fbpx
More

    Ulasan Xiaomi 12T: Telefon serba boleh dengan harga tiada tandingan

    Sejak beberapa tahun lalu, Xiaomi telah menghasilkan telefon pintar yang mewah dan dijual pada harga agak mahal, manakala telefon kategori mampu milik pula dijual dengan jenama Redmi. Ini membuatkan ramai yang hampa dengan Xiaomi sekarang kerana jenama China itu seperti melupakan pelanggan yang inginkan sebuah telefon mesra bajet.

    Sungguh pun demikian, Xiaomi Malaysia telah melancarkan siri Xiaomi 12T yang dilengkapi spesifikasi canggih seperti kamera 108MP, cipset MediaTek Dimensity 8100 dan pengecasan pantas 120W, namun dijual pada harga yang lebih murah daripada telefon andalan (flagship) jenama lain iaitu sekadar RM1,999 sahaja. Untuk mengetahui sama ada telefon ini berbaloi pada harga tersebut, mari kita baca ulasan ini yang telah dikarang oleh penulis TechNave Bahasa Cina:

    Rekaan – Ringkas dan elegan

    Xiaomi 12T disediakan dalam warna biru, perak dan hitam manakala unit yang telah dipinjamkan kepada penulis pula adalah biru. Rekaan Xiaomi 12T boleh dikatakan sebagai penyambung kepada siri Xiaomi 12, dengan rekaannya yang berprofil rendah tetapi masih mewah. Jika anda melihat telefon ini daripada sudut tertentu, anda boleh dapati rekaan belakang Xiaomi 12T menghasilkan warna biru samar-samar yang elegan.

    Permukaan belakangnya mempunyai sudahan matte yang masih boleh meninggalkan kesan cap jari. Apabila disentuh pula, telefon ini mempunyai permukaan yang licin manakala bahagian sisi yang melengkung membuatkannya rasa lebih selesa pada tapak tangan. Telefon ini mempunyai rangka aluminium yang berkilauan jadi anda perlu berhati-hati supaya ia tidak tercalar.

    Selain itu, seperti kebanyakan telefon dalam kategori ini, Xiaomi 12T tidak mempunyai bicu audio 3.5mm.

    Modul kameranya mempunyai reka bentuk segi empat sama seperti Xiaomi 12T Pro yang terdiri daripada tiga lensa dan satu lampu denyar LED, manakala sebaris teks “108MP” turut terpapar di bawah lensa utama. Satu perbezaan ketara dengan siri Xiaomi 12 adalah telefon ini mempunyai lensa utama berbentuk petak, manakala Xiaomi 12 pula mempunyai lensa utama berbentuk bulat.

    Bahagian hadapan telefon pula mempunyai skrin berukuran 6.67 inci dengan lubang punch-hole untuk kamera swafoto. Sempadan bezel pada semua empat sisi adalah sangat nipis, terutamanya pada bahagian dagu. Dalam kotak, Xiaomi 12T sudah siap dipasang dengan pelindung skrin, jadi anda tidak perlu risau tentang kesan calar pada skrinnya.

    Kandungan dalam kotak Xiaomi 12T

    Telefon ini mempunyai berat 202 gram yang agak tinggi untuk penulis, namun memandangkan ia mempunyai bateri 5,000mAh, ini adalah sesuatu yang boleh dijangka. Anda mungkin perlu pergi sendiri ke kedai fizikal untuk alami sendiri berat telefon ini.

    Spesifikasi – Pengalaman baru dengan MIUI 13

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Xiaomi 12T:

    • Skrin AMOLED 6.67 inci, kadar segar semula 120Hz, kadar bacaan sentuh 480Hz
    • Cipset MediaTek Dimensity 8100 Ultra
    • RAM 8GB
    • Storan dalaman 256GB
    • Kamera utama 108MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP
    • Kamera swafoto 20MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas HyperCharge 120W
    • Antara muka MIUI 13 berdasarkan Android 12
    • Pengimbas cap jari dalam skrin, menyokong imbasan muka
    • Warna hitam, perak dan biru

    Sejak sekian lama, sistem antara muka MIUI dikenali sebagai perisian yang agak “kembung” kerana ia menawarkan terlalu banyak fungsi dan aplikasi remeh, menggunakan terlalu banyak memori serta tidak begitu original. MIUI 13 masih mempunyai beberapa aplikasi yang telah dipra-pasang, namun penulis boleh melihat bahawa Xiaomi banyak melakukan usaha untuk meningkatkan tahap mesra pengguna dalam perisian ini.

    Fungsi yang ditawarkan termasuklah Game Turbo yang boleh hidupkan mod prestasi, tingkatkan sentuhan sewaktu bermain game, batalkan sentuhan palsu yang mungkin muncul jika tapak tangan tersentuh skrin, laraskan kecerahan skrin secara automatik dan banyak lagi.

    MIUI 13
    Mod Game Turbo
    Video Toolbox yang boleh diakses sewaktu menonton video
    Kawalan audio Dolby Atmos

    Selain fungsi untuk melaraskan skrin permainan, Xiaomi 12T turut menyediakan pelarasan gaya imej Video Toolbox untuk tontonan video seperti HDR, hitam putih, nostalgia dan banyak lagi. Untuk audio pula, anda boleh buka kawalan Dolby Atmos dalam Video Toolbox untuk tingkatkan tahap audio dialog. Anda juga boleh tetapkan supaya video terus dimainkan walaupun jika skrin ditutup.

    Xiaomi 12T menggunakan skrin AMOLED 6.67 inci yang menyokong kadar segar semula 30Hz, 60Hz atau 120Hz serta kadar bacaan sentuh 480Hz. Anda boleh tetapkan kadar segar semula untuk kekal pada 60Hz atau 120Hz sahaja, atau anda boleh biarkan telefon laraskan kadar tersebut secara automatik untuk penggunaan bateri yang optimum. Kecerahannya pula 500 nits dan boleh memuncak sehingga 900 nits jika anda biarkan skrin ini melaraskan kecerahannya secara automatik.

    Tetapan skrin Xiaomi 12T
    Boleh buang orang yang tidak diingini dalam gambar

    Untuk suntingan kamera pula, terdapat fungsi menarik yang membenarkan anda untuk membuang orang yang tidak dikehendaki dalam latar belakang gambar anda. Pada pendapat penulis, ini adalah fungsi MIUI 13 yang paling praktikal kerana selalunya fungsi ini hanya ditawarkan dalam aplikasi berbayar.

    Telefon ini mempunyai sepasang pembesar suara stereo Dolby Atmos yang boleh menghasilkan audio kuat dan tidak mempunyai bunyi pecah sewaktu memainkan audio dengan kelantangan tertinggi.

    Baterinya pula berkapasiti 5,000mAh dan menyokong kadar pengecasan pantas 120W. Sewaktu penggunaan oleh penulis, Xiaomi 12T boleh dicas sepenuhnya kepada 46% dalam masa 15 minit, manakala pengecasan penuh memerlukan 32 minit.

    Untuk keselamatan pula, anda boleh buka kunci skrin menggunakan pengimbas cap jari dalam skrin atau imbasan muka. Kelajuan untuk kedua-dua kaedah adalah sangat pantas, namun penulis berpendapat kedudukan pengimbas cap jari pada skrin telefon ini adalah agak rendah. Jadi, anda perlu letakkan jari dengan dekat kepada dagu telefon untuk membuka skrin dan ini mungkin tidak begitu selesa.

    Prestasi – Sangat pantas dengan kawalan suhu yang baik

    Tidak seperti Xiaomi 12T Pro, Xiaomi 12T dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 8100-Ultra, RAM LPDDR5 dan UFS 3.1. Prestasi keseluruhan Xiaomi 12T adalah sangat lancar untuk semua kegunaan termasuklah untuk aplikasi berat seperti game. Lebih-lebih lagi, sistem MIUI 13 nampak lebih bersih dan ringkas daripada sistem sebelumnya walaupun masih terdapat sejumlah kecil iklan.

    Keputusan penanda aras Geekbench dan 3DMark
    Boleh memainkan Genshin Impact dengan lancar

    Dalam game Genshin Impact, walaupun kadar bingkainya sekadar 60fps, kualiti grafiknya masih boleh diletakkan pada tahap tinggi. Telefon ini tidak mengalami sebarang kejatuhan kadar bingkai mendadak (frame drop) manakala suhunya tidak pernah menjadi terlalu panas. Oleh itu, ia sesuai digunakan untuk game berat yang popular pada waktu ini.

    Penggunaan kuasanya agak tinggi, di mana sesi bermain game selama 40 minit sudah menggunakan 14% daripada kapasiti bateri. Jadi untuk mereka yang kerap bermain game, anda mungkin perlu cas Xiaomi 12T sebanyak dua kali sehari untuk pastikan bateri anda tidak kehabisan. Jika anda sekadar menggunakan telefon ini untuk tugas harian, baterinya pasti boleh bertahan lebih daripada sehari.

    Untuk kualiti gambar pula, saya amat berpuas hati dengan penghasilan warnanya yang nampak natural dan tidak terlalu terang. Kamera ultra-lebar pula boleh mengambil gambar tanpa efek herotan (distortion) yang melampau di bahagian sisi.

    Fungsi kamera pada Xiaomi 12T

    Penggambaran malam juga nampak natural dalam kamera ini dan tidak seperti telefon Andoird lain yang selalunya tersilap ambil gambar langit waktu malam dengan warna biru gelap. Kameranya boleh menghidupkan mod malam secara automatik jika ia mengesan kekurangan cahaya di sekeliling pengguna.

    Perlu diingati bahawa perbezaan Xiaomi 12T dengan varian Pro adalah ia tidak mempunyai rakaman video 8K dan autofokus penjejakan mata. Xiaomi 12T sekadar boleh merekod pada resolusi 4K 30fps. Walaupun dengan ketiadaan penjejakan mata, Xiaomi 12T masih bertindak balas dengan pantas apabila memfokus pada subjek selagi latar belakagnya tidak kompleks.

    Kamera Xiaomi 12T menyokong zum sehingga 10x untuk fotografi dan 6x untuk rakaman video. Perlu diingati bahawa mod piksel tinggi 108MP juga menyokong zum 2x. Apabila zum ke tahap maksimum dalam setiap mod, gambar yang dipaparkan masih nampak jelas dan tiada hingar (noise) yang ketara.

    Sewaktu menggunakan mod 108MP, sekali pandang, gambar yang dihasilkan tidak nampak berbeza dengan gambar mod auto. Akan tetapi, jika anda zum pada gambar 108MP dalam galeri, anda boleh zum lebih jauh daripada gambar yang diambil dalam mod auto. Perlu diingati bahawa gambar 108MP mengambil ruang yang besar dalam storan, iaitu tujuh kali lebih besar daripada gambar biasa.

    Perbandingan saiz fail gambar biasa dengan 108MP
    Fungsi dokumentasi pada kamera Xiaomi 12T

    Dalam aspek lain, Xiaomi 12T menyediakan rakaman dwi-kamera yang menggunakan kamera belakang dan hadapan serentak, rakaman gerak perlahan dan timelapse. Ia juga boleh mengambil gambar helaian dokumen kemudian menjadikannya kepada sebuah fail dokumen dalam telefon.

    Kesimpulan – Naik taraf yang ketara dengan harga yang sama seperti Xiaomi 9

    Secara ringkasnya, Xiaomi 12T boleh dikatakan sebagai telefon pintar serba boleh dan dengan harga RM1,999, ia adalah sangat berbaloi. Telefon ini mengingatkan penulis kepada siri Xiaomi 9 yang dilancar pada 2019 yang juga dijual pada harga RM1,899-RM1,999 pada waktu itu. Dua tahun kemudian, Xiaomi 12T pula dijual pada harga sama iaitu RM1,999. Penulis memuji Xiaomi kerana berjaya mengekalkan harga telefon untuk kategori ini.

    Mungkin ada di luar sana yang tidak pasti untuk dapatkan Xiaomi 12T Pro atau Xiaomi 12T. Walaupun varian Pro mempunyai cipset Snapdragon 8+ Gen 1, kamera utama 200MP dan rakaman video 8K, ia tidak banyak berbeza dengan Xiaomi 12T yang sudah memadai untuk kebanyakan pengguna.

    Di samping itu, gambar 200MP dan video 8K akan memerlukan storan yang lebih besar dan memandangkan storan Xiaomi 12T Pro tidak boleh dibesarkan dengan kad memori, dua fungsi kamera ini mungkin akan menjadi masalah besar untuk pemiliknya.

    Sungguh pun begitu, tidak dinafikan kamera Xiaomi 12T Pro adalah lebih canggih daripada Xiaomi 12T, jadi jika anda seseorang yang mengutamakan fotografi dan videografi, mungkin anda boleh dapatkan 12T Pro dengan harga yang lebih mahal iaitu RM2,699.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    [Diterjemahkan daripada TechNave CN]

     

    Artikel Terkini

    realme 12x 5G akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    realme Malaysia bakal melancarkan varian terbaru dalam siri telefon pintar kelas pertengahan realme 12 iaitu realme 12x 5G. realme mengatakan ia adalah...

    MediaTek Dimensity 6300 diumum, cipset 5G untuk telefon pintar segmen pertengahan

    MediaTek menawarkan pasaran telefon segmen pertengahan dengan cipset Dimensity 6300 5G terbaharu. Cip ini dihasilkan dengan proses 6nm dan menawarkan peningkatan sederhana...

    vivo V30e dengan SD 6 Gen 1, skrin 120Hz bakal dilancarkan pada 2 Mei...

    Mengikut pengumuman rasmi, vivo akan memperkenalkan vivo V30e di India pada 2 Mei 2024. Peranti ini dijangka menggunakan paparan AMOLED melengkung 6.78...

    Blackview Hero 10 mungkin jadi telefon boleh lipat paling murah di dunia

    nubia Flip 5G yang dilancarkan awal bulan ini dengan harga RM2,499 merupakan telefon boleh lipat paling murah dalam pasaran. Namun, itu tidak...

    Maybank bakal gantikan pemberitahuan SMS kepada pop timbul aplikasi bermula 22 April ini

    Maybank mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan dasar pemberitahuan baharu mulai 22 April 2024 dan akan menggunakan pemberitahuan pop timbul aplikasi (APP) untuk...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X