fbpx
More

    Ulasan Xiaomi Mi 11 Lite – Seronok dipakai tetapi kurang menyengat

    Selepas Xiaomi melancarkan telefon andalan mereka Mi 11 pada hujung tahun lalu, terdapat pelbagai sumber dalam talian manandakan kehadiran versi Lite untuk Mi 11. Tiga bulan kemudian, Xiaomi melancarkan Mi 11 Lite yang hadir dengan dua model berbeza iaitu versi 4G dan versi 5G. Antara dua model ini, hanya versi 4G sahaja yang masuk ke pasaran Malaysia. Mi 11 Lite 4G dijual pada tanda harga RM1,199 untuk RAM 8GB dan storan 128GB.

    Kami telah menggunakan Mi 11 Lite ini selama beberapa minggu. Jadi, dalam artikel ini, kami akan memberitahu pengalaman kami menggunakan peranti ini. Adakah berbaloi dengan harganya? Apa kelebihan dan kekurangannya? Mari baca artikel ini.

    Rekaan – Kekuatan utama Mi 11 Lite!

    Mi 11 Lite hadir dengan reka bentuk yang hampir sama seperti abangnya Mi 11. Ia masih mengekalkan rekaan modul kamera yang sedikit bulat dan menyegarkan. Kami sangat meminati reka bentuk kamera yang baru dari Xiaomi ini kerana ianya dilihat berbeza dari generasi sebelum-sebelum ini dan tampil lebih elegan dan ‘comel’.

    Berbeza dengan Mi 11 yang hadir dengan modul kamera tiga tingkat, Mi 11 Lite hanya hadir dengan dua tingkat sahaja. Ini bermakna Mi 11 Lite lebih senang dijaga dan tidak mudah tercalar berbanding Mi 11. Sarung plastik percuma yang diberikan hadir dengan penghadang yang cukup tinggi untuk menjaga bonggolan kameranya.

    Mi 11 Lite yang kami gunakan adalah berwarna Boba Black. Warna hitam Boba Black ini tidaklah terlalu pekat (terutamanya pada panel belakangnya) dan lebih tepat jika ia dipanggil dengan warna kelabu. Kami merasakan panel belakangnya adalah tarikan peranti ini. Panel belakangnya hadir dengan binaan kaca yang berkilau. Ianya terlalu berkilau dan boleh bertindak sebagai cermin. Jadi, anda tidak perlu lagi membuka kamera swafoto untuk melihat wajah anda! Yang kurang menarik, binaan seperti ini menyebabkan cap jari anda mudah terlekat dan nampak kotor jika anda memegangnya selalu. Penyelesaiannya adalah dengan memakaikan sarung plastik pada peranti ini.

    Kelebihan Mi 11 Lite yang anda tidak akan dapat pada telefon pintar lain adalah saiz dan beratnya. Berat telefon ini adalah 157 g sahaja dengan ketebalan 6.99mm! Selepas menggunakannya selama beberapa minggu, kami merasakan peranti ini sangat ringan dan sangat mudah untuk dibawa. Reka bentuk yang nipis juga menjadikannya tampak lebih elegan. Telefon ini sangat sesuai kepada golongan wanita atau orang tua yang tidak menyukai telefon yang berat dan tebal.

    Namun, reka bentuk panel belakang yang tidak melengkung menjadikannya terasa seperti telefon yang bersegi. Jika dibandingkan dengan abang Mi 11, ia terasa kurang selesa bila dipegang.

    Pada bahagian hadapan pula, Mi 11 Lite dilengkapi skrin 6.55 inci AMOLED beresolusi FullHD+ dengan nisbah skrin 20:9. Ia juga hadir dengan kadar segar semula 90hz dan kadar bacaan sentuhan 240Hz. Peranti ini menyokong warna 10-bit yang dapat menghasilkan sebanyak 1 bilion warna. Ini adalah ciri yang jarang anda dapati pada telefon kelas pertengahan dengan harga seperti ini. Warna skrin Mi 11 Lite nampak lebih cantik dan lebih sedap mata memandang. Dengan harga RM1,199, kami cukup berpuas hati dengan skrinnya.

    Ciri lain yang Mi 11 Lite kekalkan dari Mi 11 adalah pembesar suara stereo. Namun, pembesar suara peranti ini tidak mempunyai sebarang pengiktirafan dan tidak ditala oleh syarikat audio terkenal. Selepas menggunakan selama beberapa minggu, kami merasakan bunyi yang dihasilkan adalah sederhana sahaja. Bunyi bass dan treblenya juga kurang padu jika dibandingkan dengan telefon yang lain. Apa yang kami puas hati adalah kelantangan dan keseimbangan bunyinya. Kedua-dua pembesar suara dapat menghasilkan bunyi yang sama kuat. Jadi, anda tidak perlu risau tentang ketidak seimbangan audio sewaktu menonton video. Disebabkan peranti ini sangat nipis, anda akan merasa sedikit gegaran sewaktu menggunakannya dengan volume yang tinggi.

    Untuk ciri keselamatan pula, peranti ini hadir dengan sensor cap jari sisi di atas butang kuasa. Sepanjang kami menggunakannya, ia berfungsi dengan baik dan pantas. Mi 11 Lite j tidak mempunyai bicu audio 3.5mm namun hadir dengan slot microSD untuk storan tambahan (dikongsi dengan slot kad SIM).

    Ciri teknologi dan spesifikasi

    Xiaomi Mi 11 Lite dilengkapi beberapa spesifikasi istimewa yang susah untuk didapati dalam telefon pintar yang lain. Namun, ia juga hadir dengan spesifikasi yang kurang menyakinkan untuk sesetengah jenis pengguna. Berikut adalah ciri teknologi dan spesifikasi Xiaomi Mi 11 Lite.

    • Berukuran 160.5 x 75.7 x 6.99mm
    • Berat 157g
    • Cipset Snapdragon 732G (8nm), Adreno GPU 618
    • RAM 8GB + Storan 128, UFS 2.2
    • Skrin AMOLED 6.55 inci beresolusi Full HD+ (ratio 20:9) dengan kadar segar semula 90Hz,kadar bacaan sentuhan 280Hz, HDR 10, warna 10 bit
    • Kerangka plastik dengan panel belakang kaca
    • Kamera utama 64MP f/1.79 6P + 8MP f/2.2 (ultra lebar) + 5MP f/2.4 (telemakro)
    • Rakaman video 4K 30fps, slo-mo 1080p 120fps
    • Kamera swafoto 16MP f2.45
    • Pembesar suara stereo
    • Bateri 4,520mAh, sokongan cas pantas 33W
    • Sokongan Bluetooth 5.1, NFC
    • Sensor cap jari sisi
    • Antara muka MIUI 12 atas perisian Android 11

    Kami cukup berpuas hati dengan antara muka MIUI 12 atas Android 11. Reka bentuk antara mukanya nampak kemas dan cantik. Ia juga mempunyai ciri seperti App Drawer, Discover Feed, Dark Mode dan lain-lain yang dapat memudahkan penggunaan anda sepanjang hari. Daripada segi perisian remeh (bloatware), ia dilengkapi beberapa aplikasi seperti Agoda, Booking.com dan beberapa game yang anda boleh buang (uninstall).

    Bukan itu sahaja, anda perlu ingat bahawa peranti dengan MIUI termasuklah Mi 11 Lite hadir dengan iklan pada aplikasi asasnya.

    Prestasi – Bagus tetapi kurang menyengat

    Xiaomi Mi 11 Lite menggunakan cipset kelas pertengahan yang pernah digunakan oleh Xiaomi pada peranti Redmi mereka iaitu cipset Snapdragon 732G. Cipset ini sebenarnya sudah cukup mantap untuk kegunaan harian anda. Setelah menggunakan selama beberapa minggu, kami berpuas hati dengan prestasi yang ditawarkan. Pembukaan aplikasi dan aktiviti multi-tasking dapat dilakukan tanpa sebarang sela masa (lag).

    Namun, telefon ini terasa kurang mantap apabila menggunakannya untuk bermain game (terutama pada jangka masa yang panjang). GPU Adreno 618 membolehkan anda meletakkan tetapan game pada kadar sederhana sahaja. Peranti ini tidak hadir dengan sebarang sistem penyejukan yang dapat mengawal suhu peranti sewaktu bermain game. Jadi, jika anda bermain game beberapa jam tanpa henti, peranti ini akan mula memanas dan prestasi permainan akan kurang sedikit. Namun, jangan risau, jika anda casual gamers yang hanya bermain game selama tidak lebih dari 1 atau 2 jam, prestasi peranti ini sudah mencukupi.

    Mi 11 Lite hadir dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan 128GB. Jenis storan yang digunakan adalah UFS 2.2, jadi, pembacaan dan penulisan data akan terasa lebih pantas dan cekap. Kami juga telah menjalankan beberapa ujian penanda asas dengan telefon ini. Berikut adalah hasil yang telah diperoleh.

    Bercakap pasal bateri pula, Mi 11 Lite hadir dengan bateri 4,520mAh. Kami masih terfikir bagaimana Xiaomi boleh meletakkan bateri sebesar ini di dalam telefon yang nipis ini. Dengan bateri 4,520mAh, peranti ini boleh bertahan sekitar satu hari setengah. Jika anda kerap menggunakannya, jangka masa penggunaan akan turun ke satu hari.

    Namun jangan risau, ia hadir dengan pengecasan pantas 33W. Dengan hanya 30 minit pengecasan, bateri telefon sudah mencapai 56%. Untuk pengecasan penuh, ia mengambil masa sekitar 1 jam 5 minit sahaja.

    Pengecas 33W dalam kotak

    Ia bukanlah pengecasan yang terpantas pada telefon pintar masa kini, tapi kami sudah cukup berpuas hati dengan prestasinya. Telefon ini juga tidak hadir dengan ciri pengecasan wayarles, sama seperti telefon kelas pertengahan yang lain.

    Bercakap mengenai kamera pula, Mi 11 Lite hadir dengan tiga kamera pada bahagian belakang iaitu kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera kedalaman (makro) 5MP.

    Sama seperti abangnya, kamera Mi 11 Lite hadir dengan pelbagai mod baru yang menarik seperti Movie Effects, VLOG, Dual video dan lain-lain. Ciri-ciri khas ini dapat menambahkan lagi keseronokan anda ketika menggunakan kameranya. Kami agak meminati antara muka kameranya yang senang digunakan dan boleh diubah suai mengikut keselesaan. Tetapan kamera juga senang dibaca dan mudah untuk semua gologan pengguna.

    Untuk kualiti gambarnya, kita ulas kamera utamanya dahulu. Gambar dari kamera utama 64MP dilihat mempunyai butiran dan banyak serta warna yang pekat. Gambarnya nampak seakan-akan sudah siap disunting untuk diletakkan di media sosial. Warna gambar nampak pekat dan menonjol. Pada masa yang sama, ianya tidaklah terlalu pekat dan masih mengekalkan keaslian gambar tersebut. Gambar yang diambil di kawasan tertutup juga masih mempunyai kawalan cahaya yang baik.

    Sama seperti kebanyakan telefon pintar masa kini, ia hadir dengan ciri mod malam yang dapat menambahkan kualiti gambar gelap yang dihasilkan. Mod malam yang ada pada telefon ini cukup baik dan tidaklah terlalu agresif seperti yang ada pada sesetengah telefon. Cahaya lampu-lampu di dalam gambar dilihat lebih terkawal.

    Untuk kamera ultra lebar pula, gambarnya nampak lebih pekat sedikit dari gambar dari kamera utama. Kawalan cahaya masih terjaga namun butirannya nampak berkurangan. Ini adalah perkara yang normal bagi kebanyakan kamera ultra lebar yang mempunyai bilangan Megapixel yang rendah.

    Kami meminati gambar kamera makronya. Gambar makro nampak lebih jelas dan lebih banyak butiran. Walaupun ianya bukan lah kamera telemakro, tetapi ia masih dapat menghasilkan gambar yang begitu dekat. Warna gambar makro nampak sangat pekat namun ia tidak menjadi sebarang masalah untuk kami (Kami rasakan semua gambar dari kamera Mi 11 Lite nampak lebih pekat dari biasa).

    Kamera swafotonya pula adalah kamera 16MP. Kualiti gambarnya baik tetapi warnanya tidaklah terlalu tepat. Gambar ‘selfie’ yang dihasilkan nampak cantik dan kulit muka nampak lembut walaupun ciri kecantikan sudah dimatikan. ‘Bokeh’ yang dihasilkan oleh kamera swafotonya juga cukup memuaskan.

    Untuk video pula, ia tidak hadir dengan sokongan video 8K yang ada pada abangnya. Ia mampu merakam video sehingga 4K 30fps sahaja dan video gerak perlahan sehingga 1080p 120fps. Peranti ini juga hadir dengan ciri penstabilan tetapi hanya pada tetapan video 1080p sahaja. Secara ringkas, kualiti video yang dihasilkan adalah baik namun warnanya terlalu pekat dan kurang natural.

    Kesimpulan – Telefon ringan dengan prestasi yang cukup baik

    Secara konklusinya, Mi 11 Lite boleh dikatakan sebagai sebuah telefon kelas pertengahan yang cukup baik. Dengan harga RM1,199, ia hadir dengan spesifikasi yang menarik dan berbaloi. Keistimewaan peranti ini terletak pada reka bentuknya yang elegan, nipis dan ringan. Namun, ia bukan lah sebuah telefon yang lengkap kerana ia tidak hadir dengan sebarang ciri kalis air dan habuk dan juga kurang sesuai untuk gamers.

    Satu perkara yang pasti akan membuatkan pengguna berfikir berkali-kali sebelum membeli peranti ini adalah Redmi Note 10 Pro, sebuah telefon pintar dari keluarga yang sama. Redmi Note 10 Pro dijual pada tanda harga bermula RM999 dan hadir dengan spesifikasi yang lebih menarik berbanding Mi 11 Lite. Ia mempunyai kamera 108MP dan skrin AMOLED dengan kadar semula 120Hz. Spesifikasi lainnya pula dilihat hampir sama dengan Mi 11 Lite (tetapi tidak boleh lawan dengan reka bentuk Mi 11 lite!).

    Jadi, jika anda sedang pertimbangkan Mi 11 Lite, anda juga boleh melihat kepada Redmi Note 10 Pro ataupun POCO X3 Pro (untuk prestasi gaming yang lebih mantap).

    Adakah anda sudah membeli peranti ini? Berikan ulasan anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    TSMC bakal hasilkan cip dengan proses 1.6nm menjelang 2026

    TSMC mengumumkan proses pembuatan 1.6nm untuk cip dan ia juga termasuk rangkaian penghantaran kuasa yang meningkatkan kecekapan kuasa dan ketumpatan transistor dengan...

    Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro tawar hadiah sehingga RM10,000, acara bakal diadakan pada...

    Sempena pelancaran Infinix GT 20 Pro pada 2 Mei ini, Infinix Malaysia akan menganjurkan Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro iaitu sebuah...

    Samsung Galaxy Unpacked kedua dijadualkan pada 10 Julai 2024

    Acara Samsung Galaxy Unpacked yang akan datang dijadualkan pada 10 Julai 2024 di Paris, bertepatan dengan penganjuran City of Love Sukan Olimpik...

    Malaysia negara kedua paling ketagih gajet di Asia pada 2024, luang masa 8 jam...

    Agensi kajian pemasaran antarabangsa Electronics Hub telah menerbitkan senarai untuk negara yang paling banyak menggunakan gajet dalam masa sehari secara purata (average...

    Fujifilm instax mini 99 dilancar di Malaysia: Kamera analog yang boleh cetak gambar berharga...

    Pada hari ini, Fujifilm Malaysia melancarkan model kamera analog segera (instant analog camera) yang terbaru dalam siri instax*1 iaitu instax mini 99....

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X