More

    Ulasan Xiaomi Pad Mini – Tablet kompak pertama daripada Xiaomi!

    Xiaomi bukanlah jenama yang asing dalam industri tablet, namun biasanya tablet oleh jenama China ini hanya ditawarkan dalam saiz sekitar 11 inci. Kini, Xiaomi meluaskan rangkaian tabletnya dengan melancarkan Xiaomi Pad Mini iaitu tablet kompak Xiaomi yang pertama, dengan saiz skrin 8.8 inci sahaja. 

    Dengan kenipisan 6.46mm dan berat 326 gram sahaja, ia pasti akan menarik minat mereka yang gemarkan tablet kecil. Jadi adakah tablet yang berharga RM1,999 ini lebih bagus daripada tablet kompak lain? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Daripada segi rekaan, tablet ini amat mudah dipegang dengan satu tangan kerana beratnya yang tidak tinggi dan saiz skrin yang agak kecil. Kadang-kadang saya rasa seperti memegang sebuah telefon pintar yang besar, bukannya sebuah tablet.

    Rekaan belakang Xiaomi Pad Mini
    Skrin Xiaomi Pad Mini
    Pengecas disertakan dalam kotak, namun stilus perlu dibeli secara berasingan
    Butang volume
    Bonggol kamera yang menempatkan kamera 13MP

    Bahagian belakangnya mungkin tidak mempunyai sebarang ciri yang menarik kerana ia rata sepenuhnya tanpa sebarang corak atau efek kilauan, namun sekurang-kurangnya ia ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu kelabu dan ungu. Perlu diingati bahawa tablet ini hanya mempunyai rating kalis air dan debu IP52 sahaja, jadi jangan gunakannya dekat dengan kawasan air atau pasir.

    Satu ciri yang menarik adalah ia mempunyai dua port USB-C yang terletak di bahagian sisi kanan dan bawah. Ini bermaksud anda boleh mengecas tablet ini tanpa perlu risaukan tentang penggunaan mod potret atau lanskap. Selalunya dengan tablet lain, anda perlu dirikannya dalam mod lanskap atau portret sahaja sewaktu mengecas, namun dengan Xiaomi Pad Mini, anda tidak perlu risau tentang masalah tersebut.

    Untuk skrin, ia mempunyai resolusi 3K (3008×1880) dengan nisbah aspek 16:10 dan kadar segar semula 165Hz. Ia sekadar menggunakan panel IPS LCD jadi warnanya mungkin tidak pekat atau cerah seperti panel AMOLED, namun kadar segar semula setinggi 165Hz bermaksud sebarang animasi yang dipaparkan apabila anda menyentuhnya akan nampak sangat lancar.

    Walaupun dengan panel IPS LCD, saya masih berpuas hati dengan kualiti visual yang dipaparkan dalam video dan game. Perlu diingati bahawa kecerahannya hanya boleh pergi sekadar 300 nits, jadi ia kurang sesuai digunakan di kawasan luar dengan cahaya matahari terik kerana efek silau akan menyukarkan anda melihat skrin ini.

    Anda masih boleh tonton filem dengan visual yang bagus, walaupun ia bukan skrin AMOLED

    Tablet ini juga tidak didatangkan dengan sebarang pelindung skrin, jadi saya nasihatkan anda untuk dapatkannya bagi melindungi skrin daripada kesan calar. Daripada segi audio, ia mempunyai pembesar suara stereo yang boleh hasilkan audio agak kuat untuk kegunaan dalam bangunan dan kualitinya jelas. Anda perlu tahu bahawa ia tidak mempunyai bicu audio 3.5mm, jadi anda perlukan fon telinga wayarles untuk mendengar audio secara bersendirian.

    "
    "

    Untuk prestasinya pula, ia menggunakan cipset MediaTek Dimensity 9400+ iaitu cipset sama yang terdapat pada siri Xiaomi 15T. Ia merupakan cipset yang lebih canggih sedikit berbanding Dimensity 9400 yang banyak terdapat dalam telefon flagship pada hujung 2024, seperti siri vivo X200 dan siri OPPO Find X8.

    Saya memainkan game Genshin Impact pada tablet ini dan saya amat berpuas hati dengannya. Saya menetapkan tetapan grafik penuh dan Xiaomi Pad Mini boleh memainkannya dengan selesa dan kadar bingkai sekata 60fps. Penjanaan suhu juga agak rendah, walaupun selepas saya memainkannya selama 30 minit hingga sejam.

    Genshin Impact boleh dimainkan dengan sangat lancar dalam tetapan grafik tinggi

    Bercakap tentang bermain game, tablet ini juga mempunyai hayat bateri yang agak pendek. Dengan kapasiti bateri 7,500mAh, ia mempunyai masa skrin hidup sekitar 12 jam, agak pendek untuk sebuah tablet, namun memandangkan saiznya lebih kecil berbanding tablet lain, ini adalah sesuatu yang boleh difahami.

    Berdasarkan penggunaan saya dengan kecerahan skrin pada tahap 50%, tontonan filem di Netflix selama 30 minit telah menggunakan sekitar 4% bateri, manakala bermain game Genshin Impact selama 30 minit menggunakan sekitar 8% bateri. Ini adalah kadar penggunaan tenaga yang agak serupa dengan telefon pintar.

    Untuk mengecas, ia menyokong kadar pengecasan pantas 67W dan pengecasnya disertakan dalam kotak. Pengecasan penuh daripada 0% mengambil masa sekitar 70 hingga 80 minit.

    Daripada segi perisian, ia menggunakan sistem operasi Android 15 dengan antara muka (UI) Xiaomi HyperOS. Walaupun saya tidak biasa dengan UI Xiaomi, saya masih boleh menggunakannya dengan selesa, malah anda boleh gunakan fungsi skrin berbahagi (split screen) untuk membuka beberapa aplikasi serentak. Dengan prestasi pantas daripada Dimensity 9400+, saya tidak mempunyai masalah lag walaupun dengan membuka beberapa aplikasi serentak.

    Antara muka Xiaomi Pad Mini
    Boleh guna split-screen dengan lancar

    Kini saya ingin bercakap mengenai kameranya pula. Ia mempunyai kamera belakang 13MP dan kamera hadapan 8MP. Seperti yang anda boleh jangkakan, kualiti gambar yang dihasilkan tidaklah begitu cantik seperti telefon pintar flagship, namun ia sekadar memuaskan dan cukup sekadar anda ingin mengambil imej ringkas untuk kegunaan harian. Saya rasa anda tidak akan gunakan gambar yang diambil melalui kamera tablet ini untuk dimuat naik ke media sosial kerana kualitinya agak hambar.

    Sungguh pun demikian, selalunya pengguna akan menggunakan kamera hadapan pada tablet untuk membuat panggilan video dan saya merasakan Xiaomi Pad Mini boleh melakukan tugas ini dengan baik. Kualiti video nampak jelas dalam Google Meet.

    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar swafoto
    Kualiti bagus sewaktu membuat panggilan video

    Jadi, adakah Xiaomi Pad Mini sesuai untuk anda? Tablet kompak seperti ini masih tidak mempunyai banyak pilihan dalam pasaran, jadi tidak banyak jenama lain yang boleh menyainginya. Sungguh pun begitu, kami berpendapat ia adalah sebuah tablet yang menarik selagi anda boleh menerima kekurangannya.

    Ia menampilkan rekaan yang kompak dan ringan, prestasinya pantas dan dua port USB-C menawarkan penggunaan yang mudah sewaktu mengecas. Walaupun kualiti skrinnya agak biasa, saya berpendapat ia sepadan dengan harganya yang sekitar RM1,999.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Skrin IPS LCD 8.8 inci, resolusi 3008×1880, kadar segar semula 165Hz, kecerahan puncak 700 nits
    • Cipset MediaTek Dimensity 9400+
    • RAM LPDDR5X 16GB
    • Storan dalaman UFS 4.1 512GB
    • Kamera belakang 13MP
    • Kamera hadapan 8MP
    • Bateri 7,500mAh
    • Pengecasan pantas 67W
    • Port USB-C 3.2 Gen 1
    • Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4
    • Sistem operasi Android 16 dengan Xiaomi HyperOS 2
    • Ukuran: 205.13×132.03×6.46mm | berat 326 gram
    • Harga: RM1,999

    Kebaikan: Rekaan kompak, prestasi laju, pengecasan pantas

    Keburukan: Skrin kurang cerah, tiada pelindung skrin

    Kesimpulan: Produk menarik untuk mereka yang inginkan tablet kompak

     

    Artikel Terkini

    Google sahkan acara Made by Google 2026 diadakan pada 12 Ogos ini

    Google secara rasmi mengumumkan acara Made by Google 2026 akan berlangsung pada 12 Ogos ini di New York City, jam 6 petang...

    Nubia bakal lancarkan telefon pintar ejen AI pertama di dunia

    Nubia mengesahkan perancangan untuk memperkenalkan model telefon pintar terbaharu yang dilengkapi dengan sistem ejen kecerdasan buatan (AI) pada hujung bulan ini. Peranti...

    Google Photos perkenalkan ciri Video Remix dikuasakan Gemini Omni

    Google telah memperkenalkan ciri baharu dinamakan Video Remix dalam aplikasi Google Photos. Ciri ini membolehkan pengguna melakukan suntingan video secara automatik melalui...

    Nothing Phone (4b) tiba dengan cip SD 6 Gen 4, skrin AMOLED 6.77″ dan...

    Nothing secara rasmi memperkenalkan model telefon pintar terbaharu dalam siri 4b iaitu Nothing Phone (4b). Ia direka sebagai pilihan yang lebih mampu...

    Tak perlu dekoder lagi! Astro X3 dilancar 20 Julai ini dengan langganan bermula RM39.99

    Astro bakal memperkenalkan perkhidmatan penstriman terbaharunya, Astro X3, bermula 20 Julai 2026 dengan tawaran harga langganan bermula daripada RM39.99 sebulan. Perkhidmatan ini...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured