harian saya sepanjang dua minggu penggunaan.

    Sewaktu saya bermain game ‘Asphalt 9’, sebarang sentuhan bergerak dengan lancar. Tidak dinafikan, ia menghasilkan grafik yang cantik dengan warna yang pekat. Prestasi game cukup bagus kerana saya tidak mengalami sebarang masalah sentuhan dan lag.

    Game Turbo boleh didapati apabila anda meleret dari tepi ke tengah. Ia mendapat kemas kini yang merangkumi antara muka dan beberapa ciri baharu. Salah satunya adalah mod prestasi baharu yang turut menunjukkan Frame Per Second (FPS) tetapi malangnya, ia tidak mempunyai widget terapung untuk memantau FPS semasa bermain game.

    Tidak dilupakan, pembesar suara memainkan satu peranan penting ketika menonton dan bermain game. Xiaomi 12T Pro mempunyai dua pembesar suara di mana satu menghala ke atas manakala satu lagi menghala ke bawah. Xiaomi bekerjasama dengan Dolby membolehkan anda ke tetapan untuk ciri penyamaan berciri penuh (full-featured equalizer)

    Terdapat juga teknologi Harman Kardon untuk pembesar suara pada 12T Pro. Pembesar suaranya agak kuat, menghasilkan melodi dan vokal yang jelas. Tidak dinafikan kualiti audio keseluruhan adalah bagus.

    Telefon ini menyokong pengecasan pantas 120W di mana ia terbukti dalam masa kurang 30 minit, peranti boleh mencapai 100% daripada 0%. Yang paling mengagumkan, saya bermain game selama 30 minit, bateri hanya menurun ke 97%. Ini bermakna anda boleh bermain game tanpa sebarang gangguan daripada peranti sendiri.

    Beralih kepada kamera, kamera utama menggunakan sensor Samsung HP1 dengan format optik 1/1.22″. Kamera ultra lebar 8MP pula adalah sensor Samsung S5K4H7 ISOCELL Slim 1/4″ dengan piksel 1.12µm dan apertur f/2.2. Untuk kamera swafoto, ia menggunakan sensor Sony IMX596 20MP dengan format optik 1/3.47″ dan saiz piksel 0.8µm.

    Anda mempunyai beberapa pilihan resolusi seperti 50MP dan 200MP. Imej yang ditangkap pada siang hari pada 50MP memberikan warna kontras yang mencukupi. Butiran yang ditangkap dalam imej adalah jelas dan kelihatan semula jadi. 

    Bagi resolusi 200MP, saiz fail agak besar antara 45MB hingga hingga 85MB, jadi ia mungkin bukan mod yang boleh digunakan secara kerap. Imej yang ditangkap adalah lebih tajam dan jelas terutamanya ketika ia dizum sebanyak dua kali ganda, menjadikannya sesuai untuk suntingan dan memotong (crop) gambar. Jika anda sekadar mengambil gambar untuk dikongsi dalam media sosial atau aplikasi permesejan, lebih baik anda abaikan sahaja mod 200MP dan gunakan mod fotografi auto sahaja.

    Untuk telefon andalan sebegini, pencahayaan malap tidak terlalu memberi kesan. Ia masih memberikan imej yang jelas tanpa berkira sama ada mod malam diaktifkan atau tidak. Seperti dalam imej, cahaya malap dari kamera utama 12T Pro adalah sangat baik walaupun pencahayaan hanya dibantu oleh lampu jalan.

    Kesimpulan – Sesuai untuk kegunaan berat 

    Pada pendapat saya, Xiaomi 12T Pro ini merupakan telefon andalan yang bagus dengan harga berpatutan pada RM2,699. Bagi peminat fotografi, telefon ini adalah antara yang baik serta sesuai untuk penggunaan yang berat seperti bermain game.

    Namun, sebagai telefon andalan, saya mencadangkan agar Xiaomi menawarkan lebih lagi aksesori dalam kotak seperti pelindung skrin yang berkualiti.

    Anda juga boleh mendapatkan telefon pintar yang lain seperti HUAWEI nova 10 Pro yang menawarkan bateri 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas 100W pada RM2,599. Terdapat juga ASUS ROG Phone 5s yang menawarkan paparan AMOLED HDR10+ 6.78 inci bermula pada harga RM2,199 bagi peminat gaming.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Xiaomi 12T Pro ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles lutsinar bermula RM479

    Nothing Malaysia telah memperkenalkan dua fon telinga wayarles baharu iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Syarikat teknologi yang berpusat di London,...

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    nubia Neo 2 5G dilancar di Malaysia: Tampilkan ‘Dual Gaming Shoulder Triggers’ berharga RM999

    Siri nubia Neo melancarkan peranti andalan terbaharunya, nubia Neo 2 5G yang dicipta untuk memenuhi keperluan pemain kasual dan peminat dengan mengutamakan...

    TIME naik taraf Pakej MyKabel 100Mbps kepada 200Mbps, harga kekal pada RM69/bulan

    Awal bulan ini, TIME memberikan peningkatan Speed Boost secara percuma kepada beberapa pelanggan yang layak. Kini, terdapat satu lagi peningkatan baru dan...

    Fahmi Fadzil: Kanak-kanak bawah 13 tahun tidak patut miliki akaun media sosial

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka yang berumur 13 tahun ke bawah tidak memiliki sebarang akaun media...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X