fbpx
More

    Ulasan Xiaomi 13 – Telefon andalan untuk para peminat kamera Leica

    Xiaomi 13 mula diperkenalkan pada hujung 2022 dan telah dilancar untuk pasaran antarabangsa dalam acara Mobile World Congress 2023. Ini merupakan siri telefon pintar pertama daripada Xiaomi Malaysia yang menampilkan teknologi kamera Leica, memandangkan Xiaomi 12S Ultra tidak ditawarkan untuk pasaran antarabangsa.

    Sebagai sebuah telefon andalan (flagship) baharu oleh Xiaomi, Xiaomi 13 menampilkan penambahbaikan yang menarik seperti pengecasan yang lebih pantas dan fungsi kamera Leica yang sebelum ini hanya ditawarkan dalam siri Xiaomi 12S. Jadi adakah ini telefon yang sesuai untuk anda? Ayuh baca ulasan oleh penulis TechNave Bahasa Inggeris untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Telefon premium yang menyerlah

    Pertama sekali, saya ingin mengulas tentang pilihan warnanya. Untuk pasaran Malaysia, Xiaomi 13 hanya ditawarkan dalam warna hitam, putih dan hijau. Malang sekali, kita tidak dapat warna biru yang mempunyai tekstur kulit di belakangnya.

    Unit yang dipinjamkan kepada kami ini berwarna hijau dan ia memberikan penampilan yang “lembut”. Walaupun ia digelar sebagai Flora Green, warna tint hijau ini lebih mirip kepada seutas rantai tangan jed (jade bracelet). Permukaan belakangnya dibuat daripada kaca yang kukuh dan tidak meninggalkan kesan cap jari dengan mudah. Ia juga akan memantulkan cahaya jika anda menyengetkannya dari pelbagai sudut untuk memberikan imej mewah.

    Xiaomi 13 mempunyai rekaan yang semakin popular dalam kalangan telefon pintar andalan iaitu bahagian sisi rata dan bucu melengkung. Ia mempunyai lengkungan sedikit di permukaan belakang, membuatkannya rasa lebih selesa apabila dipegang. Beberapa penulis TechNave turut berpendapat ini adalah antara telefon yang paling selesa pada 2023.

    Walaupun telefon ini mempunyai skrin yang lebih kecil berbanding telefon andalan lain, ia masih mempunyai saiz yang lebih besar berbanding Xiaomi 12 (daripada 6.26 inci kepada 6.36 inci). Sungguh pun begitu, saiz keseluruhannya masih tidak banyak berubah kerana Xiaomi sekadar mengecilkan sempadan bezel sahaja berbanding telefon sebelum ini. Ini membenarkan Xiaomi 13 untuk mempunyai saiz skrin yang lebih besar tanpa membesarkan saiz keseluruhan telefon.

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Xiaomi 13 mempunyai kamera yang direka bersama Leica. Anda boleh lihat logo Leica yang terdapat pada bonggol kameranya, kini berbentuk segi empat sama dan bukan lagi segi empat tepat seperti yang terdapat pada telefon sebelum ini. Terdapat juga garisan yang membahagikan lensa pada bonggol kamera ini, namun ini hanyalah ekstetika yang tidak mempunyai sebarang fungsi teknikal.

    Di bahagian hadapan, ia mempunyai skrin AMOLED berukuran 6.36 inci dengan lubang punch-hole di bahagian atas tengah. Skrin ini menggunakan panel AMOLED E6 dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 93.3%, puncak kecerahan 1,900nits dan kadar segar semula 120Hz. Menurut Xiaomi, peranti ini menyokong pemalapan (dimming) DC dan boleh merendahkan penggunaan tenaga sebanyak 22%. Tambahan lagi, kecerahan puncak yang tinggi bermaksud telefon ini boleh digunakan walaupun di bawah matahari terik.

    Selain itu, skrin ini mempunyai kadar bacaan sentuh 240Hz, menyokong Dolby Vision dan pengiktirafan perlindungan mata SGS. Ia bukan sahaja boleh memaparkan imej yang cantik sewaktu melayari pelayar internet atau media sosial, malah ia turut menghasilkan grafik cantik sewaktu bermain game. Satu masalah kecil yang saya alami adalah sewaktu memegang telefon ini dalam mod lanskap untuk bermain game, kadang-kadang telapak tangan saya tersentuh sedikit skrin telefon ini dan menyebabkan input yang tidak disengaja. Ini adalah satu keburukan skrin dengan sempadan bezel nipis.

    Semua aksesori yang disertakan dalam kotak

    Spesifikasi – Hampir sama dengan varian Pro

    Xiaomi 13 mungkin adalah varian yang standard, namun ini tidak bermakna ia ketinggalan berbanding Xiaomi 13 Pro. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Xiaomi 13:

    • Skrin AMOLED 6.36 inci, resolusi 1080×2400, kadar segar semula 120Hz, Dolby Vision, HDR10+, kecerahan puncak 1,900 nits
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2
    • RAM LPDDR5X 12GB
    • Storan UFS 4.0 256GB
    • Sistem penyejukan cecair kamar wap (4642mm²)
    • Kamera utama 50MP f/1.8 dengan HyperOIS, kamera ultra-lebar 12MP f/2.2, kamera telefoto 10MP (75mm) f/2.0 dengan OIS
    • Bateri 4,500mAh
    • Pengecasan pantas 67W, pengecasan wayarles 50W, pengecasan wayarles berbalik 10W
    • Kalis air IP68
    • Pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos
    • Sistem operasi MIUI 14 berdasarkan Android 13
    • Warna hitam, putih, hijau

    Xiaomi 13 menampilkan cipset tercanggih oleh Qualcomm setakat ini, iaitu Snapdragon 8 Gen 2. Ia juga dipadankan dengan RAM LPDDR5X sebanyak 12GB yang membuatkan telefon ini boleh memainkan sebarang aplikasi dengan mudah. Bagi mengekalkan suhu telefon pada tahap terkawal, ia mempunyai sistem penyejukan cecair kamar wap (vapour chamber liquid cooling system) seluas 4642mm².

    Sebagai cipset yang dibuat dengan nod proses 4nm, cipset Snapdragon 8 Gen 2 menawarkan prestasi CPU yang lebih pantas sebanyak 37% dan prestasi GPU lebih pantas sebanyak 42%, iaitu peningkatan yang agak besar daripada Snapdragon 8 Gen 1. Storannya pula adalah UFS 4.0, jadi ia masih setanding dengan Xiaomi 13 Pro atau Xiaomi 13 Ultra.

    Skrin yang lebih kecil daripad Xiaomi 13 Pro, namun masih mengasyikkan

    Di samping skrin, lain-lain ciri menarik pada Xiaomi 13 termasuklah pembesar suara stereo, dulang dwi-kad SIM dan storan UFS 4.0 256GB. Bateri 4,500mAh mungkin tidak sama besar dengan telefon gaming, namun ini adalah kapasiti standard untuk telefon andalan terkini.

    Untuk sistem operasinya pula, Xiaomi 13 mempunyai sistem operasi MIUI 14 berdasarkan Android 13. Antara mukanya (UI) telah diperbaharui dan rasa lebih lancar berbanding Xiaomi 12. Walaupun semua ikon aplikasi masih nampak sama, ia masih menyediakan folder yang lebih besar, saiz ikon yang boleh dilaras dan widget baharu.

    Antara muka MIUI 14

    Prestasi – Tiada kompromi!

    Untuk menguji prestasi telefon ini, kami menggunakan penanda aras Geekbench dan 3DMark. Dalam ujian CPU Geekbench 6, Xiaomi 13 mencatatkan markah 1,372 mata dalam kategori teras tunggal dan 4,414 mata dalam kategori multi-teras. Sebagai rujukan, purata markah untuk Snapdragon 8 Gen 1 adalah 1,278 (teras tunggal) dan 3,815 (multi-teras) mata. Ini menunjukkan cipset baharu ini menawarkan prestasi yang jauh lebih pantas.

    Saya juga menguji telefon ini dengan 3DMark Wild Life Stress Test untuk meniliai prestasinya dalam tempoh penggunaan yang panjang. Xiaomi 13 merekodkan kestabilan sebanyak 98.5%, menunjukkan bahawa telefon ini boleh kekalkan prestasi tinggi walaupun dalam tempoh penggunaan panjang, manakala untuk suhu pula ia mencatatkan suhu tertinggi 45°C yang agak mengejutkan.

    Penanda aras Geekbench dan 3DMark

    Untuk prestasi gaming, saya memainkan game Genshin Impact dan telefon ini boleh memaikannya dalam tetapan grafik tertinggi dengan kadar bingkai 60fps dan kabur gerakan (motion blur) diaktifkan. Saya tidak rasa langsung sebarang penurunan prestasi sepanjang saya memainkan game ini. Suhunya juga tidak pernah menjadi terlalu panas, tetapi jika anda inginkan prestasi yang lebih lancar dan suhu lebih rendah, anda boleh rendahkan kualiti grafik pada telefon ini.

    Seterusnya saya ingin mengulas tentang hayat bateri. Xiaomi 13 dilengkapi bateri 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W, pengecasan wayarles 50W dan pengecasan wayarles berbalik 10W. Pengecas 67W turut disertakan dalam kotak dan Xiaomi mengatakan telefon ini boleh dicas penuh dalam masa 50 minit.

    Selepas selesai menggunakannya selama sehari, Xiaomi 13 masih mempunyai cas sebanyak 10%. Selepas menghubungkannya kepada pengecas, baterinya dicas kepada 24% dalam masa 5 minit, 36% dalam masa 10 minit, 44% dalam masa 15 minit, 72% dalam masa 30 mint dan 100% dalam masa 50 minit. Nampaknya kenyataan Xiaomi itu memang tepat.

    Pengecas 67W dan kabel USB-C ke USB-A turut disertakan dalam kotak
    Rekod penggunaan bateri

    Penggunaan bateri juga agak cemerlang. Sewaktu saya memainkan Genshin Impact selama 30 minit, hanya 10% daripada cas bateri telah digunakan. Sewaktu memainkan video selama 30 minit pula dengan kecerahan maksimum dan audio terlantang, baterinya turun daripada 74% kepada 68% sahaja, sesuatu yang sangat mengagumkan.

    Xiaomi 13 mempunyai dwi-pembesar suara stereo yang menyokong Dolby Atmos manakala skrinnya menyokong siaran Dolby Vision. Dengan dua fungsi ini, saya amat menikmati tontonan video pada telefon ini.

    Untuk fotografi, kamera Xiaomi 13 terdiri daripada kamera utama 50MP dengan HyperOIS, kamera ultra-lebar 12MP dan kamera telefoto 10MP. Xiaomi 13 menggunakan data warna yang diprogram oleh Xiaomi dan Leica untuk menghasilkan gambar yang mirip dengan objek sebenar.

    Tri-kamera Leica
    UI kamera Xiaomi 13

    Teknologi “Leica true colour imaging” ini merupakan platform pembelajaran mesin yang dilatih daripada jutaan gambar dan membenarkan anda untuk mendapatkan warna yang lebih tepat dalam gambar.

    Untuk kualiti gambar pula, kamera utama Leica menghasilkan gambar yang mantap di bawah cahaya yang terang. Gambar yang dihasilkan juga mempunyai butiran yang banyak dan ketepatan warna yang tinggi. Berikut adalah contoh gambar yang diambil:

    Kualiti gambar ultra-lebar yang diambil juga sangat memuaskan, dengan kualiti yang serupa dengan kamera utama. Ini hasil daripada enjin pengimejan berkuasakan AI yang boleh menambah baik gambar dengan daun, bunga, bangunan dan awan.

    Memandangkan keberadaan teknologi Leica, Xiaomi 13 menawarkan penapis (filter) Leica Vibrant dan Leica Authentic jika anda inginkan gambar yang mirip dengan hasil daripada kamera Leica.

    Untuk prestasi penggambaran malap pula, Xiaomi 13 menghasilkan gambar yang baik walaupun mod malam tidak diaktifkan. Sukar untuk saya bezakan di antara gambar mod auto atau gambar mod malam. Satu perbezaan kecil yang saya perasan adalah cahaya lampu dalam gambar mod malam tidak mempunyai herotan (distortion) yang tinggi, serta noise yang kurang.

    Tidak kiralah anda berada di mana sekalipun, Xiaomi 13 boleh hasilkan gambar dengan warna yang cemerlang. Sudah tentu, perisian kamera akan membuat pasca-pemprosesan (post-processing) terhadap gambar anda, namun ia tidak keterlaluan. Ia masih nampak cantik tanpa sebarang suntingan daripada Photoshop, jadi anda boleh terus memuatnya naik ke media sosial.

    Untuk rakaman video pula, kamera utama menyokong penstabilan HyperOIS dan boleh rekod video dalam resolusi 4K 24p. Penstabilan ditawarkan dalam dua mod iaitu Steady Video dan Steady Video Pro.

    Kesimpulan – Telefon andalan kecil untuk peminat Leica

    Secara keseluruhan, prestasi Xiaomi 13 adalah setaraf dengan telefon andalan yang lain. Walaupun ia tidak mempunyai spesifikasi sama dengan Xiaomi 13 Pro, ia masih boleh menghasilkan prestasi pantas.

    Hanya satu sahaja varian memori yang ditawarkan di Malaysia iaitu RAM 12GB + storan 256GB yang dijual pada harga RM3,499. Jika dibandingkan dengan harga telefon pintar andalan lain, ini boleh dikira agak berbaloi.

    Jika anda inginkan alternatif, HONOR Magic5 menawarkan spesifikasi yang serupa pada harga sama. Ia mempunyai skrin yang lebih besar namun kameranya tidak mempunyai teknologi Leica. OnePlu1 11 pula berharga RM3,299 dan mempunyai kamera yang ditala oleh Hasselblad dan pengecasan pantas 100W, manakala iQOO 11 yang berharga RM3,499 menawarkan skrin 2K 144Hz dan cip V2 yang meningkatkan prestasi gaming.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles lutsinar bermula RM479

    Nothing Malaysia telah memperkenalkan dua fon telinga wayarles baharu iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Syarikat teknologi yang berpusat di London,...

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    nubia Neo 2 5G dilancar di Malaysia: Tampilkan ‘Dual Gaming Shoulder Triggers’ berharga RM999

    Siri nubia Neo melancarkan peranti andalan terbaharunya, nubia Neo 2 5G yang dicipta untuk memenuhi keperluan pemain kasual dan peminat dengan mengutamakan...

    TIME naik taraf Pakej MyKabel 100Mbps kepada 200Mbps, harga kekal pada RM69/bulan

    Awal bulan ini, TIME memberikan peningkatan Speed Boost secara percuma kepada beberapa pelanggan yang layak. Kini, terdapat satu lagi peningkatan baru dan...

    Fahmi Fadzil: Kanak-kanak bawah 13 tahun tidak patut miliki akaun media sosial

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka yang berumur 13 tahun ke bawah tidak memiliki sebarang akaun media...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X